JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 November 2011

ISU BAHASA : USAHA DAULAT BAHASA MELAYU MESTI DIDUKUNG

Oleh Rejal Arbee
Felo Kanan UKM
rejal@mcoba.org


PULAU TINGGI DI JOHOR

Sungguh  menghairankan walaupun negara sudah merdeka lebih setengah abad dan Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini, kita masih berdepan dengan rakyat yang tidak langsung mahu menghormati bahasa negara mereka sendiri. Maka itulah hujung minggu lalu rakyat yang terus berasa tercabar oleh puak ini masih perlu berseminar dan berbincang bagaimana hendak memperkasa dan memartabatkannya bukan saja sebagai bahasa perpaduan tetapi juga sebagai bahasa ilmu. Tentunya seorang asing yang amat bangga mendukung bahasa negara mereka seperti orang Perancis, Jepun, Korea atau Jerman akan berasa pelik kenapa kita berterusan menghadapi masalah ini dan bagaimana pihak pemerintah kita sendiri boleh pula membiarkan puak yang tidak mahu mendukungnya terus berleluasa. Maka itu hingga kini pun masih ada sebilangan agak besar rakyat negara ini yang bukan saja tidak boleh bertutur bahasa negara mereka, malah tidak pun boleh memahaminya selain daripada wujudnya rakyat negara ini yang berterusan mendewakan bahasa asing dan memperlekehkan bahasa negara sendiri tanpa mahu menggunakannya langsung.

Agak malang walaupun ada dalam kalangan kita bermati-matian bangga menjadi warga Malaysia tetapi sedikit pun tidak mempunyai perasaan cintakan bahasa negara sendiri. Maka tidak hairanlah kenapa mereka yang berada di bandar lebih mementingkan bahasa Inggeris dan kelompok Cina lebih-lebih lagi yang tinggal di perkampungan Cina jangan harap mahu bertutur bahasa Melayu kerana ramai antara mereka bukan saja tidak boleh menuturnya tetapi juga tidak memahaminya, malah tidak mahu berusaha sedikit pun mempelajarinya.  Tentu sekali ramai bangsa lain dalam dunia ini akan berasa hairan bagaimana masih ada rakyat begini. Apakah rakyat kita itu tidak berasa malu kerana masih tidak boleh memahami bahasa negara sendiri walau pun sudah merdeka lebih dari 54 tahun?  Lebih mencurigakan ialah terdapat pula golongan yang lebih bangga menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Mandarin dengan mengabaikan bahasa Melayu. Apakah mereka ini menganggap mereka tidak berada di bumi Malaysia?  

Maka itu agak pelik mendengar kenyataan wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada hari pertama Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke VIII, Jumaat lalu mengakui kementerian hanya boleh menyediakan garis panduan mengenai penggunaan bahasa Melayu yang dipaparkan dalam iklan dan papan tanda serta nama-nama bangunan dan perumahan di seluruh negara. Tetapi ia tidak pula mempunyai kuasa untuk mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggung jawab terhadapnya daripada mematuhi garis panduan yang ditetapkan itu. Kononnya kini wujud PBT di bawah kuasa pakatan pembangkang tetapi apakah sekali pun ada empat negeri dikuasai mereka, kerajaannya itu tidak mahu mendu kung agenda nasional untuk memartabat dan menghormati bahasa negara sendiri?  Oleh kerana begitu lesunya sesetengah PBT, misalnya di Shah Alam yang mana walaupun majoriti penduduknya orang Melayu tetapi ada pula kedai kopi yang terang-terangan tidak menghormati langsung bahasa negara ini dengan menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin saja baik di premisnya mahu pun dalam menunya. Apakah syarikat ini berfikir ia beroperasi di Hong Kong atau Cina?

Demikian juga mengikut tinjauan pendapat umum yang dilakukan di Subang Jaya beberapa bulan lalu didapati lebih daripada 20 peratus rakyat negara ini yang ditemui tidak fahamkan bahasa Melayu.  Maka itu, mahkamah hingga sekarang masih perlu menyediakan penterjemah Mandarin dan Tamil untuk tertuduh berketurunan Cina dan Tamil. Apakah mahkamah tidak boleh membuat ketetapan bahawa dalam tempoh lima tahun ini misalnya, ia tidak lagi akan menyediakan penterjemah kepada warga negara ini yang sudah sepatutnya boleh memahami bahasa Melayu. Usaha sepatutnya sudah dilakukan untuk mengetahui jumlah sebenar rakyat negara ini yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu dan yang tidak memahaminya supaya usaha lebih berkesan dapat dilakukan untuk menentukan semua rakyat negara ini berbangga dengan bahasa mereka. Amat malang juga sehingga sekarang berterusan saja kempen puak tertentu yang mahu kerajaan membenarkan sekolah memilih untuk mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris walaupun Kementerian Pelajaran sudah memutuskan sebaliknya.

Begitu berleluasanya kempen puak ini hinggakan sudah wujud gambaran ada pertelagahan antara Melayu dan bukan Melayu, dengan satu pihak mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan dan yang bukan Melayu pula amat mendewakan bahasa Inggeris hingga sanggup memperlekehkan bahasa negara mereka sendiri. Sistem pelajaran dalam negara ini sudah pun cukup bercelaru tanpa perlu sekolah kebangsaan hendak dipelbagaikan pula dengan ada yang menggunakan bahasa Melayu dan ada pula di sekolah dua mata pelajaran itu berterusan diajar dalam bahasa Inggeris. Usaha untuk membolehkan pelajar kita dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik bukannya menerusi pelajaran dalam dua mata pelajaran itu tetapi dengan mengadakan kaedah pembelajaran yang lebih baik untuk mata pelajaran bahasa Inggeris dan sastera Inggeris dengan menyediakan guru yang cukup mahir dalam bahasa itu. Inilah yang sepatutnya diperjuangkan. Kini Kementerian Pelajaran sudah menetapkan dalam usahanya untuk memartabat dan mendaulatkan bahasa Melayu ia juga mahu memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid sekolah. Inilah yang sepatutnya dan semua rakyat yang mencintai bahasa Melayu harus mendukungnya.

SUMBER
BERITA HARIAN
3 NOVEMBER 2011


Tiada ulasan: