Rencana ini ditulis oleh :
AZRAI MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my
Pada Julai 2009, Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam
teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dengan meletakkan matlamat
mengurangkan kadar jenayah sebagai perincian yang pertama. Bidang-bidang lain
termasuk memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan
berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa
prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam dalam
jangka masa sederhana. Tujuan Perdana Menteri memperkenalkan NKRA dan KPI adalah
bagi memastikan elemen tanggungjawab yang serius wujud di kalangan anggota
pentadbiran dan juga penjawat awam. Ia disebabkan Perdana Menteri tidak mahu
rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan samar-samar mengenai inisiatif,
rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang diusahakan oleh kerajaan.
Dalam aspek itu, Najib mahu segala
rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini dimaklum dan
diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran
seperti yang ditetapkan. Begitulah juga yang dapat dilihat dalam NKRA jenayah
setelah semua statistiknya dikeluarkan oleh pihak polis. Selepas tiga tahun,
pencapaian NKRA jenayah dilihat mencapai objektifnya. Jika diperincikan
statistik kadar jenayah indeks pada 2010 telah menurun sebanyak 15.4 peratus
(%) berbanding tahun sebelumnya. Bagi jenayah jalanan pula ia dapat dikurangkan
sebanyak 34.7% bagi tempoh sama. Angka tersebut mengatasi sasaran bagi jenayah
indeks dan jalanan untuk tahun 2010 iaitu masing-masing 5% dan 20%. Pada 2011
pula, angka itu terus menunjukkan peningkatan apabila kadar jenayah indeks
dapat dikurangkan sebanyak 11.1% berbanding tahun sebelumnya sementara jenayah
jalanan pula menurun sebanyak 39.7% berbanding tahun 2009.
Ketua Urus Setia NKRA Polis Diraja
Malaysia (PDRM), Datuk Ayub Yaakob berkata, apa yang membanggakan, sebelum ini
polis hanya mampu mengawal kadar jenayah namun belum pernah berjaya
menurunkannya seperti yang berlaku sekarang. Namun begitu, katanya, masih ada
pihak yang tidak yakin dengan apa yang dilakukan dan perkara itu yang perlu
diatasi oleh mereka ketika ini. "Sebahagian besar inisiatif NKRA telah
berjaya dilaksanakan dan mencapai sasaran statistik yang dikehendaki kerajaan,
namun kita harus membuktikan kepada masyarakat bahawa polis berjaya
mengurangkan kadar jenayah. "Sebab itu kita mahu mencari formula bagaimana
hendak menangani persepsi masyarakat kerana statistik menunjukkan kadar jenayah
menurun, tetapi ia perlu diterjemahkan menerusi peningkatan keyakinan orang
ramai," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Oleh itu, katanya,
antara usaha yang akan dilaksanakan bagi menangani persepsi negatif masyarakat
ialah memberikan penjelasan dengan tepat dan cepat berhubung sesuatu kes
jenayah yang dilaporkan.
Menurut Ayub, mereka yang masih curiga
dengan usaha kerajaan menangani jenayah boleh tampil bertemu dan berbincang
dengan pihaknya bagi menyelesaikan masalah itu. "Kami hendak sangat rapat
dengan orang ramai bagi mendapatkan perkongsian. Sebab itu, kita perlu kenal
satu sama lain, saling memahami, menghormati, bekerjasama dan barulah boleh
berkongsi apa saja. "Bila sudah berjaya kita boleh kongsi sama-sama, namun
jika sebaliknya jangan pula menuding jari sebab kita sudah bersama-sama,
sebaik-baiknya carilah jalan penyelesaian," ujarnya. Dalam aspek itu,
katanya, pihaknya sentiasa bersedia agar setiap statistik yang dikeluarkan boleh
diaudit oleh agensi bebas. "Sebagai langkah pertama kita telah pun
berbincang bersama Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengkaji statistik
ini. Mereka boleh mendapat maklumat dari kita dan proses dan keluarkan. "Kita
kena tunjukkan perkara sebenar kerana itu adalah faktanya. Biar rakyat yakin
dan percaya," ujarnya.
Selain itu, menurut Ayub, peranan
media amat penting dalam melaporkan sesuatu kes jenayah yang kadang-kala
menimbulkan kebimbangan masyarakat. "Kita tidak boleh menghalang media
untuk melaporkan kes jenayah, itu tanggungjawab mereka, namun cara melaporkan
itu tidak perlulah disensasikan malah ada kalanya bagi sesuatu kes dilaporkan
hingga berbulan-bulan lamanya. "Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan
masyarakat apabila mereka melihat kes itu amat serius kerana seolah-olah ia
kerap berlaku," ujar beliau. Dalam perkembangan sama agar semua proses
lebih efisien dan telus, menurut Ayub, pihaknya sedang meneliti agar sistem
laporan polis dapat dipantau oleh orang ramai bagi mengetahui perkembangan
siasatan kes terbabit. Katanya, perkara ini secara tidak langsung menunjukkan
betapa seriusnya kerajaan untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat di
samping langsung tidak mahu menyembunyikan sesuatu.
"Kerajaan memang serius dalam
perkara ini, dalam aspek penyediaan peruntukan, kemudahan malah penglibatan
pucuk pimpinan juga dapat dilihat kerajaan benar-benar serius," kata
beliau. Apa pun, sebarang polisi tidak akan berjaya tanpa komitmen daripada pelbagai
pihak kerana perkongsian secara integrasi adalah faktor kejayaannya. Tambahan
pula, dengan berkurangnya kadar jenayah, ia bukan saja menjadikan negara ini
aman dan makmur malah meningkatkan lagi perkembangan ekonomi negara dengan
pertambahan pelabur serta pelancong asing.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
24 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan