JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 Oktober 2010

ISU KENEGARAAN : RUKUN NEGARA

Tajuk Karangan:
Rukun Negara dijadikan ideologi Negara untuk melahirkan rakyat yang bersatu padu. Namun kini, prisip Rukun Negara makin terpinggir dan seolah-olah dilupakan. Huraikan kepentingan penghayatan Rukun Negara dan langkah-langkah ke arah memupuk kesedaran untuk menghayatinya.


Rukun Negara merupakan ideologi kebangsaan Malaysia yang diperkenalkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970. Rukun Negara bertujuan untuk membentuk keperibadian rakyat negara ini sebagai bangsa Malaysia yang bersatu padu. Terdapat lima prinsip ideologi yang menjadi tonggak perpaduan antara rakyat supaya dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera selama-lamanya. Namun pada masa ini, prinsip rukun negara makin terpinggir dan dilupakan oleh masyarakat kita terutamanya dalam kalangan generasi muda. Oleh itu, kepentingan penghayatan Rukun Negara dan pelbagai langkah yang efektif untuk memupuk kesedaran rakyat Malaysia dalam menghayati prinsip-prinsip rukun negara akan dibincangkan.

Pada hemat saya, kepentingan penghayataan rukun negara ialah dapat melahirkan rakyat yang taat kepada agama dan patuh pada undang-undang dan peraturan negara yang ditetapkan. Salah satu prinsip rukun negara  iaitu kepercayaan kepada Tuhan dan kedaulatan undang-undang. Hal ini demikian kerana semua agama di dunia telah mengajak manusia melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan. Rakyat yang mendekatkan diri dengan Tuhan akan menghindarkan diri daripada gejala yang tidak sihat seperti terlibat dalam ajaran sesat, rasuah, pecah amanah dan sebagainya. Individu yang patuh pada agama dan undang-undang tidak akan melanggar undang-undang yang telah ditetapkan untuk kebaikan dalam semua perkara seperti melanggar peraturan jalan raya dan merampas hak orang lain. Jelaslah bahawa penghayatan rukun negara dapat melahirkan rakyat yang taat kepada agama dan patuh undang-undang.

Selain itu, rakyat dapat melahirkan jati diri yang tinggi melalui penghayatan rukun negara. Individu yang patuh pada prisip rukun negara akan sentiasa mempunyai jati diri yang utuh dan teguh dalam menjalani kehidupan. Dengan ini mereka dapat mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan budaya Barat atau budaya hedonisme seperti terlalu berteraskan hiburan yang melampau, pergaulan bebas tanpa batas, dan hilang amalan berbudi bahasa. Individu yang setia kepada raja dan negara tidak akan belot dan menjadi pengkhianat negara. Tuntasnya, penghayataan rukun negara dapat melahirkan rakyat yang mempunyai jati diri.

Di samping itu, penghayatan rukun negara dapat mewujudkan warga Malaysia yang harmoni dan bersatu padu. Melalui penghayatan rukun negara kita dapat mendorong dan mengamalkan budaya serta tabiat hormat-menghormati, tolong-menolong, kasih sayang dan amanah dalam kalangan masyarakat. Hasilnya, kita dapat  mewujudkan warga yang harmoni di samping negara yang damai dan aman. Hal ini  amat bersesuaian dengan prisip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan yang menggalakkan rakyat sentiasa bersikap baik dan mempunyai nilai ketimuran yang murni. Hal tersebut dapat menghindarkan sikap memburukkan orang lain, terutamanya individu yang mempunyai agama berbeza. Jelaslah bahawa warga Malaysia yang harmoni dan bersatu padu dapat dibentuk melalui penghayatan  rukun negara.

Satu daripada langkah yang efektif untuk memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat untuk menghayati prinsip-prinsip rukun negara ialah melalui sistem pendidikan. Pendidikan awal hendaklah bermula di rumah. Ibu bapa perlu menjadi role model dan teladan kepada anak-anak mereka terutama dalam aspek kesopanan dan keagamaan. Di samping itu, pendidikan dapat diteruskan dengan lancar di sekolah terutamanya pelajar dididik oleh guru-guru untuk menghayati prinsip rukun negara melalui mata pelajaran pendidikan moral dan pendidikan sivik dan kewarganegaraan. Kelima-lima prinsip rukun negara sentiasa dilaung-laungkan melalui pembacaan ikrar dalam perhimpunan sekolah. Kelima-lima prinsip tersebut juga perlu dipaparkan pada papan kenyataan dan dinding bangunan sekolah. Jelaslah bahawa pendidikan merupakan strategi terbaik untuk menyemai sikap menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip rukun negara dalam kalangan rakyat Malaysia.


Tambahan pula, peranan kerajaan turut berperanan penting dalam mendorong dan memupuk kesedaran untuk menghayati prinsip rukun negara. Pihak kerajaan harus mengadakan kempen kesedaran kepada rakyat agar menghayati prinsip rukun negara dengan sepenuhnya. Kempen kesedaran boleh diadakan di semua jabatan kerajaan, sektor swasta dan petubuhan bukan kerajaan (NGO). Pihak yang berkenaan boleh menggunakan media massa seperti televisyen, radio dan laman web yang merupakan wahana utama menyebarkan maklumat kepada semua lapisan masyarakat dari semasa ke semasa. Dengan ini, tahap kesedaran rakyat tentang peri pentingnya rukun negara dalam kehidupan mereka sentiasa mekar dan subur dalam jiwa mereka.


Langkah yang seterusnya adalah mengadakan pertandingan dari semasa ke semasa. Pertandingan seperti forum, melukis postar, kuiz dan menulis esei secara tidak langsung dapat  menggalakkan orang ramai mengamalkan prinsip rukun negara. Bagi pertandingan tersebut. kita dapat mengalu-alukan penyertaan penduduk setempat, terutamanya para pelajar untuk mengambil bahagian. Dengan itu, mereka dapat meluahkan pandangan dan pendapat melalui pertandingan-pertandingan tersebut. Mereka akan lebih bertanggungjawab dengan hal-hal yang berkaitan dengan kenegaraan dan sejarah awal penubuhan negara Malaysia yang tercinta ini.


Konklusinya, penghayatan prinsip rukun negara sangat penting dalam negara kita kerana dapat memberi manfaat bagi mengeratkan hubungan antara kaum tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan. Dengan ini, pembangunan negara dapat dijalankan dengan pesat pada masa depan. Oleh itu, pihak kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) harus bertindak seia sekata, sehati sejiwa bagai aur dengan tebing untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan menghayati prinsip rukun negara. Mudah-mudahan, kita dapat mewujudkan sebuah negara yang sentiasa dipayungi keharmonian dan kesejahteraan.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sangat-sangat baik