JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 November 2011

ISU UMUM : PLURALISME HARUS DIBATASI DALAM PERSPEKTIF FAKTA SEJARAH

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my


PORING HOT SPRING, SABAH

Malaysia sebagai negara yang mempunyai penduduk pelbagai etnik atau keturunan dan agama menjadi contoh sebagai negara yang berjaya mewujudkan keamanan. Walaupun pernah berlaku beberapa pergeseran kaum hingga membawa kepada pertumpahan darah, tragedi itu sangat jarang berlaku dan disifatkan sebagai ‘tersedu’ (hiccups). Jika tiada keamanan untuk tempoh yang panjang di negara ini, tidak mungkin pakar dalam bidang sains sosial dari negara lain memilih Malaysia sebagai contoh negara pelbagai bangsa yang boleh menerima kehadiran keturunan lain dalam kejiranan mereka. Keamanan yang tercapai itu bukannya berlaku secara semula jadi tetapi hasil daripada formula luar biasa perkongsian kuasa, iaitu perundingan parti politik mewakili kaum.  Kematangan pemimpin sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan Perikatan yang menggabungkan UMNO, MCA dan MIC membuka jalan kepada kewujudan negara baru yang unik.  Perikatan kemudian diperbesarkan sebagai Barisan Nasional (BN) pada 1974 bagi merangkumkan parti politik Sabah dan Sarawak selepas penubuhan Malaysia pada 1963.

Profesor Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, berkata idea dan konsep asal ‘perikatan’ dianjurkan oleh Jawatankuasa Hubungan Masyarakat atau Communities Liasion Committee (CLC) yang ditubuhkan pada 1949, selepas Perjanjian Persekutuan 1948 dimeterai. Shamsul yang juga Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menyatakan bahawa negara baru itu mengandungi etnik Cina dan India yang majoritinya diimport sebagai pekerja untuk sektor swasta yang dikuasai oleh pemodal asing. Beliau berkata, penduduk etnik Cina dan India serta buruh kontrak dari Indonesia kemudian diterima oleh orang Melayu dan Raja-Raja Melayu sebagai sebahagian daripada penduduk yang mempunyai hak kerakyatan yang sama seperti penduduk asal.  “Memang sentiasa berlaku pergeseran pendapat antara kaum berasaskan kepentingan kaum masing-masing membabitkan aspek bahasa, pendidikan dan sebagainya. Jika dulu orang bercakap di kedai kopi tetapi sekarang media online menjadi tempat mereka meluahkan rasa tidak puas hati.

Tetapi perselisihan pendapat, polemik dan perdebatan ini tidak berlarutan hingga kepada pertumpahan darah kerana semua etnik faham pentingnya keamanan negara,” katanya pada Syarahan Kepemimpinan Profesor Ulung bertajuk ‘Kesepaduan dalam Kepelbagaian’ di ibu negara, baru-baru ini.  Shamsul Amri yang juga Felo Utama Institut Kajian Oksidental UKM, berkata masih ada slogan seperti ‘Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara’ yang mengandaikan Malaysia mempunyai satu negara bangsa pada masa depan (seperti Indonesia).  Namun, katanya, semua pihak perlu sedar bahawa negara ini mempunyai pelbagai bangsa yang bertutur pelbagai bahasa tetapi mereka boleh hidup bersama secara aman dan harmoni.  “Di Malaysia kita berbeza. Formula perkongsian kuasa yang tidak boleh ditiru oleh negara lain. Di tempat lain mereka berperang kerana merebut kuasa. Di Malaysia memang susah untuk berkongsi kuasa tetapi kita menjadi matang dan terus bergerak ke depan. Kita ada pengalaman yang unik,” katanya.  Walaupun diakui fakta kepelbagaian dalam negara Malaysia, anggota masyarakat mesti memahami bahawa sejarah negara ini berasaskan kedudukan kerajaan etnik Melayu dan kedaulatan Islam sebagai cara hidup yang terunggul di Tanah Melayu sebelum kedatangan kolonialisme Barat dan realiti sejarah ini sudah dimuktamadkan sebelum kemerdekaan.

Jika semua pihak mengakui negara ini mempunyai kepelbagaian agama, ras dan etnik, pada masa yang sama mesti ada kesedaran dalam kalangan semua kaum bahawa negara Malaysia mesti disatukan atas beberapa persetujuan pokok.  Antara persefahaman asas itu ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan dan kuasa Raja-Raja Melayu serta keistimewaan kaum Melayu dan Bumiputera. Dalam reaksinya kepada syarahan Shamsul, Profesor Ulung Tan Sri Dr Kamal Hassan, berkata kedudukan agama Islam dengan ciri-cirinya, status Raja-Raja Melayu dan hak istimewa Bumiputera mestilah dipertahan semua penduduk negara ini, bukan digugat secara terus-menerus. Katanya, semua prinsip itu janganlah dipertikai lagi atas alasan yang diimport dari dunia sekularisme, liberalisme, pluralisme, post-moderniti atau fundamentalisme agama. Beliau berkata, kumpulan tertentu yang berpegang kepada faham pluralisme perlu sedar batasan yang sudah wujud agar perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi tidak terus disalah-tafsir.

Mohd Kamal yang juga Profesor Ulung di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata kepelbagaian dan pluralisme di Malaysia harus dibatasi dan difahami dalam perspektif fakta sejarah, keutamaan dalam membangun kesatuan negara dan kemantapan struktur sosiobudaya. Ini disebabkan, ketika dilahirkan pada 1963, Malaysia negara baru itu berlandaskan struktur sosiobudaya dan identiti Persekutuan Tanah Melayu. “Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu pasti terjejas jika dibiarkan bahasa etnik berkembang subur dengan autonomi hingga menjadi bahasa yang bersaing dengan bahasa kebangsaan dalam realiti seharian. “Lama kelamaan, perkembangan ini akan menggugat ketunggalan bahasa kebangsaan. Kita tidak mahu akhirnya bahasa etnik atau bahasa Inggeris mengecilkan kepentingan dan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai alat pemersatuan dan satu daripada bahasa ilmu di Asia,” katanya.  Beliau memberi contoh Indonesia yang juga mempunyai pelbagai etnik atau ras, agama dan bahasa tetapi berjaya menjadikan bahasa Indonesia pengikat semua kumpulan etnik.

SUMBER
BERITA HARIAN
31 OKTOBER 2011


Tiada ulasan: