JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 Ogos 2011

ISU SOSIAL : MEMAKNAI NKRA KE-7

Oleh
KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN
pemerhati sosio-politik.


Peningkatan kos kehidupan bukan lagi perkara yang boleh dipandang mudah. Impaknya cukup jelas dan ketara. Kuasa beli kita tidak lagi seperti dahulu. Ramai teman penulis yang mengemukakan pandangan yang sama. Pembelian keperluan mingguan di Pasar Tani, yang selalu diangkat sebagai model 'ideal', pengeluar terus kepada pengguna pun belum tentu mampu menzahirkan harga yang rendah dan berpatutan. Apabila Ditanyakan kepada peniaga, alasan mereka mudah, "kami ambil barang pun dah mahal bang." Maka, yang terus ditekan adalah pengguna dan rakyat biasa. Usaha mewujudkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ke-7 khusus untuk 'memerangi' kos kehidupan ini memang wajar dan tepat. Namun, ia mestilah diisi dengan inisiatif dan usaha tuntas dalam mengurangkan beban rakyat biasa. Apa yang diungkap sebagai 'National Key Result Areas' (NKRA) ini juga perlu diberikan interpretasi yang lebih mudah dan senang. Elok juga kalau NKRA ini ditaktrif sebagai 'Nikmat Kepada Rakyat Awam' dalam pada kita bersungguh 'memerangi' apa yang menjadi beban kepada mereka selama ini. Kepada rakyat yang mahu mengkaji dan berfikir, memang perlu mengakui bahawa kerajaan sudah pun melakukan banyak perkara dalam mengisi tanggungjawab berat ini.

Tidak ada kerajaan di dunia yang boleh terus-terusan menggunakan 'model subsidi' buat selama-lamanya. Malahan, sebuah adikuasa seperti Amerika Syarikat juga sudah mula berkira-kira untuk memotong banyak bantuan yang selama ini diberikan kepada rakyat - baik dalam bidang kesihatan, pendidikan dan sebagainya. Ini membayangkan, bahawa persoalan peningkatan 'kos' ini bukan sahaja soal rakyat; malahan juga menjadi masalah 'kerajaan'. Namun, beban lebih berat mestilah kepada kerajaan yang menanam niat untuk kekal berkuasa. Rakyat punya 'kelebihan' dalam bab ini. Namun, sama ada rakyat mahu menggunakan hak mereka berlandaskan rasional atau emosi adalah satu perkara yang lain. Dalam situasi 'perang' kenaikan kos dan harga barang - kerajaan dan rakyat mestilah menjadi rakan strategik. Kita mestilah sama-sama berusaha dalam memastikan tidak ada yang mengambil kesempatan daripada situasi kenaikan kos harga barang dan inflasi ini. Yang jelas, inflasi dan kenaikan kos dan harga barang ini tidak sahaja berlaku di halaman kita. Ianya menjadi fenomena dunia. Ramai ahli ekonomi mengatakan, inflasi yang dituruti oleh pembangunan ekonomi adalah satu simtom biasa.

Namun, pada masa yang sama, inflasi juga boleh menjadi 'penghalang' kepada pembangunan ekonomi yang lebih meyakinkan. Soalnya, di mana garis yang mengatakan inflasi itu 'biasa' atau 'luar biasa'? Kita perlu mengetepikan pandangan lama bahawa inflasi dan kenaikan harga barang akan hanya memberikan kesan kepada kelompok miskin. Kita jangan mengambil mudah dengan golongan 'berpendapatan rendah dan sederhana di bandar' yang boleh sahaja menjengah kumpulan 'miskin' jika dikira pendapatan bersih setelah ditolak segala tanggungan yang ada! Dalam satu kajian yang dilakukan, mereka yang berpendapatan rendah terpaksa memperuntukkan hampir 94 peratus pendapatan kepada perkara-perkara yang sangat asas. Apakah dengan baki enam peratus pendapatan itu mereka mampu untuk menjalani hidup di bandar? Perlu diingatkan bahawa senario sama tidak sahaja berlaku di Kuala Lumpur; malahan boleh sahaja berlaku di Johor Bahru, Pulau Pinang dan bandar-bandar besar yang lain. Memerangi kos kehidupan tinggi dengan mengeluarkan 'setem makanan' boleh menjadi beban jangka panjang.

Menarik balik 'subsidi' dalam apa sahaja bentuk; setem makanan ataupun apa sekalipun akan menjadi suatu tindakan paling tidak popular dan mempunyai kesan politik. Apakah tidak ada pendekatan jangka panjang yang lebih baik dalam mengendali kumpulan gelandangan yang semakin ramai pada ketika ini? Ramai rakan penulis yang bekerja di bandar berasa lebih tertekan dengan suasana ekonomi yang ada. Gaji mendapat kenaikan minimal. Harga barang makin meningkat. Kenaikan bil elektrik bukan perkara mainan. Lantas, mereka inilah yang berasa kecewa sekiranya matlamat ekonomi masih lagi terlalu fokus kepada kelompok miskin; sedang mereka juga memerlukan pembelaan oleh kerajaan. Bukankah ada matlamat NKRA lain yang lebih tertumpu kepada kelompok miskin? Matlamat NKRA ke-7 mestilah mempunyai spektrum yang lebih luas. Malahan, tidak ada salahnya jika penyelidikan impak kenaikan kos kepada 'kemiskinan bandar' (urban poverty) menjadi salah satu elemen utama kepada NKRA ke-7. Apa yang diharapkan oleh rakyat adalah suatu 'pelan ekonomi' yang lebih mampu memberikan mereka sedikit keselesaan.

Dalam pada kita berbicara tentang 'ekonomi bernilai tinggi' (high income economy), kita mesti selalu juga menilai sama ada kita mampu melaksanakan proses 'penghijrahan' kemampuan ekonomi miskin kepada sederhana; dan kelompok sederhana kepada suatu kedudukan yang lebih selesa. Kita jangan terlalu gemar menggunakan bahasa 'ekonomi bernilai tinggi' jika kita tidak benar-benar memastikan perubahan berlaku di peringkat yang paling akar. Rakyat pada umumnya, tidak berminat untuk tahu siapa yang menjadi peneraju kepada NKRA ke-7. Apa yang lebih utama adalah 'kesan dan impak' yang nyata kepada rakyat. Jangan kita terlalu mendahulukan ekonomi bersifat 'atas kertas' dan tidak benar-benar menyelesaikan masalah rakyat. Jangan kita nampak hebat dengan pelbagai kenyataan, namun rakyat tidak 'merasai' apa yang sedang kita usahakan. Jurang inilah yang sebenarnya perlu diberikan perhatian. Sebenarnya, apa yang lebih diperlukan pada ketika ini adalah usaha 'sinergi' antara kementerian yang lebih cekap dan efektif. Dua kementerian mesti diangkat sebagai pelaksana utama kepada kempen memerangi kos kehidupan ini - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dua kementerian ini mesti membentuk sinergi dan kerjasama dalam memastikan usaha memerangi peningkatan kos di peringkat yang paling asas. Pemantauan tidak boleh lagi dibiarkan menjadi tugas rutin yang tidak menjanjikan solusi yang lebih besar. Kementerian-kementerian lain juga mesti sama-sama membantu dalam usaha memerangi 'kos kehidupan' ini. Memang benar, dalam banyak segi kita masih lagi bernasib baik kerana kerajaan memperuntukkan amaun yang sangat besar dalam memastikan kesejahteraan rakyat berada di tahapnya yang baik. Komitmen kerajaan dalam memastikan bantuan diteruskan kepada rakyat terbanyak; baik dalam bentuk subsidi ataupun pembangunan infrastruktur awam mestilah dihargai. Semua ini tidak datang secara begitu sahaja, tanpa ada intervensi dan kesungguhan pelaksanaan pihak kerajaan. Komitmen kerajaan untuk memberikan tumpuan kepada NKRA ke-7, memerangi kos kehidupan ini adalah tepat pada masa dan keadaan ekonomi yang ada. 


Dengan perancangan yang baik dan tersusun, komunikasi yang jelas - ia akan mampu menterjemah sokongan politik yang lebih merata. Hakikatnya, isu kenaikan harga ini rentas sempadan bangsa, geografi dan fahaman politik. Kemampuan kerajaan menzahirkan program dan inisiatif baik akan pastinya dihargai rakyat. Pada pandangan penulis, kerajaan tidak perlu menunggu sehingga pembentangan bajet dalam memastikan beban kenaikan kos kepada rakyat dapat diatasi. Malahan, bajet nanti wajar menjadi peneguh kepada pelan jangka panjang ekonomi yang lebih tersusun kemas. Penyenaraian program memerangi kenaikan kos kehidupan pastinya mampu menolak ayat politik kononnya strategi bajet nanti khusus untuk pilihan raya. Kerajaan yang wibawa tidak hanya bergantung kepada pembentangan bajet dalam menarik kepercayaan rakyat.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 OGOS 2011

Tiada ulasan: