JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 November 2015

ISU BAHASA : PEMARTABATAN BAHASA MELAYU PERKUKUH PEMBINAAN NEGARA BANGSA


SAHBULAH DARWI
Pengurus Unit Media dan Penerbitan Universiti Multimedia (MMU)
Utusan Malaysia Online, 17 November 2015

Apakah perbezaan antara bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa negara? Jika soalan ini ditanya secara rambang, mungkin ada dalam kalangan masyarakat kita yang akan menggelengkan kepala kerana tidak pasti apakah perbezaannya atau mungkin memberi jawapan yang keliru atau tersasar. Malah mungkin ada yang menganggap kesemua istilah itu sama sahaja walhal ia memberi perbezaan maksud yang cukup signifikan dalam pembinaan sebuah negara bangsa.

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai peranan penting untuk memastikan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya di Malaysia selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara. GAMBAR HIASAN Hakikatnya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi negara ini amat jelas, justeru apabila dua status itu dimiliki maka bahasa Melayu berada dalam kedudukan cukup tinggi iaitu sebagai bahasa negara. Dalam konteks ini, jika ditinjau ke sebuah negara jiran, misalnya memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi bahasa rasmi bagi republik itu adalah bahasa Inggeris. Jelas termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan lagi menerusi Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

“Istilah bahasa kebangsaan ertinya ialah penggunaan bahasa Melayu itu tidak wajib, ia sekadar lambang sahaja. Jika berstatus wajib maka negara jiran kita itu tidak sanggup pilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. “Sedangkan istilah bahasa rasmi bererti bahasa Melayu wajib digunakan dalam sistem kenegaraan dan sebagai bahasa utama termasuk wajib digunakan dalam sistem pendidikan, perundangan, komunikasi rasmi, naskhah yang sah adalah wajib dalam bahasa Melayu dan sebagainya,” kata Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong semasa menyampaikan ceramah pada Siri Wacana Pemartabatan Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM) Berhad di Menara TM baru-baru ini. Wacana yang dirasmikan oleh Naib Presiden Jenama dan Komunikasi Kumpulan TM, Izlyn Ramli itu dihadiri oleh kakitangan-kakitangan TM dari seluruh negara. Ia bertujuan meningkatkan kefahaman tentang martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini selaras dengan nilai-nilai kristal yang dite-rapkan oleh syarikat milik kerajaan (GLC) itu.

Kok Seong yang juga Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) menjelaskan lagi bahawa kuasa sebenar dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu itu adalah terletak pada istilah bahasa rasmi dan bukannya sekadar bahasa kebangsaan. Memang selayaknya bahasa Melayu dimartabatkan pada kedudukan seperti itu kerana ia adalah bahasa yang terbina sejak zaman berzaman dan berkemampuan mengungkap keseluruhan komunikasi manusia sebagai bahasa ilmu sehingga ke tahap bahasa saintifik moden. Kata beliau, ini kerana bahasa Melayu bukan seperti bahasa sukuan yang tiada terbina seperti di sesetengah bahasa di benua Afrika. Namun begitu, hakikatnya, bahasa Melayu yang korpusnya lengkap, kukuh dan utuh itu tidak terlepas daripada pelbagai cabaran dari semasa ke semasa berikutan peredaran zaman hingga kadang kala kelihatan citranya hilang.

Sebab itu, ketika bersemangat menyampaikan ceramah, wajah Kok Seong tiba-tiba berubah sayu dan muram lalu berkata: “Tapi sayangnya, amat malang bagi bahasa Melayu kadang kala ia seperti melukut di tepi gantang di negara watannya sendiri apabila ia seolah-olah tiada tempat!.” Justeru, dalam soal memartabatkan secara berterusan bahasa Melayu, tidak boleh tidak, beliau menegaskan, terdapat empat aspek perlu diberi penekanan iaitu; Kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan warga Malaysia; Penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul; Memastikan ketulenan bahasa Melayu dalam penggunaan harian rakyat negara ini; Dan orang Melayu perlu menjadi contoh kepada penggunaan bahasa Melayu itu. “Dalam melihat kecekapan berbahasa Melayu oleh warga Malaysia, kita perlu melihat kepada penguasaan berbahasa Melayu dalam kalangan bukan Melayu, kerana orang Melayu tiada masalah dalam berbahasa Melayu.

“Tahniah dan syabas kepada bukan Melayu yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu tetapi persoalan besar timbul kerana masih ada bukan Melayu sebagai warganegara, yang sepatah haram tidak tahu menggunakan bahasa Melayu walaupun setelah 58 tahun negara mencapai kemerdekaan,” tegasnya yang menyifatkan dirinya sebagai memegang amanah ilmu dalam memperjuangkan bahasa Melayu walaupun bukan berketurunan Melayu. Dalam aspek penggunaan bahasa yang baik dan betul, ia penting agar citra bahasa negara itu terpelihara. Masih berlaku banyak kesilapan penggunaan perkataan oleh rak-yat negara ini termasuk segelintir para pemimpin. Contohnya, penggunaan perkataan ‘hemah atau hemat’ yang berbeza makna dan sering disalahgunakan. Perkataan ‘taksub’ sepatutnya dieja ‘taasub’, perkataan ‘war-war’ sepatutnya dieja ‘uar-uar’ dan sebagainya. Begitu juga, dalam memastikan ketulenan bahasa Melayu, masyarakat haruslah bersungguh-sungguh menggunakan perkataan asal bahasa Melayu sebagai keutamaan dan janganlah sewenang-wenangnya menggunakan perkataan yang dipinjam daripada bahasa asing.


Beliau berkata, sebagai contoh, perkataan ‘seleksi’ sepatutnya lebih baik digunakan ‘pilihan’, ‘intelektual’ sepatutnya ‘cendekiawan’ dan sebagainya. Dalam aspek keempat pula, Kok Seong memberitahu, orang Melayu mesti meyakinkan dan memandaikan anak bangsa dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang tinggi malahan bahasa kelima terbesar dituturkan di dunia. Ia berbalik kepada sikap dan iltizam orang Melayu itu, kerana tidak boleh mereka mempertikaikan kebolehan bahasanya sendiri. Kesimpulannya, usaha berterusan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja penting malahan amat kritikal dalam menyuburkan jati diri warganegara yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Sebagai contoh, penulis berpandangan, jika perkara ini difahami maka tidak timbul lagi soal segelintir pihak mempertikaikan langkah kerajaan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk kemasukkan ke universiti awam memandangkan bahasa Melayu dalam sijil itu tidak setara dengan kehendak kerajaan. Ini mustahak kerana meletakkan bahasa Melayu di tempat tinggi selayaknya adalah usaha ke arah untuk mencapai peranan bahasa itu yang bukan sahaja sebagai alat berkomunikasi tetapi ia adalah alat pemangkin kemajuan, perpaduan kaum, identiti nasional dan pembentukan negara.

ISU KEGANASAN PERSEPSI


NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Utusan Malaysia, 18 November 2015

Ini adalah zaman persepsi. Masyarakat melihat semua perkara dalam persepsi masing-masing lantas membuat rumusan dan keputusan yang lebih banyak dipengaruhi oleh elemen emosi berbanding fikiran yang waras dan adil. Akibatnya keadaan menjadi kelam kabut dan mencetuskan pelbagai situasi panik. Hakikatnya, sama ada persepsi baik mahupun negatif ia perlu melalui satu proses pertimbangan dan penilaian yang sewajarnya agar kita tidak membuat keputusan yang terburu-buru mahupun salah. Apa yang dimaksudkan keganasan persepsi? Keganasan persepsi sering dirujuk kepada tindak tanduk pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menaburkan pelbagai fitnah terutamanya dalam media baharu seperti media sosial yang lebih banyak menjurus kepada unsur negatif terhadap sesuatu isu, sesebuah organisasi mahupun individu seperti pemimpin negara.

Ringkasnya, ia membabitkan usaha untuk memburukkan, mencemarkan atau menjatuhkan seseorang individu, kumpulan ataupun sesebuah organisasi untuk tujuan tertentu dengan mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat. Oleh sebab media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan blog mula menjadi medium utama masyarakat dewasa ini maka pihak yang melakukan keganasan persepsi ini menggunakan media baharu ini untuk melakukan aktiviti tidak bermoral seperti ini dan percayalah mereka berjaya melakukannya kerana pengaruh media sosial yang cukup kuat. Pelbagai berita, maklumat, gambar, data dan fakta yang berbentuk andaian mahupun fitnah yang jelas belum tentu kesahihannya disebarkan dalam media sosial untuk mempengaruhi dan meracuni pemikiran dan minda masyarakat kita secara keseluruhannya.

Keadaan menjadi semakin parah dan kritikal apabila pengguna media sosial dengan pantas menyebarkan ataupun viralkan maklumat yang mereka terima itu tanpa usul periksa. Ini menyebabkan fitnah yang dicetuskan itu tersebar luas dan menjadi viral dalam kalangan pengguna media sosial. Oleh kerana ia tersebar luas akhirnya pengguna media sosial merumuskan fitnah ataupun maklumat palsu tersebut adalah benar dan sahih. Keganasan persepsi seperti ini jelas boleh merosakkan dan menghancurkan negara dan masyarakat kita. Ia membuka peluang untuk kita memandang serong kepada semua perkara tanpa menilai dengan sewajarnya.

Pertimbangan akal yang longgar dari pengguna media sosial terutamanya golongan muda cukup merisaukan dan memudaratkan. Buktinya pada hari ini kita boleh melihat dalam media sosial yang popular seperti Facebook betapa pengguna media sosial berdebat, menzahirkan pandangan dan pendapat masing-masing mengenai sesuatu isu yang dibangkitkan berdasarkan persepsi masing-masing. Rata-rata menjatuhkan hukuman sebelum sesuatu isu mahupun individu itu dibuktikan benar mahupun bersalah. Akibatnya perasaan benci dan marah yang dicetuskan oleh emosi yang terganggu mula mengambil tempat. Kalau kita mengkaji secara mendalam seolah-olah dewasa ini wujud satu sindiket yang menangguk di air yang keruh apabila dengan mudah mengambil kesempatan untuk meraih populariti serta sentiasa berusaha untuk menanamkan persepsi yang buruk terhadap sesuatu perkara dalam kalangan masyarakat.

Ini dapat dilihat apabila satu demi satu isu dibangkitkan seolah-olah membabitkan suatu perancangan yang cukup teliti bagi memburukkan seseorang individu mahupun organisasi.
Hakikatnya kita tidak boleh lari dari kenyataan betapa kebanyakan daripada keganasan persepsi yang berlaku adalah bermotifkan kepentingan politik. Ini jelas dapat dilihat apabila adanya usaha-usaha untuk membunuh karakter mahupun memburukkan imej individu tertentu. Malah mutakhir ini kita dapat lihat betapa organisasi tertentu juga terus menjadi mangsa keganasan persepsi ini. Jelas keganasan persepsi mula mencetuskan keadaan panik dan huru hara dalam kalangan masyarakat. Masyarakat pada hari ini serba salah sama ada mahu percaya ataupun tidak apa yang disebarkan dan diperdebatkan secara meluas dalam media sosial. Kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap seseorang individu mahupun organisasi juga dilihat semakin terhakis yang sekali gus membuktikan keganasan persepsi berjaya memainkan peranan yang efektif dalam mempengaruhi minda, emosi dan pemikiran masyarakat.

Maka berdasarkan kerosakan yang dicetuskan oleh keganasan persepsi ini adakah wajar perkara seumpama ini dibiarkan terus berleluasa? Apakah ini kos yang perlu dibayar untuk menikmati kebebasan bersuara? Atau adakah ini ciri-ciri masyarakat negara maju yang kita idamkan selama ini? Walau apapun jawapannya keganasan persepsi mesti ditangani secara berhemah supaya tidak terus menjadi duri dalam daging mahupun menjadi racun dan virus yang sukar diubati kelak. Kita mungkin sukar untuk menghukum pengganas moden dan bijak ini kerana mereka mudah berselindung dan pandai menyembunyikan diri di sebalik kecanggihan teknologi maklumat yang ada. Namun satu perkara yang boleh kita lakukan ialah mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang sindrom keganasan persepsi ini. Masyarakat perlu disedarkan betapa bahayanya keganasan persepsi sehingga boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat, mencetuskan huru hara, mengganggu gugat kestabilan, keamanan dan keselamatan negara.


Untuk itu, masyarakat perlu dididik untuk menilai sesuatu maklumat itu secara bijak, profesional, waras dan adil sebelum membuat keputusan mahupun menjatuhkan hukuman. Masyarakat juga perlu dididik bagaimana untuk mengurus dan mengawal persepsi dan emosi masing-masing. Benar kita sedang menuju untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi namun itu bukanlah alasan untuk kita menaburkan pelbagai fitnah dan persepsi yang boleh menghancurkan negara secara keseluruhannya. Kebebasan bersuara juga ada had dan batas-batasnya. Negara ini ada undang-undang dan kita perlu akur dan mematuhi undang-undang tersebut supaya keamanan, kestabilan dan keselamatan yang sedia ada dapat terus diperkukuhkan dan dipertahankan. Walaupun keganasan persepsi dilihat satu terminologi baharu dalam kamus hidup masyarakat kita namun percayalah ia sudah lama bertapak dan cuma mutakhir ini dilihat semakin mengganas untuk tujuan dan kepentingan pihak-pihak tertentu yang jelas ada agenda tersembunyi. Maka penulis sangat berharap agar pihak berwajib dapat memikirkan kaedah yang bersesuaian untuk menangani isu keganasan persepsi secara berhemah sebelum keadaan menjadi semakin parah dan sukar dikawal.

18 Julai 2015

MALAYSIA NEGARA KE-8 PALING EFISIEN DI DUNIA


SELAMAT HARI RAYA

Malaysia antara negara yang mempunyai kerajaan paling efisien mengatasi kerajaan negara maju seperti Switzerland dan Luxemborg. Laporan Kompetitif Global 2014-2015 yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam laman webnya menyenaraikan kerajaan Malaysia di kedudukan kelapan daripada 144 kerajaan lain. Laporan 2014-2015 meletakkan kerajaan Qatar sebagai paling efisien, diikuti Singapura (ke-2) dan Finland (ke-3), lapor Bernama. Birokrasi dan peraturan yang melampau, kurangnya ketelusan dan rangka kerja perundangan yang tidak mencukupi menyebabkan pertambahan kos ke atas perniagaan dan menjejaskan kemajuan.  Turutan itu diikuti Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu, New Zealand, Rwanda diikuti Malaysia, Switzerland dan Luxemborg.


WEF membuat penilaian landskap kecekapan dan daya saing 144 kerajaan berdasarkan beberapa aspek antaranya, pembaziran perbelanjaan kerajaan, beban peraturan dan ketelusan penggubalan dasar yang menghasilkan kedudukan global secara keseluruhan. Venezuela dinilai sebagai kerajaan yang paling tidak efisien diikuti Itali, Argentina, Lubnan, Libya dan Croatia.

TIGA UNIVERSITI MALAYSIA MENCAPAI KEDUDUKAN 1,000 TERATAS DUNIA


SELAMAT HARI RAYA

Tiga institusi pengajian tinggi di Malaysia ditempatkan antara 1,000 universiti teratas dunia dalam Centre of World University Rankings (CWUR), dengan Universiti Sains Malaysia (USM) terunggul di kalangan mereka. USM ditempatkan di tangga 482 manakala universiti tertua Malaysia Universiti Malaya (UM) mengambil kedudukan ke-498, diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) di tempat 610. 

Bagaimanapun, kedudukan USM dan UM jatuh berbanding kedudukan mereka pada tahun lepas. USM berada di kedudukan 315 pada 2014 dan UM di 492 manakala UPM bertambah baik kedudukannya, naik daripada kedudukan ke778 tahun lepas. Menurut Presidennya, Nadim Mahassen, CWUR menerbitkan satu-satunya kedudukan universiti global yang mengukur kualiti pendidikan dan latihan pelajar serta memartabatkan ahli-ahli fakulti dan kualiti penyelidikan mereka tanpa bergantung kepada tinjauan dan penyerahan data universiti. 

Antara lapan petunjuknya adalah kualiti pendidikan, dinilai dengan jumlah alumni universiti itu yang memenangi anugerah antarabangsa; pekerjaan, dinilai dengan jumlah bekas pelajarnya yang memegang jawatan ketua pegawai eksekutif; kualiti fakulti, bilangan ahli akademik yang memenangi hadiah;  penerbitan,  penanda rujukan dan paten. CWUR merupakan sebuah organisasi perunding berpangkalan di Arab Saudi dan menerbitkan kedudukan tahunan universiti dunia sejak 2012.

26 April 2015

PhD PALSU CUMA BERHARGA RM10,500 SAHAJA.

Akhbar Satar
Presiden Transparensi International Malaysia
Berita Harian Online, 23 April 2015

Beberapa hari lalu, Majlis Profesor Negara (MPN) melancarkan buku Garis Panduan Penggunaan Gelaran Profesor bagi mengangkat kredibiliti profesion dan imej ahli akademik di Malaysia bertujuan menjelaskan penyalahgunaan gelaran profesor pada pangkal nama atau kad nama. Bahkan sudah ramai menyalahgunakan ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD) sama ada dibeli menerusi online, diplagiat atau mengupah orang menyediakan tesis bagi tujuan penipuan dan komersial. Banyak kes seperti ini sama ada di Malaysia ataupun luar negara termasuk negara maju yang menjadi hab pengajian tinggi.


Beberapa tahun lalu, bekas Pengarah Kanan dan Ketua Pegawai Maklumat, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS), Laura Callahan meletak jawatan selepas didapati membeli Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD secara dalam talian. Kes ini menggegarkan keselamatan Rumah Putih kerana dilihat seolah-olah tidak menyemak latar belakang sebelum mengambil beliau bertugas. AS mengeluarkan 50,000 ijazah PhD seluruh dunia, bernilai RM3.6 bilion (AS$1 bilion) setahun. Di Pakistan pula ada banyak universiti melantik profesor kelulusan PhD palsu dan ia menjejaskan kredibiliti universitinya. Pembabitan 'profesor segera' ini merosakkan imej dan mutu pengajian terutama bidang perubatan. Di Russia, ijazah palsu dapat dibeli dengan harga RM3,000.

Ada juga sindiket mengeluarkan ijazah palsu atas nama Universiti Harvard - pusat pengajian tinggi terbaik di dunia, dengan harga RM120,000. Sedia khidmat ijazah palsu Malah, sebuah laman sesawang menyediakan perkhidmatan mengeluarkan ijazah palsu, termasuk PhD dari pusat pengajian tinggi dengan bayaran RM240. Tawaran ini jadi lebih menarik apabila mereka bebas memilih apa sahaja bidang dikehendaki atau mana-mana universiti untuk diisi dalam ijazah palsu itu. Ijazah palsu membabitkan universiti Malaysia mula dikesan susulan kes penipuan untuk mendapat kelulusan Universiti Sains Malaysia (USM) beberapa tahun lalu.

Selain kes sijil palsu USM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara. Pembelinya terdiri daripada kalangan ahli politik dan individu bergelar Tan Sri. Syarikat mengenakan harga RM6,500 bagi ijazah Sarjana Muda, RM8,500 (Sarjana) dan RM10,500 (PhD) dalam pelbagai jurusan kononnya diiktiraf lima universiti luar negara, antaranya Universiti Rockhampton, Universiti Harvey International, Universiti Cannington Brook dan Universiti Charles Molnar. Ramai orang 'sakit jiwa', pemalas dan suka menipu mencari jalan pintas, cepat, tidak perlu belajar untuk mendapatkan ijazah secara mudah, dalam tujuh hari sedangkan pelajar universiti menghabiskan tiga hingga enam tahun untuk mendapatkan diploma dan ijazah. Bukan mudah untuk mendapat PhD kerana memakan masa lama. Perlu berkorban wang ringgit, keluarga dan masa.

Perbuatan segelintir mereka ini adalah tidak adil kepada pemilik ijazah sebenar. Mereka yang terbabit dalam kes pemalsuan ijazah, biasanya bijak bercakap tetapi isinya kosong dan hanya boleh dikesan sesetengah pakar apabila dibandingkan dengan kelulusan diperoleh. Selalunya orang yang gagal dalam pelajaran dahagakan pengiktirafan, lebih-lebih lagi orang yang baru dikenali. Mereka mahu dipandang tinggi, berilmu, berkebolehan dan boleh dijadikan pakar rujuk. Perdaya orang Mereka bangga memperkenalkan diri sebagai 'Dr' dan profesor memperdayakan orang sedangkan hanya tamat Tingkatan Tiga ataupun Tingkatan Lima. Kadangkala dengan gelaran 'Dr' dan profesor yang dijaja sebagai pakar motivasi, MLM, penjual produk kosmetik dan ahli perniagaan, mereka dapat lebih peluang dan keutamaan menjawat jawatan penting seperti pengarah dan perunding dalam organisasi serta senang mendapat kontrak projek. Ditambah pula dengan sikap orang ramai mudah percaya dengan kepetahan bercakap tanpa meneliti latar belakang pengajiannya, selain kelemahan majikan di Malaysia yang hanya melihat rekod jenayah pemohon pekerjaan tanpa menitikberatkan status pendidikan menyebabkan kegiatan membeli ijazah sarjana dan PhD palsu semakin berleluasa.


Satu pusat menyimpan data graduan mesti ditubuhkan untuk mengelak kes pemalsuan ijazah dan semua sijil dicetak Percetakan Nasional yang mempunyai tahap sekuriti tinggi. Seseorang bergelar Tan Sri, Datuk, ahli perniagaan dan pakar motivasi tidak berintegriti dan patut merasa jijik memiliki ijazah palsu serta sanggup menggunakan gelaran doktor atau profesor. Mereka patut malu kepada masyarakat bahkan kepada ahli keluarga yang mengetahui taraf pendidikan dimiliki. Adalah wajar sesiapa yang menggunakan sijil palsu dihukum mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya. Penipuan sijil palsu perlu dibendung agar tidak merebak dan kelak disalah guna warga asing ketika Malaysia mengambil pelbagai usaha menjadikan negara sebagai hab pengajian tinggi. 

07 April 2015

MELONJAK PRESTASI TAHAP GLOBAL : SEMPENA PELANCARAN PPPM (PT) 2015-2025 OLEH PERDANA MENTERI

NORIZAN ABDUL MUHID

Utusan Malaysia Online, 7 April 2015


Tanggal 7 April 2015 mencatat satu lagi sejarah dalam transformasi pendidikan negara apabila pelan induk pembangunan pendidikan peringkat pengajian tinggi dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pendidikan Tinggi (PT) 2015-2025 itu membawa hasrat untuk meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan tinggi sekali gus memperkukuh kewujudan Malaysia di pentas du­nia. Pelan induk ini juga dijangka mampu menarik minat pelajar, penyelidik serta organisasi berkaitan untuk menyertai sektor pendidikan tinggi yang di tawarkan di dalam negara kita. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Ismail Abdul Aziz berkata, kecemerlangan dalam bidang pendidikan tinggi penting demi memperkukuh kewujudan Malaysia sebagai hab pendidikan dunia seterusnya menjadi destinasi tumpuan pelajar dan golongan akademik untuk melanjutkan pengajian mahupun menjalankan penyelidikan mereka.

Pada masa ini, Malaysia menduduki tangga kesembilan sebagai destinasi dunia yang menjadi tumpuan pelajar antarabangsa menimba ilmu di menara gading. “Di bawah lonjakan kelapan PPPM (PT) iaitu Kesohoran Global, kita akan kembangkan perkara ini antaranya termasuklah meningkatkan hasil penyelidikan di lima buah universiti penyelidikan di samping memperkenalkan program pengajian baharu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. PPPM (PT) menyenaraikan 10 lonjakan untuk menyaksikan transformasi pendidikan dalam tempoh 10 tahun. Sembilan lonjakan lain ialah Graduan Holistik, Keusahawanan dan Seimbang; Kecemerlangan Bakat; Masyarakat Yang Belajar Sepanjang Hayat; Graduan TVET (Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional) Berkualiti; Kelestarian Kewangan; Tadbir Urus Perkasa; Ekosistem Inovasi; Pembelajaran Dalam Talian Secara Global, dan; Penyampaian Pendidikan Tinggi yang Ditransformasi.

Kesohoran Global yang merupakan lonjakan kelapan bertujuan melonjakkan institusi pengajian tinggi (IPT) negara ke tahap tertinggi, dihormati masyarakat antarabangsa dan diiktiraf terbaik di peringkat antarabangsa. Menurut Mohd. Ismail, terdapat lebih 30 pelan strategik yang di­rangka bagi pelaksanaan PPPM (PT) ini namun tiga dianggap penting dan perlukan tindakan segera di bawah Agenda Kesohoran Global. “Tiga pelan strategik itu adalah menarik minat lebih banyak pelajar asing menimba ilmu dengan mengikuti pengajian di Malaysia, penjenamaan sistem pengajian tinggi negara dan meningkatkan pa­saran baharu antarabangsa,” katanya. Bagi memenuhi hasrat itu, ujarnya, usaha yang berterusan perlu digerakkan bagi mengubah pembangunan pendidikan tinggi melalui peningkatan kemahiran, kerjasama dengan universiti luar negara dan mempelbagaikan hasil penyelidikan universiti. “Pada masa sama, universiti melalui komuniti alumni perlu menjalin hubungan kerjasama akademik atau penyelidikan antarabangsa, mewujudkan rakan kongsi industri atau perkongsian kemahiran sama ada pelajar ataupun tenaga kerja dengan universiti luar,” katanya.

Bagi tujuan itu, katanya, di UTM sendiri, pelbagai usaha kerjasama strategik sudah lama digerakkan dengan universiti luar negara dalam bidang pendidikan dan penyelidikan dengan universiti tersohor dunia antaranya University of Cambridge, United Kingdom; University de Nantes, Perancis; Harvard University, Ohio State University, Amerika Syarikat; University of Bologna, Itali dan Meiji University, Jepun. Beliau yang terlibat merangka PPPM (PT) iaitu bertindak sebagai Pengerusi Kritikal Agenda Projek (Pengantarabangsa) Sektor Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan memberitahu, usaha menarik minat pelajar antarabangsa ke negara ini boleh dilakukan melalui pengalaman yang positif pelajar terdahulu. “Strategi kita adalah untuk mencipta pengalaman belajar yang menyeronokkan dalam kalangan pelajar asing yang datang ke negara ini kerana kita mahu kesinambungan pengajian dan jangka panjang dengan memastikan pelajar akan datang semula menyambung pengajian di negara ini pada masa depan,” ujarnya.



Bagaimanapun, katanya, uru­san berkaitan imigresen perlu di­tambah baik agar lebih mudah dan selamat untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian di negara ini. “Daripada aspek pembiayaan pengajian, Malaysia masih menyediakan kemudahan universiti yang menawarkan yuran pengajian pada harga berpatutan berbanding negara maju,” katanya. Tambah beliau, pelaksanaan PPPM (PT) penting untuk direalisasikan demi memastikan sasaran mencapai 200,000 pelajar antarabangsa me­ngikuti pengajian di negara ini menjelang tahun 2020 dan 250,000 pada 2025 menjadi kenyataan. “Di samping itu, pengajian ting­­gi negara perlu membina masyarakat yang berpengetahuan dan menyokong pembangunan ekonomi dengan mewujudkan banyak peluang perniagaan domestik sekali gus memberi keuntungan kepada masyarakat setempat,” katanya.

02 April 2015

KE MANA MEDIA SOSIAL BAWA KITA?

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian
Penganalisis politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,
Universiti Sains Malaysia.

Utusan Malaysia Online, 2 April 2015


Media sosial kini menjadi tarikan utama untuk menyalurkan, menyampai dan mempengaruhi kepercayaan dan keyakinan serta persepsi terhadap pelayar alam maya ini. Namun, ada juga yang menyoal sejauh manakah ‘agenda setting’ media ini bertanggungjawab ke atas lontaran idea, isu mahupun berita yang mahu diketengahkan atau disensasikan serta menerokai penanda aras untuk menilai potensi kepercayaan dan keyakinan ke atas apa sahaja yang dimuat naik di alam maya ini.


Pengaruh media sosial amat besar dan tiada sesiapa yang mampu menyatakan bahawa dalam dunia tanpa sempadan ini, media ini tidak relevan ataupun perlu sekatan. Adakah pengendali media bertanggungjawab atau pengamal media terutama mereka yang aktif menggunakan platform media sosial menggunakannya dengan tujuan dan matlamat yang mempunyai kecenderungan untuk meningkatkan fahaman ke atas sesuatu isu atau landasan untuk menyebar, mendekati dan menanam nilai-nilai songsang yang boleh mengganggu keselamatan, kesejahteraan dan kehidupan berukun terbina sekian lama dalam kalangan sesetengah daripada kita, sebagaimana kritikan ke atas media ini.

Sejarah media sosial menunjukkan tidak bermula dengan Facebook walaupun ramai mengandaikan sedemikian. Media ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden sejak lewat 1970-an dengan penggunaan ‘usernets’ terutama untuk menghantar artikel atau berita ke ‘newsgroups’. Selepas itu, kita melihat berbagai inovasi dan reformasi industri teknologi media sosial sehingga lahirnya perbualan di alam maya melalui IRC (Internet Relay Chat) serta instant messaging, melayari halaman untuk mencari pasangan dan forum online yang dianggap antara evolusi jaringan sosial.

Pada awal tahun 2000, pembangunan besar di dalam jaringan sosial dan media sosial menjadi semakin ketara. Lahir Friendster, Hi5, Linkedln, MySpace dan pada 2008, Facebook menjadi yang paling popular sebagai halaman jaringan sosial untuk pelajar, ahli perniagaan dan akhirnya untuk semua. Media sosial tidak terhenti sekadar untuk perkongsian jaringan hubungan sosial kerana kemudiannya sudah menjadi tempat perkongsian gambar, video dan kandungan multimedia lain yang dianggap sebagai antara aktiviti yang sangat digemari dalam amalan pengamalnya. Ini termasuk Photobucket, Flickr, Instagram dan pada 2005,

YouTube menjadi halaman yang popular untuk berkongsi video. Revolusi media sosial tidak terhenti di sini kerana pada 2006, muncul Twitter yang diguna untuk mengemaskini berita terkini yang menjadi norma baru media sosial. Ada pelbagai aplikasi muncul dan sama ada menjadi popular atau sebaliknya, namun media sosial kini dianggap mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam kebanyakan aktiviti sehingga memadam ruang peribadi dan memperluaskan ruang awam.

Persekitaran, pendidikan dan rasa tanggungjawab memberi makna ke atas pengaruh media sosial ini. Dalam berhadapan persekitaran yang berubah, media sosial berhadapan dengan dilema keadaan di luar kawalan ruang yang bersifat peribadi kerana andaiannya adalah bebas digunapakai untuk sebarang berita. Kebebasan mutlak sukar untuk media sosial walaupun itu adalah realiti sebagaimana dalam lingkungan Malaysia melainkan wujud etika saringan sendiri tanpa menggunakan elemen keselesaan sendiri sebagai penanda aras.

Mereka yang melakukan kajian bersifat etnografi barangkali faham bagaimana untuk meneliti sesuatu nilai atau norma dari sudut pandangan kumpulan sasar yang dikaji dan bukan dari sudut pengamatan pengkaji semata-mata; sepatutnya itu juga menjadi asas amalan pengamal media sosial. Ilmu dan pembinaan tanggungjawab akan mendasari perkembangan media sosial ini. Ini kerana pengaruh media sosial semakin hari semakin kuat dan dikhuatiri satu hari nanti kita tidak dapat mengawalnya terutama dari sudut apa yang dilontarkan dan reaksi dalam ruangan-ruangan yang tidak membina tetapi melahirkan kebimbangan ke manakah arah tuju pengaruh media sosial ini? Ada kumpulan ditugaskan untuk bertanggungjawab dalam membina dan mempengaruhi persepsi sebagaimana pendekatan ‘cybertroopers’ ataupun ‘keyboard warriors’; nama jolokan yang diberi oleh mereka yang melihat tindakan dan gerak balas kumpulan ini.

Tidak dinafikan media sosial merupakan antara mekanisme atau alat yang terbaik untuk mendalami ilmu, melayari pelbagai tuntutan persekitaran serta rutin harian kita, namun ia tidak boleh menggadai maruah, jati diri dan identiti seseorang. Pembunuhan karakter, kritikan ke atas agama dan etnik, sifat perjuangan songsang dan lebih daripada itu kesediaan untuk meninggalkan fitrah manusia dilahirkan untuk saling kenal, hormat dan faham seolah-olah semakin luntur akibat desakan persekitaran yang bertujuan membentuk apa yang dinamakan oleh Benedict Anderson sebagai ‘imagined community’ tetapi kini di alam maya. Ada yang mahu menukar identiti diri yang tidak dapat dinikmati di alam realiti sebagaimana ada yang menunjukkan keberanian luar biasa di alam maya dari alam sebenar.

Sebagai pelayar atau pengamal media sosial, kita harus boleh melakukan yang terbaik demi mempertahankan kesejahteraan dan kehidupan berukun terutama dalam konteks masyarakat rencam Malaysia. Kita harus boleh bersama dalam pelbagai isu termasuk isu bagaimana media sosial diguna untuk berkomunikasi dan akhirnya wujud pelbagai salahlaku seperti penipuan mencari pasangan, pemerdagangan, amalan songsang, pengambilan anggota ajaran radikal dan ekstremis, urus-niaga dadah dan barangan haram, pengkaderan anggota geng, kegiatan jenayah walaupun waktu yang sama, media sosial membolehkan pelbagai aktiviti sihat dalam pembentukan jaringan perniagaan dan perhubungan serta perkongsian maklumat.

Lihat apa yang berlaku kepada beberapa berita yang tidak mendapat kesahihannya terlebih dahulu seperti pembunuhan karakter ke atas Perdana Menteri dan keluarga; pemimpin parti pemerintah mahupun pembangkang dan terbaru berita kematian bekas Perdana Menteri Singapura yang didahulukan dari tarikh sebenar kematian beliau. Terlalu banyak untuk disenaraikan terutama tatkala pilihan raya dan kini seolah-olah sudah menjadi rutin biasa di mana yang benar boleh menjadi palsu dan yang palsu boleh menjadi benar dari kreativiti pemikiran dan cara pengolahan.

Begitu juga dengan apa yang sedang dilalui oleh watak dalam video pendek keluaran BFM berhubung dengan hukum hudud serta penggunaan semula beberapa video dari ceramah lama politik untuk sama ada mengaibkan pemimpin ataupun parti politik. Jika semuanya dibuat dari garis mata politik, maka di manakah hala tuju sebenar negara bangsa ini? Apakah kita masih menguji kematangan walaupun tahu sebenarnya isu berkaitan agama dan etnik tidak akan dikompromi.

Alam maya boleh mempengaruhi kehidupan dan keputusan yang seringkali kita buat; tetapi biar alam realiti mendahului alam maya kerana pembentukan komuniti alam maya juga perlu memahami nilai sebenar alam di luar media sosial supaya kita boleh bertanggungjawab bersama ke arah pembinaan negara bangsa yang dihuni oleh masyarakat kelas satu di negara kelas pertama yakni dengan kemudahan dan infrastruktur sebagaimana negara maju termasuk peralatan canggih komunikasi dan teknologi; masyarakat kelas satu dirujuk kepada masyarakat yang ada ilmu, kemahiran dan kebolehan tetapi kesemuanya diselaputi dengan nilai karakter mulia.



ROTAN SEBAGAI ALAT PENCEGAHAN

OLEH SITI AIRUNNISA ALAUI
Utusan Malaysia Online, 2 April 2015

Satu masa dahulu, jika gagal menyiapkan kerja sekolah, pasti tapak tangan merah dirotan guru, di rumah pula, jika culas bersolat, punggung atau betis pasti disinggah sebatan sama ada menggunakan rotan, penyangkut baju, tali pinggang dan dawai sebagai satu cara guru dan ibu bapa memberi pengajaran atas kesalahan yang dilakukan. Namun begitu, pada era ini, soal hak asasi manusia pula hebat diperdebatkan bukan sahaja di negara yang sangat mengutamakan hak asasi manusia seperti Sweeden, malah turut memberi tempias kepada negara ini. Ini kerana, baru-baru ini, tatkala isu pasangan suami isteri rakyat Malaysia, Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang telah dihadapkan ke mahkamah di Sweden kerana merotan anak mereka yang tidak menunaikan sembahyang hangat diperkatakan.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memaklumkan kementerian itu pula mahu tindakan merotan anak oleh ibu bapa dianggap menjadi satu kesalahan jenayah. Natijahnya, kementerian itu dikritik pelbagai pihak, malah cadangan itu seolah-olah menyimbah api pada minyak apabila masyarakat pula memberi komen dan pandangan negatif. Hakikatnya, masyarakat tidak sedar bahawa telah termaktub peruntukan sedia ada, iaitu di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menjadikan memukul dan merotan itu satu kesalahan. Jika menilai dari pandangan dan sudut agama Islam pula, tidak salah merotan anak-anak untuk tujuan mendidik atau sebagai memberi pengajaran.

Namun, ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan pada istilah merotan kerana dibimbangi ada ibu bapa mengambil kesempatan menggunakan rotan sebagai alat untuk mendera. Hakikatnya, fungsi sebenar merotan adalah sangat pelbagai, tetapi dalam konteks mendidik, rotan hanya merupakan satu alat pencegahan, peringatan dan pengajaran kepada pesalah dan keberkesanannya bergantung kepada si perotan. Mengulas perkara itu, Ketua Jabatan Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Zuria Mahmud beranggapan, dalam konteks kekeluargaan, tiada salah menggunakan rotan dalam mendidik anak-anak bagi mengelakkan mereka melakukan kesalahan.

Namun, mekanisme terbaik adalah melalui interaksi dua hala yang berkesan antara ibu bapa dan anak-anak. Katanya, pendekatan merotan tidak harus menjadi kaedah pertama dalam mendidik anak-anak kerana dikhuatiri memberi kesan psikologi kepada mereka pada masa depan. Pun begitu, beliau tidak menolak merotan mampu mendidik anak-anak untuk peringkat awal seperti mana yang disarankan agama Islam. Hakikatnya, pendidikan terbaik 12 tahun pertama anak-anak ialah melalui contoh yang baik dan didikan yang betul ibu bapa di rumah kerana ketika itu kanak-kanak seusia berkenaan akan mencontohi apa sahaja perlakuan ibu bapa mereka. Jadi, jika didikan dan pembentukan sahsiah diri yang diterapkan ibu bapa pada jalan yang betul, adalah mustahil anak-anak akan berperangai buruk dan penggunaan rotan perlu dalam mendidik anak-anak.

Ibu bapa harus menyelami jiwa dan perasaan anak-anak agar melalui perkongsian itu mereka dapat mengetahui keinginan atau perasaan anak mereka,” katanya dalam Bicara Persada bertajuk Rotan: Mendidik atau Mendera? di UKM, Bangi, baru-baru ini. Antara ahli panel lain yang terlibat ialah Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat dan pengasas Kompleks Darul Thibbun Nabawi, Ahmad Dusuki Abdul Rani. Tambah Dr. Zuria, setiap peraturan termasuk penggunaan rotan perlu dilaksanakan selepas melalui fasa perbincangan bersama-sama anak-anak agar setiap hukuman yang dilaksanakan itu akan difahami anak-anak bagi mengelakkan salah faham dan fobia kepada mereka. “Jika perlu rotan, ibu bapa harus menerangkan kepada anak-anak mengapa mereka perlu dirotan, barulah anak-anak tidak salah faham dan tindakan merotan atau sebarang hukuman yang dikenakan perlu adil iaitu dilaksanakan kepada semua anak-anak dan bukan memilih bulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairul Anwar menyifatkan penggunaan rotan perlu dikekalkan sebagai bentuk pengajaran kepada anak-anak dalam proses mendidik kerana merupakan satu elemen penting untuk mendisiplinkan anak-anak. Katanya, penggunaan rotan sebagai mendisiplinkan diri telah menjadi tradisi dalam mendidik anak-anak sejak dahulu lagi dan tiada salahnya elemen itu dikekalkan pada era ini. “Pada saya, merotan tidak perlu dibicarakan atas nama hak asasi kemanusiaan seperti mana yang dilaksanakan di sesetengah negara kerana apa yang penting ibu bapa perlu bijak dan tahu bila masa untuk menggunakan rotan pada anak-anak. “Penggunaan juga rotan tidak boleh digunakan ketika penuh emosi dan amarah. Seharusnya rotan hanya sebagai alat untuk mendidik kerana jika merotan tidak membantu, ibu bapa tidak lagi boleh terus-menerus merotan sehingga anak-anak itu cedera kerana itu adalah salah dari sudut undang-undang dan agama,” jelasnya.

Dalam konteks agama Islam pula, merotan merupakan satu kaedah dalam mendidik anak-anak yang disarankan, malah riwayat Abu Daud menyatakan, Rasulullah bersabda: “Ajar anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun, dan (sekiranya mereka enggan) pukul mereka apabila mencecah 10 tahun.” Menurut Ahmad Dusuki, setiap apa yang disarankan Islam, sudah pasti ada hikmah di sebalik pelaksanaannya, namun setiap tindakan yang dilaksanakan perlu ada batas dan perkiraannya. Katanya, keberkesanan penggunaan rotan bergantung kepada siapa yang memegang rotan itu. Jika yang memegangnya adalah pendidik, maka alat itu digunakan dengan betul, namun jika yang memegangnya adalah pendera, maka sebaliknya berlaku.


Ketika ini, terlalu banyak pertembungan berlaku di antara perintah syariat dan kehendak manusia yang menyebabkan masyarakat mula mendidik anak-anak tidak berdasarkan atur cara yang dikehendaki agama Islam tetapi lebih gemar merujuk kepada pandangan orang. “Sebagai hamba, kita perlu akur dengan perintah Allah, jika Allah minta kita rotan anak-anak pada usia tertentu, maka kita kena buat kerana kesannya dapat kita lihat selepas kita laksanakannya. Selagi mana kita tidak buat, maka tidak ada kesan yang dapat dilihat. “Hukuman rotan bukan disarankan untuk anak-anak sahaja kerana suami boleh merotan isteri yang berbuat dosa. “Rotan adalah perkara sunnah dan sebagai umat Nabi Muhammad kita perlu laksanakannya, malah menggantung rotan dalam rumah juga mendapat pahala. Begitu indah ajaran Islam pada manusia dan paling penting bagaimana kita melaksanakannya. “Biarlah dengan merotan itu kita mendapat ganjaran pahala dan jangan pula menyebabkan kita ke neraka,” jelas beliau.

30 Mac 2015

Mendepani Cabaran Pendidikan

DR. AMINUDIN MANSOR
Bekas pendidik cemerlang dan pengamal media,
PhD. Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Utusan Malaysia Online, 25 Mac 2015

Pendidikan sangat penting dalam kehidupan, justeru melalui pendidikan dan pemahaman yang men­dalam dan seimbang akan dapat melahirkan insan seimbang dengan iman dan takwa. Al-Quran dan sunah adalah sumber ilmu utama yang seharus­nya menjadi rujukan kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Perbincangan tentang falsafah pendidikan dalam sebuah negara berbilang kaum sangat penting bagi mendedahkan maklumat berkaitan landasan falsafah dan hala tujunya. Pendekatan dan usaha yang sama telah diambil institusi pendidikan di Malaysia dalam memenuhi ke­perluan pendidikan. Pembelajaran sepanjang hayat kini semakin penting. Hala tuju pendidikan di Malaysia dari segi falsafah cukup jelas dan telah difahami oleh warga pendidik. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), boleh dikatakan semua guru merupakan komponen penting kerana perlu bertanggungjawab dalam sebahagian besar kerangka falsafah tersebut.


Berteraskan Falsafah Pendidikan Islam (FPI) pula jelas sekali Malaysia mempunyai matlamat untuk menggilap potensi setiap pelajar mengikut kekuatan masing-masing. Apa yang paling utama daripada matlamat ini adalah diharapkan mampu membina sebuah masyarakat Malaysia yang sempurna dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Keseimbangan ini pula berakar umbi kepada keyakinan dan keimanan kepada Tuhan, Pencipta dan Pentadbir seluruh alam. Melalui matlamat pendidikan ini, perancangan, pelaksanaan dan kajian terus dilakukan untuk menghasilkan sebuah masyarakat Malaysia yang mempunyai ilmu, ketokohan, budi, dan kemahiran mengurus diri serta organisasi. Kekuatan setiap individu masyarakat seperti ini pula mampu menjulang Malaysia untuk terus berdaya saing, berkembang maju, makmur dan terkehadapan. FPK ini jelas selari dengan falsafah yang diutarakan oleh tokoh pendidik di negara ini.

Selain pendidikan berkaitan dengan perkembangan ilmu pengetahuan, pendidikan akhlak juga penting kepada murid dan pelajar. Selain pembangunan akal, pembangunan akhlak juga menjadi salah satu aspek utama dalam pembangunan pelajar yang seimbang. Jika diperhalusi pernyataan dalam FPK itu, terdapat dua aspek penting yang terkandung di dalamnya adalah wajah insan yang diingini dan kaedah untuk mencapai wajah tersebut. Rupa bentuk wajah yang diingini ialah insan yang baik dan cemerlang dalam empat aspek, iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani. Aspek intelek penting kerana manusia yang baik ialah manusia yang berilmu, cintakan ilmu, mempunyai daya intelek dan daya fikiran yang tinggi. Mereka tidak mudah terpengaruh me­lainkan berlandaskan fakta dan ilmu yang tepat benar dan membawa kebaikan kepada manusia.

Manakala, aspek rohani pula me­rujuk kepada jiwa insan yang lebih tepat kepada kalbu yang memberi pancaran kepada suara hati. Nilai yang dihayatinya dengan berkesan akan menimbulkan ke­sedaran tentang apa yang betul dan apa yang salah, dengan rasa simpati, prihatin dan seumpamanya. Aspek emosi pula menekankan tentang perasaan. Seorang insan yang baik dan cemerlang ialah insan yang mempunyai perasaan yang seimbang iaitu perasaan cinta dan kasih sayang antara satu sama lain. Kasih sa­yang menjadikan insan tersebut cintakan kedamaian, perpaduan, persaudaraan dan silaturahim serta pembangunan yang baik. Sifat ini sangat penting, kerana insan yang hidup tanpa rasa kasih sayang akan mirip menjadi insan yang kejam, ganas dan hanya mementingkan diri sendiri. Suka memusnahkan pembangunan yang dibina, melakukan kekejaman dan huru-hara dan memusnahkan alam sekitar.

Bagi aspek jasmani memberi penekanan kepada kecergasan dan kesi­hatan mental dan fizikal. Ha­nya insan yang sihat sahaja yang akan dapat berfungsi sepenuhnya secara produktif. Justeru, keempat-empat aspek ini penting dalam diri seseorang untuk menjadikan dan melahirkan insan yang seimbang dan harmoni. Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa. Kepelbagaian ini diwarnai oleh budaya bangsa dan agama yang berbeza-beza antara satu sama lain. Inilah keunikan negara kita yang cemerlang di mata dunia. Keharmonian ini te­lah lama dipupuk dalam kalangan rakyat sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya dan menjadikan rakyatnya bersatu hati. Perbezaan fahaman politik bukanlah halangan untuk menjadikan perpaduan sebagai agenda pen­ting. Bagi mengekalkan perpaduan ini kita perlulah memahami serta menghormati agama dan budaya rakyat pelbagai kaum dan keturunan di negara ini.

Mengamalkan sikap saling bertoleransi, menyayangi, melindungi dan menghormati hak orang lain adalah antara ramuan penting untuk memupuk semangat perpaduan. Nilai-nilai murni ini terdapat dalam instru­men Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang sedang dilaksanakan. PBS yang bersifat holistik bertujuan menilai kemahiran dan kecekapan murid dari aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani), dan psikomotor (jasmani) selaras dengan FPK dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang merangkumi pendidikan menyeluruh dari peringkat prasekolah hingga lepasan menengah tidak terkecuali mengambil visi sistem pendidikan dan aspirasi murid yang dapat memenuhi ke­perluan negara pada masa depan.


Melalui PPPM ini enam ciri utama ditekankan yang diperlukan oleh setiap murid untuk berupaya bersaing di peringkat global. Ciri-ciri itu meliputi mempunyai pengetahuan yang tinggi dan meluas; kemahiran berfikir; daya ke­pimpinan; penguasaan dwibahasa; etika dan kerohanian; dan memiliki identiti nasional sejajar dengan FPK. Ibu bapa pula wajar sederap­ mendepani transformasi pendidikan negara yang sentiasa berubah. Perubahan juga mesti dilakukan oleh para pendidik yang bersedia untuk bekerjasama bagi menyokong usaha murni ini. Apa yang lebih penting, murid dan pelajar juga mesti berubah dan tabah menghadapi perubahan dengan ketrampilan berbahasa dan berkomunikasi bagi memenuhi keperluan pada masa akan datang.

29 Mac 2015

TEGAS LAKSANAKAN GST

Dr. Rohaime Shafie
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia.

Utusan Malaysia Online, 29 Mac 2015


Setelah hampir 27 tahun, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) disebut buat pertama kalinya di Malaysia, akhirnya tanggal 1 April ini, iaitu tiga hari lagi men­jadi penentu pelaksanaan sistem percukaian ini. Kerajaan sudah menyatakan bahawa GST tidak akan ditangguhkan. Dalam keadaan banyak lagi rakyat Malaysia yang masih samar-samar atau kurang faham dengan GST, persoalan asas sama ada GST benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara akan hanya ditentukan selepas kerajaan dapat melaksanakan GST dengan jayanya.

Sudah menjadi lumrah di Malaysia, sebarang perubahan yang ingin dibuat pastinya akan mendapat bantahan. Lebih-lebih lagi kalau bantahan itu melibatkan orang politik, maka riuh rendah dibuatnya seolah-olah perubahan yang ingin dibuat tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat. Selepas perubahan itu ber­jaya dilaksanakan, baharulah dapat menutup mulut golongan seperti ini yang tidak pernah sunyi dalam menghangatkan sesuatu isu rakyat. Maka untuk menutup mulut golongan ini daripada terus menghasut majoriti rakyat Malaysia, mahu tidak mahu kerajaan perlu membuktikan bahawa GST benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Pokoknya di sini ketegasan kerajaan dalam melaksanakan perubahan dalam sistem percukaian Malaysia.


Banyak contoh di negara lain yang membuktikan bahawa GST memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Usah pergi jauh, di negara jiran kita, Singapura, GST telah memberi impak positif kepada negara berkenaan. Lebih banyak lebihan wang dan dana boleh digunakan untuk pembangunan negara. Malah, wang berkenaan boleh meringankan mereka yang kurang berkemampuan. Bayangkan sebuah negara yang tidak mem­punyai sumber semu­la jadi yang banyak seperti negara kita pun mampu menjadi sebuah negara yang cukup maju di dunia, maka, tiada alasan untuk negara kita mencapai lebih banyak kejayaan. Cuma bezanya di sana, ketegasan kerajaan dalam melaksanakan sesuatu perkara. Umum mengetahui, salah satu perkara yang sering disebut-sebut oleh rakyat Malaysia ialah kelemahan penguatkuasaan yang menyebabkan banyak kerugian kepada rakyat dan negara. Misalnya, ketirisan melibatkan penyeludupan minyak di negara jiran adalah berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan.

Akhirnya, untuk mengatasinya kerajaan telah menarik subsidi minyak. Tidak kurang juga isu warga asing yang terlibat dalam perniagaan, dengan sewenang-wenangnya mereka membuka kedai. Sampai sekarang pun isu ini tidak selesai, menggambarkan kelemahan penguatkuasaan. Maka, dalam hal GST, kerajaan perlu tegas terutamanya terhadap peniaga-peniaga yang sengaja mengambil kesempatan untuk menggagalkan pelaksanaan GST. Ada antara mereka dengan sengaja menaikkan harga barangan sebelum GST dilaksanakan lagi. Sedangkan kenaikan harga barangan yang dijual tidak berkait langsung dengan GST.

Apa yang berlaku, rakyat diadu domba seolah-olah kenaikan tersebut berpunca daripada GST. Dengan kata lain, GST dikambinghitamkan demi keuntungan sebelah pihak. Akibat kekurangan maklumat atas beberapa faktor seperti maklumat tidak sampai kepada mereka atau mereka sendiri malas untuk mencari maklumat sebenar dengan mempercayai bulat-bulat media sosial, maka segelintir golongan rakyat ini dengan mudahnya dihasut untuk membangkitkan kemarahan terhadap GST. Di Singapura juga tatkala GST ingin dilaksanakan, rakyatnya juga kekurangan pemahaman tentang GST, namun perkara ini dapat diatasi dari hari ke hari sehinggalah rakyat mula nampak kebaikan GST. Kerajaan Singapura telah berusaha bersungguh-sungguh memberi kefahaman tentang GST kepada rakyatnya.

Mendesak

Mengambil contoh, caj perkhidmatan yang dikenakan oleh hotel dan restoran dalam lingkungan 5-15 peratus, isu ini hanya berbangkit dalam kalangan rakyat selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan GST. Jika tidak, berapa ramaikah rakyat Malaysia mengetahui bahawa caj perkhidmatan tersebut bukanlah cukai yang dibayar kepada kerajaan? Apabila ada yang menganggap itu cukai yang dikutip oleh kerajan, jadi tidak semena-mena perasaan marah boleh timbul terhadap kerajaan. Ekoran isu caj perkhidmatan ini timbul, maka terdapat pihak yang mendesak kerajaan untuk menghapuskan caj perkhidmatan. Malangnya, caj perkhidmatan ini dikatakan tidak dikawal oleh kerajaan. Adakah caj perkhidmatan tersebut setimpal dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh peniaga? Di sini, kerajaan perlu tegas untuk membuat keputusan demi kepentingan rakyat.

Lihat sahajalah isu kenaikan harga minyak yang digunakan untuk menaikkan harga barangan dan makanan, walhal apabila harga minyak diturunkan tidak pula harga barangan dan makanan diturunkan. Inilah yang sebenarnya dibimbangi oleh rakyat. Contoh ini pun sudah cukup untuk membuktikan bahawa terdapat peniaga yang sengaja mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Mereka ini jugalah yang memberi seribu satu alasan kononnya pelaksanaan GST menyusahkan mereka dan melibatkan kos pematuhan yang tinggi. Sejak sekian lama, mereka mengaut keuntungan yang cukup tinggi sehingga menjadikan mereka kaya raya, jadi apalah salahnya, mereka menyerap kos ini demi berbakti kepada rakyat. Bagi peniaga yang masih degil menaikkan harga produk mereka dengan keterlaluan, kerajaan sewajibnya tegas menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Apalah gunanya, di atas kertas, terdapat akta yang bagus, namun penguatkuasaan tidak ke mana.

Perlu diingat, selain kos pematuhan yang terpaksa ditanggung oleh mereka, kerajaan juga menanggung kos pentadbiran untuk melaksanakan GST. Sebab itulah, usah memberi seribu satu alasan hanya untuk kepentingan diri sendiri. Kalau 160 negara telah melaksanakan GST termasuklah United Kingdom yang telah berjaya melaksanakan GST, adakah masih tidak cukup bukti GST itu sistem percukaian yang bagus? Kos pentadbiran yang ditanggung oleh kerajaan diperlukan untuk memastikan kelancaran sistem GST bagi merealisasikan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaannya. Melalui kutipan GST yang cekap akan menentukan bahawa dana yang lebih banyak dan pendapatan kerajaan yang lebih stabil boleh dikembalikan semula kepada rakyat terutamanya untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial dengan membantu golongan yang kurang berkemampuan, berpendapatan rendah dan mereka yang sudah pencen. Malah, melalui ketegasan kerajaan jugalah, wang kutipan GST dapat disalurkan kepada rakyat pada tahap kecekapan yang paling optimum. Dengan ini, bakal memperbetulkan reaksi negatif segelintir rakyat, memacu ekonomi dan daya saing negara serta memperkukuhkan lagi kredibiliti kerajaan di mata rakyat.

24 Mac 2015

LAHIRNYA GENERASI YANG SUKA CARI PASAL

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA 
TARIKH : 22 MAC 2015

Video hudud stesen radio kontroversi BFM me­mang sengaja mencari pasal. Barangkali setelah menyedari kesilapan itu dan mendapat reaksi negatif orang ramai, klip video tersebut kemudiannya ditarik balik. Kemarahan orang ramai membuak-buak sehinggakan pengacara video bertajuk "Hudud Isi Periuk Nasi?" itu, Aisyah Tajuddin menerima ugutan bunuh dan rogol di media sosial. Rasanya tidak mengapa jika video yang dianggap BFM sebagai satira itu hanya mengkritik Kerajaan Pas Kelantan seperti masa untuk hukum hudud dilaksanakan tidak sesuai, tidak mematuhi Per­lem­bagaan dan perlu mendahulukan usaha membantu mangsa banjir. Itupun aliran propaganda yang dilakukan oleh pengkritik hudud Pas termasuk oleh DAP dan PKR. Orang boleh menerima perbezaan pandangan seperti itu kerana yang dikritik ialah pelaksanaannya bukan hukum tersebut.


Akan tetapi, jangan memperlekeh hukum hudud apatah lagi menyamakannya dengan sebungkus nasi lemak yang berisi batu. Jangan katakan hudud tidak mampu mengisi perut. Ini satu provokasi terhadap Islam. Tentu sekali provokasi seperti itu akan mengundang kemarahan. Apatah lagi video itu menyentuh urusan agama yang akan ada pihak sanggup bertindak ekstrem demi mempertahankan kesuciannya. Orang tua-tua dulu pun berpesan jangan dijolok sarang tebuan. Peristiwa serangan ke atas pejabat akhbar mingguan satira Charlie Hebdo di Paris yang mengorbankan 12 orang rasanya baru sahaja berlalu. Serangan pada 7 Januari lalu itu akibat daripada perbuatan akhbar tersebut yang membuat provokasi dengan menerbitkan karikatur Nabi Muhammad. Dunia mengutuk serangan tersebut dengan catatan perlakuan ganas itu akibat ulah Charlie Hebdo sendiri yang hanya memikirkan hak kebebasan mereka sahaja. Samalah juga dengan kempen "Saya Mahu Sentuh Anjing" di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya Oktober tahun lalu yang menimbulkan kemarahan orang ramai. Penganjurnya yang juga kumpulan anak muda turut menerima ancaman bunuh.

Berfikir

Tentu kita juga mengecam ancaman bunuh dan rogol terhadap Aisyah. Tetapi bagaimanakah kita boleh mengawal kemarahan orang ramai jika kita sendiri yang sengaja mahu mencari pasal? Malangnya sebagaimana juga penganjur program sentuh anjing, video BFM itu cuba dipertahankan oleh kumpulan hak asasi manusia. Mereka menganggapnya se­ba­gai kebebasan bersuara dan satu hak mutlak indivi­du untuk memberikan panda­ngan. Seperti lazimnya, kumpulan pemuja kebebasan itu hanya melihat sisi mereka sahaja. Mereka tidak berfikir dan me­lihat Malaysia dalam konteks yang tersendiri, lantas me­ng­am­bil secara melulu model ke­bebasan bersuara daripada Barat. Kini, perbuatan provokasi itu seperti menjadi mainan kum­pulan tertentu yang hujung-hujungnya dikaitkan de­ngan isu kebebasan bersuara. Yang hujung-hujungnya juga ada kaitan dengan cita-cita sebuah parti politik itu.

Nampaknya mereka telah berjaya melahirkan anak muda yang boleh sesuka hati mencari pasal atas nama kebebasan bersuara. Perjuangan pihak-pihak ini nampaknya tidak per­nah luntur dan sentiasa mem­buat asakan. Arah tuju mereka semakin jelas. Januari lalu juga kita dikejutkan dengan kenyataan seorang peguam hak asasi ma­nusia yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty, Eric Paulsen menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosi ekstremisme dalam khutbah Jumaat. Kita juga belum lupa video menghina Islam oleh Alvin Tan yang kini melarikan diri ke Amerika Syarikat. Dalam kes terbaharu ini, BFM dan Aishah harus di­pertanggungjawabkan. Jika mahu kritik hudud, kritiklah dalam konteks yang betul. Tentu sekali mengkritik hukum agama tidak sama seperti mengkritik hal-hal lain. Banyak sensitiviti perlu diambil kira.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah mengkritik dan memberi pandangan berbeza tentang hudud Pas ini. Begitu juga dengan kumpulan ulama termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. Jadi tidak ada masalah untuk mengkritik hudud yang bakal dilaksanakan oleh Pas itu. Dan seperti kes-kes terdahulu, ada kecenderungan untuk menyalahkan pihak lain. Mereka menyalahkan pemerintah bahkan institusi pendidikan yang gagal mendidik masyarakat Malaysia untuk menerima per­bezaan pandangan. Percayalah jika video seumpama itu disiarkan di Indonesia, reaksinya mungkin akan lebih ekstrem lagi. Masyarakat Malaysia masih mempunyai toleransi yang tinggi tetapi janganlah terus-terusan me­la­ku­kan provokasi. Provokasi yang berlebihan akan membenihkan anarkis dan menyuburkan ekstremisme. Soalnya bukan berbeza pandangan tetapi video BFM itu satu provokasi. Yang jelas, masyarakat Malaysia meraikan perbezaan pendapat tetapi pada masa sama menolak provokasi. Malaysia juga bukanlah tempat yang tidak selamat. Malaysia adalah tempat paling selamat. Menjadikan Malaysia tempat selamat adalah tanggungjawab semua pihak termasuk pemuja hak kebebasan bersuara.

14 Mac 2015

KHAZANAH ALAM BUKAN GADAIAN JADI NEGARA MAJU

Penulis: Azran Jaffar
Sumber : Berita Harian Online
Tarikh : 12 Mac 2015 (Khamis)

Memperkatakan mengenai penerokaan hutan dan penebangan balak di negara ini, timbul dua sudut pandangan bertentangan, dengan di satu pihak menganggap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar terlalu sentimental berhubung perkara ini kerana mengutarakan terlalu banyak masalah kesan kegiatan ini manakala NGO berkenaan pula menganggap apa yang berlaku, terutama pada waktu ini adalah amat membimbangkan yang mana jika tidak dibendung kita akan kehilangan khazanah alam yang cukup berharga. Tidak kurang juga ada yang seolah-olah mempertikaikan usaha pemuliharaan dan pendidikan dilakukan NGO alam sekitar kerana ada yang berpendapat hasil hutan menyumbang kepada ekonomi sesebuah negeri dan pada masa sama pembangunan perlu dilaksanakan. Justeru, di kawasan yang berhampiran dengan kawasan berpenduduk, hutan harus dikorbankan bagi memberi ruang kepada generasi seterusnya.
  
Penerokaan hutan untuk pertanian

Begitu juga penerokaan hutan dilihat perlu bagi meneruskan agenda pertanian terutama komoditi pertanian dan dalam keadaan tertentu penerokaan hutan untuk perladangan dilihat mengubah taraf kehidupan sesetengah kumpulan masyarakat. Walaupun ladang komoditi dianggap sebahagian daripada kehijauan yang mewarnai bumi negara ini oleh pihak berkepentingan, bagi NGO alam sekitar, kehijauan berkenaan tidak sama kerana ia diisi dengan hanya satu spesies pokok sedangkan hutan didefinisikan sebagai kawasan yang perlu ada 8,000 spesies pokok.


Melihat kepada alam sekitar secara keseluruhan yang turut mencakupi samudera negara, timbul pula dilema, iaitu antara pemuliharaan dan keperluan hidup. Dengan ada yang melihat kemusnahan alam sekitar berlaku akibat desakan untuk mencari makan, tindakan menghalang perkara ini dilakukan penduduk berkepentingan menjadi seakan pemusnah kehidupan mereka yang seolah memiskinkan lagi mereka yang sudah sedia miskin. Namun, walau apa pun pandangan dikemukakan, sebenarnya kita memerlukan hutan dan samudera yang sejahtera bagi memperoleh kehidupan penuh makna. Perubahan cuaca yang berlaku harus menjadi titik kepada semua pihak menilai semula peranan mereka terhadap pemuliharaan alam sekitar yang mana jika tidak kemusnahan lebih teruk menjadi ganjaran kepada semua.

Lestarikan bumi

Justeru, ramai yang melihat banjir besar melanda beberapa negeri di Semenanjung pada Disember lalu yang kemudiannya menjangkit ke Sabah dan Sarawak, sebagai titik tolak untuk semua pihak kembali melestarikan bumi Malaysia yang mana dikatakan sudah kehilangan hampir 70 peratus hutan hujan yang di dalamnya terkandung pelbagai rahsia dan misteri. Tidak menolak segala persoalan dibentangkan mereka yang bertentangan pendapat dengan mereka, NGO alam sekitar sebenarnya mengharapkan walau apa pun dilakukan ia perlu dilaksanakan dengan penuh lestari dan bertanggungjawab dan bagi mereka inilah kata kunci sebenarnya dan apa yang dilakukan itu ada hadnya dan tidak dilakukan sewenang-wenangnya.

Inilah antara apa yang dilontarkan beberapa pihak berkaitan alam sekitar pada Forum Media Khazanah Alam PEKA-MPI 2015, baru-baru ini. Program yang dianjurkan bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) dan Institut Akhbar  Malaysia (MPI) dihadiri kira-kira 100 peserta terdiri daripada wakil NGO berkaitan alam sekitar, wakil institusi pengajian tinggi dan pengamal media. Menyangkal pandangan mereka yang menganggap ladang kelapa sawit dan getah sebagai hutan, Naib Presiden PEKA, Dr Abdul Razak Abdul Rahman, berkata hutan ini hanya ada satu jenis pokok dan bertanya, lantas kepelbagaian apakah yang ditawarkan. Ini juga bertentangan dengan sifat semula jadi hutan hujan yang bertindak sebagai sumber air dan dari aspek lain, adalah pengawal banjir yang cukup hebat.

Kepentingan hutan hujan

Inilah sebenarnya pasangan sejoli, hujan yang banyak diterima rantau sebelah sini ditemukan dengan hutan hujan yang menjadi pelengkap kepada kejadian alam dan apabila ia dipisahkan, maka kesannya adalah banjir yang diterima. Tiada lagi kesepaduan antara keduanya dan ungkapan lengkap melengkapi menjadi satu tinggalan yang kesan akhirnya kepada manusia itu sendiri. Jika dilihat dari satu aspek, hutan sebegini 'menghalau' penghuni asalnya yang satu masa dahulu membiak kerana habitat yang ada membolehkan proses ini berlaku dan kini kehijauan dinikmati tidak sama dan walaupun ada masanya mereka berkunjung juga ke tanah asal itu, tetapi kehadiran mereka dilihat sebagai ancaman kepada tuan baharu.

Jelas Abdul Razak, Malaysia kehilangan bilangan hektar yang besar hutan hujan setahun yang menjadi sumber air dan bagi pemegang konsesi mereka diberi tempoh satu hingga tiga tahun untuk menanam semula, namun sukar untuk dipastikan pihak yang bertanggungjawab melaksanakan tugas penting ini, memantau proses penanaman semula. Dakwanya lagi, sukar juga untuk dipastikan sama ada royalti diterima digunakan untuk tanam semula. Ketidaklestarian dalam penerokaan hutan inilah yang sebenarnya dibimbangkan NGO alam sekitar dan sebagaimana kata Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, kegiatan ini bukan sahaja menggugat kehidupan, tetapi juga menjauhkan pelancong dari negara ini dengan United Kingdom contohnya telah mengeluarkan Taman Negara dari destinasi pelancongan mereka.

Kelestarian hutan menyumbang kepada pendapatan negara

Jadi, di mana benarnya hanya pembalakan mampu memberikan sumber ekonomi kepada negara sebaliknya kelestarian hutan juga sebenarnya mampu menyumbang pendapatan, justeru menjaga dan memuliharanya bukan sahaja mengekalkan kehijauan yang ada, tetapi juga memberi kebaikan kepada semua. Sebagaimana katanya lagi, kemusnahan hutan menyebabkan sungai menjadi kecil, air menjadi keruh dan kita kehilangan banyak spesies haiwan dan keajaiban inilah yang hendak dilihat dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Menyambung hujah ini, Penyelidik di Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata kita dikenali kerana mempunyai hutan paya bakau yang terpelihara di daerah Larut Matang, tetapi tidak begitu keadaannya di daerah Manjung yang mana hutan berkenaan mengalami kemusnahan kesan daripada pembangunan.  Kedua-duanya berada di negeri yang sama dan kedudukannya juga tidaklah begitu jauh, namun dua situasi ini mampu memberikan kita persepsi yang pelbagai dan jelas apa yang berlaku di Manjung perlukan pembelaan, kerana hutan paya bakau adalah antara tembok terbaik untuk ancaman tsunami yang mana fungsi ini perlu dijaga dengan sebaiknya.

Isu Cameron Highlands

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha 1 (Pengurusan Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor, berkata isu alam sekitar terletak di bawah Kerajaan Negeri dan ada masanya Kerajaan Persekutuan perlu masuk campur seperti apa yang berlaku di Cameron Highlands dan isu alam sekitar sebenarnya membabitkan semua. Daripada apa yang diperkatakan, jelas kita memerlukan satu pendekatan lebih tegas dalam menangani dan mengawasi proses penerokaan hutan di negara ini supaya usaha mengekalkan dan memulihara apa yang ada dapat dilakukan dengan sebaiknya dengan apa yang lebih penting adalah kualiti kehidupan rakyat dapat dijamin kerana tiada gunanya kita menjadi negara maju tetapi khazanah berharga menjadi gadaian.


Justeru, antara sumber pendapatan kepada kerajaan negeri dan kepentingan manusia secara keseluruhan, kelestarian hutan perlu menjadi agenda kerajaan negeri kerana kesejahteraan hidup juga adalah sesuatu yang penting dan tona-tona kehijauan hutan adalah satu warna yang cukup menenangkan.