Sewaktu menonton filem “Kabhi
Khushi Kabhi Gham” saya selalu
teringat akan kata-kata yang diungkapkan oleh Shah Rukh Khan kepada adiknya Hrithik
Roshan yang berbunyi, “Untuk menjadi seseorang dalam hidup, hasilkan sesuatu
dalam hidup, menangi sesuatu, selalulah mendengar kata hati, dan kalau hati tak
jawab, tutuplah mata, sebutlah nama ayah dan ibu, selepas itu, tengoklah, semua
impian akan tercapai, kau akan menang!” Apabila menonton sesebuah filem
terutamanya filem Hindi saya selalu menulis kata-kata yang indah kerana mereka
sentiasa menggunakan ayat-ayat yang puitis dan gramatis sehingga sampai menusuk
hati. Itulah kehebatan filem Hindi. Kata-kata yang saya kumpul itu akan saya
taip dan gantung di dinding kamar sebagai motivasi kendiri. Apabila berhadapan
dengan masalah baik masalah keluarga, masalah di tempat kerja, atau masalah
dengan pelajar, saya selalu pejamkan mata sambil menyoroti kembali salasilah
bermulanya masalah itu. Jika segalanya bermula daripada diri saya, maka dengan
rasa rendah dirinya saya memohon kemaafan dan memperbetul keadaan agar
segalanya tidak berlarutan sehingga menjejaskan emosi diri.
Manusia di dunia ini tiada yang
dilahirkan dengan sifat yang terlalu sempurna sehingga tiada calar nodanya.
Sewaktu kita melayarkan bahtera di lautan kehidupan, kadang-kadang kapal yang
dinakhodakan terumbang-ambing dipukul gelombang sehingga adakalanya kita karam
dan hampir kelemasan dihempas badai yang tidak kenal simpati dan kasihan. Akan
tetapi, selagi nadi masih berdenyut kita tahu bahawa kita masih hidup untuk
terus menghirup udara di bumi yakni dunia pinjaman tempat kita beraksi dan
berlakon sebagai manusiawi ciptaan Ilahi. Itulah hakikat sebuah kehidupan. Tawa
senda dan air mata seolah-olah hiasan wajah yang saling bertukar ganti tanpa
mengira waktu dan tempat. Kadang-kadang yang kita undang tak pernah datang,
yang kita halau itu yang melutut sehingga kita menjadi rimas dengan permainan
dunia yang dirasakan tidak adil dan menzalimi kita. Kita selalu bermohon kepada
Tuhan agar diberikan kesempatan dan kekuatan semata-mata untuk menaikkan imej
dan maruah diri wahal yang kita kejar sepatutnya iman dan takwa bukannya
pangkat, harta, dan puji-pujian.
PEJAMKAN MATA, BEREHATLAH
Segelintir kita terlalu kuat bekerja
sehingga tidak sedar dunia sudah beralih siang dan malamnya. Kita terlalu
taksub dengan nama, pangkat, sanjungan, dan pujian sehingga menzalimi diri
sendiri. Kita abaikan keluarga, kita tinggalkan isteri tercinta, dan kita tidak
pedulikan anak-anak yang tersayang semata-mata untuk pergi jauh demi
mendapatkan gaji yang tinggi wahal kita tidak terjawab apabila ditanya, tidak
cukupkah yang dicari selama ini? Kita selalu mengatakan diri kita terlalu sibuk
dengan tugas-tugas di pejabat sehingga kita rasa terasing dan bersendirian.
Seorang guru di sekolah kerana terlalu ghairah dengan tugas mendidik
kadang-kadang terlupa majlis hari jadi anak sendiri. Ada pula yang terlupa
sarapan pagi dan makan tengahari. Mereka terkejar-kejar ke sana dan ke sini.
Kesibukan sentiasa bergayut di kasut mereka yang memijak perut bumi sehingga
apabila kaki hendak melangkah, langkahan itu menjadi amat lemah dan tidak
terarah. Ajakan kawan tidak diendahkan kerana kerja menjadi keutamaan.
Berhentilah dan berehatlah!
Apabila kita sakit, yang sakit badan,
yang merasa sakit kita, yang menanggung azabnya kita, yang bersedih keluarga
dan saudara mara serta sahabat handai. Fail-fail yang berlambak di pejabat
tidak akan berjalan untuk mengucapkan simpati. Pingat dan anugerah cemerlang
yang kita peroleh, tidak akan menyuapkan bubur nasi tatkala kita tidak mampu
bergerak. Majikan yang memaksa kita bekerja siang dan malam, mungkin hanya
mengirimkan pesanan SMS memberikan kebenaran bercuti sambil menghantar buah
yang menjadi hiasan katil kita. Itulah hakikat apabila kita tidak sayangkan
diri sendiri. Kita terlalu takut jika kita kurang memberi kasih kepada kerja
dan majikan kita. Kita terlalu menjaga nama dan taksub untuk berada ditangga
pertama sebagai pekerja kesayangan wahal semua itulah yang merobek sedikit demi
sedikit kekuatan dalaman kita. Lebih menyedihkan jika ada antara kita yang
sanggup merancang strategi menjatuhkan orang lain untuk menaikkan diri kita
sendiri. Peluang orang kita cantas. Periuk nasi orang kita telungkupkan. Yang
lemah kita tindas. Ladang rezeki orang kita tebas. Apabila tiba masanya, semua
ini akan tertayang di skrin rasa berdosa satu persatu sehingga kita menangisi
kesilapan lalu. Tangisan kita itu akan makin kuat jika orang yang kita khianati
itulah yang menjaga dan membelai kita semasa kita tiada sesiapa. Berehatlah,
pejamkan mata, kadang-kadang apabila kita terlalu leka dengan nikmat dunia kita
rasa kitalah raja tetapi sebenarnya kitalah makhluk Tuhan yang paling malang di
dunia.
Apabila kita berada di atas, silap
orang kita nampak dengan amat jelas. Cacian kita jadi santapan mereka. Kutukan kita jadi hidangan harian mereka. Kata-kata nista kita jadi ulam-ulaman
mereka. Kita bangga apabila mereka lahap menghadam semua itu kerana kitalah
yang berkuasa ke atas mereka. Demi imej diri kita dan institusi, kita
kesampingkan nilai kemanusiaan dan silatturrahim dengan orang lain sehingga
mereka hilang rasa hormat dan simpati terhadap kita. Hormat mereka kerana
terpaksa. Suka mereka kerana terpaksa. Sayang mereka bukannya dari hati. Kasih mereka
bukanlah asli. Apabila Tuhan putarkan roda, dan kita terlenyek di bawah,
lihatlah dunia, tiada sesiapapun yang peduli kepada kita lagi. Jumpa dijalanan,
kita tersenyum manakala mereka memalingkan muka. Hati mereka telah lama mati
untuk mengucapkan salam dan bertanya khabar kerana kita telah racun rasa itu
dengan tindakan kita suatu masa dahulu. Kita mudah lupa semua manusia punya
jiwa dan perasaan apabila kita enak duduk di kerusi empuk dengan panggilan
keramat “tuan”. Pejamkanlah mata, kasihani diri sendiri, jangan terlalu bongkak
dan angkuh dengan semua yang kita miliki hari ini kerana tiada yang kekal
abadi.
PEJAMKAN MATA, MUHASABAHLAH
Kita terlalu mudah bertindak dan
menghukum orang lain hanya dengan mendengar kata-kata orang yang rapat dengan
kita tentang keburukan, kejahatan, dan kedangkalannya. Lantas, tanpa usul
periksa kita sisihkan dan singkirkan dia. Kita guna kuasa yang ada pada kita
untuk memadamkan kebolehan dan kreativitinya. Kita humban dia jauh-jauh
daripada diri kita wahal segala yang kita dengar itu hanyalah fitnah dan
hasutan. Sebenarnya, kita dijadikan batu loncatan untuk orang lain mendapatkan
hajat dan impian. Namun begitu, tatkala kita sedar, kita menjadi malu untuk
mengakui silap diri. Kita terus diburu rasa bersalah sehingga malam-malam kita
dibungkus resah dan rasa bersalah. Sesungguhnya, bagi orang yang mudah termakan
hasutan, penyesalan selalu datang kemudian. Bagi orang yang kenal hati budi
orang yang dipercayainya, penyesalan selalu memberikan isyarat yang membatalkan
niat, dan mereka tidak pernah kehilangan semua yang berharga dalam hidup
mereka. Pejamkanlah mata, bermuhasabahlah, apa yang kita buat di dunia ini
sentiasa diperhatikan dan memang ada orang yang sentiasa berfikir 24 jam untuk
menjatuhkan dan menyingkirkan setiap individu yang bermakna disisi kita.
Perjalanan hidup ini adalah berlainan,
ikutlah jalan yang betul, di mana kita tidak perlu tunduk atau jatuh. Jangan
ambil langkah yang salah di mana nama keluarga kita akan tercemar. Semua orang
boleh mendapat wang tetapi bukan senang untuk memperoleh penghormatan.
Apabila kita gagal dalam sesuatu kita
selalu menyalahkan orang lain sebagai punca kegagalan kita itu. Kita rasakan
diri kita selalu hebat dan tidak boleh gagal wahal kita terlalu banyak
kekurangan dan ketiadaan yang kita tidak nampak kerana cermin yang kita lihat
retak sejuta. Kita selalu memandang yang indah-indah terhadap diri kita kerana
terlalu syok sendiri dibuai mimpi bahawa kitalah yang terbaik atau makhluk
Tuhan paling beriman. Salah orang amat jelas di mata kita, salah sendiri
terlindung dek rasa riak dan takbur yang beraja di hempedu hati kita. Oleh itu,
sampai bila-bila pun kita akan gagal dan gagal kerana kegagalan itu sudah
sebati dengan jiwa dan naluri manusia seperti kita. Apabila orang menegur
kekurangan kita, kita mudah melenting dan terasa hati sehingga kita anggap
teguran itu suatu ancaman. Kita terlupa bahawa dia amat menyayangi kita. Lalu,
sedikit demi sedikit Allah hilangkan mereka daripada terus berada di sisi kita.
Dan, sedikit demi sedikit juga, yang kita miliki Allah matikan sinarnya.
Pejamkanlah mata, bermuhasabahlah bahawa orang yang berjaya itu sentiasa
perlukan dorongan dan kritikan. Orang yang berjaya itu sentiasa terjatuh dan
tersungkur. Orang yang berjaya itu sentiasa gagal. Bezanya, mereka terus
membaiki kekurangan diri sehingga mampu berdiri megah seperti hari ini.
PEJAMKAN MATA
Tuhan hanya memberikan kita satu
peluang untuk mengecapi nikmat dunia. Tuhan juga bagi kita peluang untuk
bertaubat. Walau bagaimanapun, kita harus ingat, yang hilang akan terus hilang
dari hidup kita. Yang hilang memang berganti tetapi yang menggantikannya
bukanlah sama. Itulah hakikat putaran dunia. Dendam yang ibarat api membakar
sekam akan terus berasap di jiwa orang yang pernah kita cerca, caci dan hina.
Biarpun di hadapan kita mereka mungkin tersenyum tetapi dalam lipatan sejarah
hidup mereka nama dan perbuatan kita akan selalu disebut dan diingat kerana
kita pernah hadir dalam hidup mereka sebagai Hitler. Kita boleh menghulurkan
tangan memohon kemaafan tetapi kita tidak boleh membasuh hati yang sarat
mengundan marah dan dendam. Oleh itu, Tuhan berikan kita otak untuk berfikir,
sebelum terlajak perahu yang dikemudikan, lebih baik kita berhati-hati dalam
setiap perbuatan kerana terlajak kata buruk padahnya. Setiap manusia punya hak
untuk dihormati. Setiap manusia punya hak untuk disayangi. Bukan semua orang
berharta dan berpangkat seperti kita, sebab itu kita tidak boleh menggunakan
harta dan pangkat kita untuk memingirkan hak orang lain yang hina di mata
angkuh kita.
Kita pandu kereta BMW atau Proton
Saga, kita tetap memandu di jalan raya yang sama. Kita duduk di kelas
perniagaan atau di kelas ekonomi, destinasi penerbangan kita tetap sama. Kita
guna jam tangan Rolex atau Titan, sampai masa kita tetap melihat masa yang
sama. Kita guna telefon pintar jenama Apple atau Nokia, orang yang memanggil
kita tetap orang yang sama. Tidak salah untuk mengimpikan yang terbaik. Tidak
salah untuk berangan-angan menjadi mewah dan kaya. Yang salah apabila kita
tamak dan merebut hak orang lain. Orang yang tamak tidak mampu memenuhi
keinginannya sehingga dunia ini kiamat.
Ingatlah, kita maju kerana sokongan
daripada ramai orang yang muncul dalam hidup kita. Seorang guru mungkin hina
pada mata kita tetapi tanpa mereka kita tidak mampu menjawab soalan peperiksaan
sehingga memperoleh kecemerlangan. Merekalah yang menjadi tongkat sebenar
kejayaan kita. Ibu dan bapa kita mungkin miskin dan tidak berpendidikan tetapi
tanpa mereka tiadanya kita di dunia ini. Merekalah yang membesarkan dan
membiayai kehidupan kita sehingga kita berjaya. Isteri kita mungkin bukanlah
bidadari tetapi dialah yang selalu meniupkan semangat untuk kita berjaya.
Anak-anak kita mungkin bukanlah sebijak anak rakan-rakan kita tetapi merekalah
pewaris keturunan kita. Jangan lupa bahawa kita ada adik beradik yang sentiasa
bersatu jiwa dengan kita. Darah kita dan darah mereka sama jenisnya.
Kawan-kawan kita, tidak kira apapun pekerjaan dan status hidup mereka,
terimalah seadanya kerana mereka akan hadir apabila kita memerlukan.
Pejamkanlah mata, hidup akan jadi indah jika kita baik dengan semua orang.
Hidup akan jadi indah jika kita tidak memusuhi orang lain. Hidup akan jadi
indah apabila kita sedar siapakah diri kita.
Cetusan pendidik bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu, Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan