Berpuluh-puluh guru wanita di Qatar yang memohon untuk bertukar kerja mendakwa kurang yakin dengan masa hadapan mereka, selain tidak tahan dengan bebanan kerja. Keadaan itu tercetus ekoran pengumuman kerajaan supaya pendidik digalak memohon pekerjaan di sektor awam lain. Sebanyak tiga tingkat di bangunan sumber manusia dipenuhi puluhan guru yang ingin memohon pekerjaan baru yang dapat menjamin masa depan mereka. Lebih ramai lagi guru dijangka meninggalkan jawatan mereka menyebabkan sekolah menghadapi masalah untuk mencari pengganti tenaga pengajar.
Tindakan guru berkenaan didorong rasa bimbang terhadap masa depan profesyen mereka. Waktu persekolahan yang panjang dan tanggungjawab untuk menghadiri bengkel serta aktiviti di luar waktu persekolahan antara penyebab utama guru berkenaan mencari pekerjaan baru. Janji kerajaan untuk memberi ganjaran kepada guru seperti anugerah berbentuk kewangan dan kenaikan gaji sejak tahun lalu belum lagi ditunaikan. Terdapat juga guru yang tidak puas hati kerana ditukarkan secara drastik hingga memaksa mereka mengajar di sekolah yang jauh dari kediaman. Kerajaan menolak permohonan guru Matematik, Fizik, Sains dan bahasa Inggeris untuk berpindah berdekatan dengan kediaman mereka berikutan kebanyakan sekolah menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar dalam subjek berkenaan. Oleh itu, guru terbabit perlu terus mengajar atau meletakkan jawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan