JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN : USAH PERLEKEH USAHA PIBG SEKOLAH

Oleh Ismail Mat
ismailmat@bharian.com.my


Secara  tiba-tiba, seorang bapa yang sedang naik angin, menghentak anaknya ke dinding bilik disiplin kerana marah sejurus mengetahui remaja yang selama ini kelihatan baik di depannya, rupa-rupanya kaki ponteng hingga hampir dibuang sekolah.  Melihat keadaan lelaki itu yang mula naik hantu, guru disiplin yang termanggu-manggu melihat kejadian itu terpaksa bergegas menyelamatkan pelajar terbabit supaya tidak terus menjadi mangsa belasahan di depan matanya. Situasi itu bukan rekaan, sebaliknya kenyataan yang berlaku di depan mata penulis sejurus mahu memasuki sebuah bilik ketika hadir untuk mengambil rekod kemajuan pelajaran anak di sebuah sekolah di pinggir bandar raya, baru-baru ini. Bapa terbabit kembali tenang ekoran campur tangan guru berkenaan, tetapi kelihatan masih tidak berpuas hati apabila melemparkan kata-kata berbaur kemarahan: “Siap kamu, bila balik nanti!.”  Menyedari tersilap bilik, penulis pantas beredar kerana tidak berhasrat melihat drama itu lagi. Sangkaan bahawa kejadian itu terpencil nyata meleset, apabila berada di dalam kelas anak saya, secara tiba-tiba seorang ibu pula naik angin.  

“Dia ni memang malas cikgu. Kalau tak kena paksa memang dia tak baca buku, macam mana nak pandai, lain kali kalau dia buat salah, rotan saja,” bebel wanita sebaya penulis itu kepada guru berkenaan mengenai perilaku anak lelakinya.  Dua kejadian yang berlaku di depan mata itu pantas mengingatkan penulis ketika aktif dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 4 (SKSI-4) selama dua penggal ketika bertugas di Kelantan dulu.  Pembabitan dalam PIBG memberi pengalaman yang cukup bermakna buat penulis untuk memahami susah payah ahli jawatankuasanya serta guru-guru sekolah yang sentiasa berusaha membawa kecemerlangan kepada sekolah.  Pada masa sama, bukan sedikit perangai ibu bapa yang hanya tahu melemparkan kritikan, berbanding langkah memberi cadangan membina atau menghulurkan bantuan bagi meringankan beban sekolah.  Penulis yakin keadaan sama kini membelit pengurusan dan PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU), Johor Bahru kini yang berdepan isu kononnya 33 pelajarnya yang bermasalah didera petugas Penjara Kluang ketika menyertai kursus motivasi dan program pencegahan jenayah, Price of Freedom, baru-baru ini.

Program itu dibiayai PIBG sekolah terbabit dengan kos hampir RM3,000 dengan matlamat memberi kesedaran kepada setiap pelajar terpilih agar menghargai kebebasan dinikmati ketika ini, kerana perlakuan dan perbuatan mereka selama ini tidak sesuai dengan status sebagai pelajar.  Ponteng sekolah dan kelas, merokok, terbabit dalam pergaduhan serta berkhalwat yang dikaitkan dengan pelajar terbabit bukanlah suatu isu remeh, sebaliknya permulaan kepada gejala sosial lebih buruk termasuk pembabitan dengan jenayah dan dadah serta gangsterisme khususnya apabila tercicir persekolahan.  Berdasarkan pengalaman ketika bertugas di Muar suatu ketika dulu, penulis pernah membuat liputan mengenai pembabitan pelajar seawal usia 13 tahun terbabit dengan penyalahgunaan dadah, malah ketika itu ada yang mahir menanam pokok ganja. Siapa yang perlu disalahkan jika mereka ditahan polis dan merengkok sepanjang hayat di sebalik tirai besi.  Berikutan insiden terbaru di SMKBBU, mungkin jalan mudah bagi sesetengah pihak berkepentingan termasuk segelintir ibu bapa, menuding jari menyalahkan sekolah dan PIBG, tetapi hakikatnya mereka terlupa betapa ketika telunjuk itu dituding ke arah guru dan PIBG, empat lagi jari di tangan sama sedang menghala kepada diri sendiri.

Apatah lagi, ada dalam kalangan bapa kini yang sedia berkongsi rokok sekotak dengan anak-anak yang masih di bangku persekolahan, selepas mengajar mereka dari kecil dengan suruhan membantu membelinya di kedai.  Dalam kesibukan mencari rezeki bagi menyara kehidupan keluarga ketika ini, berapa ramai ibu bapa yang prihatin terhadap pelajaran serta disiplin anak-anak di sekolah, selain daripada menyerahkan sepenuhnya kepada guru-guru.  Sebelum ini, Berita Harian pernah membuat tinjauan dan liputan mengenai kegiatan sekumpulan pelajar ponteng di pinggir bandar raya Johor Bahru. Mereka yang ditemui mengakui keluar dari rumah pada awal pagi dengan berpakaian seragam tetapi tidak sampai ke sekolah, sebaliknya melencong melepak di taman rekreasi.  Pelbagai alasan diberikan untuk menghalalkan perbuatan ponteng masing-masing, keadaan itu juga menunjukkan betapa hakikat sebenarnya ibu bapa masing-masing tidak pernah cakna mengenai pelajaran anak-anak di sekolah apabila meletakkan kepercayaan bulat kepada remaja terbabit selepas diwayangkan dengan tingkah laku baik dan sopan santun di depan mata.  

Berapa ramai ibu bapa yang menyimpan nombor telefon sekolah atau guru kelas anak masing-masing dan menghubungi mereka bagi bertanya khabar mengenai prestasi pelajaran atau pemeriksaan mengejut sama ada anak hadir ke sekolah atau sebaliknya.  Ketika berada di sekolah anak tempoh hari juga, penulis mendapati ramai ibu bapa tidak hadir mengambil rekod kemajuan pada hari yang dikhususkan untuk perbincangan sebarang isu mengenai pelajaran dan disiplin anak-anak. Jika begitu keadaan sikap ibu bapa, siapa yang harus dipersalahkan.  Bagi penulis, sikap tidak prihatin ibu bapa terhadap pelajaran anak-anak serta kehidupan sosial harian mereka dengan alasan anak yang sedang meningkat remaja demikianlah sikapnya, menjadi punca pelbagai masalah sosial membelit generasi muda masa kini.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian Johor

SUMBER
BERITA HARIAN
4 OGOS 2011

Tiada ulasan: