Rencana ini ditulis
oleh :
NURUL ANUAR KARI
Isu penderaan
pembantu rumah dan terbaru dakwaan penyeksaan sekumpulan warga asing sebagai
pekerja bukannya perkara baru mahupun boleh diperkecilkan mana-mana pihak. Bagi
individu, ia satu penganiayaan yang melampau terhadap manusia lain, melanggar
norma masyarakat dan paling utama memburukkan nama Malaysia di mata dunia. Sejak
kebelakangan ini, banyak pendedahan dibuat melibatkan penderaan malahan
pembunuhan pembantu rumah warga asing khususnya di kalangan agensi dan majikan
bukan Melayu. Baru-baru ini pula, sebuah daripada agensi tersebut disiasat
kerana dipercayai melakukan kesalahan pemerdagangan manusia melibatkan 105
wanita warga asing, Indonesia, Kemboja dan Filipina di Klang.
Antara punca masalah,
penderaan dan penganiayaan dalam kalangan agensi dan majikan terbabit mungkin
akibat perbezaan budaya, agama dan juga bahasa. Pekerja Indonesia contohnya,
mungkin tidak memahami bahasa Inggeris sementara majikan pula tidak memahami
bahasa ibunda pekerja, umpama itik bercakap dengan ayam. Pihak agensi pula cuma
sekadar 'tangkap muat' sahaja bagi memenuhi permintaan dan mengambil bayaran
tanpa mempedulikan aspek kualiti dan kemampuan pekerja mahupun apa jua masalah
yang dihadapi majikan selepas pembantu rumah diserahkan. Belum lagi mengambil
kira kumpulan warga asing yang dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial bagi
memenuhi permintaan dengan segera.
Ada antara mereka
ditipu dengan bermacam-macam janji tetapi akhirnya menjadi pelayan pelanggan
(GRO), pelacur dan segala macam 'pe' lagi yang bukan sahaja melanggar
undang-undang tetapi lebih utama lagi, memusnahkan hidup warga asing terbabit. Tidak
kurang juga yang memang menjadi pembantu rumah seperti dijanjikan tetapi tidak
pula dibayar, namun tidak boleh 'bising' kerana mereka masuk dan bekerja secara
haram. Ada pula di kalangan pekerja asing yang dibawa masuk secara haram ini
tidak diperiksa sehabisnya pihak agensi sehingga membawa masalah kepada majikan
seperti lari, mencuri, menculik anak mahupun berkomplot bersama rakan senegara
untuk merompak atau melakukan jenayah lain. Tidak kira bagaimana situasi yang
dihadapi, sama ada ejen di negara asal menipu, ejen di negara ini menipu,
pekerja menipu majikan dan bermacam lagi masalah, akhirnya nama Malaysia juga
yang menjadi busuk.
Maka, tidak hairanlah
bila semakin ramai rakyat di negara asal mereka membenci negara ini dan membuat
bermacam bantahan dan demonstrasi seperti yang sering berlaku di Jakarta,
Indonesia setiap kali kes baru didedahkan media. Pada ketika persatuan
agensi-agensi tersebut mula menuding jari antara satu sama lain, timbul
cadangan agar semua urusan kemasukan warga asing diuruskan antara kerajaan
dengan kerajaan (GTG) sahaja. Bukan sekadar memantau kos sebenar untuk setiap
pekerja yang dibawa masuk tetapi lebih utama menjamin keselamatan serta
pemantauan hubungan majikan dan pekerja asing agar kedua-duanya tidak
teraniaya. Lebih penting lagi, urusan terus GTG akan membolehkan pemantauan
rapi secara telus dan berkala oleh agensi kerajaan kedua-dua negara bagi
memastikan majikan menjaga pekerjanya dan pekerja pula menjalankan
tanggungjawab setimpal dengan upahnya.
Walaupun mungkin
terlalu awal untuk mengambil alih keseluruhan fungsi agensi pekerja asing,
kerajaan Malaysia dan juga negara-negara terbabit perlu menimbangkan memulakan
inisiatif GTG khusus untuk sektor pembantu rumah yang dilihat paling banyak
berlaku kes penganiayaan. Bagi Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan
Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling,
senario yang semakin teruk itu sebenarnya sudah ada penyelesaian tersendiri di
peringkat ASEAN. "Antara negara-negara ASEAN, kita mempunyai kaedah
dikenali sebagai Confidence Building Measure (CBM) bagi membolehkan kerjasama
antara dua atau lebih kerajaan menyelesaikan masalah atau isu-isu berbangkit
antara mereka. "CBM mempunyai lima 'trek' yang mana trek pertama untuk urusan
rasmi antara pemimpin dan kerajaan negara-negara dalam ASEAN sementara trek dua
hingga lima adalah untuk urusan tidak rasmi," jelasnya.
Menurut beliau,
mengikut prosedur, peringkat pertama trek satu CBM melibatkan ketua-ketua
negara, peringkat kedua antara kementerian-kementerian terbabit dan peringkat
ketiga pula antara pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam isu tersebut. Tegasnya,
trek satu CBM amat sesuai dijadikan sebuah platform untuk GTG dalam
menyelesaikan masalah pembantu rumah warga asing di Malaysia di samping
menyekat aktiviti pemerdagangan orang. "Langkah ini lebih baik daripada
diberikan 100 peratus kepada pihak ketiga (agensi) kerana akan menimbulkan
permasalahan lain yang sukar diselesaikan kelak. "Elok jika ada campur
tangan secara terus GTG kerana kerajaan negara-negara terlibat tiada matlamat
keuntungan seperti pihak ketiga tetapi lebih kepada tanggungjawab sosial ke
atas rakyat mereka," ujarnya.
Tambahnya, akibat
fokus kepada keuntungan di kalangan pihak ketiga itu juga akhirnya pekerja
asing dan majikan mereka yang menjadi mangsa. Oleh itu, Mohamad Faisol berharap
pemimpin Malaysia dan negara ASEAN lain mengaplikasikan kaedah CBM dalam isu
pekerja asing dan mungkin boleh meluaskannya untuk menyelesaikan isu-isu lain
melibatkan kehendak sosial rakyat mereka.
Sumber
Utusan Malaysia
15 Disember 2012