Rencana ini ditulis oleh :
ZIN MAHMUD
Setelah debat kedua Rabu lalu antara presiden bertahan, Barack
Obama dengan pencabarnya, Mitt Romney, maka dinilai bahawa 46 peratus memberi
kemenangan pada Obama, sementara Romney meraih 39 peratus. ini adalah angka
CNN/ORC International. Dalam debat pertama pada 3 Oktober lalu Romney meraih 60
peratus sokongan. Debat akhir akan berlangsung 22 Oktober ini dengan fokus pada
dasar luar. Pilihan raya Presiden akan berlangsung pada 6 November di mana
persaingan antara Obama dan Romney ini disifatkan sebagai sengit. Tiga debat
ini bukanlah acara kempen pilihan raya yang muktamad menjangkakan siapa akan
menang. Sebaik saja debat kedua ini, Obama pergi ke Iowa dan Ohio, dengan
naibnya, Joe Biden pergi berkempen di Colorado dan Nevada. Romney pula pergi ke
Virginia, sementara rakan regunya, calon naib presiden Paul Ryan berkempen di
Ohio.
Tempat-tempat ini adalah kritikal bagi mereka dan secara
keseluruhan boleh menentukan hasil pilihan raya. Seperti di mana-mana sistem
politik di dunia, penyokong tegar wujud di kedua-dua belah pihak. Penyokong
kuat Obama akan tetap memberi undi kepada presiden itu walau apa pun hasil
kempen itu. Begitu juga dengan penyokong Romney. Obama dilihat sebagai seorang
kulit hitam yang mewakili aspirasi golongan sederhana dan susah. Tetapi di
pihak penentangnya, mereka gemar mengaitkan beliau sebagai orang yang mempunyai
darah keturunan Muslim, walaupun beliau jelas taat mengamalkan Kristian. Di
samping itu, beliau dikatakan mempunyai fahaman sosialisme, suatu tuduhan sinis
di Amerika Syarikat yang tegas mengamalkan sistem kapitalisme.
Romney pula dilihat sebagai seorang kulit putih yang mewakili
aspirasi golongan mewah dan kelas menengah. Beliau beragama Mormon dan bukannya
Kristian. Tetapi Romney sebagai seorang yang kaya dan berjaya dalam perniagaan
dilihat mampu memperbaiki keadaan ekonomi negara dengan dokongan golongan
jutawan Amerika. Di sini dapatlah dilihat bahawa Obama dan Romney seperti dalam
tradisi politik Amerika mewakili dua paksi ideologi di negara itu, iaitu
liberalisme dan konservatif. Di Amerika, tidak seperti di Eropah, sayap kiri
politik dipanggil liberal, tetapi yang kanan tetap disebut sebagai konservatif.
Maka mereka yang berpegang teguh pada fahaman ini akan menyokong calon-calon
yang mewakilinya tanpa mengira siapa.
Fahaman politik ini diwakili oleh dua parti utama Amerika iaitu
Demokratik dan Republikan. Maka penyokong tegar kedua-dua parti tetap menyokong
calon yang dipilih oleh parti masing-masing juga tanpa dikira siapa. Namun
banyak pengundi Amerika, walaupun mempunyai fahaman tertentu atau menyokong
mana-mana parti akan membuat penilaian tentang kemampuan calon presiden untuk
memimpin negara dan menyelesaikan masalah mereka, terutamanya ekonomi. Memang
ekonomi amat penting lebih-lebih ketika ini di mana Amerika menghadapi keadaan
ekonomi yang tidak mantap. Justeru bukan dikira fahaman atau parti tetapi siapa
yang mampu membuat dasar yang boleh menyelesaikan masalah ekonomi Amerika, paling
jelas sekarang adalah soal pengangguran.
Memihak
Cara Obama memimpin dapat dinilai sejak empat tahun lalu.
Prestasinya dianggap sederhana kalau tidakpun gagal. Tetapi banyak pihak tidak
mahu menyalahkan Obama kerana sistem dan keadaan Amerika yang ada sekarang
adalah warisan daripada presiden terdahulu, George W. Bush di samping
penguasaan Parti Republikan di Kongres. kuasa yang dipegang oleh Obama bukannya
mutlak. Sistem demokrasi Amerika yang menjadikannya demikian. Namun, kepimpinan
dan dasar Obama boleh dilihat lebih berjaya daripada Bush. Lebih-lebih lagi
masalah ekonomi yang melanda Amerika dilihat adalah warisan Bush. Walaupun
pengangguran masih menjadi masalah tetapi banyak dasar Obama, seperti mana
fahaman liberalisme dan Parti Demokratik adalah memihak kepada rakyat
pertengahan dan bawah.
Tetapi Romney berhujahkan mengenai keberkesanan kepimpinan dan
dasar Obama. Dalam debat kedua itu, Romney kata Obama pandai berkata-kata
tetapi dasarnya tidak berkesan. Menurutnya, kalau rakyat Amerika hanya
menghendaki yang seperti selama empat tahun lalu, maka pilihlah Obama. Tetapi
rakyat Amerika tidak perlu terus menerima keadaan sederhana itu. Mereka boleh
memilih cara lain. Untuk itu Romney menawarkan caranya untuk memperbaiki
pertumbuhan ekonomi Amerika. Dasarnya ialah mengutamakan pertumbuhan kelas
menengah. Di sinilah perbezaan pendirian Obama dengan Romney yang tercermin
daripada ideologi liberal dan konservatif mereka. Obama, para liberal dan ahli
Demokratik mahu pekerja-pekerja biasa diperkasakan. Apabila mereka berjaya,
maka negara juga akan meningkatkan prestasi ekonomi.
Di sebalik dasar ini ialah mengenakan cukai tinggi pada golongan
berpendapatan lebih tinggi. Dana yang diperoleh inilah yang hendak digunakan
untuk memperkasakan golongan sederhana dan rendah supaya mendapat pekerjaan
atau berdikari di samping kehidupan mereka terlindung, termasuk dari segi
kesihatan dan peluang pendidikan. Tetapi bagi Romney, golongan konservatif dan
Parti Republikan, cara ini tidak akan berkesan. Bagi mereka, mengenakan cukai
tinggi kepada golongan kaya akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Ini kerana
golongan kaya yang memimpin syarikat dan perusahaan akan terjejas dana mereka
untuk berkembang akibat cukai ini. Jika perusahaan kurang berkembang, maka
peluang pekerjaan tidak akan bertambah dan pastinya pengangguran pun
berterusan. Apa yang diperjuangkan oleh Romney pasti disukai oleh golongan
kaya. Mereka pasti tidak gemar pendapatan mereka dicukai oleh negara.
Romney sememangnya calon bagi orang tersangat kaya. Tetapi
golongan tersangat kaya hanyalah satu peratus daripada penduduk. Sedangkan 99
peratus adalah golongan sederhana dan rendah. Jika ini diterjemahkan kepada
undi, Romney pasti kalah. Tetapi realitinya tidak begitu. Golongan sederhana
dan rendah terutama yang ekonominya kesempitan, tambahan pula kalangan para
penganggur mengharapkan suatu perubahan mendadak terhadap Amerika supaya hidup
mereka terbela. Maknanya, yang menganggur akan dapat pekerjaan sementara yang
kurang pendapatan boleh menambahkannya. Jika cara Romney boleh berkesan
walaupun ia akan lebih menyenangkan golongan kaya, maka apa salahnya. Biarlah
orang kaya bertambah mewah asalkan orang sederhana dan bawah dapat menaikkan
taraf kehidupannya. Maknanya jika air pasang, mereka yang dalam kapal sama akan
turut terapung tinggi. Walaupun orang kaya tentulah hidup dalam bilik mewah
sementara yang sederhana dalam bilik biasa. Tetapi mereka semua, satu negara
dapat menaiki kapal dan sampai kepada pelabuhan.
Inilah yang membuat Romney mempunyai peluang cerah. Tetapi
mungkinkah ini semua tipu daya golongan kaya untuk bertambah kaya dengan tidak
perlu membayar cukai banyak? Justeru, ia hanya teori dan ideologi semata-mata
dan bukannya suatu program yang boleh menyelesaikan masalah pengangguran. Mungkin
benar seperti kata Peter Coy dalam Bloomberg Businessweek: "Benda besar
sukar untuk dipandu dan tidak ada yang lebih besar daripada ekonomi AS.
Selalunya, ia tumbuh, tetapi apabila ia terhenti, presiden-presiden memiliki
kuasa yang amat kecil untuk memandunya ke arah yang betul. Reagan mengharungi
kemelesetan; Clinton tidak. Itu tidak bermakna Clinton adalah presiden yang
lebih baik daripada Reagan. Presiden Howard Taft seratus tahun lalu pernah
berkata: "Orang fikir presiden boleh membuat rumput tumbuh dan langit
menjadi biru, Ia sebenarnya di luar jangkauan presiden."
Jika dilihat graf ekonomi Amerika sejak tahun 1947, pertumbuhan
meningkat dengan berlaku kitaran turun dan naik. Ia berlaku tidak mengira siapa
presiden yang berusaha dengan pelbagai cara. Tetapi masalah besar yang dihadapi
Obama ini bermula sejak zaman Bush. Dari tahun 2000 hingga 2010, rakyat Amerika
berbelanja sesuka hati melalui pendapatan daripada pembiayaan semula rumah yang
sebenarnya kekayaan ilusi. Akhirnya ia tumbang juga.
Amerika seperti sebuah kapal besar. Kini Obama dan Romney
bertengkar di dek nakhoda. Penumpang akan pilih siapa nakhoda pada 2 November
ini. Kemudian mereka hanya berharap hidup akan menjadi lebih baik.
Sumber
Mingguan Malaysia
21 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan