JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Oktober 2010

ENGKAU TIDAK KESEORANGAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hidup ini suatu perjuangan. Perjuangan memerlukan semangat juang yang tinggi. Semangat juang yang tinggi perlukan sokongan. Tanpa sokongan semangat mudah luntur dan lebur bagai ketulan ais yang semakin lama semakin mengecil dan akhirnya lenyap tanpa dapat dikesan. Begitu jua dengan hidup seseorang pelajar. Kejayaan seseorang pelajar memerlukan sokongan daripada ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan dan sesiapa sahaja.

Sokongan yang diberikan akan menjadikan mereka lebih mudah berhadapan dengan cabaran dan rintangan yang mendatang. Sokongan daripada ibu bapa dan ahli keluarga akan menjadikan seseorang pelajar lebih kuat dan sentiasa ceria menghadapi hari-hari yang mendatang. Segala keluhan dan permasalahan akan didengari dan diselesaikan. Dengan ini segala batu-batu penghalang yang bergelimpangan di sepanjang perjalanan perjuangannya dapat dikuis ke tepi dengan mudah sehingga segala yang susah menjadi mudah. Sokongan daripada guru-guru akan menjadikan seseorang pelajar lebih mudah menguasai ilmu. Guru ibarat tangkal azimat kepada pelajar. Walaupun kehadiran mereka dalam hidup seseorang pelajar dalam pelbagai rupa, sifat, saiz dan perwatakan yang berbeza, namun kata-kata sokongan yang diberikan oleh setiap orang guru amat besar maknanya. Sokongan rakan-rakan pula akan menjadikan segalanya lebih mudah. Perjalanan mereka menuju ke mercu kejayaan akan lebih ceria dan indah dengan adanya sokongan rakan-rakan sebaya yang sehati sejiwa.

Oleh itu, dalam menghadapi hari-hari yang semakin hampir dengan hari peperiksaan sebenar, pelajar-pelajar sekalian memang memerlukan sokongan padu. Janganlah berjuang secara berseorangan kerana banyak yang ingin membantu berada disekeliling anda. Jika anda keliru mintalah sokongan ayah dan ibu, jika anda lesu mintalah bantuan guru, jika anda buntu mintalah bimbingan rakan-rakan yang sudi membantu. Percayalah, anda tidak berseorangan di dunia yang luas ini.

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan: