Oleh TARMIZI
ABDUL RAHIM
Setiap tahun,
Jun dan Disember adalah dua bulan keramat yang sentiasa ditunggu-tunggu
kelibatnya oleh para guru yang terpaksa berjauhan daripada keluarga termasuk
isteri, suami dan anak-anak. Ini kerana dalam kedua-dua bulan itu, penantian
mereka akan terjawab sama ada permohonan pertukaran sekolah diterima atau
sebaliknya. Bagi yang berjaya, maka bergembiralah tetapi yang gagal, seperti
biasa akan mengulangi permohonan sama sehingga berjaya. Mungkin bagi guru yang
bertugas di Semenanjung dan keluarganya juga berada di sana, tidak seberat
beban, keluh-kesah dan kerinduan melampau terpaksa ditanggung oleh para guru
yang bertugas di Borneo tetapi keluarganya pula berada jauh di 'seberang laut'.
Dalam kes pertama, alternatif pengangkutan banyak terhidang iaitu selain
daripada jalan udara, jalan darat juga pada bila-bila masa boleh digunakan.
Tetapi berbeza dengan mereka yang berada di Borneo, tiada pilihan melainkan
hanya melalui jalan udara.
Semua sedia
maklum bahawa kos 'hangus' yang terpaksa ditanggung bukannya murah, hingga
terkadang boleh melangkaui gaji bulanan para guru tersebut. Bagaimanapun,
situasi ini sedikit menampakkan jalan penyelesaiannya apabila Timbalan Menteri
Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching dalam jawapannya di Dewan Rakyat
baru-baru ini mengakui bahawa guru-guru yang hidup berjauhan dengan pasangan
masing-masing, dari segi kemanusiaannya tidak elok dan kurang sesuai. Sehubungan
itu, beliau berkata, pihak kementerian sedia mengkaji semula isu tersebut bagi
membolehkan masalah berkenaan dapat diatasi. Perkara ini sebenarnya agak
kritikal dan perlu ditangani sebaik mungkin kerana dikhuatiri falsafah
pendidikan negara yang antara lain bertujuan melahirkan modal insan terbaik gagal
tercapai. Secara semula jadi, mana-mana manusia waras yang ditimpa kerinduan
melampau, emosi mereka yang tidak stabil akan terganggu sekali gus
menyebabkannya gagal memberikan persembahan atau output terbaik.
Situasi ini
bukan berlaku secara satu hala tetapi sebaliknya dua hala iaitu anak-anak,
suami atau isteri yang ditinggalkan itu juga mengalami permasalahan sama. Sila
betulkan sekiranya penulis tersilap. Malah sekiranya dibiarkan, kebarangkalian
berlakunya perkara yang tidak diingini juga agak tinggi, sesuatu yang tidak
perlu dihuraikan kerana majoriti daripada kita maklum mengenainya. Penulis
ingin berkongsi sedikit masalah seorang rakan yang pada masa ini hampir putus
asa setelah bertahun-tahun usahanya untuk berada lebih dekat dengan keluarganya
sehingga kini masih lagi belum tertunai!. Guru wanita di sebuah sekolah rendah
di Sarawak ini mempunyai tujuh cahaya mata dan terpisah jauh daripada suaminya
di Kota Bharu, Kelantan sejak enam tahun lalu. Anak-anaknya berusia antara 15
dan empat tahun, lima daripadanya tinggal bersama suami di Kelantan, manakala
dua lagi tinggal bersamanya di Sarawak.
Guru tersebut,
seorang guru JQAF mula ditempatkan di sini sejak Julai 2008, manakala suaminya
bekerja di Kelantan. Sehingga bulan ini, beliau telah memohon pertukaran
sebanyak 6 kali iaitu setiap tahun dan malangnya kesemuanya ditolak. "Saya
takut kerana berjauhan, hubungan saya, suami dan anak-anak menjadi renggang.
Sebagai seorang ibu, saya cukup sedih bila tidak dapat mengasuh dan berkongsi
masalah dengan anak-anak yang semakin meningkat remaja. Sebagai pendidik saya
ingin mendidik anak bangsa dengan penuh semangat tetapi memandangkan masalah
saya yang berlarutan, membuatkan saya sentiasa tertekan kerana terpaksa
menguruskan dua anak seorang diri dan pada masa sama teringatkan nasib
anak-anak lain yang berada jauh, tambahan lagi anak sulung akan menghadapi
Penilaian Menengah Rendah tahun ini," katanya.
Keluhnya lagi
kepada penulis, beliau dan suami seboleh-bolehnya ingin berulang-alik antara
Sarawak dan Kelantan sekerap mungkin tetapi masalah kewangan menjadi penghalang
kerana kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung terlalu tinggi. Penulis
beranggapan, kes guru ini mungkin hanya sekadar kes terpencil bagi
pegawai-pegawai bertanggungjawab, tetapi percayalah bagi beliau dan
keluarganya, kes ini adalah yang paling besar, paling utama dan amat ditagih
oleh anak-anaknya. Terpulanglah kepada mereka yang terbabit untuk melakukan
sesuatu yang wajar atau sebaliknya, ini kerana guru ini akan tetap sekali lagi
melakukan rutin sama, iaitu mengisi permohonan pertukaran yang hanya boleh
dilakukan secara online sahaja itu. Sementara anak-anaknya pula dalam masa
beberapa kali setahun semasa berjumpa dengan ibunya akan mengulangi soalan
sama, "bila ibu nak balik".
SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
18 JULAI 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan