Penulis rencana : Zin
Mahmud
Sumber : Utusan
Malaysia
Tarikh : 30 Jun 2013
Pada tahun-tahun
1970-an, ada seorang pemimpin Asia yang mendidik anaknya supaya belajar bahasa
Rusia. Ini kerana beliau yang terkenal bijak menjangkakan bahawa Soviet Union
bukan saja terus menjadi kuasa besar tetapi bertambah kepentingannya pada masa
akan datang termasuk bagi benua Asia. Jika Soviet Union bertambah kuat, malahan
dapat menyaingi Amerika Syarikat, maka tentulah bahasanya juga menjadi penting
dan terpaksa dipelajari oleh banyak orang asing, termasuk di kalangan
tokoh-tokoh Asia. Maka tidak hairanlah Pusat Kebudayaan Soviet pernah dibuka di
Jalan Tun Razak pada tahun-tahun 70-an. Kedudukannya hanya beberapa langkah
daripada Pusat Kebudayaan Lincoln di Jalan Ampang, iaitu pusat bagi
mengembangkan maklumat dan pengetahuan mengenai Amerika Syarikat.
Penulis sendiri
pernah cuba belajar Rusia di pusat itu tetapi hanya mampu membaca ejaan bahasa
itu yang menggunakan tulisan Cyrillic. Pada satu ketika sememangnya Soviet
Union dilihat sebagai kuasa yang sedang menguasai banyak bahagian dunia. Maka
bahasa Rusia yang merupakan bahasa rasmi negara itu bukan saja menjadi penting
di seluruh republik-republik di dalamnya seperti Kazakhstan, Ukraine dan
seumpamanya tetapi juga negara-negara komunis yang berada di bawah pengaruh
Moscow seperti yang berada di Eropah Timur dan juga Mongolia, China, Korea
Utara dan Vietnam Utara, Malah republik-republik bukan Rusia berasal Islam yang
mempunyai bahasa sendiri turut mengambil Cyrillic sebagai tulisannya bagi
menggantikan tulisan Arab. Mereka tidaklah mengambil tulisan rumi seperti mana
Turki, Indonesia dan bahasa Melayu.
Siapa sangka ketika
itu bahawa Soviet Union akan tumbang dan republik-republik di dalam gabungannya
mengisytiharkan kemerdekaan. Tanpa Soviet Union, Rusia tidak lagi dianggap
penting di luar daripada Persekutuan Rusia. Sebaliknya negara-negara Eropah
Timur dan Asia Tengah yang terlepas daripada cengkaman Moscow kini lebih
berminat menguasai bahasa Inggeris daripada Rusia. Malah negara-negara yang
menggunakan tulisan Cyrillic seperti Kazakhstan bagi bahasa mereka sedang
merancang untuk menukar tulisannya kepada rumi. Itulah yang akan dilakukan oleh
Kazakhstan dalam masa lima tahun akan datang. Itulah nasib bahasa Rusia dan
tulisannya, Cyrillic apabila Soviet Union kalah kepada Amerika Syarikat dalam
Perang Dingin. Atas keunggulan Amerika, bahasa Inggeris menjadi bahasa global
dan kini semua bangsa mahu menguasainya.
Maka anak pemimpin
Asia yang menguasai bahasa Rusia itu mendapati bahasa itu sudah hilang
kepentingannya. Bahasa Inggeris sememangnya sudah dikuasai oleh negara itu. Tetapi
kuasa yang menggantikan Soviet Union untuk mencabar Amerika Syarikat adalah
China. Maka Mandarin juga meningkat kepentingannya. Justeru tidak hairanlah
bahawa republik kecil Asia itu sudah sekian lama menekankan kepentingan
Mandarin. Kesedaran kepentingan Mandarin turut sampai ke Australia, sebuah
negara yang dikuasai keturunan Inggeris tetapi mahu dianggap sebagai sebuah
negara Asia. Malah ada pemimpin utama Australia keturunan Inggeris yang
menguasai Mandarin bagi memudahkan hubungan mereka dengan China. Keunggulan
ekonomi membawa kekuatan bahasa. Bagi orang Malaysia, tidak ada siapa yang
berminat untuk mempelajari bahasa Rusia ketika Soviet Union berada di
kemuncaknya pada tahun-tahun 1970-an.
Kalau ada tawaran
daripada kerajaan Soviet kepada pelajar Malaysia untuk menuntut di universiti
di sana, tentulah dipandang curiga khususnya di Universiti Lumumba di Moscow,
kerana ia mendidik para pelajar antarabangsa untuk menjadi profesional komunis.
Tetapi kini, suatu yang dahulu tidak dijangka, sudah banyak orang Malaysia yang
pandai berbahasa Rusia. Ini kerana sejak Soviet Union tumbang, banyak anak-anak
Malaysia yang dihantar ke sana untuk mempelajari perubatan. Maka untuk itu,
penguasaan bahasa Rusia tentulah menjadi penting. Tetapi di Eropah, bahasa
Rusia mempunyai kepentingannya tersendiri. Ini kerana di atas runtuhan komunis
Soviet, maka muncul jutawan-jutawan kapitalis Rusia yang banyak berbelanja dan
melabur di Eropah. Dari Jerman, Austria, Switzerland hinggalah ke Greece,
jutawan-jutawan ini membuat pelaburan dan berbelanja hinggakan bahasa mereka
juga dipandang penting.
Justeru pada
keseluruhannya, politik dan ekonomi yang menyebabkan sesuatu bahasa itu
meningkatkan kepentingannya. Tetapi bagaimana pula dengan kepentingan bahasa
Melayu? Apabila berakhirnya Perang Dunia Kedua, maka ternyata kuasa-kuasa Barat
tidak boleh kembali menjajah seperti sebelum Jepun menawan Asia. Setiap negara
yang merdeka dari penjajahan Barat mahukan bahasa sendiri sebagai bahasa rasmi.
Indonesia yang bebas daripada penjajahan Belanda mengisytiharkan bahasa Melayu
sebagai bahasanya dengan nama Bahasa Indonesia. Dengan kuasa politik menguasai
sebuah negara besar dan penduduk banyak, tentulah bahasa Melayu dalam bentuk
Bahasa Indonesia menjadi penting dan dipandang mempunyai masa depan cerah. Maka
begitu juga dengan Malaya yang merdeka pada tahun 1957. Dengan memiliki bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ia juga dipercayai pada masa itu akan turut
menjadi penting pada masa depan.
Ia menjadi lebih
penting apabila Malaysia ditubuhkan dengan bahasa Melayu dikenali sebagai
Bahasa Malaysia dengan turut dianggap sebagai bahasa rasmi di Sarawak, Sabah dan
Singapura. Bahasa Melayu wajar menjadi kuat apabila Bahasa Malaysia dan Bahasa
Indonesia bersatu. Maka penyelarasan ejaan yang dilakukan oleh Tun Razak dan
Suharto adalah langkah awal untuk itu. Tetapi sayangnya Indonesia tidak muncul
sebagai kuasa ekonomi yang besar baik pada zaman Sukarno mahupun Suharto. Andai
kata ekonomi Indonesia maju, maka kepentingan Bahasa Indonesia meningkat. Jika
kedua-dua Malaysia dan Indonesia maju, maka akan majulah juga bahasa Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan