Pagi itu saya dikejutkan dengan suatu
berita yang betul-betul melemaskan fikiran, setelah 19 tahun menabur bakti di
SMK Sacred Heart, tawaran untuk menjadi Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Sibu
Jaya tiba-tiba datang menyapa dengan lambaian yang sungguh damai dan mesra.
Entah kenapa, hati saya tertarik dengan tawaran tersebut. Dalam hati, saya
sebenarnya sudah memasang niat untuk berkhidmat di SMK Sacred Heart sehingga
bersara. Itulah impian dan janji hati saya. Namun demikian, hati manusia ibarat
muara sungai yang sentiasa berubah pandangan fizikal setiap kali ombak
menghempas. Walaupun saya hanyalah seorang guru kerdil di sekolah ternama itu,
namun ramai juga rakan-rakan yang merenjiskan embun peringatan agar saya
memikirkan niat untuk menerima tawaran itu dengan mempertimbangkan beberapa
perkara. Pada pandangan mereka saya merupakan orang akademik, jawatan itu memang tidak sesuai dengan diri saya, apatah lagi
beberapa minggu lepas saya baru sahaja menerima surat pelantikan sebagai Guru
Cemerlang Bahasa Melayu. Pemergian saya ke SMK Sibu Jaya tidak membawa apa-apa
keuntungan jika diambilkira dari segi kenaikan pangkat dan gred jawatan.
Selepas tamat sesi persekolahan pada
20 April 2016, tanpa memberitahu sesiapa, saya terus memandu ke SMK Sibu Jaya.
Semasa saya datang, saya tidak bertemu dengan Tuan Pengetua, saya hanya
berjumpa dengan Penolong Kanan Pentadbiran. Keadaan saya pada masa itu amat
berkecamuk ibarat ditelan mati emak diluah mati bapa. Rasa sayang, kasih, dan
cinta terhadap SMK Sacred Heart telah lama mendarahdaging dalam jiwa saya
sehingga cara percakapan saya mirip cara percakapan orang Cina. Saya membesar
dan menjadi dewasa di SMK Sacred Heart. Saya belajar mengenai sebuah kehidupan
dan mencedok banyak pengalaman di SMK Sacred Heart. Rakan-rakan sejawat
mengingatkan supaya saya membuat pilihan yang bijak. Mereka takut semua yang saya miliki akan hilang jika saya pergi ke stesen baharu, semua ini menjadikan saya lebih takut. Kenapa saya jadi begini? Sepatutnya, saya tanya
hati untuk membuat keputusan bukannya dipengaruhi oleh pendapat orang lain. Ya
Allah, saya lemah dalam hal ini. Malam itu, saya tiba-tiba air mata membasahi pipi atas alasan yang saya sendiri tidak ketahui. Tiba-tiba muncul kekuatan
yang meyakinkan supaya saya memilih untuk berpindah. Berpindah ke SMK Sibu
Jaya.
TUHAN IZINKAN AKU PERGI
Perjalanan hidup saya memang sukar
diramal. Setiap perkara yang berlaku sepanjang berkecimpung dalam dunia
perguruan berlaku bagaikan mimpi. Saya datang ke SMK Sacred Heart pada 1
Januari 1997 dengan hanya berbekalkan segulung Sijil Perguruan. Saya tidak
pernah menduga untuk memegang segulung sarjana. Perjalanan ini amat indah buat
seorang anak pedalaman seperti saya. Kepercayaan pelbagai pihak terhadap diri
saya amat mengagumkan sehinggalah saya menjadi Guru Cemerlang Bahasa Melayu
yang memegang beberapa jawatan penting di peringkat Bahagian, Negeri, dan
Kebangsaan. Saya terlibat sebagai panel dan pelbagai lagi
tugas-tugas penting yang berkaitan dengan subjek Bahasa Melayu. Di SMK Sacred
Heart, saya pernah mengajar Tingkatan Peralihan hingga ke Tingkatan Enam.
Pengalaman yang bukan semua guru boleh mengalaminya. Saya memegang jawatan
sebagai Penyelaras, Ketua Panitia, dan Ketua Bidang Bahasa. Pada tahun 2014
pula, saya mulai aktif berkolaboratif dengan guru-guru lain di Semenanjung
Malaysia untuk menghasilkan beberapa buah buku rujukan Bahasa Melayu STPM.
Semua ini tidak pernah termimpi tetapi menjadi realiti tanpa saya sedari.
Keputusan saya untuk menerima tawaran
untuk menjadi Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Sibu Jaya benar-benar menguji
kematangan saya untuk berfikir. Akan tetapi, saya yakin bahawa keputusan saya
tidak salah. Saya perlukan pengalaman baharu dan menghirup udara baharu di
tempat baharu. Perpindahan ini merupakan yang pertama berlaku dalam sejarah
perkhidmatan saya. Ucapan tahniah daripada kawan-kawan yang mengenali
menjadikan saya lebih yakin. SMK Sibu Jaya merupakan sebuah sekolah yang amat
indah dan tenteram. Sejujurnya, saya bermula dengan kosong. Kosong ilmu. Kosong
pengalaman. Saya memang aktif dalam bidang kokurikulum di sekolah. Saya pernah
pernah melatih pelajar berpidato hingga ke peringkat negeri. Saya pernah mengikuti
perkemahan Kadet Remaja Sekolah. Saya pernah menjadi Ketua Hakim banyak
pertandingan aktiviti sokongan kurikulum. Akan tetapi, semua tugas-tugas itu
saya buat atas tiket guru penasihat dan jurulatih. Saya bukan pentadbir. Pada
minggu pertama, saya banyak bertanya dan membaca tentang tugas-tugas saya. Agak
kelam kabut juga keadaan di SMK Sibu Jaya dengan karenah saya pada
minggu-minggu awal saya memulakan tugas. Saya tahu, ramai yang mungkin membenci
kehadiran saya kerana banyak benda yang saya timbulkan sehingga mengundang
kemarahan namun tidaklah sampai parah. Dugaan yang berlaku pada peringkat awal
kadang-kadang menyebabkan saya ingin kembali ke SMK Sacred Heart tetapi saya
tidak boleh kembali lagi. Tidak boleh.
MEKARNYA CINTA
Masa terus berlalu dan berlalu. Jiwa
saya semakin sebati dengan SMK Sibu Jaya dan warganya. Rasa rindu terhadap
sekolah lama kian lenyap hari demi hari. Saya terus belajar dan belajar.
Walaupun saya bukanlah yang terbaik, sekurang-kurangnya saya tidak gagal dalam
melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Pandangan negatif orang lain saya tolak
ketepi manakala yang positif saya jadikan ikhtibar. Banyak juga perkara yang
membanggakan yang saya lakukan tetapi biarlah saya simpan kerana usia saya di
daerah ini masih baru setahun jagung, darah masih setampuk pinang. Saya akui
tugas baharu saya bukan mudah tetapi saya pasrah kerana hati saya nekad untuk
meneruskan. SMK Sibu Jaya mempunyai guru-guru yang hebat dan sedia bekerjasama.
Mereka sentiasa memberikan yang terbaik apabila diminta. Mereka lakukan tugas
yang diamanahkan dengan penuh dedikasi. Saya masih ingat, bulan pertama di SMK
Sibu Jaya, saya diarahkan oleh pihak PPD Sibu untuk mengikuti Anugerah Sekolah
Cemerlang Kokurikulum (Kategori Luar Bandar). Pada masa itu, saya amat terharu
dengan kerjasama yang diberikan oleh guru-guru SMK Sibu Jaya. Kenangan itu
tidak akan saya lupakan hingga ke akhir hayat saya. Itulah sejarah pertama yang
terpahat dalam lipatan memori saya sampai bila-bila.
Keyakinan saya bertambah semasa
penganjuran Hari Sukan Sekolah SMK Sibu Jaya kali ke-13, sekali lagi saya rasa
amat terharu dengan komitmen para guru. Mereka lakukan tugas yang diberikan
tanpa mengeluh. Sukan Tahunan tersebut berlangsung dengan amat lancar dan
teratur. Saya amat berterima kasih kepada semua guru dan warga SMK Sibu Jaya
kerana tanpa mereka saya tidak dapat melakukan tugas saya dengan mudah. Hari-hariku
diisi dengan kebahagiaan sehingga berat badan naik lebih kurang 5 kilogram.
Dunia baharu ini banyak mengajar saya makna sebuah ikatan silaturrahim dan
persahabatan. Jika dahulu waktu saya banyak diisi dengan urusan akademik, kini
akibat beban tugas sudah berbeza, saya banyak gunakan masa untuk mentadbir dan
mengurus. Saya mengenali semua guru di SMK Sibu Jaya walaupun kadang kala saya
ditertawakan oleh Setiausaha Kokurikulum saya yang cute dan aktif, Puan Julina,
kerana tersalah menyebut nama guru. Saya beruntung mempunyai Setiausaha
Kokurikulum yang amat hebat iaitu Puan Julina Labang dan Puan Mujalifah Binti
Kassim. Setiausaha Sukan yang bekerja dengan saya, Encik Boyington Randy juga
hebat. Mereka sentiasa membantu apabila diperlukan.
MERANGKUL JAYA
Awal tahun 2017 bermula dengan ribuan
rahmat dan berkat daripada Yang Maha Esa. Masalah pelajar ponteng aktiviti
kokurikulum dapat diatasi dengan pelaksanaan dasar baharu, iaitu aktiviti
kokurikulum diadakan pada setiap hari Rabu. Oleh sebab komitmen guru dan
pelajar amat baik dan menggagumkan urusan pelaksanaan aktiviti kokurikulum tidaklah
menyesakkan nafas. Saya amat menghargai bantuan para guru yang banyak
melicinkan perjalanan aktiviti kokurikulum. Kejayaan pasukan olahraga sekolah
dalam Majlis Sukan Sekolah Bahagian Sibu merupakan kenangan manis kerana
kerjasama para guru begitu hebat. Nama SMK Sibu Jaya mula menjadi sebutan dan
digeruni oleh atlit dari sekolah lain. Walaupun tidak mampu meraih juara tetapi
Stadium Tun Zaidi Adruce tetap bergema dengan laungan SMK Sibu Jaya. Ramai yang
membuka mata mengenai kebangkitan SMK Sibu Jaya. Kejayaan ini memang bukan
kejayaan saya. Kejayaan ini merupakan kejayaan para guru dan pelajar-pelajar.
Mereka tidak perlu disuruh untuk menjalani latihan. Mereka lakukannya dengan
ikhlas tanpa pengawasan dan pemantauan. Mereka cuma minta disediakan keperluan
dan tugas saya hanyalah membuat pembelian. Yang berpanas dan berhujan di padang
ialah mereka. Saya tidak pernah mendengar keluhan dan runggutan. Yang saya
selalu dengar ialah gurauan yang menghias hari-hari indah selama saya menjadi
warga SMK Sibu Jaya.
Kejayaan demi kejayaan dicapai oleh
guru-guru dan pelajar-pelajar SMK Sibu Jaya dalam bidang kokurikulum. Semangat
berpasukan telah membawa kemenangan kepada Pasukan Bola Sepak Bawah 15 Tahun
(Naib Juara) dan Pasukan Sofbol (Tempat Ketiga). Para guru dan pelajar-pelajar
memang berusaha bersungguh-sungguh apabila mereka menyertai sesuatu
pertandingan kokurikulum. Semasa SMK Sibu Jaya menjadi Tuan Rumah Pertandingan
Drama Bahasa Inggeris, urusan amat lancar di bawah seliaan Ketua Bidang Bahasa.
Terdetik di hati saya, guru-guru sekolah ini memang hebat dan berbakat. Saya
tidak mampu melakukan perkara yang mereka lakukan. Jika tiada mereka, saya
bukanlah sesiapa. Mereka yang menjadikan SMK Sibu Jaya semakin hebat dan
menyinar.
GAGAL ATAU BERJAYA
Saya tidak dapat menjangkakan berapa
lama saya akan terus berkhidmat di SMK Sibu Jaya. Jika diikutkan kata hati,
biarlah kerjaya saya berakhir disini tetapi hati saya hanya merancang bukannya
mentakdirkan. Jika ditanya, apakah impian dan harapan saya? Saya mahu SMK Sibu
Jaya cemerlang dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Usia SMK Sibu Jaya
barulah 14 tahun, seusia dengan pelajar tingkatan dua. Oleh itu, saya tidak
mahu orang lain membandingkan SMK Sibu Jaya dengan sekolah-sekolah yang sudah
berusia puluhan tahun. SMK Sibu Jaya merupakan satu-satunya sekolah di Bandar Sibu
Jaya. Semua pelajar diterima masuk ke SMK Sibu Jaya kerana tiada sekolah lain
yang berdekatan disediakan untuk mereka. Sesungguhnya, bukan mudah untuk
menguruskan sebuah sekolah yang mempunyai pelajar yang ramai dan ibu bapa
mereka pula secara puratanya berada dalam lingkungan yang berpendapatan
sederhana. Komitmen semua pihak amatlah dituntut. SMK Sibu Jaya tetap beruntung
kerana memiliki para guru yang berkomitmen tinggi dan jitu dalam melaksanakan
amanah negara.
Saya akui saya bukanlah seorang
penolong kanan yang cemerlang. Saya perlu belajar dan belajar untuk membaiki
diri. Jika di SMK Sacred Heart saya perlukan masa selama 19 tahun untuk menjadi
seorang guru Bahasa Melayu, tidak mustahil di SMK Sibu Jaya pun saya perlukan
tempoh masa yang sebegitu. Tugas ini bukannya mudah kerana melibatkan banyak
kerja-kerja pentadbiran dan pada masa yang sama saya perlu memperuntukan banyak
masa untuk tugas-tugas akademik. Jika diberikan pilihan untuk kembali semula ke
pangkal jalan, apakah saya akan menerimanya? Jawapannya, biarlah rahsia. Setelah 400 hari, saya masih gagal untuk memberi sepenuhnya jiwa dan raga saya untuk jawatan baharu ini. Saya selalu ingin kembali ke masa lalu. Saya rindu untuk mengajar Bahasa Melayu Tingkatan Enam yakni bidang kebitaraan saya yang telah dimaklumi oleh semua pihak. Saya sudah terlalu jauh berkecimpung dengan pelbagai urusan berkaitan dengan subjek Bahasa Melayu Tingkatan Enam dan pengurusan Tingkatan Enam. Jadi, saya terus menerus memasang impian untuk melepaskan jawatan ini dan memberikannya kepada mereka yang lebih berhak dan berminat. Semoga suatu hari, Allah akan memberikan ruang untuk saya berundur. Jika peluang itu tiba, saya rela ditempatkan di mana-mana sekolah di seluruh negara asalkan saya kembali menjadi seperti diri saya yang dahulu. Itu janji saya.
Selagi saya masih disini, selagi itulah saya bekerja untuk melunaskan segala amanah dan kewajiban yang terpikul di bahu saya. Yang baik itu datang daripada Yang Maha Esa manakala yang kurang itu datang daripada saya insan yang hina. SMK Sibu Jaya amat dekat dengan jiwa saya. Apabila saya memandang pelajar-pelajarnya, saya memandang diri saya suatu ketika dahulu. Mereka bagaikan jelmaan kehidupan saya pada masa lampau tetapi keadaan mereka jauh lebih baik daripada keadaan diri saya. Saya yakin Tuhan ada perancangan yang indah untuk saya sehingga menggerakkan hati saya untuk terus ke sini. Saya tahu perancangan Tuhan adalah yang terbaik.
Selagi saya masih disini, selagi itulah saya bekerja untuk melunaskan segala amanah dan kewajiban yang terpikul di bahu saya. Yang baik itu datang daripada Yang Maha Esa manakala yang kurang itu datang daripada saya insan yang hina. SMK Sibu Jaya amat dekat dengan jiwa saya. Apabila saya memandang pelajar-pelajarnya, saya memandang diri saya suatu ketika dahulu. Mereka bagaikan jelmaan kehidupan saya pada masa lampau tetapi keadaan mereka jauh lebih baik daripada keadaan diri saya. Saya yakin Tuhan ada perancangan yang indah untuk saya sehingga menggerakkan hati saya untuk terus ke sini. Saya tahu perancangan Tuhan adalah yang terbaik.
Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan