Kekacauan yang sedang melanda wilayah autonomi China, Xinjiang jarang mendapat perhatian antarabangsa mungkin kerana mereka yang terlibat adalah golongan minoriti etnik Islam Uighur yang tidak mempunyai pengaruh manakala Beijing pula kuasa besar dunia yang agak sukar untuk ditegur. Pertembungan terbaru meletus pada hujung minggu lepas di bandar bersejarah Kashgar yang mengakibatkan 18 orang terkorban. Semenjak kebelakangan ini terlampau kerap berlaku kekacauan dan seperti yang dijangkakan setiap perselisihan yang meletus telah melibatkan dua golongan utama iaitu China Han dan Islam Uighur. Perlu diingatkan bahawa Xinjiang pada satu ketika dahulu adalah Turkestan Timur dan majoriti penduduk adalah kaum Islam Uighur. Bahasa yang dipertuturkan adalah lebih mirip kepada bahasa Turki dan budaya hidup yang diamalkan lebih rapat kepada negara Asia Tengah seperti Kazakhstan dan Turkmenistan berbanding dengan China. Segala-galanya mula berubah apabila Xinjiang menjadi sebahagian daripada China pada tahun 1949 dan dasar yang diamalkan oleh Beijing langsung tidak mengambil kira sensitiviti penduduk asal Uighur terutama sekali dalam hal agama, budaya dan bahasa.
Tidak dapat dinafikan semenjak mengambil alih Xinjiang, Beijing telah sedaya upaya membawa pembangunan terutama sekali semenjak dua dekad yang lepas. Xinjiang sememangnya kaya dengan hasil sumber asli, tetapi penerokaannya memerlukan kepakaran dan perbelanjaan yang besar dan di sinilah kehadiran Beijing dirasakan telah memberi manfaat kepada wilayah tersebut. Tetapi timbul ketidakadilan dasar Beijing dalam membahagikan kekayaan ekonomi hasil pembangunan Xinjiang kerana sebahagian besarnya dibolot oleh kaum China Han. Walaupun Uighur adalah penduduk asal Xinjiang, mereka tidak mampu menyaingi kaum China Han bukan kerana kelemahan mereka, tetapi dasar Beijing yang memberi kelebihan kepada kaum Han sahaja. Keharmonian kehidupan Xinjiang mula tergugat apabila Beijing mengamalkan dasar menggalakkan penghijrahan kaum China Han ke Xinjiang pada awal tahun 1970-an. Pada tahun 1949 kaum China Han hanya merangkumi 6 peratus dari keseluruhan penduduk Xinjiang. Akibat daripada dasar penghijrahan Beijing, hari ini kaum China Han merupakan kumpulan majoriti penduduk wilayah tersebut dan paling mengaibkan pula ialah menjadikan Uighur sebagai penduduk minoriti di negara sendiri.
Sepatutnya kehadiran kaum China Han tidak memberi masalah tetapi membawa kebaikan kerana kaum ini lebih berpelajaran yang boleh diguna sebagai pemangkin pembangunan Xinjiang. Tetapi oleh kerana dasar Beijing yang berat sebelah memberi keutamaan kepada kaum etnik sendiri, maka sebahagian besar ekonomi dan jawatan pentadbiran kerajaan dibolot oleh satu kaum sahaja, iaitu China Han. Tetapi apa yang paling menarik adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Xinjiang yang menegaskan militan yang terbabit dalam serangan terbaru terdiri daripada kaum Uighur itu telah mendapat latihan ketenteraan dari Pakistan. Selama ini Beijing tidak pernah mengaitkan kegiatan militan Uighur dengan Pakistan kerana kebiasaannya hanya mengaitkan dengan kumpulan Al Qaeda sahaja. Tetapi masyarakat antarabangsa tidak pernah mengendahkan kaitan tersebut kerana tidak ada bukti kukuh yang mengaitkan militan Uighur berada di bawah pengaruh Al Qaeda. Tuduhan terbuka Beijing yang mengaitkan pembabitan militan Pergerakan Islam Turkestan Timur (ETIM) yang mendapat latihan di Pakistan merupakan satu isyarat diplomatik yang agak keras kepada Islamabad kerana selama ini kedua-dua negara tersebut adalah sekutu kuat.
Tidak menghairankan jika India, Amerika Syarikat atau Afghanistan yang sering menuduh Pakistan melindungi kegiatan militan kerana setiap negara berkenaan mempunyai kepentingan untuk menekan Islamabad. Mungkin juga China mendapati begitu sukar untuk mengawal keadaan di Xinjiang akibat dari aktiviti pejuang pemisah Uighur sehingga memaksa Beijing mengeluarkan kenyataan keras yang ditujukan khas kepada Islamabad. Lebih menarik adalah tuduhan tersebut dkeluarkan ketika Pengarah Organisasi Perisikan Pakistan (ISI) Lt. Gen. Ahmed Shuja sedang melakukan lawatan ke China. Rentetan daripada kenyataan Beijing itu, Islamabad telah berjanji akan memberi kejasama penuh untuk mengawal kegiatan militan ETIM di bumi Pakistan. Tidak dapat dinafikan terdapat militan Uighur yang mendapat latihan di Pakistan tetapi untuk mengaitkan faktor tersebut dengan kekerapan kejadian kekacauan di Xinjiang adalah hipotesis yang berat sebelah. ETIM umpamanya walaupun masih bergerak cergas tetapi diangap sebagai organisasi yang agak lemah. Kesemua kekacauan yang timbul adalah akibat dasar berat sebelah Beijing yang mengakibatkan rasa tidak puas hati kaum Uighur.
Kekacauan terbaru di Kashgar umpamanya didalangi oleh dua penduduk kaum Uighur yang hanya bersenjatakan pisau dan bukannya kumpulan militan menggunakan bom atau senjata api. Apa yang perlu difahami oleh Beijing adalah dasar yang diamalkan mestilah sama rata dan tidak berat sebelah seperti hanya memberi keutaaman kepada kaum tertentu sahaja. Penyelesaian tidak akan dapat dicari jika Beijing masih berdegil mahu menyalahkan pihak luar dengan apa yang berlaku di Xinjiang. Adalah lebih baik Beijing mempelajari dasar yang telah diamalkan oleh Kuala Lumpur selama ini. Walaupun Malaysia mempunyai penduduk majoriti yang bertutur bahasa Melayu, tetapi dasar kerajaan tidak pernah menafikan bahasa ibunda bangsa lain. Perhatikan sahaja dalam sistem pendidikan negara yang langsung tidak menafikan kehadiran bahasa ibunda dan budaya masing-masing. Jika ada satu kaum yang mempunyai kekuatan dalam bidang ekonomi umpamanya, dasar Kuala Lumpur ialah kekayaan tersebut tidak boleh dinafikan kepada kaum lain yang agak tertinggal.
PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 OGOS 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan