Melainkan yang
beriman dan beramal soleh
Demi masa
sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan nasihat
kepada kebenaran dan kesabaran
Gunakan kesempatan
yang masih diberi
Moga kita takkan
menyesal
Masa usia kita jangan
disiakan
Kerana ia tak akan
kembali
Bait-bait lirik lagu
“Demi Masa” nyanyian Kumpulan Raihan ini sentiasa mengingatkan kita supaya
menghargai masa. Manusia sentiasa berkonflik dengan masa. Konflik itu tidak
pernah selesai kerana manusia lebih suka membazir masa sehingga kenikmatan
hidup mereka ditarik sedikit demi sedikit sampai mereka tiada peluang untuk
membaiki segala kekhilafan diri. Kita sering mendengar ungkapan “Saya tak ada
masa” apabila kita meminta maklumbalas terhadap sesuatu yang telah lama
dimaklumkan kepadanya. Mereka akan menceritakan kesibukan yang selalu merantai
hidup mereka seolah-olah mereka ibarat Presiden Donald Trump yang mentadbir
negara sebenar USA. Ungkapan ‘Saya tak ada masa’ itu akan disusuli dengan kerja
yang tidak siap atau terbengkalai dan tanpa rasa bersalah mereka akan terus
berputus asa sehingga mendatangkan kesan buruk terhadap orang lain. Apakah
betul kita tidak cukup masa? Mengapakah kita tidak cukup masa? Bagaimanakah
cara untuk kita mengatasi masalah tidak cukup masa. Masa ada untuk kita tidak
ada masa untuk masa?
MASA SELALU ADA AWAK
Mereka yang
menghargai masa akan sentiasa menyayangi dan mengisi masa yang ada dengan
pelbagai kerja yang mendatangkan kemaslahatan kepada diri, keluarga, dan orang
lain. Mereka takut kehilangan masa-masa yang berharga. Mereka sentiasa
bersyukur dengan setiap detik masa yang datang dalam hidup mereka. Golongan ini
sentiasa sibuk tetapi mereka bijak menggunakan masa 24 jam sejari yang Allah
berikan kepada mereka. Kebijaksanaan itu akan menjadikan mereka sentiasa
bahagia menjalani hidup pada setiap hari. Mereka sentiasa mencari masa demi
melunaskan tanggungjawab dan khidmat bakti kepada diri, keluarga, masyarakat,
dan negara. Mereka tidak pernah dirantai rasa sesal dan resah apabila masa
berlalu pergi kerana mereka puas menggunakan masa untuk kecemerlangan,
kesuksesan, kebahagiaan, dan kemenjadian diri sebagai manusia yang tahu
menghargai masa. Golongan ini sentiasa mempunyai budaya kerja yang tersusun,
sistematik dan teratur sehingga menyerlahkan impak atau keberkesanannya.
Orang yang selalu ada
masa akan terus belajar dan belajar kerana mereka sentiasa ada masa untuk
melakukan semua itu. Mereka sentiasa dahagakan ilmu dan sedaya upaya meraih
pengalaman selagi diberikan kudrat dan kesempatan. Mereka jarang tertinggal di
belakang kerana sentiasa memilih untuk duduk di barisan hadapan kerana mereka
tahu di situ dapat lebih tumpuan dan mudah fokus serta mudah melakukan
tindakan. Golongan ini tidak perlu minta dihormati kerana penghormatan itu akan
wujud tanpa dipaksa setelah orang menyaksikan hasil kerja yang dipamerkan.
Golongan ini tidak perlu berseloka di kedai kopi atau bebalas pantun di pejabat
semata-mata untuk mengemis simpati dan sanjungan melimpah. Semua itu akan
menyusul dalam pelbagai bentuk kebaikan dan pahala daripada Allah Yang Maha
Berkuasa. Kehidupan yang mereka lalui sentiasa indah kerana mereka sentiasa
bahagia di rumah dan sejahtera di tempat kerja. Kehadiran mereka disenangi
biarpun mereka selalu tidak ikut bersama melepak di kedai kopi.
Masa yang datang
dalam hidup mereka tidak akan datang dengan tangisan atau kesugulan akibat
tidak dipedulikan. Masa akan datang dengan senyuman dan berlalu pergi dengan
keceriaan. Masa begitu rasa dirinya dihargai sehingga rakan-rakannya mencuri
masa daripada golongan masa tak ada awak untuk diberikan secara percuma kepada
yang dimuliakan itu. Itulah kehebatan orang yang tahu menghargai dan memaknai
masa. Jika mereka berkeluarga, anak dan isteri tidak pernah terabai kerana
mereka sentiasa ada masa untuk menikmati hari-hari indah bersama mereka. Kasih
sayang ibarat aliran air di kali yang sentiasa mengalir bagi menyuburi jiwa
mereka agar tidak gersang dan kontang. Apabila masa selalu ada untuk kita maka
kehidupan kita akan jadi lebih aman dan tenteram. Jambatan kasih yang
menghubungkan hati kita dengan hati insan-insan yang mengenali dan menyayangi
kita akan terbina kukuh. Embun kesejahteraan sentiasa merenjis manis-manis
bahagia dalam hidup kita.
Golongan yang
sentiasa menghargai masa ini selalu meluangkan masa yang ada untuk bersujud
syukur kepada Allah. Mereka tidak pernah lari daripada tanggungjawab untuk
mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, mereka sentiasa memperoleh keberkatan
dan ketenangan. Sesungguhnya, sesibuk manapun kita dan sesukar manapun
perjalanan yang kita lalui, seandainya kita minta Allah restui setiap
perancangan yang telah kita atur untuk diri kita.
MASA TAK ADA AWAK
Mereka yang tidak
menghargai masa akan sentiasa mengatakan masa selalu tiada. Masa sentiasa
berlalu dengan cepat kerana rasa rimas apabila berada di samping mereka. Mereka
menggunakan masa dengan pelbagai perkara yang tidak mendatangkan manfaat.
Golongan ini banyak menghabiskan masa dengan bersembang kosong tentang isu-isu
politik, artis popular, dan cerita-cerita sensasi dalam masyarakat. Golongan
ini merupakan “Profesor Serba Tahu” kerana mereka akan mengulas pelbagai
perkara seolah-olah dunia ini mereka yang punya. Jika diberikan kerja mereka akan
menepis kerana “terlalu sibuk” wahal satu kerja pun tidak dia lakukan dengan
berkesan. Golongan ini ceritanya tidak pernah habis sehinggakan seekor nyamuk
melintas pun boleh dijadikan modal untuk dijadikan bahan cerita. Mereka sering
tidak cukup masa untuk melakukan kerja-kerja yang wajib lantaran sudah
ditunangi budaya sembang kedai kopi.
Masa selalu kesedihan
kerana mereka tiada disisi. Masa mengejar mereka tetapi masa juga akan berlalu
pergi kerana berada di samping mereka ibarat melukut di tepian gantang. Mereka
tidak pernah berterima kasih dengan kurniaan Allah untuk mereka. Akibatnya,
kerja bertimbun tidak dilangsaikan. Mereka terkejar-kejar ke sana dan ke sini.
Keadaan diri selalu tidak terurus. Meja di pejabat berterabur tidak tersusun.
Jawapannya, mudah iaitu “Saya selalu sibuk” atau “Saya tiada masa”. Golongan
ini akan menjadi manusia yang terlalu sensitif kerana darjah kestabilan emosi
mereka ibarat gelombang yang tidak pernah berhenti mendesir di pantai. Jika
tidak kena pada gaya, orang yang tidak bersalah pun turut dimarah. Golongan ini
suka melakukan kerja pada saat-saat akhir sehingga mengakibatkan pelbagai
kesalahan yang adakalanya mengundang ketidakpuasan dan menokok dosa.
Biasanya golongan ini
cepat naik ke atas kerana mereka bijak bekerja menggunakan mulut bukannya
mempamerkan hasil kerja. Majikan yang kurang ilmu atau azalinya seperahu dengan
mereka mudah terpikat dan tertawan dengan gerak lakon dan seni tari bodek
mereka yang lemah gemalai. Walau bagaimanapun, mana-mana jawatan yang diribai
atau mana-mana jabatan yang diterajui oleh golongan ini kebanyakannya
tersungkur menyembah bumi . Jangka hayat populariti mereka biasanya tidak kekal
lama kerana satu demi satu kegagalan yang mendatang turut membogelkan maruah
mereka pada masa lalu. Mereka mudah naik menggunakan cara yang salah tetapi
mudah turun dengan tidak bermaruah. Inilah kitaran hidup apabila kita selalu
berada dalam lingkungan ‘masa tiada untuk awak’. Pujangga pernah mengungkapkan
keseronokan yang dinikmati dalam seminit dua boleh menghancurleburkan hidup
kita selama-lamanya.
Masa itu akan membawa
keindahan. Masa itu akan membawa kerahmatan. Masa itu akan membawa kebahagiaan.
Masa itu akan membawa kesejahteraan. Masa yang diberikan kepada setiap manusia
adalah sama. Akan tetapi, kenapakah ada yang gagal dan ada yang berjaya? Setiap
hati kita harus melakukan refleksi diri tentang cara kita menggunakan masa. Ada
ketikanya kita khilaf menggunakan banyak masa untuk mengumpat dan
mempersendakan kebolehan orang lain maka berhentilah. Ada masanya kita gunakan
masa dengan berinteraksi kosong di media sosial sehingga berjam-jam sampai
mengabaikan tanggungjawab yang wajib kita laksanakan. Jika kita sedar,
kurangkanlah. Ada kalanya kita seronok melayan hobi sampai lupa meluangkan masa
bersama anak dan isteri serta alpa mencari rezeki, maka aturlah masa kita
semula. Masa itu tidak pernah membohongi kehadirannya disisi kita. Akan tetapi,
mengapakah kita selalu gagal mengisi kantung masa dengan limpahan rezeki dan
ilmu yang bermanfaat untuk diri kita. Ayuh, hargailah masa. Binalah kehidupan
yang lebih bermakna dan berjaya. Jika orang lain boleh, kita pun boleh. Kita
semua sama sahaja bah. Ohhhh haaa.
CETUSAN MINDA BESTARI
Cikgu Zulkarnain Farihin
Sibu, Sarawak