Nordin Kardi
Penyandang Kursi Za'aba Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Dalam sesebuah negara yang mengaku
mengamalkan demokrasi, hak bercakap, hak bertindak, hak membuat sesuatu
pendirian dan hak berhimpun sememangnya dijunjung dengan peruntukan perundangan
negara yang melindungi hak-hak tersebut. Namun demikian hak-hak itu bukan
semata-mata dilindungi dan terikat kepada sesuatu undang-undang negara,
sebaliknya terikat juga dengan tamadun yang melindungi sesuatu negara bangsa
serta undang-undang itu sendiri. Ahli masyarakat sesebuah negara bertamadun
(ada yang suka menyebutnya sebagai masyarakat sivil dan ada pula yang
menyebutnya masyarakat madani) banyak menguruskan diri mereka sendiri dan
mengurangkan pergantungan kepada peraturan yang dikuatkuasakan oleh alat-alat
negara. Jika berlaku pertindihan kepentingan antara individu atau antara
kumpulan dalam masyarakat mereka memilih untuk menyelesaikan sesama sendiri
secara bertamadun. Apakah cara bertamadun itu?
Di sinilah letaknya adab atau etika
hidup dalam sesebuah negara bertamadun. Setiap ahli bebas melakukan apa saja
untuk menunaikan kepentingan mereka namun beberapa prinsip mereka pegang
sebagai prinsip hidup peribadi dan prinsip hidup bermasyarakat. Sambil setiap
individu bebas mempunyai prinsip hidup tersendiri, ada pula prinsip yang
dipersetujui bersama secara sejagat bagi menentukan kepentingan individu dan
kepentingan orang ramai terpelihara. Antara prinsip adab universal yang utama
ialah prinsip tidak menyakiti atau mendatangkan kesakitan kepada orang lain.
Individu bebas melakukan apa sahaja tetapi dia hendaklah dibataskan oleh adab
tidak mendatangkan kesakitan. Jika dia mendapati tindakannya bakal menyakiti
orang lain maka dia hendaklah membatalkan hasratnya. Prinsip selanjutnya ialah
prinsip tindakan membawa kebaikan.
Apabila individu hendak meluaskan
ruang kepentingannya sehingga bertindih dengan ruang-ruang kepentingan orang
lain, dia hendaklah memastikan pertindihan ruang itu (contohnya berkomunikasi
dengan/atau memberi sesuatu kepada orang lain) bakal membawa kebaikan kepada
kedua-dua pihak, bukan sepihak sahaja. Prinsip terpenting yang lain ialah
prinsip keadilan. Ahli masyarakat bertamadun sangat menghormati keadilan.
Keadilan bukan bererti sama rasa dan sama rata, sebaliknya ialah memberi
layanan dan hak yang berbeza kepada individu yang berbeza bersesuaian dengan
kedudukan dan kepentingan individu itu. Disebutkan bahawa keadilan ialah to
treat equal equally and unequal unequally. Namun, ahli-ahli adab berkata
apabila berlaku konflik antara prinsip adab, maka orang beradab akan meletakkan
prinsip tidak menyakiti orang lain pada kedudukan paling hadapan.
Kesakitan
Maksudnya, jika seseorang itu hendak
membuat kebaikan atau menegakkan keadilan tetapi pada yang sama dia akan
menyebabkan kesakitan kepada orang lain maka dia akan membatalkan hasratnya
membuat kebaikan dan menegakkan keadilan yang bakal mendatangkan kesakitan itu.
Prinsip mendahulukan kepentingan tidak menyakiti orang lain ini menjadi
penyemak sangat kuat kepada idea-idea menarik yang dijana oleh individu
sesebuah masyarakat bertamadun yang boleh membawa mudarat dan bakal
menghancurkan sesuatu tamadun itu sendiri. Antara contoh kemasyarakatan yang
pernah berlaku di rantau ini dan negara Malaysia sendiri ialah keinginan
penganut fahaman komunis yang ingin menegakkan keadilan untuk rakyat miskin dan
mengemukakan cara yang pada mereka baik melalui penyebaran ideologi tetapi
kedua-dua idealisme itu dilaksanakan melalui cara yang menyakiti orang lain
seperti melakukan kekerasan, pembunuhan dan sebagainya.
Sebarang tindakan menyakiti tentulah
akan dibalas dengan tindakan menyakiti oleh pihak yang disakiti juga. Keadaan
itu akan menyebabkan keseluruhan masyarakat itu mengalami kesakitan. Dalam
dunia intelektual pula, pernah terdengar bagaimana segolongan ahli ilmu atau
ulama agama menggunakan kuasa pengaruh menyakiti segolongan lagi yang tidak
sealiran dengan mereka sehingga buku-buku dan kitab dibakar oleh pihak berkuasa
demi menegakkan apa yang baik kepada mereka dan atas nama menjaga keharmonian
masyarakat beragama yang bunyinya sangat mulia. Dalam konteks semasa dan dengan
menggunakan panduan prinsip yang telah dihuraikan ini, jika ada seseorang atau
sekumpulan pemimpin politik atau masyarakat yang menyerukan pembinaan
masyarakat madani, orang awam boleh dengan segera mengesan sama ada pemimpin
itu hidup sepenuhnya dengan prinsip masyarakat madani yang telah disebutkan di
atas.
Masyarakat madani tidak boleh
ditegakkan dengan cara yang menyakiti dan menimbulkan kesusahan kepada orang
awam. Apa yang berlaku di Mesir, di Libya, di Iraq dan sekarang di Syria yang
dipanggil Arab Spring belum tentu boleh dijadikan model yang baik menuju
pembinaan masyarakat sivil. Lihatlah bagaimana cara Nabi Muhammad SAW membawa
prinsip manusia madani sebaik Nabi SAW dan para sahabat menawan Mekah. Tiada
orang yang disakiti dan semua dendam dilupuskan. Atas tanda-tanda ini masyarakat
awam Malaysia sewajarnya dapat membuat keputusan segera bahawa seseorang itu
bukanlah seorang pendukung kepercayaan pembinaan masyarakat madani yang tulen
jika caranya menyakiti awam, sebaliknya dia menjadikan seruan itu hanya sebagai
suatu slogan menjayakan sesuatu ideal atau ijtihad peribadi yang dia sahaja
tahu maksudnya.
Faedahnya nanti akan hanya untuk
dirinya sendiri, bukan untuk ahli masyarakat yang di ajaknya bersama. Di dalam
facebook dan blog-blog tentu ramai yang terhibur dengan buah fikiran yang
pelbagai dan luar biasa. Namun kebebasan yang disediakan oleh karya teknologi
itu tidak semestinya bergerak ke hadapan seiring dengan karya-karya alat
tersebut. Isi kandungan bahan yang sangat menyakiti individu dan kumpulan
masyarakat disebarkan melalui medium teknologi paling baru. Ini menjadikan
masyarakat hidup dalam dunia teknologi paling ke hadapan dan berterusan
diperbaharui tetapi ada ahli masyarakatnya berpatah balik ke belakang dan hidup
dalam masyarakat barbarik. Bahan, perkataan dan istilah-istilah yang menyakiti
dicipta, seolah-olah sama seperti manusia kuno zaman batu menyakiti haiwan
makanan yang disembelih dengan ketulan batu berbanding pisau ciptaan termoden
yang tajam untuk mengurangi kesakitan.
Merungut
Dalam hal di atas ada yang merungut
dan menulis soal kenapa ada penulis yang menghina pemimpin yang
berlatarbelakangkan ilmu agama yang tinggi sambil mereka juga tidak pula
merekodkan jumlah keceluparan pemimpin itu untuk tempoh yang panjang tanpa
reaksi dengan darjah keceluparan yang sama daripada lawannya. Patutlah,
bijaksana Melayu silam mencipta istilah seperti meludah ke langit dan
menepuk air di dulang. Patutlah juga, Tuhan melarang seseorang Islam mencerca
tuhan orang bukan Islam kerana perbuatan mencerca tuhan orang lain itu akan
menyebabkan Tuhan orang Islam mendapat cercaan sebagai balasannya. Sambil saya
membuat telaah mengenai masyarakat bertamadun dan masyarakat sivil ini saya
mengikuti perkembangan persaingan antara Mitt Romney dan Barack Obama yang
sedang rancak di Amerika Syarikat pada ketika ini.
Minggu lepas Romney membuat lawatan
kerja bagi meluaskan hubungan diplomatiknya ke Eropah. Romney ialah pemimpin
pembangkang calon Presiden Amerika Syarikat melawan Obama, Presiden yang sedang
memegang jawatan yang bakal bertanding mempertahankan jawatan. Semasa berada di
Britain Romney disoal oleh pelbagai media mengenai banyak perkara termasuk
pentadbiran Obama. Jawapan Romney amat menarik. Katanya dia tidak akan
sekali-kali mengkritik dasar Obama semasa dia berkunjung ke luar negara.
Katanya, While I am on foreign soil, Im very careful not to be critical of my
own governments policies," (terjemahan: semasa saya berada di bumi bukan
tanah tumpah darah saya, saya amat berhati-hati terhadap dasar-dasar kerajaan
saya). Cuba perhatikan betapa semasa berada di luar negara, Romney memberitahu
orang yang tidak sebangsa dan senegara dengannya bahawa kerajaan Obama itu
ialah kerajaan dia juga dengan merujuk my own governments policy.
Maksudnya dia menerima negaranya
secara holistik - tanahnya, warganegaranya/bangsanya dan kerajaannya dalam satu
pakej di bawah panji-panji negara Amerika Syarikat. Inilah contoh adab
pemimpin bertamadun (baca dalam konteks ini sahaja). Sambil melakukan telahan
itu saya menyingkap juga beberapa kenyataan pemimpin Malaysia semasa berada di
luar negara. Antaranya, Ketua Pembangkang Malaysia yang dipetik oleh Todays
Zaman pada 1 Ogos semasa berucap di Turki menyatakan Turkey is a democracy.
Malaysia is not. Kemudian di sambungnya lagi dengan menjenakakan negaranya sendiri:
I often joke that in Malaysia we have freedom of speech, but not after
speech,".
Semasa membakar semangat warganegara
Indonesia untuk benci kepada kerajaan Malaysia pula bertempat di Jentera School
of Law, Jakarta secara implied beliau mengatakan kerajaan Malaysia melayan
orang Indonesia di Malaysia seperti binatang, katanya Do not send them home as
if they were animals. Demikianlah perbezaan tanggapan terhadap adab di antara
calon penentang Presiden Obama dengan calon penentang Najib di Malaysia.
Warganegara Amerika Syarikat bakal memilih pemimpin mereka dan warganegara
Malaysia juga bakal melakukan yang sama di Malaysia. Kedua-dua pemimpin yang
menentang penjawat semasa di dua negara ini menjunjung kebebasan bercakap tapi
cara menggunakan kebebasan itu berbeza nampaknya.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 05 Ogos 2012
Hari : Ahad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan