Bismillahir
Rahmannir Rahim
Alhamdullilahi
Rabbil ‘Aalamien, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Anbiaie Walmursaleen
Sayyidina Muhammaddin, Waála Alihiee Wasahbihee Ajma’een.
Sidang pembaca
sekalian,
Lama rasanya
saya membiarkan blog ini bersendirian tanpa perhatian, belaian, dan kasih
sayang lantaran tidak mempunyai ruang waktu yang mencukupi untuk menghidangkan
pelbagai maklumat untuk santapan minda kalian, dan diri saya sendiri.
Sesungguhnya, pada masa ini, masa bagi diri saya amat berharga. Setiap detik
yang datang begitu cepat berlalu pergi sehingga saya tidak tahu yang mana garis
pemulaan dan garis pengakhiran kerja-kerja yang saya lakukan. Pada masa yang
sama, saya kena peka dengan setiap tanggungjawab dan amanah yang terpikul di
bahu, agar setiap kepercayaan, harapan, dan impian yang tersandar di bahu tidak
tercicir dalam perjalanan untuk menyempurnakan semua itu ke tangga jaya.
Alhamdulillah, setakat ini, saya rasa tiada yang kecewa mahupun berduka.
Syukurlah ke hadrat ilahi kerana masih memberikan saya kesihatan untuk melalui
liku-liku hidup yang kian mendesak ini.
Sidang pembaca
yang dimuliakan,
Pujangga Seneca
pernah mengungkapkan tidak ada hal yang paling menyibukkan orang sibuk selain
kehidupan, tidak ada yang sulit dipelajari. Kata-kata ini banyak memberi makna
dalam kehidupan diri saya. Seorang pendidik seperti saya selalu tidak mempunyai
ruang waktu untuk diri sendiri kerana perlu terkejar ke sana dan ke mari untuk
memenuhi pelbagai aspirasi pihak atasan yang tidak terungkap dek mulut dan
terhitung dek tangan. Dalam keghairahan negara memacu roket pembangunan untuk
menjadi sebuah negara maju, bidang pendidikan merupakan indikator terpenting
untuk dipacu ke persada jaya kerana melaluinya akan lahir anak-anak merdeka
yang mampu menyimbang khidmat dan bakti merentasi benua. Lantaran itu, bidang
pendidikan sentiasa mengalami anjakan paradigma dengan pelbagai perubahan yang
kadang-kala mampu menyesakkan nafas para guru seperti saya. Persepsi masyarakat
yang suka dikikis yang mengatakan bahawa tugas guru amat mudah adalah salah.
Tugas mendidik dan memperbetul manusia merupakan tugas yang paling besar
maknanya. Jika silap didik dan andai silap memperbetul, yang bakal lahir
bukannya cendikiawan tetapi manusia yang ibarat melukut di tepian gantang!
Sidang pembaca
yang saya sanjungi,
Baru-baru ini,
Keputusan STPM Penggal 2 telah diumumkan. Saya ucapkan syabas kepada anak-anak
kita yang berjaya. Saya juga ucapkan syabas kepada mereka yang gagal kerana
telah mencuba sedaya upaya tetapi apakan daya nasib masih belum menyebelahi.
Saya amat terharu dengan pelajar-pelajar yang mendapat semua Gred F untuk semua
subjek bagi Penggal 1 dan Penggal 2 tetapi masih bersemangat untuk meneruskan
pengajian di Penggal 3. Pinta saya, berusahalah selagi terdaya untuk memperoleh
yang terbaik untuk masa hadapan. Para pelajar harus maklum, apabila anda
mengambil keputusan untuk memasuki Tingkatan Enam, bermakna anda memilih untuk
melanjutkan pelajaran di IPTA di negara kita. Jadi, anda harus berazam dan
berusaha. Sesungguhnya, tiada waktu untuk berbulan madu sebaik sahaja STPM
baharu diperkenalkan. Masa amat singkat untuk kita membimbing dan mendidik anda
kerana setiap lima bulan anda akan diuji. Komitmen yang tinggi amat diperlukan
untuk maju ke hadapan.
PBS sana PBS
sini
Tak habis-habis
pening kepala
STPM baharu
menguji kami
Bijak berusaha
untuk berjaya
"SELAMAT BERPUASA"
Sekian, terima
kasih.
Daripada :
Cikgu Zulkarnain
Farihin
SMK Sacred
Heart, Sibu
20 Julai 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan