JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 November 2011

ISU TENAGA : SISTEM DIDIK GUNA TENAGA DENGAN BIJAK

DATUK RUHAIDINI ABD KADIR
Beijing Language and Culture University, China


PULAU SOCOTRA, YEMEN

Sebenarnya, bukan mudah bagi seseorang warganegara asing mencari sebuah apartmen untuk disewa di tengah-tengah kota raya Beijing, Republik Rakyat China. Ada banyak hal yang perlu dipelajari dan diberi perhatian. Selain perlu 'bijak' mencari khidmat ejen hartanah (yang paling terkenal di China ialah Wo Ai Wo Jia: Saya Cintakan Keluarga Saya), seseorang itu juga perlu 'mahir berunding' soal harga yang ditawarkan ejen dan tuan rumah selepas menemui lokasi sesuai. Pada masa sama, bakal penyewa juga perlu cekap meneliti terma-terma kontrak sewa (dalam dua salinan) untuk penyewa dan tuan rumah sementelah kontrak berkenaan disediakan dalam versi bahasa Cina. Kontrak berkenaan biasanya menetapkan hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak iaitu penyewa dan pemilik rumah, jumlah deposit dan penalti yang boleh dikenakan ke atas penyewa jika anda melanggar syarat-syarat yang ditetapkan. Dalam hal ini, anda mungkin boleh kehilangan deposit dan dikenakan penalti tambahan jika berlaku sebarang kerosakan atau ada barang-barang tuan rumah yang hilang.

Itu antara hal-hal baru yang saya pelajari di Beijing dan antara 'ilmu' dan pengalaman baru yang saya timba dan agak menarik untuk dikongsi ialah sistem kad pintar prabayar di China untuk penggunaan bekalan elektrik, air dan gas yang perlu saya tunaikan sebagai penyewa. Sistem kad pintar prabayar digunakan berjuta-juta pengguna di China yang merupakan negara ekonomi ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan Jepun dengan catatan perdagangan antarabangsa pada tahun 2010 berjumlah RM9.3 trilion. Melalui sistem yang dilaksanakan oleh kerajaan China ini, setiap pengguna perlu mempunyai baki kredit yang sentiasa mencukupi pada ketiga-tiga kad prabayar utiliti itu bagi memastikan bekalan elektrik, air dan gas tidak 'terganggu'. Justeru, saya beberapa kali diingatkan oleh tuan rumah agar mengambil berat hal berkenaan bagi mengelak bekalan 'terputus secara tiba-tiba' terutama bekalan gas untuk kegunaan memasak, alat pemanas dan air panas dalam menghadapi musim sejuk yang kini sudah bermula.

Sebagai 'pengguna baru' di China, pada saya sistem kad pintar prabayar yang mengandungi nilai yang disimpan ini mempunyai keburukan dan kebaikannya. Keburukan pertama, pengguna terpaksa membelanjakan sejumlah wang terlebih dahulu untuk mendapatkan bekalan beberapa unit kilowatt elektrik, meter padu air dan gas. Kedua, sistem ini jelas mengurangkan risiko kewangan kepada pembekal kerana mereka menerima bayaran lebih awal sebelum pengguna menerima bekalan tenaga. Ketiga, ia juga 'menguntungkan' pembekal dari segi kos kertas kerana tiada bil dicetak seperti meter konvensional sebaliknya, pengguna hanya perlu melihat baki semasa yang tertera di meter utiliti mereka. Keempat, urusan pembayaran hanya boleh dilakukan di bank-bank tempatan dan jika kehabisan nilai kredit bermakna bekalan elektrik, air dan gas akan terputus serta-merta. Bayangkan jika hal ini berlaku pada waktu malam di musim sejuk yang suhunya jatuh di bawah paras 0 darjah Celcius. Namun, di sebalik semua alasan yang dilihat menguntungkan pembekal itu, saya sebenarnya dapat menimba ilmu yang sangat berharga yang mampu mendidik saya menjadi pengguna yang bijak dan berhemah.

Seperti jutaan pengguna lain di Beijing, dalam tempoh tiga bulan ini saya belajar mengawal perbelanjaan dengan cara menggunakan ketiga-tiga bekalan utiliti itu secara lebih cekap dan berkesan. Sejak menjadi 'pengguna prabayar', saya tidak akan sewenang-wenangnya menyalakan lampu dan menerangkan semua ruang rumah sebaliknya hanya menyalakannya di tempat di mana saya berada sahaja. Setiap malam, jika tidak perlukan banyak cahaya, saya hanya akan memasang lampu bacaan ketika mengulang kaji dan membuat kerja-kerja sekolah. Meter bekalan gas yang dipasang di dalam rumah akan menunjukkan baki kredit semasa, justeru saya sentiasa memastikan bekalan gas ditutup setiap kali ke kuliah dan pada siang hari bagi mengelak ia 'berputar laju'. Jika saya mengambil pendekatan endah tak endah terhadap hal itu, bermakna 'lajulah juga' duit yang akan keluar dari poket saya. Begitu juga dengan penggunaan air, saya mencuci pakaian menggunakan mesin basuh dua kali seminggu sebagai usaha menjimatkan air dan elektrik. Semua pengalaman ini sebenarnya secara tidak langsung mendidik saya agar lebih bijak merancang penggunaan di samping mengelak pembaziran tenaga elektrik, air dan gas.

Sistem kad pintar prabayar yang dilaksanakan di China ini juga secara tidak langsung merupakan 'penyelesaian' kepada pengguna yang bermasalah mengatur perbelanjaan dan masalah tunggakan bayaran bil elektrik, air dan gas pengguna yang dihadapi pembekal-pembekal utiliti. Sudah tentu juga, dengan sistem ini semua pemilik rumah sewa di China 'lapang dada' kerana tidak ada kejadian penyewa keluar dari rumah mereka dengan tunggakan bil-bil utiliti yang ditinggalkan penyewa. Justeru, sistem kad pintar prabayar yang dilaksanakan kerajaan China ini mendidik pengguna agar bijak menggunakan kuasa tenaga yang dibekalkan bagi mengekalkan daya saing dalam bidang ekonomi Rakyat China sebagai pengguna juga cekap menggunakan bekalan tenaga dalam usaha memastikan sumber asli negara dapat bertahan lama, sekali gus memastikan bekalan mencukupi untuk generasi pada masa depan. Sistem kad pintar prabayar ini juga mendidik rakyat China yang merupakan penghuni planet bumi lebih prihatin dalam melaksanakan tanggungjawab dalam usaha mengurangkan kesan buruk akibat pembaziran tenaga serta pemanasan global.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 NOVEMBER 2011


Tiada ulasan: