JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 November 2011

ISU UMUM : GERAKAN KESEDERHANAAN GLOBAL (GMM) PERLU STRATEGI PINTAR

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara


TAMAN NEGARA 
LOAGAN BUNUT, SARAWAK

Mungkin ramai rakyat Malaysia yang masih tertanya-tanya mengenai Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang buat pertama kali diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada September tahun lepas. Memang benar sudah begitu banyak pergerakan, pertubuhan atau institusi diwujudkan untuk memperjuangkan berbagai agenda tetapi tidak keterlaluan jika diandaikan GMM adalah unik kerana falsafah perjuangannya agak berbeza dan mungkin menongkah arus senario geopolitik semasa. Menjadi lebih menarik, GMM disarankan oleh negara bukan kuasa besar iaitu Malaysia. Konsep asas GMM terkandung pada ungkapan kesederhanaan kerana setiap agenda yang akan diperjuangkan GMM sama ada mencakupi hal ehwal agama, budaya, ekonomi, sosial, politik atau strategik, konsep kesederhanaan akan digunakan sebagai teras utama. Sebab itu, GMM begitu unik dan mungkin menongkah arus semasa kerana dunia pada masa kini dikuasai oleh kumpulan yang berpandangan begitu ekstrem untuk mempertahankan agenda masing-masing.

Terdapat kumpulan yang sanggup mengunakan agama sebagai alasan melakukan aktiviti ekstrem sehingga timbul persepsi salah mengenai agama tersebut. Terdapat juga negara yang begitu ekstrem pengamalan tindakan ketenteraan mereka kerana kononnya memperjuangkan demokrasi negara lain. Ada juga negara kuasa besar yang begitu ekstrem sokongan terhadap negara sekutu sehinggakan keputusan majoriti dunia boleh diketepikan. Tindakan kumpulan atau negara yang berpendirian ekstrem ini sebenarnya telah memporak-peranda keamanan dunia dan GMM jika diamalkan secara bijak dan efektif bakal memperbaiki keadaan yang agak songsang. Manakan tidak, tindakan ekstrem satu individu paderi Florida membakar senaskhah al-Quran mendapat perhatian dunia sehingga memberi gambaran negatif bahawa sebahagian besar rakyat Amerika anti-Islam. Tindakan ekstrem seorang ini sebenarnya telah mengaburi sikap toleransi berjuta rakyat Amerika lain. Saranan Malaysia mengenai GMM sebenarnya diterima oleh masyarakat antarabangsa berdasarkan reaksi ahli UNGA pada tahun lepas.

Malah dalam beberapa siri promosi GMM seperti ketika Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) dan Sidang Kemuncak ASEAN yang diadakan pada Jun lepas, kesemua negara peserta telah menyuarakan sokongan masing-masing. Beberapa hari lepas GMM menerima mandat terbaru dan mungkin terkuat apabila Persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) yang diadakan di Perth, Australia mengeluarkan pernyataan bersama bersetuju menerima usaha Malaysia mempromosikan GMM bagi menentang fahaman pelampau dan menjadi penghubung antara dunia Islam dan Barat. Pernyataan itu ditafsirkan sebagai pengiktirafan terkuat kerana sekretariat CHOGM perlu mendokong segala usaha yang bakal dilaksanakan oleh GMM. GMM telah mencapai sasaran pertama dan paling penting iaitu bergerak melalui landasan antarabangsa, dalam hal ini menggunakan CHOGM. Tugas yang lebih berat menanti GMM adalah bagaimana menzahirkan perjuangan dalam bentuk pelaksanaan program dan pelan tindakan. Malaysia perlu mencontohi strategi Sepanyol dan Turki yang menggunakan landasan PBB untuk melaksanakan agenda Perikatan Tamadun (UNAOC) yang ditubuhkan pada 2005.

Agenda UNAOC adalah untuk memperbaiki kefahaman dan hubungan kerjasama di antara negara dan penduduk berbilang budaya dan agama supaya masyarakat antarabangsa tidak berpecah belah akibat perbezaan tersebut. Pada awal ketika UNAOC dizahirkan, PBB menubuhkan kumpulan pakar antarabangsa untuk meneliti dan mengkaji punca polarisasi antara masyarakat dan hasilnya dijadikan sebagai asas program dan pelan tindakan UNAOC pada peringkat awal kewujudannya. Pada 2007 bekas Presiden Sepanyol Jorge Sampaio dilantik sebagai wakil khas UNAOC oleh Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon untuk melaksanakan pelan tindakan susulan. UNAOC yang mempunyai pejabat sekretariat di New York mudah dan berjaya melaksanakan program mereka kerana kerjasama diberikan bukan sahaja oleh negara ahli PBB tetapi mencakupi sokongan akar umbi seperti pertubuhan antarabangsa, kumpulan hak asasi dan masyarakat setempat kerana setiap aktiviti disokong oleh PBB. Pada ketika ini, GMM hanyalah dianggap sebagai cadangan kerana masih berada dalam peringkat promosi untuk meraih sokongan antarabangsa.

Mandat yang diberikan oleh CHOGM sebenarnya adalah isyarat untuk GMM berada pada tahap yang lebih tinggi menjangkaui proses promosi. Saranan Najib supaya sebuah institusi diwujudkan untuk menjalankan aktiviti penyelidikan mengenai kesederhanaan sepatutnya dilaksanakan segera. Sebaik mungkin institusi tersebut ditubuhkan menggunakan konsep organisasi pemikir (think tank) yang bebas melaksanakan operasi harian mereka. Organisasi pemikir sedia ada seperti Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) atau Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) adalah contoh terbaik bagaimana GMM boleh bergerak secara bebas. Ketika Presiden Barack Obama menyampaikan ucapan bersejarah di Kaherah pada Jun 2009, beliau menamakan Kuala Lumpur sebagai sebuah negara Islam yang patut dicontohi kerana berfahaman sederhana tetapi mampu maju seperti negara lain. Begitu juga ketika Persidangan Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington pada April 2010, Najib adalah satu-satunya pemimpin rantau Asia Tenggara yang berpeluang melakukan pertemuan dua hala dengan Obama walaupun Malaysia hanyalah sebuah negara kecil dan tidak mempunyai kemampuan nuklear. Tidak syak lagi Malaysia dan ungkapan kesederhanaan adalah sinonim dan bukan perwatakan yang asing. Jika dilaksanakan dengan pintar maka GMM mampu menjadi gerakan berpengaruh dan diterima masyarakat antarabangsa.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 NOVEMBER 2011


Tiada ulasan: