Umat Islam sepatutnya menghargai masa jika mereka ingin membangun dan berjaya dalam kehidupan di dunia ini. Kemudahan teknologi komunikasi jika disalah gunakan akan mengundang pelbagai risiko dan kesan negatif dalam kehidupan umat Islam. Peristiwa perceraian melalui pesanan ringkas telefon bimbit sudah menjadi lumrah suami melafazkan talak kepada isteri. Perkahwinan merupakan satu institusi yang mulia di mana melalui perkahwinan, manusia dapat menyalurkan hubungan kasih sayang secara bermaruah. Adat dan cara umat Islam menyambut hari perkahwinan dengan begitu meriah menunjukkan bahawa hubungan suami isteri merupakan simbol kebahagiaan. Bagi membina kebahagiaan rumah tangga, tanggung jawab dan peranan suami isteri perlu difahami secara jelas. Jika seorang lelaki mempunyai kewibawaan dan bertanggungjawab, beliau tidak akan melafazkan talak melalui SMS kepada isterinya.
Perceraian merupakan satu perkara diharuskan walaupun dibenci oleh Allah. Apabila wanita dilamar dengan pelbagai adat dan istiadat, maka perceraian juga perlu mengikut adat dan istiadat. Sejauh manakah lelaki Islam dapat menghayati konsep hidup berumah tangga merupakan persoalan yang sering terukir dalam minda wanita masa kini. Konteks kehidupan masa kini memerlukan satu reformasi minda di kalangan lelaki dan wanita supaya perubahan zaman dapat menjamin kebahagiaan rumah tangga. Apabila isteri keluar rumah mencari nafkah dan menunaikan tanggungjawab masyarakat dan negara, maka suami sepatutnya merenung dan berfikir betapa penat dan letihnya isteri membantu beliau mencari nafkah kehidupan. Ketika ini, terdetik dalam hati nurani suami bahawa pengorbanan isteri perlu dihargai dengan cara membantu isteri melaksanakan tugas rumah tangga, bukan asyik melayan internet mencari rakan melalui Facebook dan seumpamanya.
Penat dan lelah kerana bekerja tidak memungkinkan wanita menunaikan kehendak naluri suami secara sempurna. Lelaki Islam masa kini sepatutnya melihat perubahan zaman dan konteks kehidupan masyarakat Islam secara rasional, bukannya memaksa isteri akur kepada budaya yang memenatkan dan meletihkan. Dalam konteks kehidupan masyarakat Islam di Malaysia kini, wanita yang bekerja di luar rumah membantu suami mencari nafkah, hidup mereka lebih terbeban berbanding dengan wanita yang menjadi suri rumah tangga sepenuhnya. Mencari nafkah dan menentukan kesempurnaan hidup berumah tangga merupakan tanggungjawab khusus suami mengikut perspektif Islam. Oleh itu, hak talak diberi kepada lelaki secara mudah berdasarkan kepada beban tanggung jawab mereka terhadap ahli keluarga.
Tetapi hari ini, tugas menentukan nafkah kehidupan keluarga turut dikongsi oleh isteri. Struktur sosial masyarakat Islam dalam negara kini memberi peluang kepada suami berhibur dan menghabiskan masa lapang dengan pelbagai kegiatan menyeronokkan. Kecanggihan teknologi komunikasi memberi banyak peluang kepada suami yang tidak bertanggung jawab menghabiskan masa mencari rakan dan teman untuk berceloteh melalui Facebook dan melayari laman web yang menyeronokkan, sedangkan para isteri dengan tenaga yang lemah memaksa diri melayani anak-anak dan menyediakan makanan untuk ahli keluarga. Facebook juga boleh dianggap sebagai racun jiwa atau kerohanian jika seseorang itu tidak prihatin terhadap masa. Teknologi komunikasi sepatutnya digunakan untuk mendapat maklumat yang boleh membina pemikiran dan ilmu pengetahuan. Malangnya, ramai di kalangan umat Islam masa kini menggunakan teknologi tersebut untuk menghabiskan masa lapang dengan berceloteh dalam Facebook sehingga terlupa tanggungjawab dan tugas sebagai suami atau isteri.
Seorang lelaki bergelar suami sepatutnya menggunakan masa sebaik mungkin untuk menambah nafkah hidup keluarga dengan melakukan kegiatan yang boleh memberi sumber rezeki. Sikap gemar berceloteh melalui Facebook dan SMS boleh menyebabkan seseorang itu menjadi malas dan terbantut akal fikiran. Apabila fikiran tidak didedahkan kepada suasana yang boleh memberi kesedaran tentang tanggungjawab dan amanah maka ia boleh mendorong lelaki menjadi penggemar hiburan melalui teknologi komunikasi. Sikap begini bukan sahaja boleh menyebabkan lelaki menjadi cuai terhadap rumah tangga, malah ia juga menggoncang kebahagiaan rumah tangga. Jika seorang wanita gemar berceloteh di dalam Facebook dan SMS, beliau juga akan cuai terhadap tugasnya sebagai seorang isteri. Sikap gemar meluahkan perasaan kecewa dan kesunyian di dalam Facebook bukan sahaja boleh menyebabkan rahsia rumah tangga terbongkar tetapi juga mengundang orang yang menangguk di air keruh mengambil kesempatan untuk menghancurkan rumah tangga. Hal ehwal rumah tangga sepatutnya dibincang bersama ahli keluarga kedua belah pihak seperti mana dianjurkan oleh Allah di dalam al-Quran.
Konsep perkahwinan di dalam Islam adalah berasaskan kepada tanggungjawab dan amanah, bukan hanya sekadar untuk menunaikan tuntutan hawa nafsu. Perkahwinan yang tidak berasaskan kepada amanah dan kasih sayang sejati sering kecundang apabila tuntutan hawa nafsu tidak dapat dinikmati sepenuhnya. Keresahan jiwa jika tidak dipandu mengikut fitrah ciptaan roh/kerohanian boleh menyebabkan suami atau isteri mencari jalan hidup berunsurkan hedonisme (keseronokan) yang boleh menyebabkan mereka lalai terhadap tugas dan tanggungjawab. Hasilnya, rumah tangga yang dibina di atas dasar cinta yang diwarnai dengan impian indah hancur berkecai dan kasih sayang bertukar menjadi kebencian. Fitrah ciptaan manusia ialah berkomunikasi dengan masyarakat dan bekerjasama untuk menjayakan kehidupan di dunia dan di akhirat. Realiti kebanyakan umat Islam masa kini dalam negara ini lebih cenderung ke arah yang boleh menyeronokkan diri sehingga terlupa asas dan fitrah kehidupan mereka.
Kemudahan komunikasi sepatutnya digunakan untuk menyelami pelbagai ilmu dan pelajaran supaya corak pemikiran umat Islam menjadi lebih terbuka dan matang dalam memahami konteks kehidupan dalam era globalisasi. Hakikatnya, kecanggihan teknologi komunikasi disalah gunakan untuk tujuan keseronokan dan keghairahan. Facebook juga boleh memberi peluang yang besar kepada penjenayah untuk mengesan mangsanya secara mudah. Setiap maklumat berkaitan dengan mangsa dapat diperoleh dengan mudah. Wanita Islam yang menjadi mangsa kepada pengedar dadah antarabangsa dan penipuan adalah hasil daripada berkenalan dengan orang asing melalui Facebook. Facebook sepatutnya digunakan untuk memperkembangkan karier seseorang melalui pertukaran fikiran dalam bidang masing-masing.
Di negara barat, masyarakatnya menggunakan Facebook untuk memajukan kehidupan mereka seperti berurusan dalam perniagaan dan seumpamanya. Banyak pergerakan dan organisasi bukan kerajaan menggunakan Facebook untuk menambah ahli persatuan dan menghubungkan persatuan mereka dengan persatuan antarabangsa. Nampaknya, kemudahan dan teknologi komunikasi yang berkembang di negara ini tidak difahami masyarakat Islam. Mereka lebih cenderung menggunakannya sebagai sumber hiburan sehingga berlaku perpecahan rumah tangga. Ini terjadi akibat daripada kejutan teknologi komunikasi. Oleh itu, kesedaran terhadap faedah dan keburukan teknologi komunikasi perlu diperjelaskan kepada masyarakat supaya mereka memahami akibat salah guna teknologi komunikasi.
Dr. Saodah Abd Rahman
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan