JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 September 2017

CATATAN CIKGU ZUL: MELUNASKAN HAJAT, MEMAHAT HASRAT, MENJEJAK UPSI DEMI SEGULUNG PHD


Perjalanan hidup saya tidak seindah perjalanan hidup orang lain. Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sudah sebati dengan asam garam hidup di bawah payung kemiskinan. Saya tidak pernah malu untuk mengaku adakalanya kami adik beradik mengalas perut dengan bubur ubi kayu berlaukkan tumbuh-tumbuhan hutan bertemankan cahaya pelita buatan sendiri sambil duduk dalam satu bulatan bersama ibu dan ayah. Siangnya pula tatkala mata masih seronok bercinta dengan mimpi, suara garau ayah telah membangkitkan kami untuk turun bersama-sama ke kebun atau ke huma. Dalam usia yang amat muda pada ketika itu, saya amat bertenaga meredah hutan untuk mencari bermacam-macam benda yang boleh dijadikan santapan atau dijual bagi mendapatkan wang belanja. Saya tidak pernah mengeluh apabila berjalan berjam-jam merentas denai sehingga pacat bergayutan menghisap darah di kaki bersama ayah mencari rotan yang berharga untuk dijual demi menyara keluarga. Sesekali saya bermimpi, untuk mengubah nasib keluarga kami apabila saya besar nanti? Walau bagaimanapun, dari usia 7 tahun hingga usia 17 tahun mimpi saya hanyalah untuk menjadi pembalak yang berjaya kerana di rumah panjang saya itulah pekerjaan yang paling dibanggakan. Orang yang bekerja di syarikat balak kebanyakannya berduit. Mereka hidup mewah dan amat bergaya. Saya cuma memasang angan-angan untuk menjadi seperti mereka.

Pada ketika itu, saya tahu pelajaran itu penting. Oleh sebab itu, saya selalu mengulang kaji pelajaran dengan menggunakan teknik menghafal. Saya masih ingat apabila menjelang peperiksaan saya banyak menghabiskan masa menyediakan nota-nota penting untuk dihafal. Apabila keputusan peperiksaan diumumkan saya selalu mendapat markah yang tinggi bagi subjek Sejarah, Kesusasteraan Melayu, dan Geografi. Walaupun saya bukan pelajar yang cemerlang tetapi saya berasa amat bersyukur kerana selalu berada dalam kelompok pelajar yang terpilih. Saya sentiasa ditempatkan dalam kelas yang terbaik dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Saya menjalani hidup dengan berdikari. Apabila berada jauh dengan ibu bapa kerana bersekolah di asrama saya memang kurang mendapat dorongan, sokongan, dan nasihat daripada orang tua saya. Saya tahu ibu bapa saya tidak berkemampuan maka saya amat jarang balik ke kampung jika cuti sekolah hanya seminggu atau dua minggu sahaja. Pendek kata, saya membesar di asrama. Apa sahaja menu yang disajikan saya tidak pernah mengeluh kerana jika saya berada di kampung pun belum tentu saya dapat merasa makan berlaukkan ikan, ayam, dan daging pada setiap hari. Sesekali saya teringat juga kepada ibu, ayah, dan adik beradik saya yang tinggal jauh di pedalaman. Walau bagaimanapun, saya tidak mampu melakukan apa-apa pada ketika itu kerana saya belum menamatkan alam persekolahan dan belum bekerja. Hanya doa yang dapat saya kirimkan di angin lalu.

MULA MELIHAT MASA DEPAN

Saya mula melihat masa depan sebaik sahaja keputusan SPM diumumkan. Saya masih ingat, saya turun dari kampung pada pukul 4:00 pagi menumpang perahu tambang ke pekan Song untuk mengambil slip keputusan SPM. Sepanjang malam saya tidak tidur memikirkan apakah yang akan saya peroleh. Jika keputusan SPM tidak elok, saya nekad untuk bekerja sebagai buruh kontrak atau bekerja di kem balak untuk menyara keluarga. Alhamdulillah, sebaik sahaja datang ke sekolah, saya dikhabarkan keputusan saya amat baik. Berkat doa dan ketekunan saya mengulang kaji pelajaran, saya mendapat pangkat 1. Ibu dan ayah mengadakan majlis bagi meraikan kejayaan saya itu. Berbekalkan keputusan itu, saya melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam. Semasa di Tingkatan Enam, barulah saya mempunyai cita-cita. Saya memang memasang angan untuk menjadi guru atau peguam. Walau bagaimanapun, saya sedar ibu bapa saya tidak berkemampuan untuk membiayai pengajian saya jika saya terus masuk ke universiti selepas tamat tingkatan enam. Saya mempunyai 6 orang adik beradik yang masih kecil. Saya tidak mahu mereka diberhentikan sekolah kerana terpaksa menanggung kos pengajian saya. Saya tidak mahu hal itu berlaku. Saya mahu mereka bersekolah sehingga Tingkatan Lima sekurang-kurangnya.

Keputusan STPM saya juga baik. Sebenarnya, saya mendapat tawaran dari Universiti Malaya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang tetapi saya padamkan hasrat itu disebabkan masalah kewangan keluarga. Saya tidak mahu ayah dan ibu terpaksa berhutang untuk membiayai pengajian saya di universiti. Saya menjadi guru sandaran untuk tempoh lebih kurang 5 bulan. Selepas itu, saya menghadiri ujian kelayakan masuk ke Maktab Perguruan. Saya lulus dan dipanggil temuduga. Saya masih ingat, apabila melihat keputusan STPM saya, pensyarah yang menemuduga saya bertanya, “Mengapakah awak tidak memohon untuk masuk ke universiti?”. Saya jawab pertanyaan itu dengan panjang lebar. Tanpa segan silu saya ceritakan masalah keluarga saya yang tidak mampu sehingga penemuduga itu menasihati saya, sekiranya awak berjaya dalam temuduga ini, awak mesti sambung pelajaran. Teruskan cita-cita awak untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang demi ibu dan ayah awak. Balik dari temuduga saya teruskan khidmat sebagai guru sandaran di SMK Kapit sehingga saya mendapat surat tawaran melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Batu Lintang dalam Pengkhususan Pengajian Melayu. Berbekalkan gaji yang diterima sebagai guru sandaran saya melaporkan diri di maktab itu untuk menjalani latihan mengajar selama 3 tahun. Saya tidak perlu menyusahkan ibu bapa saya kerana sepanjang pengajian saya dibayar elaun oleh pihak kerajaan sebanyak RM340.00. Itu sudah mencukupi untuk saya.

TERUS MENYAMBUNG PELAJARAN

Selepas menamatkan pengajian di maktab perguruan, saya ditempatkan untuk berkhidmat di SMK Sacred Heart Sibu. Segalanya bermula dengan amat indah. Saya bangga kerana saya mempunyai pekerjaan dan gaji sendiri. Wang gaji saya, saya bahagikan kepada lima bahagian, iaitu untuk keluarga, untuk adik beradik, untuk sewa rumah, untuk simpanan, dan untuk kecemasan. Namun begitu, pada tahun 1998, ibu yang saya sayangi telah pergi menghadap Ilahi. Hati saya amat hancur. Saban hari saya teringatkan ibu. Saya kesal kerana semua angan-angan saya untuk membahagiakannya dengan wang gaji saya tidak kesampaian. Akan tetapi, saya disedarkan oleh satu suara, hidup ini perlu diteruskan. Saya terus mendaftarkan diri mengikuti Pengajian Pendidikan Jarak Jauh di Universiti Sains Malaysia untuk mendapatkan segulung ijazah. Segalanya tidaklah terlalu mudah tetapi berkat doa dan restu daripada keluarga dan rakan-rakan, saya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian). Nikmat mengenggam segulung ijazah akhirnya dapat juga saya rasai. Nikmat itu menjadi lebih bermakna kerana saya membiayai pengajian menggunakan wang gaji saya sendiri. Dalam pada itu, saya teruskan pengajian ke peringkat sarjana. Dalam kesempitan hidup tatkala gaji masih rendah dan tidak mencukupi, saya mampu membiayai pengajian saya di peringkat sarjana. Akhirnya, saya berjaya mengenggam segulung sarjana yang menjadi idaman saya sejak sekian lama dalam bidang Sarjana Pendidikan Pengurusan Disiplin.

Saya terus menyimpan wang untuk meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah. Kerjaya saya dalam bidang perguruan mulai menampakkan sinar yang cerah apabila permohonan saya menjadi Guru Cemerlang Bahasa Melayu berjaya. Selepas mendapat Guru Cemerlang DG44 saya seterusnya mendapat Guru Cemerlang Bahasa Melayu DG48. Niat untuk menyambung pelajaran yang selalu tertangguh akhirnya terlaksana pada tahun 2017. Tanggal 11 September 2017 saya mendaftarkan diri di Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai pelajar Doktor Falsafah dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu. Niat saya untuk mendapatkan PHD sebelum menjejak usia 50 tahun mungkin akan tercapai pada tahun 2020 jika tiada aral yang melintang. Bukan mudah untuk melanjutkan pelajaran dalam usia sebegini tetapi saya harus berusaha untuk menjadikan mimpi menjadi realiti. Saya perlu melanjutkan pelajaran kerana tidak mahu menghampakan harapan mendiang ibu dan mendiang ayah saya. Saya tahu mereka tidak wujud di alam nyata tetapi saya tahu mereka sentiasa bersama-sama saya dalam susah dan senang. Mereka sentiasa mendoakan kejayaan dan kesejahteraan saya dari kejauhan kerana kasih sayang mereka tidak pernah luntur terhadap diri saya. Kehilangan ayah pada 16 September 2015 seolah-olah melumpuhkan semangat dan keinginan saya untuk meneruskan hidup. Sakit yang ditanggungnya selama berbulan-bulan selalu merentap hati dan perasaan serta meluruhkan simpati yang tidak tertahan. Air mata tidak pernah jemu membasahi pipi apabila melihat ayah menahan derita terbaring mengerang kesakitan. Ya Tuhan, kenapa kami diuji sebegini. Semua yang disayangi diambil dari sisi kami tatkala kami amat memerlukan mereka hadir di sisi.

CEKAL MENERJAH AWAN

Setelah hilang semua kedukaan, kesedihan, dan kepiluan akibat ditinggalkan oleh mendiang ayah, saya terus mengintai peluang menyambung pengajan di peringkat PHD. Saya mula banyak membaca dan mengkaji serta bertanya. Alhamdulillah, saya selalu bermesyuarat dengan pensyarah-pensyarah universiti kerana banyak terlibat dengan pelbagai program akademik di peringkat kebangsaan. Niat untuk menyambung pelajaran semakin membara apabila mendengar kata-kata semangat daripada mereka. Saya lakukan semuanya untuk diri sendiri. Jika suatu masa orang melihat dan mengiktiraf pencapaian insan kerdil seperti diri ini, saya berasa bersyukur kerana saya tahu Allah tidak pernah tidur. Walau bagaimanapun, niat saya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kerana masih terlalu awal untuk mengukur kejayaan itu. Dalam pertengahan perjalanan, banyak dugaan dan cabaran yang kadang-kadang melemahkan semangat dan melunturkan keinginan. Namun begitu, jika saya tidak memulakan langkah ke aras destinasi itu, saya tidak mungkin akan mendapat peluang yang diberi untuk kedua kali. Jika saya terlepas peluang pada kali ini, saya akan terus hidup dalam mimpi yang terawang-awangan di awan kegagalan. Kesusahan saya pada masa lalu. Keperitan hidup saya masa lampau. Kemiskinan yang membalut masa dahulu. Semuanya terus-menerus menerjah ruang fikiran.

Bagi saya, yang susah akan menjadi mudah jika kita berusaha untuk mempermudah. Yang sukar akan menjadi senang jika kita berusaha untuk melepaskan diri daripada cengkamannya. Saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi jutawan, memiliki wang yang banyak dan harta yang tidak akan habis tujuh keturunan kerana saya tahu saya tidak akan mampu untuk sampai ke tahap sebegitu. Selagi masih diberikan kekuatan dan kesihatan, saya akan terus menuntut ilmu demi untuk kepuasan diri saya. Saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi ahli politik kerana saya tahu saya dilahirkan ke dunia ini untuk mengajar dan mendidik. Oleh itu, selagi masih berdaya, saya akan terus bermusafir dan berkelana di bumi Tuhan ini untuk mencari ilmu kerana saya tahu saya masih banyak kekurangan dan kepincangan yang perlu diperbetul. Apabila orang bertanya, apakah tujuan saya menyambung pelajaran jika hanya untuk menjadi guru? Jawapan saya mudah selagi kita bernama manusia, impian dan cita-cita serta minat kita tidak sama. Semua orang mempunyai mimpi yang berbeza walaupun tidur di atas tilam yang sama, mimpiku bukan mimpimu.

SAYA MASIH ANAK IBAN

Saya tidak boleh mengubah asal usul diri saya yang sebenarnya. Darah Iban yang mengalir dalam badan saya yang diwarisi daripada nenek moyang saya zaman berzaman tidak dapat ditukar. Biarpun pegangan agama saya berlainan dengan keluarga dan saudara mara yang tersayang tetapi untuk menyisihkan dan menjauhkan diri daripada mereka tidak akan saya lakukan. Rutin hidup saya memang sibuk dengan kerja sehingga kadang-kadang saya mengabaikan waktu untuk bersama keluarga tetapi hati saya tidak pernah sepi daripada mengingati dan menyayangi. Perkara yang paling saya takuti dalam hidup ialah apabila saya mulai lupa diri setelah terlalu jauh berlari tetapi saya yakin hati saya selalu mendidik dan mengingatkan saya tentang diri saya yang sebenarnya. Perjalanan hidup ini masih jauh. Banyak ranjau dan onak duri yang perlu dirempuhi. Sepandai dan sebijak manapun saya mengelak pasti ada juga onak yang akan mencucuk tapak kaki sehingga diri ini tersungkur mengaduh kesakitan. Itu adalah lumrah perjalanan hidup bagi setiap insan yang berkelana di bumi Tuhan. Ingatan terhadap kedua-dua mendiang ibu bapa saya yang sentiasa segar dan mekar di taman hati utuh menyintai dan setia menyayangi tidak mengizinkan saya untuk melupai asal usul kemenjadian diri ini. Saya tetap “Anak Iban” yang pernah bergelumang lumpur, berpanas dan berhujan, tidur berselimutkan angin dingin, makan berlaukkan garam. Ya, semua itu tidak mungkin akan dapat saya lupakan dan tinggalkan. Saya tidak mampu. Jika saya punya kekuatan dan kemampuan, saya ingin membuat kolaboratif antara masa lalu yang telah lama hilang dan masa kini yang sedang saya nikmati, tetapi apakan daya saya cuma insan biasa.

Catatan pendidik bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin

SMK Sibu Jaya, Sibu, Sarawak. 

Tiada ulasan: