Rencana ini ditulis oleh :
Oleh Ruhaiza Rusmin
Pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2014 pasti memberi
anjakan baru kepada sistem pendidikan dan peperiksaan negara yang kini
merentasi era globalisasi. Pemansuhan itu satu mekanisme baru bagi menyaingi
proses pembelajaran peringkat global, sekali gus mencapai matlamat melahirkan
pelajar berprofil tinggi. Bagaimanapun, ada pihak beranggapan pemansuhan itu akan
gagal jika pengenalan baru menerusi Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA)
yang akan menggantikan PMR tidak mampu dilaksanakan dengan baik. Persoalannya,
mampukah SBA memberi impak lebih baik berbanding PMR?
Pengarah Makmal Penyelidikan Pendidikan Universiti Pendidikan
Sultan Idris, Profesor Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah berkata, pemansuhan atau
pengenalan dua sistem penilaian tidak perlu dipertikaikan, namun kemampuan
kedua-duanya memberi impak terbaik kepada sistem pendidikan negara. Beliau berkata,
setiap sistem penilaian perlu mengambil kira pelbagai aspek dan wajar
dilaksanakan apabila sudah bersedia kerana implikasinya besar kepada sekolah,
pelajar, tenaga pelaksana, masyarakat dan masa depan. “Persediaan penting
kerana kita tidak mahu apabila sistem penilaian baru diperkenalkan, impaknya
tersasar sehingga menjadi uji kaji semata-mata.
“Kita juga tidak mahu apabila sistem lama dimansuhkan, ada pihak
tidak berpuas hati dan mula mempersoalkannya. Ini boleh menggugat proses dan
keharmonian sistem pendidikan negara. Yang penting, sistem penilaian yang
digunakan itu mampu memberi impak terbaik dan lebih baik daripada sistem sedia
ada, barulah pemansuhan itu berbaloi,” katanya. PMR yang diperkenalkan pada
1993 bagi menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) akan dimansuhkan pada 2014
bertujuan mengelak sistem pendidikan negara daripada terus berorientasikan
peperiksaan. Menerusi SBA, pihak sekolah sebagai pengendali tetapi masih di
bawah pengawasan Lembaga Peperiksaan untuk memastikan soalan yang disediakan
berkualiti, setara dan mampu mengukur prestasi pelajar.
Katanya, tidak salah jika mahu memperkenalkan sistem penilaian
baru, namun kajian mendalam perlu dilaksanakan bagi memastikan ia mencapai
matlamat. Selain itu, katanya, sistem diperkenalkan itu perlu telus dan tidak
menambah beban fizikal dan mental guru sebagai mekanisme pelaksana. “Sebab itu,
sebelum melaksanakannya, kajian mendalam perlu dilakukan kerana tidak mahu
timbul masalah yang akhirnya akan menjadikan pelajar, guru dan sekolah sebagai
mangsa keadaan. Memang benar, banyak negara maju melaksanakannya, namun di
negara kita masih banyak aspek perlu diambil kira. Contohnya, kesediaan guru
sebagai mekanisme pelaksana juga penerangan jelas agar lebih memahami.
“Jika tidak, saya percaya pengenalan sistem penilaian baru itu
pasti rumit, sekali gus menambah beban dan tekanan sedia ada. Yang menjadi
mangsa ialah pelajar dan guru,” katanya mengakui tempoh kajian yang tinggal
kira-kira dua tahun sebelum pelaksanaan sudah memadai. Panel yang
bertanggungjawab dalam sistem ini perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak
sama ada kementerian, sekolah, guru, pakar akademik atau badan bukan kerajaan. Pendapat
mereka juga boleh membantu memberikan input terbaik selain penerangan kepada
masyarakat khususnya ibu bapa yang selama ini sudah serasi dengan sistem
penilaian lama,” katanya. Antara persoalan yang perlu dititikberatkan ialah
bagaimana mahu mengklasifikasikan kedudukan pelajar mengikut aliran ketika di
tingkatan empat.
“Menerusi PMR, kita boleh mengklasifikasikan mereka berdasarkan
keputusan. Bagi yang cemerlang akan
memasuki aliran sains, yang lain sastera atau vokasional. Apabila SBA
diperkenalkan, apakah kriteria yang akan digunakan, bagaimanakah kita mampu
menilai pelajar berkenaan? Semua ini memerlukan jawapan dan penyelesaian. Sebab
itu penting perbincangan bersama untuk mengetahui persediaan dan tahap
kemampuan kita memperkenalkan sistem penilaian baru,” katanya. Mengakui
pemansuhan PMR sebagai langkah berani melahirkan pelajar serba boleh dan
kompeten selari kehendak semasa, selain mahu menyamai sistem penilaian diguna
pakai di negara maju. Bagaimanapun, ia tidak boleh dilakukan secara drastik dan
perlu melalui frasa demi frasa supaya sistem penilaian itu selari dengan
standard yang ingin dicapai.
“Kita tidak boleh menafikan, bidang pendidikan juga perlu melalui
anjakan perubahan supaya selari dengan negara maju, namun biarlah ia
dilaksanakan secara konsisten, bukan tergesa-gesa. Mencapai standard seperti
negara maju memerlukan masa, komitmen, perancangan dan persediaan.
Bagaimanapun, usaha ini wajar diberi pujian dan sokongan kerana kita berani
berubah. Bagaimanapun, ia juga perlu diseimbangkan dengan perubahan pemikiran.
Jika mahu lakukan perubahan sistem, cara berfikir, menerima dan membuat
tindakan juga perlu berubah. Andai sistem saja yang berubah tetapi pemikiran
tetap di takuk lama, sistem ini akan gagal,” katanya.
Beliau juga berharap masyarakat diberi penerangan jelas supaya
mereka lebih memahami dan bersedia menerima perubahan sistem penilaian lama
kepada baru. “Penerangan jelas kepada masyarakat pasti memberi kelegaan dan
membuatkan mereka faham. Kita tidak mahu, hanya sebelah pihak saja beria-ia
melakukannya tetapi yang lain tidak menyokong. Gunakan medium seperti media
massa dan elektronik untuk menerangkan mengapa perubahan mesti dibuat terutama
kepada masyarakat kelas sederhana dan bawah. Perubahan ini bakal memberi impak
kepada semua, justeru, penting bagi pihak terbabit mengetahuinya dengan jelas
supaya tidak akan timbul kekeliruan,” katanya.
Sumber
Harian Metro
22 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan