JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 September 2017

CATATAN CIKGU ZUL: JADI SEPERTI JENTAYU PATAH SAYAP BERTONGKAT PARUH, JANGAN GAGAL DALAM HIDUP


Perjalanan hidup kita di bumi Tuhan ini penuh berliku. Ujian demi ujian terpaksa kita rempuhi. Yang cekal, tabah, dan kuat pasti akan berjaya. Yang lemah, mudah goyah dan patah semangat pasti akan kecundang. Itulah hakikat yang harus didepani oleh setiap insan ciptaan Ilahi. Sesungguhnya, tiada jalan mudah untuk kita mara ke hadapan. Sememangnya, tiada jalan senang untuk kita merangkul kejayaan. Akan tetapi, Tuhan Yang Maha Esa sentiasa melihat dan memerhati setiap langkah kaki kita di pentas duniawi yang bercitrawarna ini. Jika kita tanya hati kita, apakah yang hati kita mahukan dalam hidup ini? Hati yang suci akan menjawab, saya mahukan kesenangan dan kebahagiaan hasil daripada kejayaan dan kecemerlangan. Saya tidak mahu bahtera kehidupan yang awak nakhodakan karam di lautan kegagalan dan tengelam di lubuk kecundangan. Saya tidak mahu menangis dihempap hujan batu kegagalan dan menderita sakit ditusuk sembilu kekecewaan. Awak tidak perlu hidangkan ulam kesengsaraan bersama jus penderitaan kerana tekak saya sudah tidak berdaya menelan pahitnya hempedu kedaifan. Itu jawapan hati. Jawapan yang kita selalu sambut dengan penuh keinsafan untuk berubah dan membaiki diri. Walau bagaimanapun, kita masih juga gagal? Mengapakah kegagalan itu terus merantai dan mengelambui hidup kita?

Susahnya menjadi orang yang berjaya? Ungkapan ini selalu diungkapkan oleh orang yang gagal dan mudah berputus asa. Setelah gagal, mereka tidak pernah membuat refleksi diri sebaliknya terus menghentikan usaha dengan pelbagai alasan dan keluhan. Mereka akan menyalahkan pelbagai pihak yang menjadi penyebab kegagalan itu. Sikap sebeginilah yang akan menjadikan kita sukar untuk membuka ikatan kegagalan yang tersimpul mati di setiap inci sudut tubuh kita. Kita lebih suka mengagumi kejayaan orang lain tanpa kita sedari bahawa kita juga mempunyai peluang dan ruang untuk berjaya seperti mereka. Apakah perbezaan antara kita dengan mereka yang telah berjaya? Perbezaan itu bukannya terletak pada paras rupa atau ‘sado’nya badan tetapi perbezaan itu berlaku disebabkan orang yang gagal merupakan orang yang malas untuk berfikir. Mereka malas berfikir untuk memajukan diri sendiri disebabkan terlalu selesa mengharapkan bantuan daripada pelbagai pihak. Golongan ini bekerja menggunakan mulut yang tidak pernah berhenti mengeluh dan mencari kesalahan pihak lain sehingga terlupa melihat kekurangan diri yang telah menjadi daki dan kurap melata hidup di lantai kulit mereka. Bagi golongan ini, kejayaan itu terlalu tinggi untuk digapai kerana mereka ketandusan kreativiti dan inovasi untuk mendekatkan diri dengan bulan dan mentari.

TUNTUTLAH ILMU

Orang yang berjaya merupakan orang yang berilmu. Pujangga pernah mengungkapkan, ‘Ilmu Pelita Hidup’ yang mempunyai makna tersirat yang amat mendalam jika dihayati dan ditelusuri dengan akal fikiran kita yang bijaksana. Ilmu pelita hidup bermaksud ilmu yang kita tuntut itu merupakan bekalan untuk kita membaiki kehidupan, membina status dan kedudukan diri dalam masyarakat, serta menaikan imej diri, keluarga dan bangsa. Orang yang berilmu tidak perlu memiliki wajah secantik primadona atau model terkenal, mereka tidak diukur dari ketinggian dan berat badan kerana ilmu yang dihadam akan membawa penghormatan dan pengiktirafan tanpa perlu diundang. Lihatlah budaya dan penerimaan orang terhadap individu atau bangsa yang berilmu, nama mereka sentiasa disanjung dan diagung. Lihatlah pandangan dan sanjungan yang diterima oleh bangsa yang berilmu, mereka sentiasa dijadikan contoh dan teladan oleh bangsa-bangsa lain di dunia. Masyarakat Jepun sentiasa dikagumi dan dihormati kerana tingginya ilmu yang mereka miliki sehingga mampu menjadi gergasi ekonomi dunia. Mengapakah kita tidak mampu menjadi seperti mereka? Tepuk dada tanya selera. Jawapannya ada pada hati kita.

Kita selalu gagal dek kerana sikap kita yang ambil mudah soal menuntut ilmu. Sebagai guru, saya amat dekat dengan anak-anak muda yang datang ke sekolah pada setiap hari tetapi datangnya hanya sekadar datang. Mereka tidak tahu tujuan mereka ke sekolah. Mereka tidak tahu sebab ibu bapa menghantar mereka ke sekolah. Mereka tidak tahu sebab musabab guru bersungguh-sungguh mencurahkan ilmu sewaktu mereka berada di sekolah. Apabila pemahaman mereka tentang tujuan datang ke sekolah terlalu kabur, maka mereka menggunakan peluang itu untuk melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Mereka mengabaikan tumpuan terhadap pelajaran. Mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan bermain dan bersantai tanpa tujuan. Mereka tidak merebut peluang yang diberikan untuk membina keintelektualan dan keperibadian diri. Akhirnya, kehadiran mereka ke sekolah tidak ada maknanya. Jika pun mereka lulus dalam peperiksaan, lulus itu cuma sekadar cukup-cukup makan. Kebanyakannya gagal mencapai kecemerlangan. Mengapakah mereka gagal? Jawapannya amat mudah, iaitu kegagalan itu memang didoakan oleh diri mereka sendiri. Apabila kita tidak berusaha untuk menjadi orang yang berjaya maknanya kita merelakan diri kita menjadi orang yang gagal. Sesungguhnya, yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang. Sekiranya kita tahu ilmu itu penting maka tuntutlah ilmu dengan penuh ketekunan dan kesungguhan. Allah akan bantu kita jika kita sentiasa berusaha kerana Allah selalu melihat dan mencatat setiap tindakan umat ciptaan-Nya.

SIKAP DIRI KITA

Semua yang kita lakukan dalam hidup kita banyak bergantung kepada sikap diri kita sendiri. Kita tidak akan menjadi orang yang berjaya sekiranya mata kita hanya melihat perkara-perkara negatif di persekitaran kita. Kita tidak akan jadi orang yang berjaya jika sifat dengki dan iri hati sentiasa bertakhta di hati kita. Kita tidak akan jadi orang yang berjaya jika terlalu banyak menggunakan masa untuk menjatuhkan orang lain. Kita tidak akan menjadi orang yang berjaya jika kita terlalu berkira dengan ahli keluarga, rakan-rakan, dan sesiapa sahaja yang menyayangi diri kita. Hidup ini penuh dengan ujian. Salah satu ujian yang paling  dahsyat ialah ujian terhadap hati. Hati kita selalu diuji dengan rasa dengki, cemburu, iri, dan marah terhadap orang lain. Jika kita tidak pandai menangani ujian-ujian itu, hati kita akan dipenuhi oleh kudis-kudis yang bernanah dan berulat sehingga kita menjadi orang yang terlalu aktif dalam menyalahkan sesiapa juga yang lebih berkebolehan daripada diri kita. Kita akan menjadi manusia yang suka menelanjangi kesilapan dan kekurangan orang lain kerana kita takut diri kita terancam dan tersisih wahal orang yang kita benci itu semakin lama semakin tinggi darjat dan martabatnya. Kita yang membencinya pula semakin lama semakin lupa diri kerana apabila kita melihat cermin, yang kita lihat bukannya diri kita tetapi orang lain.

Sikap kita jika diarahkan kepada perkara-pekara yang positif maka semua yang akan kita terima akan mampu membahagiakan dan menceriakan hidup kita. Orang yang sentiasa bersikap positif akan dibukakan pintu hati  dan dimurahkan rezeki, daripada tiada mereka mampu membawa diri sehingga mampu berdri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain. Orang yang bersikap positif sentiasa menemui jalan penyelesaian kepada semua masalah kerana dia dikelilingi oleh insan-insan yang menyayangi dan mengasihinya yang sentiasa mendoakan kesejahteraannya. Hatinya tidak ada rasa benci terhadap kejayaan dan kelebihan orang lain sebaliknya dia akan mencabar dirinya sendiri untuk menjadi lebih baik dengan membina tekad dan usaha agar terus mara dan mara ke hadapan. Rasa kasih dan sayang terhadap dirinya sendiri tidak merelakan dirinya untuk menyakiti insan lain sebaliknya dia akan bersungguh-sungguh untuk membantu agar berjaya bersama-sama. Jika kita sentiasa bersikap positif, Allah sentiasa permudah perjalanan hidup kita. Yang kita impikan selalu digapai dan dicapai kerana Allah tahu kita telah mencuba sehabis daya. Kita lihat kelebihan orang lain sebagai dorongan untuk membaiki diri tanpa mempunyai niat untuk menghancurleburkan kerana kita tahu perbuatan itu tidak mendatangkan kemaslahatan.

SEJARAH MENGAJAR KITA

Semua orang mempunyai sejarah hidupnya. Sejarah hidup kita bermula sebaik sahaja kita dilahirkan ke dunia ini. Orang yang tidak tahu sejarah hidupnya bolehlah disamakan dengan orang yang hidup tanpa matlamat dan tujuan. Jika kita tahu makna sejarah maka kita akan berusaha mencipta pelbagai kejayaan untuk dijadikan hiasan terindah dalam sejarah hidup kita. Sejarah hidup akan mengajar kita untuk terus membaiki diri dari semasa ke semasa kerana orang yang tahu sejarah hidupnya tidak akan sesekali melakukan perkara-perkara yang boleh menggagalkan dirinya. Kita mesti tahu asal usul kita. Asal usul kita merupakan identiti diri kita yang tidak boleh diubah. Jika kita lupa pada asal usul kita bermakna kita menderhaka kepada diri kita sendiri. Orang yang lupa akan asal usulnya akan menjalani kehidupan yang penuh dengan hipokrit dan kepura-puraan. Orang miskin yang tidak mengakui dirinya miskin sanggup bergaya semata-mata untuk dilihat kaya dan berada. Jika jalan inilah yang kita pilih, kita sebenarnya telah membunuh diri kita sendiri walaupun pada zahirnya kita belum lagi mati. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan menyeksa jiwa raga kita dan menyusahkan orang yang menyayangi diri kita kerana sikap kita yang tidak berpijak di bumi nyata. Tidaklah salah jika kita hidup mewah dan bergaya jika kita berkemampuan, akan tetapi andai kita tidak mampu janganlah ada sifat ingin menunjuk kerana yang akan rugi bukannya orang yang memandang tetapi diri kita sendiri.

Kita diberikan hak untuk mengubah sejarah diri kita daripada tiada kepada ada. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh mereka-reka sejarah dengan hidup berbantalkan fantasi dan bertilamkan imiginasi. Jika kita hendak mengubah diri daripada orang miskin kepada orang kaya atau berkemampuan maka berusahalah ke arah itu. Buat perancangan yang teliti dan berdisiplinlah. Setiap hari yang berlalu kita isi dengan usaha-usaha untuk memajukan diri bukannya tidur dan bergoyang kaki sambil menonton TV. Jika kita masih di bangku sekolah, di kolej, atau di universiti, tindakan kita untuk mengubah sejarah hidup kita adalah dengan belajar bersungguh-sungguh. Kita harus gunakan peluang dan ruang yang ada untuk membentuk diri menjadi modal insan yang berdaya saing pada masa hadapan. Kita harus tahu, zaman telah berubah dan musim telah berbunga, peluang pekerjaan semakin terhad dan persaingan antara individu semakin hebat. Kita tidak boleh lagi mendabik dada masuk bilik temuduga hanya dengan membawa sijil kecemerlangan akademik sahaja, pengalaman dan kemahiran berkomunikasi semakin penting dan menjadi pilihan majikan.

DIRI KITA MILIK KITA

Siapakah yang kita harapkan untuk membantu kita berjaya? Jika kita asyik bersandar di atas bahu orang lain, kita akan terjatuh apabila dia melepaskan sandar itu kerana dia tidak akan mampu bertahan selamanya untuk kita. Jika kita asyik mengharapkan orang lain menyuapkan makanan untuk kita, lama kelamaan kita akan mati kelaparan sebab tidak tahu memasak dan menyediakan makanan sendiri. Tun Dr Mahathir selalu mengungkapkan, “Saya lebih suka memberikan mereka pancing, supaya mereka dapat mencari ikan untuk dimakan. Saya memang tidak akan bagi ikan kerana ikan itu akan habis”. Walau sesusah manapun perjalanan hidup ini kita akan belajar daripada pengalaman susah itu untuk mengecapi nikmat kejayaan pada masa depan. Biarlah kita terjatuh, terluka, dan tersungkur tetapi kesakitan itulah yang akan mendewasakan dan mematangkan kita untuk terus mara ke hadapan. Jangan terlalu mengharapkan belas kasihan orang lain dalam hidup ini walaupun dengan adik beradik sendiri kerana pertolongan mereka tidak akan kekal untuk kita. Apabila sampai masanya mereka perlukan ruang untuk membina hidup sendiri. Diri kita adalah milik kita sendiri. Apabila kita sedar akan hakikat ini kita tidak akan sesekali membiarkan diri kita gagal dalam melayari bahtera hidup. Jangan asyik menangis jika ditimpa masalah. Jangan asyik menangis jika didatangi susah. Jangan asyik menangis jika malang menjengah. Bersyukurlah, semua itu merupakan ujian-Nya agar kita lebih tabah, sabar, dan cekal pada masa muka.

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
-->
SMK Sibu Jaya

Tiada ulasan: