Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
Baru minggu kedua Ramadan, berita
tentang kecederaan berkaitan mercun semakin banyak dilaporkan media cetak dan
elektronik. Walaupun menyayat hati terutama jika menyebabkan kecederaan
terhadap kanak-kanak, namun rakyat Malaysia seolah-olah sudah lali dengan
berita sebegini dan tidak lagi merasakan kemalangan sedemikian sesuatu yang
mengejutkan. Tambahan pula, sebilangan remaja bermasalah kini sudah mula
bermain mercun dengan membaling kepada orang, kenderaan mahupun rumah sebagai
satu bahan jenaka. Mercun ada fungsinya dalam upacara kaum dan kepercayaan
tertentu tetapi langsung tiada tempat dalam budaya Melayu mahupun agama Islam.
Walaupun ada budaya bermain meriam
buluh di kampung-kampung sejak beberapa dekad lalu, tetapi ia bukan sebahagian
daripada amalan umat Islam pada bulan Ramadan dan Syawal. Umum dan media
sendiri sudah muak menceritakan tragedi yang berulang setiap kali ketibaan
Ramadan dan Syawal ini, tetapi sebenarnya ramai yang tidak sedar punca masalah
adalah sikap anggota masyarakat itu sendiri. Rata-rata masyarakat menyalahkan
kanak-kanak atau mereka yang cedera kerana bermain mercun, ibu bapa mahupun
pihak berkuasa yang dianggap tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Semua orang mengetahui bermain mercun
adalah satu aktiviti yang sia-sia dan lebih membazir daripada merokok. Lebih
teruk, ia mampu mencederakan dan membunuh dengan lebih dahsyat daripada asap
tembakau. Namun, jika bertanya kepada diri sendiri, berapa ramaikah di antara
rakyat negara ini yang pernah menghalang mahupun melaporkan aktiviti
penyeludupan dan penjualan mercun haram kepada pihak berkuasa atau
sekurang-kurangnya kepada Rukun Tetangga?
Realitinya, penjualan mercun amat
mudah dilihat di pasar malam, bazar Ramadan, gerai mahupun premis kedai
terutama pada musim perayaan. Dalam menangani masalah itu pula, masyarakat
seolah-olah lepas tangan dengan mengharapkan pihak berkuasa datang menyiasat
sendiri serta menangkap penjenayah terbabit. Dengan itu, tidaklah pelik apabila
ramai di kalangan generasi muda kudung anggota, buta, pekak dan melecur teruk.
Jika tidak maut sekalipun, mereka akan menjadi pewaris negara yang cacat kekal
selama-lamanya. Terbaru, kes seorang pemuda dan anak jirannya di Kedah sudah
berada dalam statistik mangsa mercun. Mangsa dilaporkan membeli mercun di bazar
Ramadan berhampiran rumahnya.
Yang bermain mercun itu mungkin akan
kehilangan deria penglihatan tetapi ramai terlepas pandang, terutama anggota
masyarakat setempat di negara ini tentang aktiviti jualan mercun yang dibiar
berleluasa. Sikap kejiranan kini yang lebih suka mengata dan mengutuk jika
terkena kepada orang lain memburukkan lagi keadaan. Hanya apabila terkena pada
keluarga sendiri barulah mereka tersentak. Jika ditanya, klise biasa adalah
penguat kuasa tidak buat kerja, kerajaan gagal kawal penyeludup dan peniaga
mercun, mahupun 'Perdana Menteri' perlu selesaikan masalah ini. Sedangkan
terdapat beribu-ribu mata yang sekadar memandang kegiatan menjual mercun haram
itu setiap hari. Agak menyedihkan apabila tiada yang melaporkannya dan sekadar
menjeling dengan tanggapan 'biarlah...asal tidak menyusahkan aku'.
Ramai yang mungkin terlupa tragedi
letupan kilang dan gudang mercun sebelum ini, di dalam dan luar negara. Seperti
tragedi pada Ogos 2010 di Terengganu yang sepatutnya sudah cukup untuk
menyedarkan semua pihak apabila seorang kanak-kanak berumur enam tahun maut
dengan tragis akibat letupan mercun yang disimpan bapanya sendiri. Dengan
jumlah mercun yang begitu besar, mustahil tiada langsung tetangga, saudara
mahupun penduduk sekitar mengetahui atau sekurang-kurangnya mengesyaki sesuatu
tidak kena sedang berlaku. Sama juga di mana-mana sekalipun, jika orang ramai
masih tidak endah dan mengabaikan tanggungjawab bersama dalam menghalang
aktiviti haram ini, usahlah terkejut jika suatu hari nanti, mercun akan meragut
nyawa keluarga atau kenalan anda. Hakikatnya, penguat kuasa tidak boleh berada
di semua tempat sepanjang masa, justeru penduduk setempat yang mengetahui
aktiviti haram yang dijalankan itu wajarlah melaporkannya kepada pihak
berkuasa.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 04 Ogos 2012
Hari : Sabtu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan