JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 Oktober 2009

KARANGAN SPM: PUNCA-PUNCA DAN CARA-CARA MENGATASI PENYAKIT AIDS



SOALAN

AIDS merupakan sejenis penyakit berjangkit yang berbahaya dan jumlah kesnya kini semakin meningkat saban tahun. Jelaskan punca-punca yang menyebabkan penyakit AIDS dan cara-cara untuk menanganinya.


Pada era globalisasi ini, gejala AIDS yang sedang merebak dengan cepat bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Penyakit AIDS merupakan singkatan perkataan Bahasa Inggeris ‘Acquired Immune Defiency Syndrome’ iaitu Sindrom Kurang Daya Melawan Penyakit. Penyakit AIDS adalah disebabkan oleh HIV iaitu ‘Human Immuneodeficiency Virus’. Virus tersebut akan merosakkan sistem imun badan kita dan menyebabkan kita mudah dijangkiti penyakit lain. Kadar kematian penjangkit AIDS adalah sangat tinggi kerana belum terdapat penawar yang berupaya mengubati penyakit tersebut.

Faktor yang menyebabkan penyakit AIDS berleluasa ialah masyarakat kita kurang mengamalkan amalan gaya hidup sihat. Golongan yang kurang berakhlak mengamalkan pergaulan seks bebas iaitu melakukan hubungan seks dengan ramai orang tanpa memikirkan kesudahannya. Selain itu, mereka juga melakukan hubungan seks dengan orang yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah. Misalnya, kegiatan pelacuran dan homoseksual telahpun menjadi gejala sosial yang tidak bermoral. Akibat daripada amalan-amalan tersebut, penyakit AIDS dapat merebak secara meluas kerana virus HIV akan dijangkiti melalui hubungan seks yang tidak terkawal. Jika seseorang pembawa HIV, maka sesiapa yang melakukan hubungan seks dengannya akan terdedah kepada bahaya HIV dan kadar jangkitan terhadap penyakit tersebut adalah tinggi.

Penyakit HIV boleh merebak melalui perkongsian jarum suntikan yang sudah dicemar oleh darah pembawa HIV. Kejadian tersebut berlaku terutama dalam kalangan penagih dadah yang kekurangan wang untuk membeli jarum suntikan baru daripada pembekal dadah. Oleh hal yang demikian, mereka terpaksa berkongsi jarum dengan penagih dadah yang lain. Jadi, mereka mudah terdedah kepada risiko dijangkiti HIV. Darah yang mengandungi HIV akan dipindahkan ke tubuh orang lain melalui perkongsian jarum suntikan. Mereka hanya mementingkan kenikmatan semata-mata tanpa menghiraukan kesan jangka panjang yang akan berlaku terhadap mereka. Oleh itu, hampir 60 peratus daripada jumlah penjangkit AIDS atau pembawa virus HIV terdiri daripada golongan penagih dadah.

Bilangan pesakit AIDS semakin bertambah kerana kekurangan pengetahuan tentang penyakit AIDS. Rakyat seharusnya dibekalkan informasi tentang penyakit AIDS supaya menjadi tanggungjawab mereka untuk melakukan pemeriksaan darah secepat mungkin. Tindakan ini adalah untuk mengetahui sama ada mereka ialah pembawa HIV yang berkemungkinan besar akan menyebarkan virus tersebut melalui hubungan seks rambang, pemindahan darah, ataupun melalui penyusuan ibu kepada anak. Jelaslah kepada kita betapa pentingnya bagi rakyat menyedari tentang bahaya penyakit AIDS yang bukan sahaja memudaratkan kesihatan tetapi boleh juga mengancam nyawa seseorang.


Setiap jenis penyakit pasti ada ubatnya. Tetapi lain pula dengan AIDS. Penyakit ini tiada ubat yang khusus untuk mengatasinya. Oleh sebab belum ada penawar untuk penyakit AIDS, usaha terbaik untuk menangani penyakit ini adalah melalui pencegahan. Usaha pencegahan yang dilakukan adalah mendidik orang ramai tentang AIDS. Mesej pendidikan AIDS perlu tertumpu kepada gaya tingkah laku seksual seperti menggunakan kondom, melakukan hubungan seks yang selamat, mengelakkan bertukar-tukar pasangan seks, atau mengelak daripada mengunjungi pekerja seks. Tambahan pula, perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah juga dapat dielakkan melalui pendidikan AIDS,.Tambahan lagi, usaha pendidikan AIDS membentukan nilai keperibadian dan kemujaraban yang akhirnya akan menjadi benteng yang kukuh untuk menangani jangkitan wabak.


Langkah yang tidak boleh dikesampingkan untuk mencegah perebakan AIDS ialah mengelakkan terus seks luar nikah, setia kepada pasangan serta menjauhi hubungan homoseksual. Pelbagai langkah pencegahan telahpun dilaksanakan oleh banyak pihak untuk mengawal penyakit ini daripada merebak. Kerajaan mewartakan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang mensyaratkan supaya semua penyakit jangkitan HIV dilaporkan di klinik berdekatan. Seterusnya, kerajaan harus mewajibkan semua bakal pengantin untuk menjalani ujian HIV sebelum berkahwin. Syarat ini dikenakan kerana status kesihatan pasangan adalah sangat penting sebelum mereka berkahwin. Sesi kaunseling akan diberikan kepada pasangan yang ingin meneruskan perkahwinan mereka walaupun setelah mengetahui pasangannya adalah HIV positif.

Kesimpulannya, AIDS merupakan penyakit yang belum ada ubatnya. Penyakit HIV AIDS ini mendatangkan kesan yang amat buruk dan kesan yang lama. Bagi golongan yang tidak berdosa seperti anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai jangkitan yang berbahaya ini akan memberi impak kepada anak tersebut. Jadi, penyakit AIDS yang lama mengancam ketenteraman kehidupan manusia haruslah dibasmi demi kesejahteraan manusia sejagat. Kerjasama antara pelbagai pihak adalah sangat penting bagi menyelesaikan masalah AIDS yang merupakan peragut nyawa sebelum keadaan ini bertambah serius.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Cara-Cara mengatasi masalah

Tanpa Nama berkata...

butoh