Dr.
Rohaime Shafie
Pensyarah
Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Pusat
Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan,
Universiti
Utara Malaysia.
Utusan
Malaysia Online, 29 Mac 2015
Setelah
hampir 27 tahun, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) disebut buat pertama
kalinya di Malaysia, akhirnya tanggal 1 April ini, iaitu tiga hari lagi
menjadi penentu pelaksanaan sistem percukaian ini. Kerajaan sudah menyatakan
bahawa GST tidak akan ditangguhkan. Dalam keadaan banyak lagi rakyat Malaysia
yang masih samar-samar atau kurang faham dengan GST, persoalan asas sama ada
GST benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara akan hanya ditentukan
selepas kerajaan dapat melaksanakan GST dengan jayanya.
Sudah
menjadi lumrah di Malaysia, sebarang perubahan yang ingin dibuat pastinya akan
mendapat bantahan. Lebih-lebih lagi kalau bantahan itu melibatkan orang
politik, maka riuh rendah dibuatnya seolah-olah perubahan yang ingin dibuat
tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat. Selepas perubahan itu berjaya dilaksanakan,
baharulah dapat menutup mulut golongan seperti ini yang tidak pernah sunyi
dalam menghangatkan sesuatu isu rakyat. Maka untuk menutup mulut golongan ini
daripada terus menghasut majoriti rakyat Malaysia, mahu tidak mahu kerajaan
perlu membuktikan bahawa GST benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Pokoknya di sini ketegasan kerajaan dalam melaksanakan perubahan dalam sistem
percukaian Malaysia.
Banyak
contoh di negara lain yang membuktikan bahawa GST memberi manfaat kepada rakyat
dan negara. Usah pergi jauh, di negara jiran kita, Singapura, GST telah memberi
impak positif kepada negara berkenaan. Lebih banyak lebihan wang dan dana boleh
digunakan untuk pembangunan negara. Malah, wang berkenaan boleh meringankan
mereka yang kurang berkemampuan. Bayangkan sebuah negara yang tidak mempunyai
sumber semula jadi yang banyak seperti negara kita pun mampu menjadi sebuah
negara yang cukup maju di dunia, maka, tiada alasan untuk negara kita mencapai
lebih banyak kejayaan. Cuma bezanya di sana, ketegasan kerajaan dalam
melaksanakan sesuatu perkara. Umum mengetahui, salah satu perkara yang sering
disebut-sebut oleh rakyat Malaysia ialah kelemahan penguatkuasaan yang
menyebabkan banyak kerugian kepada rakyat dan negara. Misalnya, ketirisan
melibatkan penyeludupan minyak di negara jiran adalah berpunca daripada
kelemahan penguatkuasaan.
Akhirnya,
untuk mengatasinya kerajaan telah menarik subsidi minyak. Tidak kurang juga isu
warga asing yang terlibat dalam perniagaan, dengan sewenang-wenangnya mereka
membuka kedai. Sampai sekarang pun isu ini tidak selesai, menggambarkan
kelemahan penguatkuasaan. Maka, dalam hal GST, kerajaan perlu tegas terutamanya
terhadap peniaga-peniaga yang sengaja mengambil kesempatan untuk menggagalkan
pelaksanaan GST. Ada antara mereka dengan sengaja menaikkan harga barangan
sebelum GST dilaksanakan lagi. Sedangkan kenaikan harga barangan yang dijual
tidak berkait langsung dengan GST.
Apa
yang berlaku, rakyat diadu domba seolah-olah kenaikan tersebut berpunca
daripada GST. Dengan kata lain, GST dikambinghitamkan demi keuntungan sebelah
pihak. Akibat kekurangan maklumat atas beberapa faktor seperti maklumat tidak
sampai kepada mereka atau mereka sendiri malas untuk mencari maklumat sebenar
dengan mempercayai bulat-bulat media sosial, maka segelintir golongan rakyat
ini dengan mudahnya dihasut untuk membangkitkan kemarahan terhadap GST. Di
Singapura juga tatkala GST ingin dilaksanakan, rakyatnya juga kekurangan
pemahaman tentang GST, namun perkara ini dapat diatasi dari hari ke hari
sehinggalah rakyat mula nampak kebaikan GST. Kerajaan Singapura telah berusaha
bersungguh-sungguh memberi kefahaman tentang GST kepada rakyatnya.
Mendesak
Mengambil
contoh, caj perkhidmatan yang dikenakan oleh hotel dan restoran dalam
lingkungan 5-15 peratus, isu ini hanya berbangkit dalam kalangan rakyat selepas
kerajaan mengumumkan pelaksanaan GST. Jika tidak, berapa ramaikah rakyat
Malaysia mengetahui bahawa caj perkhidmatan tersebut bukanlah cukai yang
dibayar kepada kerajaan? Apabila ada yang menganggap itu cukai yang dikutip
oleh kerajan, jadi tidak semena-mena perasaan marah boleh timbul terhadap
kerajaan. Ekoran isu caj perkhidmatan ini timbul, maka terdapat pihak yang
mendesak kerajaan untuk menghapuskan caj perkhidmatan. Malangnya, caj
perkhidmatan ini dikatakan tidak dikawal oleh kerajaan. Adakah caj perkhidmatan
tersebut setimpal dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh peniaga? Di
sini, kerajaan perlu tegas untuk membuat keputusan demi kepentingan rakyat.
Lihat
sahajalah isu kenaikan harga minyak yang digunakan untuk menaikkan harga
barangan dan makanan, walhal apabila harga minyak diturunkan tidak pula harga
barangan dan makanan diturunkan. Inilah yang sebenarnya dibimbangi oleh rakyat.
Contoh ini pun sudah cukup untuk membuktikan bahawa terdapat peniaga yang
sengaja mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Mereka
ini jugalah yang memberi seribu satu alasan kononnya pelaksanaan GST
menyusahkan mereka dan melibatkan kos pematuhan yang tinggi. Sejak sekian lama,
mereka mengaut keuntungan yang cukup tinggi sehingga menjadikan mereka kaya
raya, jadi apalah salahnya, mereka menyerap kos ini demi berbakti kepada
rakyat. Bagi peniaga yang masih degil menaikkan harga produk mereka dengan
keterlaluan, kerajaan sewajibnya tegas menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan
Anti Pencatutan 2011. Apalah gunanya, di atas kertas, terdapat akta yang bagus,
namun penguatkuasaan tidak ke mana.
Perlu
diingat, selain kos pematuhan yang terpaksa ditanggung oleh mereka, kerajaan
juga menanggung kos pentadbiran untuk melaksanakan GST. Sebab itulah, usah
memberi seribu satu alasan hanya untuk kepentingan diri sendiri. Kalau 160
negara telah melaksanakan GST termasuklah United Kingdom yang telah berjaya
melaksanakan GST, adakah masih tidak cukup bukti GST itu sistem percukaian yang
bagus? Kos pentadbiran yang ditanggung oleh kerajaan diperlukan untuk
memastikan kelancaran sistem GST bagi merealisasikan kecekapan dan keberkesanan
pelaksanaannya. Melalui kutipan GST yang cekap akan menentukan bahawa dana yang
lebih banyak dan pendapatan kerajaan yang lebih stabil boleh dikembalikan semula
kepada rakyat terutamanya untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial
dengan membantu golongan yang kurang berkemampuan, berpendapatan rendah dan
mereka yang sudah pencen. Malah, melalui ketegasan kerajaan jugalah, wang
kutipan GST dapat disalurkan kepada rakyat pada tahap kecekapan yang paling
optimum. Dengan ini, bakal memperbetulkan reaksi negatif segelintir rakyat,
memacu ekonomi dan daya saing negara serta memperkukuhkan lagi kredibiliti
kerajaan di mata rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan