JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 November 2011

ISU SOSIAL : HANYA KERANA NILA SETITIK

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia


LATA ISKANDAR, CAMERON HIGHLAND

Jaminan yang diberikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bahawa kerajaan memandang serius isu pembantu rumah dan akan meneliti hal kebajikan dan perlindungan mereka merupakan langkah wajar. Ia sepatutnya diselesaikan segera sama ada melalui pembentukan pusat sehenti atau lain-lain pendekatan bagi menangani isu berkaitan pembantu rumah. Isu ini menyebabkan rakyat Malaysia yang amat memerlukan khidmat pembantu rumah merasa sangat kecewa dan putus asa, lebih-lebih lagi memandang kepada pendirian terbaru kerajaan Kemboja untuk mengharamkan rakyat wanitanya bekerja sebagai pembantu rumah di sini sewaktu ketidaktentuan berhubung kemasukan pembantu rumah Indonesia ke Malaysia. Lebih memburukkan keadaan, kerajaan Filipina juga lebih berminat menghantar pekerjanya yang mahir dan separuh mahir ke Malaysia berbanding sebagai pembantu rumah.

Perjanjian yang telah dicapai antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono untuk membenarkan semula pembantu rumah Indonesia kembali bekerja di negara ini selepas 1 Disember akan melegakan rakyat Malaysia yang memerlukan khidmat pembantu rumah. Namun masih menjadi tanda tanya sama ada ia benar-benar akan menjadi kenyataan dan bagaimana ia boleh dilaksanakan dengan lancar. Suka atau tidak, realitinya di Malaysia kini ramai keluarga yang terpaksa bergantung kepada khidmat pembantu rumah asing bagi membantu kerja-kerja rumah. Tapi apa yang lebih malang terdapat segelintir majikan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan memberi layanan buruk terhadap pembantu rumah mereka. Isu ini dipandang serius oleh kerajaan berkenaan dengan melarang pembantu rumah mereka bekerja di Malaysia. Sekali gus menyebabkan kesukaran kepada majikan-majikan lain. Situasi ini sama seperti pepatah Melayu "kerana nila setitik rosak susu sebelanga".

Saya tidak bersetuju dengan penderaan dan layanan buruk terhadap pembantu rumah oleh majikan yang kejam tetapi pada masa sama saya tidak bersetuju tentang sebarang bentuk penganiayaan terhadap majikan dan anak-anak di bawah jagaan pembantu rumah. Terdapat kes-kes seperti ini berlaku sebelum ini walaupun tidak dilaporkan secara meluas. Bagi mengatasi isu ini pihak majikan dan pekerja hendaklah sentiasa bersabar, saling memahami, hormat-menghormati dan mewujudkan suasana kerja yang mesra. Kenyataan Subramaniam bahawa kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang sepenuhnya bagi menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk pembantu rumah asing adalah betul bagi mengelakkan sebarang bentuk penyalahgunaan yang boleh menjejaskan nama baik Malaysia. Oleh itu, ia hanya akan menjadi kenyataan jika kementerian dan agensi berkaitan bekerjasama memastikan kebajikan pembantu rumah. Sebarang kes penganiayaan pembantu rumah asing patut didedahkan dan mereka yang bertanggungjawab bagi perbuatan yang memalukan itu perlu dibawa ke muka pengadilan dan hukuman yang berat dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 NOVEMBER 2011


Tiada ulasan: