JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 Oktober 2009

INTEGRITI BAHASA MEMBINA INTEGRITI BANGSA

Integriti bahasa, membina integriti bangsa

Oleh Zubayry Abady Sofian

``Tidak hilang melayu di dunia.'' Kata-kata keramat Laksamana Hang Tuah ini mungkin hanya akan tinggal sebagai retorik semata-mata sekiranya bangsa Melayu tidak menjaga keunggulan ataupun integriti bangsa dan bahasanya.

Sejarah telah membuktikan bangsa Melayu merupakan satu bangsa yang gah suatu ketika dahulu. Melayu mampu menjelajah dunia dan Melaka itu sendiri telah menjadi pusat peradaban suatu bangsa bertamadun yang bernama Melayu.

Kegemilangan Melaka dahulu bukan sahaja di sekitar rantau sebelah sini (Asia) sahaja malahan menjangkau hingga ke sebahagian besar negara-negara di dunia melalui pedagang-pedagang mereka yang singgah di situ. Bahasa Melayu itu sendiri telah menjadi bahasa perdagangan utama dan dipertuturkan oleh pelbagai bangsa yang berdagang di Melaka.

Kini, setelah hampir 500 tahun zaman kegemilangan Melaka berlalu, bahasa Melayu seakan-akan makin tenggelam di bumi sendiri. Persoalan yang timbul bukan dari segi penggunaannya dalam pertuturan, penulisan mahupun status dan kedaulatannya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, tetapi persoalan tentang integriti bahasa itu sendiri. Bahasa Melayu itu sendiri telah dan semakin teruk tercemar dengan pelbagai virus perosak bahasa.

Kualiti

Martabat dan maruah bahasa Melayu direndahkan kerana rata-rata penuturnya sudah tidak mementingkan integriti bahasa Melayu itu sendiri. Penggunaan bahasa slanga yang melampau serta amalan merojakkan bahasa seperti sukar dibendung.

Jika kita merujuk kepada Pelan Integriti Nasional (PIN), integriti membawa maksud kualiti atau keunggulan yang wujud secara keseluruhan dalam diri seseorang individu atau organisasi dan ia berkait rapat dengan etika yang merupakan himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesion.

Sebenarnya integriti itu adalah keseluruhan pembawaan kita dari segi peribadi, akhlak, tutur kata dan sopan santun. Integriti bahasa pula merujuk kepada keunggulan bahasa itu sebagai salah satu medium utama untuk membentuk pemikiran dan tindakan penuturnya. Tercemar integriti bahasa, maka tercemarlah pemikiran dan tindakan warga penuturnya.

Jika dahulu, sopan santun dan berbudi bahasanya seseorang itu banyak dapat dilihat dan didengar melalui cara pertuturannya. Sifat orang Melayu biasanya bertutur dengan nada yang lembut serta menggunakan perkataan yang ``sedap didengar'' dan berhemah. Berbicara dalam lembut tetapi penuh makna. Bukankah bahasa itu menunjukkan bangsa? Tetapi hal sebegini jarang atau boleh dikatakan hampir tidak kedengaran lagi. Anak-anak muda sekarang lebih fasih berbahasa slanga. Lebih fasih membahasakan diri mereka sebagai ``gua'' dan ``lu''. Ayat ``pecite beb?'' seakan-akan sudah menggantikan sapaan salam atau ``apa khabar?''

Permasalahan ini semakin parah dengan adanya manusia yang berbicara dalam bahasa, seperti yang digelar oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim, separuh ular separuh belut. Mencampuradukkan penggunaan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Hal ini bukan sahaja berlaku di kalangan anak-anak muda tetapi juga golongan profesional dan penjawat-penjawat awam yang sewajarnya menggunakan bahasa Melayu sebaik mungkin.

Integriti bahasa Melayu juga semakin lemah dengan munculnya ``bahasa SMS''. Sistem ejaan yang digunakan semakin haru-biru. Perkataan ``macam mana'' dieja ``camner'', ``dia'' dieja ``dier'', ``Apa cerita'' dieja ``pecite'' dan seumpamanya. Dan ejaan-ejaan ini secara sedar atau tidak telah pun digunakan oleh para pelajar kita di sekolah-sekolah sewaktu menjawab soalan peperiksaan.

Anjakan

Tugas mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu dan bangsa Melayu seperti yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu mungkin agak sukar tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil. Langkah pertama yang mungkin boleh dimulakan ialah dengan membuat sedikit anjakan pemikiran dan sikap. Integriti bahasa Melayu perlu dibangunkan semula.

Semangat pejuang Melayu perlu diserap dalam jiwa anak remaja sekarang merangkumi setiap bangsa yang lahir dan berpijak di bumi Malaysia untuk mencintai bahasa Melayu. Dan semangat ini perlu dilestari dan disuburkan dari generasi ke generasi. Namun begitu, kecintaan terhadap bahasa Melayu ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kita untuk menerima bahasa-bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris. Kebolehan kita menguasai bahasa Inggeris yang merupakan ``bahasa dunia'' akan menjadikan bangsa Melayu lebih megah dan berdaya saing. Sedangkan Jepun, sebuah negara yang cukup kuat mempertahankan bahasa ibundanya juga telah semakin sedar tentang kepentingan bahasa Inggeris untuk terus maju dalam semua bidang.

Ketamadunan sesuatu bangsa banyak dibentuk melalui falsafah dan pemikiran bangsa itu sendiri dan untuk menjelaskan falsafah dan pemikiran ini, medium bahasa dan penulisan perlu digunakan secara optimum. Penulisan karya seperti novel, cerpen, drama, puisi, sajak dan sebagainya perlu menggunakan pendekatan baru yang memfokuskan tema tentang etika dan integriti.

Ini penting untuk menyemai, memupuk dan menyuburkan semangat mencintai nilai-nilai murni dan semangat kecintaan terhadap bahasa dan bangsa. Ini kerana keutuhan pemikiran sesuatu bangsa banyak dicorak oleh keutuhan bahasa bangsa tersebut.

Agensi-agensi kerajaan dan swasta seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Penerangan serta NGO bahasa boleh memainkan peranan yang besar dengan menganjurkan pelbagai bentuk pertandingan dan peraduan untuk menggalakkan masyarakat berkarya dengan tema ini dalam bahasa Melayu.

Industri penerbitan buku tempatan yang seakan-akan kelihatan suram perlu disemarakkan semula. Karya-karya dalam bahasa Melayu yang bertemakan integriti perlu menjadi keutamaan kepada penerbit-penerbit buku. Memperbanyakkan bahan-bahan bacaan seperti ini penting untuk membentuk jurus pandang golongan muda terutamanya, supaya berintegriti dalam segala aspek kehidupan mereka.

Apabila integriti atau keunggulan bahasa wujud dan integriti individu berjaya dibentuk maka secara tidak langsung integriti nasional akan terbina. Integriti nasional inilah yang merupakan anak kunci utama untuk membuka kembali pintu kegemilangan zaman dahulu. Ingatkah kita lagi dengan satu slogan Bahasa Jiwa Bangsa? Ketiadaan bahasa yang berintegriti, santun dan dijiwai akan mencacatkan malah akan menghancurkan sesebuah bangsa.

Tiada ulasan: