JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 Oktober 2009

BAHASA MELAYU BAHASA ILMU DALAM KONTEKS SEBUAH NEGARA MERDEKA - PROFESOR DR. SIDEK BABA




Memperkasa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, malah bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga untuk menghadapi cabaran perubahan amatlah penting. Ia menuntut pendekatan pengajaran-pembelajaran yang dinamik dan kreatif di bilik darjah dan kuliah supaya kesan penguasaannya terserlah. Kemajuan teknologi dan modul-modul terkini dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua dan ketiga terbuka luas untuk diaplikasikan supaya tidak saja penguasaan bahasa ibunda menjadi teguh dan kukuh tetapi dalam masa yang sama penguasaan bahasa Inggeris menjadi lebih baik. Tidak ada asas akademik dan hujah integriti yang menyatakan bahawa meninggalkan bahasa ibunda dalam menguasai ilmu dan mendakap bahasa kedua menjadi bahasa utama menyebabkan sesuatu bangsa itu maju. Orang-orang Perancis, Jerman, Jepun, China dan Korea masih tetap mempertahankan integriti bahasa ibundanya untuk maju tetapi dalam masa yang sama amat terbuka untuk menguasai bahasa lain sebagai strategi untuk maju dan membangun. Strategi Malaysia untuk terus tidak mengubah peruntukan perundangan mengenai status bahasa ibunda baik dalam Perlembagaan atau Akta Pendidikan adalah sesuatu yang bijak. Memberi keutamaan untuk memperkasa bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa yang lain adalah langkah strategik untuk terus maju. Psikologi ini harus diperkukuhkan dengan teguh dan mantap sebagai warga Malaysia tidak saja dalam dasar tetapi juga dalam amali dan aplikasi. Memberi fokus tentang sains dan matematik adalah penting dari sudut ilmu dan akademik. Menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar boleh memberikan dua implikasi besar. Pertama, bidang sains dan matematik amat rapat hubungannya dengan corak ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkembang pada masa kini dan depan. Menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama menyebabkan jangka panjangnya meminggirkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia juga menyentuh tentang persoalan integriti kerana bahasa itu dikaitkan dengan jiwa sesuatu bangsa.

Melaksanakan strategi memperkasa bahasa Inggeris tanpa melakukan projek perintis, persiapan guru-guru dalam penguasaan bahasa, prasarana pembelajaran yang tidak kondusif di luar bandar menyebabkan wujudnya jurang pencapaian yang berbeza dan boleh menyebabkan keciciran yang melebar. Keputusan Kementerian Pelajaran untuk mengkaji dasar ini adalah suatu langkah bijaksana dan ia tidaklah terlalu lewat. Pertanda yang ada dalam keputusan yang lalu menjadi bukti bahasa pelajar-pelajar akan lebih mudah menguasai ilmu dan kemahiran menggunakan bahasa ibundanya dan dalam masa yang sama pemerkasaan bahasa Inggeris memerlukan perancangan dan strategi pembelajaran-pengajaran yang lebih berkesan. Sekiranya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dapat mengekal dan mengembalikan status bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa Inggeris sebagai bahasa penting, ia bakal menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai wibawa mempertahan dan mengembangkan faktor-faktor teras sebagai bangsa merdeka dan dalam masa yang sama amat terbuka untuk menguasai elemen-elemen luar lingkungan untuk maksud keilmuan dan kemajuan menggunakan bahasa-bahasa penting dunia.


Tidak timbul isu patriotik atau tidaknya dalam soal penggunaan bahasa Inggeris dan kurang patriotiknya apabila tidak menggunakan bahasa Melayu. Umat Melayu bersetuju bahawa memperkasa bahasa kedua dan ketiga yang kaitannya dengan ilmu adalah penting. Tidak timbul umpamanya bahasa Inggeris tidak penting atau bahasa Cina kurang penting. Dalam tradisi Islam tidak wujud masalah linguistic chauvinism iaitu pembatasan terhadap penguasaan bahasa. Ilmuwan Islam yang tersohor yang mampu mencetus tamadun menguasai banyak bahasa. Menguasai sesuatu bahasa adalah menguasai ilmu yang ada pada bangsa itu. Dalam masa yang sama sesuatu bahasa itu akan menjadi bahasa yang matang, bahasa ilmu sains dan teknologi apabila ia digunakan dalam penghasilan karya, kerja-kerja penyelidikan, pengajaran dan pelajaran. Sejak merdeka bahasa Melayu mampu di martabatkan di universiti-universiti di Malaysia dan memerlukan tekad politik yang tinggi bahawa tidak harus wujud psiki rendah atau rasa ketinggalan untuk menguasai sekiranya bahasa Melayu dijadikan bahasa utama dalam penerokaan ilmu dan bahasa Inggeris dijadikan bahasa penting untuk dipelajari dan dikuasai.

Tiada ulasan: