JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 Oktober 2009

KARANGAN : KESAN-KESAN DAN CARA-CARA UNTUK MENGATASI MASALAH PENGGUNAAN BAHASA ROJAK


SOALAN

Penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan yang berleluasa dikatakan telah mencemari martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Bincangkan kesan- kesan dan cara-cara untuk mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa.

Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia tentang penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan. Amalan bahasa rojak bermakna tabiat suka mencampur-adukkan perkataan bahasa Inggeris semasa menggunakan bahasa Melayu. Gejala ini semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat sehingga mencemari martabat bahasa Melayu. Lebih memberatkan lagi ialah gejala ini menular dengan begitu meluas dalam kalangan golongan berpendidikan tinggi yang menjadi pemimpin masyarakat. Tuntasnya, kesan–kesan yang timbul akibat daripada penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan perlu dikenal pasti supaya langkah–langkah yang pragmatik dapat diambil untuk mengatasinya.

Seperti yang telah dikatakan penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan mencemari martabat bahasa Melayu. Penggunaan bahasa rojak telah memberi gambaran wujud keadaan kebahasaan yang tidak stabil dalam masyarakat. Keadaan ini berlaku akibat daripada kemerosotan dan kehilangan kualiti, nilai serta ciri unggul bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Lama-kelamaan beberapa ciri bahasa Melayu akan pupus dan digantikan dengan beberapa ciri bahasa Inggeris. Lantaran itu, bahasa rojak akan menjadi bahasa ibunda orang Melayu sekiranya gejala ini terus terjadi. Secara perlahan-lahan kita mungkin akan melucutkan keupayaannya sebagai bahasa rasmi dan melunturkan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan. Natijahnya, penggunaan bahasa rojak merupakan tamparan kepada identiti dan kewibawaan bahasa Melayu.

Semetelahan itu, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan boleh menjejaskan pembelajaran di peringkat sekolah. Kini, kebanyakkan pelajar sering menggunakan bahasa rojak untuk berkomunikasi dan menggunakan bahasa singkatan dalam penghataran sistem pesanan ringkas (SMS). Apabila gejala ini dijadikan sebagai amalan seharian mereka, keadaan ini akan menjejaskan keputusan peperiksaan bagi seseorang pelajar, sekolah mahupun negeri. Hal ini demikian kerana, mereka tiada kemahiran dalam menulis karangan dengan menggunakan bahasa yang betul. Mereka telah biasa menggunakan bahasa rojak dalam kehidupan seharian mereka. Sehubungan itu, mereka akan menghadapi kesukaran untuk menulis tanpa menggunakan bahasa rojak. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa perbelajaran di peringkat sekolah akan terjejas disebabkan oleh bahasa rojak dan bahasa singkatan.

Tambahan pula, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan menyebabkan pengguna kelihatan tidak serius. Pengguna tidak menyusun perkara yang mahu diungkapkan dengan matang dan mereka bercakap dengan tidak berfikir secara mendalam. Biar kita ambil contoh, apabila seseorang pelayan menggunakan kata ganti nama “you” kepada pelanggannya, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu, dia akan berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting kerana tanpa pelanggan perniagaan tidak dapat dijalankan. Keadaan ini mungkin akan menimbulkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pelanggan kerana mereka merasa dirinya tidak dihormati. Sememangnya, pengguna akan kelihatan tidak serius ketika menggunakan bahasa rojak.


Setiap penyakit mesti ada penawarnya, begitu juga dengan gejala penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan. Gejala ini dapat ditangani dengan menyarankan kesedaran terhadap penggunaan bahasa yang betul di semua peringkat rasmi dalam masyarakat. Selaku pemimpin masyarakat, mereka seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat. Mereka harus mengawal diri dalam menggunakan bahasa dalam sesuatu majlis supaya mereka sentiasa menggunakan bahasa yang betul, baik semasa menggunakan bahasa Melayu, mahupun Inggeris. Jika mereka menggunakan bahasa Melayu, biarlah sepenuhnya digunakan perkataan-perkataan Melayu begitu juga apabila berbahasa Inggeris. Keadaan ini akan menjadi ikutan kepada rakyat dan lama–kelamaan seluruh masyarakat dapat menggunakan bahasa dengan betul. Jelaslah bahawa penggunaan bahasa yang betul oleh pemimpin masyarakat adalah penting dalam mengatasi gejala bahasa rojak.

Selain itu, bagi mengelakkan bahasa rojak dan bahasa singkatan terus digunakan sikap pengguna sendiri perlu berubah. Sikap menganggap bahasa Melayu kolot dan tidak standard harus dihapuskan. Alasan yang menyatakan bahasa Melayu tidak mempunyai perbendaharaan kata yang cukup untuk mengungkapkan sesuatu idea tidak boleh diterima. Hai ini demikaian kerana bahasa Melayu bersifat terbuka dan sanggup menerima perkataan-perkataan Inggeris bagi menambahkan perbendaharaan katanya. Masyarakat seharusnya menyanjung tinggi terhadap bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dan mengelakkan dirinya daripada menggunakan bahasa rojak. Sesungguhnya bagi mengelakkan menggunakan bahasa rojak memerlukan disiplin, komitmen dan latihan diri yang bersungguh-sungguh. Tuntasnya, sikap masyarakat perlu berubah supaya gejala ini dapat diatasi.

Peranan media massa juga penting bagi mengelakkan bahasa rojak dan bahasa singkatan digunakan secara berleluasa. Kini, masyarakat amat dipengaruhi oleh media massa terutamanya bagi golongan remaja. Program television, filem dan drama yang menggunakan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan dipelajari oleh remaja. Keadaan ini disebabkan mereka mempunyai naluri yang tinggi untuk mencuba sesuatu. Seharusnya, program-program television yang mengandungi penggunaan bahasa rojak tidak boleh ditayang keluar. Sebagai contohnya, program “Gengstarz”, “One In A Million” dan “Akademi Fantasia” yang menggunakan bahasa rojak harus ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Natijahnya, gejala ini dapat diatasi melalui peranan yang dimainkan oleh pihak media massa.

Kesimpulannya, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan yang berleluasa telah mencemari martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang melambangkan identiti dan kewibawaan bahasa kita. Oleh itu, semua pihak harus mengambil berat terhadap gejala ini. Semua pihak harus bekerjasama bak kata “berat sama dipikut, ringan sama dijinjing” untuk menangani gejala ini sampai ke akar umbinya. Diharapkan selepas usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dijalankan, martabat bahasa Melayu dapat dinaikkan sampai ke peringkat global.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam cikgu, bukan ke television tu perkataan bahasa inggeris? Seharusnya televisyen kan? atau ape? Sekadar bertanya je sebab cikgu lebih tahu daripada sy dan kalau sy salah mohon tunjuk ajar :)

Unknown berkata...

Tak jadi masalah, sebab perkataan tu cuma kata pinjaman .. anggap begitulah.. hehe :D

Unknown berkata...

uuuyeah

Daniel berkata...

Bahasa Melayu banyak mengalami perubahan dan harus bersifat luwes dalam memastikan bahasa Melayu kekal sepanjang zaman. Semestinya banyak perkataan bahasa asing yang disadur ke dalam bahasa Melayu.

Unknown berkata...

Bagus