Rencana ini ditulis oleh :
ARIF ATAN
Tidak ada disebut dalam al-Quran atau
kajian akademik sekalipun yang menunjukkan kaitan mercun dengan syarat
pelengkap kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Namun, sepanjang bulan
Ramadan tambah-tambah mendekati 1 Syawal, sebahagian orang kita tidak terkecuali
golongan dewasa entah kerana dirasuk apa, sibuk benar mahu bermain mercun. Walaupun
mercun secara rasminya diharamkan sejak 1991 di negara ini, namun ibadah solat
Tarawih kita pasti ada yang dikejutkan dan diganggu dengan bunyi letupan mercun
di sana sini. Ada sahaja mangsa letupan mercun yang telah dan akan kita dengar
setiap kali Hari Raya. Nama mercunnya pun bermacam-macam dengan mercun bola,
mercun roket selain mercun buatan sendiri antara jenis mercun yang membunuh
diri.
Baru-baru ini di Alor Setar, seorang
pekerja kilang berdepan dengan risiko buta mata sebelah kirinya. Gara-gara
bermain mercun ketika menantikan masuknya waktu berbuka puasa, separuh nikmat
penglihatan pemuda berusia 27 tahun itu lebur apabila 40 biji mercun bola
miliknya turut meletup sama. Malangnya, masyarakat kita tidak pernah mahu ambil
iktibar daripada kes mercun yang mengundang tragedi walaupun mendapat liputan
meluas dalam media. Permintaan dan tawaran mercun tetap berlangsung saban
tahun. Hairan bercampur lucu juga apabila diperhatikan ada pemilik gerai di
bazar Ramadan yang boleh pula melambakkan pelbagai jenis mercun dan bunga api
di atas meja jualan bukannya makanan seperti yang sepatutnya!
Peniaga yang menjual mercun di bazar
Ramadan juga tidak jauh bezanya dengan peniaga yang kotor dalam penyediaan
makanan mereka. Malah, mereka lebih bahaya lagi kerana menyumbang kepada indeks
'kegilaan', kemalangan dan kecederaan kepada orang awam. Sama seperti kesan
asap rokok yang turut memberi impak buruk kepada orang sekelilingnya begitulah
juga mercun. Di kawasan perumahan rumah pangsa misalnya, orang lain yang berada
di bawah blok terdedah kepada risiko cedera anggota badan apabila wujud
kecenderungan membaling mercun dari tingkat atas. Tiba masanya untuk pihak
berkuasa tempatan (PBT) turut memeriksa dan menarik balik sewaan tapak gerai
kepada penjual yang menyalahgunakan peluang yang diberi untuk menjual bahan
api.
Masyarakat termasuk pengunjung bazaar
Ramadan harus berperanan melaporkan kegiatan penjualan bahan yang telah
diharamkan oleh kerajaan. Paling penting usah gatal tangan membeli sebutir dua
mercun tersebut lantaran ikutkan kehendak anak. Langkah kawalan ketat di
sempadan negara juga disambut baik bagi mengurangkan kes cedera atau hilang
anggota pada pagi raya. Tindakan tangkas pihak Unit Pencegahan Penyeludupan
(UPP) Rantau Panjang, Kelantan merampas mercun dan bunga api semasa waktu
bersahur bernilai lebih RM100,000 patut dipuji.
Seharusnya, usaha tersebut digiatkan
lagi dari semasa ke semasa bagi memastikan mercun dan bunga api yang lazimnya
dibawa dari China melalui Thailand tidak lolos sehingga sampai ke tangan
masyarakat kita. Paling penting, setiap daripada kita mesti bersikap tanpa
berkompromi terhadap anggota keluarga dan kejiranan kita daripada bermain
mercun sekiranya tidak mahu ada anggota pada tubuh mereka cedera atau ghaib
sehingga mengalami kelainan upaya.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 04 Ogos 2012
Hari : Sabtu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan