Hari ini tahun 2010 akan melabuhkan tirainya. Esok bermulalah lembaran baru tahun 2011. Sudahkah kita penuhi segala perancangan kita pada tahun ini dengan jayanya? Atau ia ditinggalkan dengan seribu satu rasa terkilan dek kerana masih ada saki baki perancangan tahun ini yang tidak sempat dilaksanakan sepenuhnya. Walau apa juga pengakhiran tahun ini, usahlah dikesali. Usah juga berputus asa sekiranya ada di antara perencanaan kita tidak tercapai. Sebaliknya, segala kelemahan dan kekurangan pada tahun ini seharusnya dijadikan iktibar dan pendorong kepada kita untuk terus mengorak langkah dengan tekad dan azam yang lebih tinggi bagi menyempurnakan segala perancangan yang tertangguh dan juga perancangan baru yang ingin direalisasikan.
Begitu juga dengan pelan dasar negara yang meliputi semua aspek pembangunan dan masyarakat termasuklah pelan pemuliharaan alam sekitar yang mungkin masih lagi belum mencapai tahap seperti yang diharapkan. Salah satu pelan yang begitu serius diberi perhatian di bawah pelan pemuliharaan alam sekitar ialah misi antarabangsa untuk melindungi populasi harimau yang saban hari kian dihimpit kepupusan. Pendirian Malaysia untuk terus memberi komitmen bagi melindungi dan memulihara populasi harimau semasa Sidang Kemuncak Harimau yang diadakan di St. Petersburg, Rusia baru-baru ini jelas mencerminkan keprihatinan dan kesungguhan kepimpinan negara dalam menangani masalah kepupusan populasi tersebut.
Malah, menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas, tindakan berani dan tegas yang diambil akan membolehkan populasi harimau liar di peringkat global berganda menjelang tahun 2020 dalam usaha mengatasi masalah kepupusan haiwan tersebut. Keputusan serta tindakan yang berani dan tegas yang diambil oleh pemimpin melalui program Pemuliharaan Harimau Global (GTRP) merupakan satu momentum penting dalam usaha menyelamatkan harimau liar, di samping memastikan jumlahnya bertambah dari semasa ke semasa. Ia juga merupakan antara langkah wajar yang diambil oleh negara bagi meneruskan kesinambungan daripada Pelan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCAP) yang digunapakai oleh Malaysia bermula pada tahun lepas.
Antara objektif utama NTCAP ialah untuk memastikan negara mempunyai sebanyak 1,000 harimau liar menjelang tahun 2020. Persoalannya, mampukah kita mencapai sasaran itu untuk tempoh tersebut? Jika diamati kepada 80 pelan tindakan yang telah digariskan di bawah NTCAP, adalah tidak mustahil untuk negara mencapai objektif tersebut. Lebih-lebih lagi, ia turut dilaksanakan dengan usahasama pelbagai pihak baik di peringkat nasional mahupun di peringkat global. Dengan kolaborasi yang melibatkan penyertaan ramai pihak, ia pastinya memudahkan lagi pelaksanaan dilakukan secara lebih menyeluruh. Cuma, apa yang penting adalah komitmen dan kerjasama yang konsisten dan berterusan daripada semua pihak bagi merealisasikannya.
Objektif NTCAP juga dilihat mempunyai potensi yang besar untuk dicapai apabila Malaysia tidak hanya seratus peratus bergantung kepada pelan-pelan yang telah digariskan semata-mata. Sebaliknya, kepimpinan negara lebih bersikap optimis dengan turut mengambil pelbagai langkah sampingan secara proaktif yang jelas mempamerkan kesungguhan negara dalam menyokong matlamat peningkatan populasi harimau liar. Antara salah satu tindakan sampingan yang diambil ialah moratorium yang telah dibuat di seluruh negara terhadap kegiatan memburu spesies harimau liar bermula pada tahun lepas. Ia merupakan langkah awal sebagai penggerak kepada langkah-langkah yang seterusnya untuk melindungi populasi harimau daripada mengalami kepupusan.
Walau bagaimanapun, langkah ini diharap tidak hanya bermusim sahaja, sebaliknya ia perlu diteruskan untuk tahun-tahun yang berikutnya bagi memastikan kegiatan pemburuan ke atas spesies harimau dapat dihentikan sepenuhnya. Tindakan ini penting agar populasi harimau tidak terus dieksploitasi dengan sewenang-wenangnya sehingga boleh mengakibatkan populasi tersebut menerima nasib yang sama sebagaimana spesies-spesies yang telah pupus sebelum ini. Lebih membimbangkan lagi apabila Tabung Hidupan Liar Dunia mengeluarkan kenyataan bahawa hanya terdapat kira-kira 3,200 ekor harimau berbanding kira- kira 100,000 ekor seabad lalu di seluruh dunia. Bayangkan telah berapa banyak populasi harimau yang telah kita sia-siakan begitu sahaja sehingga memperlihatkan jurang yang begitu besar daripada jumlah asal.
Pernahkah kita fikir apa akan terjadi kepada ekosistem jika populasi ini pupus? Sedangkan, kita seharusnya sedar bahawa harimau merupakan antara komponen yang cukup penting di dalam ekosistem. Misalnya, ia merupakan pemangsa utama kepada babi hutan (Sus barbatus) yang membiak dengan cepat dan menyebabkan kerosakan yang besar dengan mengorek dan memakan tanaman dalam hutan, kebun dan juga dusun. Dengan adanya spesies harimau, ia dapat membantu mengurangkan populasi babi hutan. Apabila populasi babi hutan terkawal, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan populasi perosak terhadap tanaman manusia. Ini sekali gus akan membantu meningkatkan hasil pertanian negara ekoran kurangnya pemangsa terhadap tanaman pertanian. Menyedari hakikat pentingnya populasi ini, ia mesti dipulihara dan dilindungi sepenuhnya walau apa pun kekangan yang menghambat.
Jika diimbas perancangan di bawah Rancangan Malaysia ke-10, didapati kerajaan telah meluluskan projek penyelidikan khas mengenai pengawasan harimau dalam usaha mengawasi pelaksanaan NTCAP dan juga untuk melihat sejauh mana perkembangan jumlah sebenar harimau di hutan. Ini juga merupakan antara usaha bersepadu yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Dengan data-data yang dikumpul daripada projek penyelidikan tersebut kelak, ia diharap dapat membantu menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa bagi memastikan objektif NTCAP mampu dicapai untuk tempoh yang disasarkan. Selain itu, dalam memastikan pelaksanaan NTCAP berjalan lancar dan sempurna, ia juga menuntut peruntukan yang tinggi terutama dari segi kos, modal insan dan juga teknologi.
Justeru, tindakan Malaysia yang menyokong penuh cadangan Wildlife Premium Market+ REDD merupakan satu langkah yang bijak. Ini memandangkan, kita harus akui bahawa bukan sedikit kos yang diperlukan bagi pemuliharaan harimau dan habitatnya. Ia melibatkan kos yang agak besar. Oleh itu, dengan sokongan padu terhadap Wildlife Premium Market+REDD, negara maju akan lebih komited dan boleh memainkan peranan yang lebih banyak dalam pemuliharaan harimau di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa usaha ini tidak akan berhasil jika ia tidak dikuatkuasakan dan disokong oleh kerjasama yang mantap di peringkat antarabangsa bagi membanteras perdagangan rentas sempadan yang melibatkan haiwan liar secara haram. Di samping itu, usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan untuk pemuliharaan populasi harimau juga perlu disambut baik oleh setiap lapisan masyarakat agar populasi ini dapat digandakan. Setidak-tidaknya dengan sokongan padu semua pihak, ia akan melancarkan lagi usaha pemuliharaan harimau yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia pada hari ini.
Oleh Rosmidzatul Azila Mat Yamin
Pegawai Penyelidik
Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar