JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 Oktober 2009

KARANGAN : GEJALA PEMBUANGAN BAYI - PUNCA DAN LANGKAH MENGATASI



SOALAN
Gejala pembuangan bayi merupakan fenomena jahiliah moden. Bincangkan punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa.


Hamka pernah mengungkapkan, “Anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk zaman kita”. Setiap pasangan yang berkahwin sememangnya mengimpikan untuk mempunyai anak sama ada lelaki atau perempuan sebagai penyambung keturunan mereka di dunia ini. Anak yang dilahirkan akan dijaga dengan penuh kasih sayang sehingga ada yang sanggup berjaga siang dan malam demi anak tersayang. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini kita selalu dihidangkan dengan berita pembuangan bayi yang dilakukan oleh segolongan manusia yang berjiwa binatang. Bayi yang dilahirkan dibuang bagaikan sampah di merata-rata tempat tanpa belas kasihan. Oleh sebab itu, punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Pada pendapat saya, punca utama yang menyebabkan pembuangan bayi ialah keruntuhan institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita. Ibu bapa yang merupakan ketua keluarga telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka mendidik anak-anak menjadi insan yang bersahsiah dan berkeperibadian mulia. Mereka sibuk dengan tugas-tugas seharian sehingga anak-anak terabai. Anak-anak yang kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka lebih cenderung untuk mencari keseronokan di luar rumah. Akibatnya, mereka terjebak ke kancah permasalahan sosial seperti melakukan seks bebas sehingga mengandungkan anak luar nikah. Pada masa itu, barulah mereka sedar bahawa mereka sudah terlanjur dan jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan tersebut adalah dengan membuang bayi yang dikandungkan. Mereka melakukan perbuatan terkutuk ini adalah untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka daripada pengetahuan ibu bapa. Jelaslah bahawa kerapuhan institusi kekeluargaan merupakan punca perdana berlakunya masalah pembuangan bayi di negara kita.

            Seterusnya, masalah pembuangan bayi juga berlaku disebabkan golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Sewaktu bercinta semuanya indah belaka sehingga si wanita sanggup menyerahkan segalanya untuk membuktikan kesetiaan dan cinta kepada pasangan mereka. Mereka mudah lemah kepada pujuk rayu kekasih hati yang kononnya berjanji mahu sehidup semati dengan mereka. Akhirnya, mereka rela bersekedudukan dengan pasangan bagaikan pasangan suami isteri walaupun tiada ikatan perkahwinan. Setelah si wanita hamil maka berlakulah konflik dalam kehidupan kerana si lelaki mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab. Wanita yang hamil tersebut dipaksa untuk membuang atau menggugurkan bayi dalam kandungan demi menutup aib kerana mengandungkan anak luar nikah. Sekiranya tidak mahu berbuat seperti yang diarahkan, mereka akan ditinggalkan. Dalam situasi sebegini, si wanita tiada pilihan lain selain menurut kehendak pasangan mereka, bak kata pepatah, “ditelan mati emak, diluah mati bapa”.

            Selanjutnya, masalah pembuangan bayi semakin berleluasa di negara kita disebabkan bertambahnya pusat-pusat hiburan di negara kita terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Remaja lelaki dan perempuan biasanya berkumpul di pusat-pusat hiburan ini pada setiap hujung minggu. Mereka bergaul bebas antara lelaki dan perempuan sambil meminum minuman keras. Dalam keadaan separuh sedar, remaja perempuan biasanya mudah digoda oleh remaja lelaki. Golongan remaja sebegini tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu kerana bagi mereka yang penting ialah keseronokan. Perlakuan seks bebas yang berleluasa di pusat-pusat hiburan menyebabkan ramai remaja yang terpengaruh sehingga ada dalam kalangan mereka yang mengandungkan anak luar nikah. Apabila sudah mengandung barulah mereka sedar kesilapan diri, ibarat kata pepatah, “sudah terhantuk baru nak terngadah”. Walau bagaimanapun, segalanya sudah tidak berguna kerana “nasi sudah menjadi bubur”. Akibatnya, mereka mengambil keputusan mudah iaitu membuang bayi yang dikandungkan.

Bagi mengatasi masalah ini, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperluas dalam kalangan remaja yang bermasalah. Remaja perempuan yang sudah terlanjur sehingga mengandungkan anak luar nikah hendaklah dibantu bukannya disisihkan dan dicerca. Ibu bapa hendaklah membawa mereke berjumpa dengan kaunselor untuk memulihkan semangat dan keyakinan mereka sehingga anak yang dikandungkan dilahirkan dengan sempurna. Kita harus tahu bahawa setiap insan melakukan kesalahan, ibarat kata pepatah, “bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora”. Jika kita prihatin terhadap permasalahan mereka, sudah pasti mereka tidak akan kehilangan arah dan hilang pertimbangan. Oleh itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperhebat dan lebih mesra remaja agar mereka tidak segan-segan menceritakan masalah dengan kaunselor apabila mereka berhadapan dengan situasi sebegini.

Selain itu, ibu bapa harus menilai semula peranan mereka sebagai ketua keluarga. Mereka tidak boleh terlalu materalistik sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak. Mereka harus meluangkan masa pada setiap hari untuk berkomunikasi dengan anak-anak agar mereka tidak kehilangan tempat untuk mengadu. Para ibu bapa harus sedar, wang ringgit yang diberikan kepada anak-anak tidak dapat dijadikan penganti diri kerana wang ringgit itulah yang boleh menghancurleburkan kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah ambil tahu segala aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka di luar rumah. Mereka tidak boleh lepas tangan kerana “malang tidak berbau”. Ruang kebebasan yang diberikan terlalu banyak boleh membuka ruang kepada anak-anak terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial di luar rumah. Jika kita mahu mengatasi masalah pembuangan bayi hingga ke akar umbi, peranan ibu bapa hendaklah diperkasakan semula kerana pendidikan seharusnya bermula dari rumah.

Konklusinya, masalah pembuangan bayi merupakan masalah yang memerlukan komitmen semua pihak untuk mengatasinya. Kita hendaklah berganding bahu membenteras masalah ini sehingga ke akar umbi ibarat kata pepatah, “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”. Pihak kerajaan hendaklah mengadakan pelbagai program yang bermanfaat untuk golongan remaja agar masa lapang mereka terisi dengan aktiviti yang bermaslahat. Remaja tidak boleh dibiarkan sendirian mengemudikan kehidupan mereka kerana mereka bukanlah nakhoda profesional. Apabila dihempas gelombang, mereka pasti akan karam. Oleh itu, didikan keagamaan hendaklah dipasak teguh dijiwa mereka pada setiap masa sebagai panduan yang berguna agar mereka tidak hidup bertuhankan nafsu nafsi semata-mata. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan remaja Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan menjadi realiti dan masalah pembuangan bayi tidak lagi menghantui masyarakat kita. 


8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

nyak kesalahan dari segi nahu..
karangan tidak menepati soalan..

Tanpa Nama berkata...

terdapat kesalahan ejaan.

Tanpa Nama berkata...

perkataan namun xleh dok dpan ayat

Tanpa Nama berkata...

kata sendi nama'dengan' dan 'dalam' xleh dok depan ayat.salah format tu

Tanpa Nama berkata...

terlalu banyak kesalahan unsur lewah..

Tanpa Nama berkata...

lemah dalam tatabahasa!

Tanpa Nama berkata...

mana boleh guna banyak untuk orang :)

Tanpa Nama berkata...

sepatutnya punca2 harus dijelaskan dengan mendalam
langkah2 kurang
k,,,wat nagn lbih baik