JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 November 2011

ISU IPT : UNIVERSITI BERPERANAN LEBIH PROAKTIF, KEUSAHAWANAN MEMENUHI TUNTUTAN MASYARAKAT

Oleh Dr Sharifah Hapsah
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia
bhnews@bharian.com.my


MOERAKI, NEW ZEALAND

Mereka yang menceburi bidang akademik tertarik dengan jaminan kebebasan untuk meneroka dan menyelidik, mengajar dan bersuara di khalayak ramai secara tulus mengikut suara hati yang jujur, tanpa perasaan takut akan dipersalahkan atau kemungkinan kehilangan jawatan. Jaminan sedemikian akan menarik ilmuwan tertinggi yang memiliki pendirian bebas dan utuh ke dalam dunia akademik. Menerusi peranan unggul golongan akademik inilah universiti menjadi asas penting kepada struktur sosial, inovasi dan kemajuan ilmu pengetahuan saintifik yang genting dalam pembinaan tamadun. Ini diakui mesyuarat umum ke-29 Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) pada 1997. Pujian kepada kerajaan kerana memahami bahawa autonomi adalah prasyarat asas yang membolehkan akademik menganjakluaskan sempadan ilmu dan universiti berperanan lebih proaktif dan berkeusahawanan dalam memenuhi tuntutan masyarakat yang berubah-ubah. Penggubalan kod tadbir urus universiti dan prosedur swa-akreditasi adalah beberapa langkah akauntabiliti yang memastikan Lembaga Pengarah Universiti mempunyai autonomi dalam pengurusan sumber dan Senat mempunyai autonomi akademik.

Autonomi akademik merujuk kepada kebebasan universiti menentukan siapa yang mengajar, apa yang diajar, bagaimana ia diajar, pelajar baru yang dipilih, ijazah yang diiktiraf atau dianugerah, bidang, skop, tujuan dan kaedah penyelidikan. Kuasa di beri kepada Senat universiti dalam Fasal 17 (2) Jadual Pertama Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Melaksanakan kebebasan akademik – apa yang dianugerahkan kepada ahli akademik dan pelajar – sangat mencabar kerana ia tertakluk kepada statut, peraturan dan garis panduan, yang juga dinyatakan dalam surat pelantikan, buku panduan fakulti, budaya akademik dan kod etika perilaku. Wujud pendapat berbeza-beza sama ada kebebasan akademik adalah hak secara perundangan dalam perlembagaan Amerika Syarikat. Pada 2008, mahkamah persekutuan di Virginia menetapkan profesor tidak mempunyai kebebasan akademik. Segala kebebasan akademik terletak di pihak universiti dan tiada hak dari segi perlembagaan untuk menghalang pengurusan kanan universiti daripada menukar markah yang diberikan seseorang profesor kepada pelajarnya. Senat universiti awam Malaysia juga mempunyai kuasa budi bicara yang sama dalam hal ehwal akademik.

Contohnya, seorang ahli fakulti boleh menentukan apa yang diajar dalam bilik kuliah, tetapi tertakluk kepada kurikulum yang diluluskan oleh Senat. Kebebasan bersuara di luar universiti lebih kompleks dan kadangkala mengundang kontroversi. Peringatan bahawa ia bukan mutlak dilihat daripada pendekatan yang diguna oleh Persatuan Profesor Universiti (AAUP) dan Persatuan Kolej dan Universiti Amerika Syarikat (AACU) dalam Deklarasi Prinsip Kebebasan dan Perkhidmatan Akademik 1915. Apabila berucap atau menulis secara terbuka, ahli akademik bebas mengemukakan pandangan tanpa perlu bimbang kepada tapisan dan tindakan disiplin institusi masing-masing, tetapi mereka harus berhati-hati dan tidak bercakap bagi pihak institusi. Kebebasan bersuara yang ditentukan di bawah Artikel 19 Deklarasi Sejagat mengenai Hak Asasi Manusia 1948 dan Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Awam dan Politik (ICCPR) 1966, juga tidak bebas daripada sekatan seperti terhadap tohmahan, fitnah, unsur lucah dan hasutan sehingga membawa kepada jenayah.  Artikel 19 ICCPR selanjutnya menyatakan pelaksanaan segala hak berkenaan merangkumi ‘tugas khusus dan tanggungjawab.’ Oleh itu, ia ‘tertakluk kepada kawalan tertentu’ seperti ‘yang diperuntukkan oleh undang-undang dan perlu bagi (a) menghormati hak dan reputasi orang lain; (b) melindungi keselamatan negara atau ketenteraman awam, atau kesihatan atau akhlak awam.’

Dalam abad kebelakangan, secara beransur-ansur, ciri keprofesionalan telah meresapi kebebasan akademik. Seperti yang diungkapkan Neil Hamilton, profesor Undang-undang di St Thomas University, Minnesota dalam penerbitan AACU pada 2006, kecekapan profesional dan tingkah laku etika yang disertai penilaian keserakanan adalah tonggak kebebasan akademik di Amerika Syarikat. Tingkah laku beretika dalam melaksanakan kebebasan akademik membawa bersamanya kebijaksanaan dan integriti, terutama dari segi cara penyampaian. Apa yang disuarakan mestilah hasil kajian profesor itu sendiri atau rakan-rakannya. Tiada individu yang rasional akan mencurigai bahawa kenyataan tersebut dibentuk atau dibendung oleh pemikiran pihak bukan pakar dan mungkin mempunyai kepentingan yang datang dari luar kalangan akademia. Dalam memberi sumbangan untuk menyelesaikan masalah sekarang atau masa depan, kaedah mengkaji dan rumusan yang dibuat mestilah tidak menimbul sebarang syak wasangka. Ahli akademik harus melaksana tanggungjawab tanpa perasaan takut atau memihak ke mana-mana.

SUMBER
BERITA HARIAN
3 NOVEMBER 2011


Tiada ulasan: