07 Mac 2012

ISU KESIHATAN : UBAT SAKIT JANTUNG


Sejenis ubat untuk merawat penyakit jantung, yang masih menunggu kelulusan pihak berkuasa untuk digunakan secara meluas, dijangka dapat membantu menyelamatkan beribu-ribu nyawa. Ubat dikenali sebagai ivabradine yang menurunkan kadar degupan jantung dan memperbaiki keupayaan organ itu mengepam darah, ketika kajian dijalankan didapati membantu mengurangkan kadar kematian sebanyak 39 peratus. Ahli kardiologi dan pakar sakit jantung di Hospital Royal Brompton, Profesor Martin Cowie (gambar) yang terlibat dalam penyelidikan ke atas ubat tersebut berkata, ivabradine dijangka dapat membantu menyelamatkan antara 5,000 dan 10,000 nyawa setahun. Ia juga dapat membantu mengurangkan satu pertiga kos Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) untuk pesakit jantung yang dirawat di hospital.

Ivabradine yang juga dikenali sebagai Procoralan menerima lesen di United Kingdom untuk rawatan angina dan digunakan di NHS sejak lima tahun lalu dengan rekod keselamatan yang baik. Ubat tersebut diberi lesen oleh pihak berkuasa keselamatan Eropah hari ini untuk merawat kegagalan fungsi jantung. Bagaimanapun, Badan pecatuan ubat-ubatan NHS, Institut Kecemerlangan Kesihatan dan Klinikal masih belum membuat keputusan sama ada kos ubat itu berada dalam kemampuan pihak terlibat untuk merawat penyakit jantung. Ketika ini, kira-kira 2,000 pesakit angina menggunakan ubat itu untuk merawat penyakit mereka. Cowie yang terlibat dalam penyelidikan yang melibatkan 6,500 pesakit itu menegaskan bahawa ubat itu boleh mengurangkan kos NHS dalam merawat penyakit berkenaan. – AGENSI

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
7 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : ANAK DIANIAYA BERTERUSAN

Susunan Ruhaiza Rusmin


Dua tahun lalu, Chris Bell, 13, dikenali sebagai pelajar ceria, mudah bergaul dan cemerlang dalam akademik, sekali gus membanggakan ibu bapanya. Malangnya, situasi itu kini bertukar 360 darjah apabila dia dikesan menghadapi kemurungan melampau akibat tekanan kerana terlalu mengharapkan kejayaan dalam akademik hingga dinafikan hak mengecapi zaman kanak-kanaknya. Tekanan demi tekanan terutama daripada ibu bapanya yang mahukan dia sentiasa cemerlang menyebabkan Chris tidak mampu bertahan dan masa depannya terumbang-ambing. Keengganan ibu bapa bertolak ansur dalam pencapaian akademik anak menimbulkan isu sensasi di kalangan pejuang hak kemanusiaan dan menyifatkannya seperti ‘membunuh’ anak sendiri. Biarpun mempunyai alasan kukuh, sikap ibu bapa yang memaksa anak mengikut setiap telunjuk serta perancangan sendiri sukar diterima kerana mereka juga berhak menikmati hidup sendiri dengan bebas.

Ini satu bentuk penganiayaan halus yang kini menjadi budaya baru ibu bapa moden, namun sukar diterima. Ibu bapa yang menggunakan kuasa veto untuk menentukan hala tuju masa depan anak seharusnya malu pada diri sendiri. Atas alasan apa pun, mereka tidak berhak menyekat anak menjadi diri sendiri. Anak adalah individu yang berhak menikmati hidup dan melakukan perkara lain. Mereka bukan robot yang boleh diprogramkan sesuka hati. Ini sangat keterlaluan, kata Presiden Institut Pendidikan Kemanusiaan British, Zoe Weil ketika mengulas kebimbangan banyak pihak mengenai sikap ibu bapa yang semakin kritikal menentukan masa depan anak. Beliau berkata, ibu bapa terlalu dihantui perasaan bimbang mengenai percaturan masa depan anak, justeru sanggup melakukan apa saja bagi memastikan keinginan mereka tercapai. Masalahnya, belum tentu apa dikehendaki ibu bapa itu sama seperti keinginan anak. Mereka melakukannya seolah-olah anak bersetuju sepenuhnya tanpa perbincangan.

Pendidikan dengan paksaan sukar berjaya, malah berpotensi menimbulkan risiko lain lebih berbahaya jika tidak ditangani segera,” katanya. Pelajar di negara Asia antara dikenal pasti menjadi mangsa ketaksuban ibu bapa terhadap keputusan berorientasikan akademik. Kajian di China yang dilakukan Pusat Kesihatan Antarabangsa dan Pembangunan British dengan kerjasama Zhejiang University mendapati kebanyakan pelajar sebenarnya menderita dalam diam kerana menjadi mangsa ‘penderaan’ emosi ibu bapa. Lebih malang, suara atau pendapat mereka sukar diterima dengan alasan mereka tidak dapat membuat keputusan tepat untuk diri sendiri. Antara faktor utama yang mendorong ibu bapa bertindak demikian kerana persaingan akademik yang dinilai melalui taraf pencapaian antara pelajar. Pelajar yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang tiada masa depan, selain memalukan ibu bapa yang dianggap gagal mendidik anak. Weil berkata, hasil kajian itu ternyata sangat membimbangkan kerana ibu bapa tidak melihat aspek lain yang penting terhadap pembangunan emosi, minda dan fizikal anak. Mereka meletakkan pencapaian akademik sebagai satu-satunya aset untuk berjaya, seolah-olah tiada yang lain untuk membolehkan anak mereka menjadi manusia berguna.

Anggapan ini amat berbahaya serta kuno. Akibatnya, pelajar melihat dunia ini seperti alam maya dari perspektif orang dewasa, bukan kanak-kanak yang sedang membesar,” katanya yang memberi amaran, tekanan ibu bapa boleh menghakis kesihatan pelajar sedikit demi sedikit.Tekanan psikologi akan memuncakkan lagi masalah kesihatan mental pelajar.  Mereka bukan saja ‘didera’ di rumah, malah di sekolah. “Dapatkah anda bayangkan bagaimana terseksanya pelajar ini, di mana ruang untuk bernafas?” soalnya. Penganalisis pendidikan yang menjalankan kajian di China dan Barat, Yong Zhao berkata, sikap ibu bapa yang suka membandingkan anak dengan orang lain juga menjadi ‘pendorong’ mereka bertindak di luar batasan. Tradisi di negara Asia ialah persaingan dan perbandingan. Ibu bapa dan masyarakat mahu menunjukkan anak mereka paling hebat berbanding orang lain.

Mereka meletakkan garis sempadan serta kriteria untuk dipatuhi dan anak tidak boleh gagal. Yang dilakukan bukan untuk anak tapi kepuasan ibu bapa,” katanya. Tekanan itu juga, akuinya, akan menjadikan pelajar pasif dan mengalihkan perhatian kepada teknologi seperti permainan video untuk melepaskan tekanan, malah hingga tahap membunuh diri. Pendidikan masa kini bukan lagi mengenai pembangunan holistik tapi peperiksaan, keputusan, mendominasi kelas selain persaingan kurang sihat antara pelajar. Ibu bapa pula mahukan semuanya serba sempurna hingga terlupa pelajar juga manusia biasa yang boleh gagal atau melakukan kesalahan.Jelas difahami bahawa ibu bapa rela ‘kehilangan’ anak daripada dimalukan dengan kegagalan akademik,” katanya.

Kaunselor di Ohio State University , Molly Clark berkata, ibu bapa perlu mempunyai sikap percaya kepada kemampuan anak dan membiarkan mereka meneroka persekitaran dengan cara masing-masing. Menurutnya, setiap pelajar mempunyai daya kreativiti, minat serta kecenderungan sendiri yang tidak boleh dimanipulasi atau ditentukan orang lain. “Kekangan, tekanan dan larangan keterlaluan tidak akan membantu mereka belajar, berkembang serta meneroka persekitaran sedangkan aspek itu penting dalam pembangunan diri individu.  Sikap terlalu melindungi anak juga akan memberi kesan buruk jangka panjang dan lebih menyebabkan mereka bermasalah. Kejayaan seseorang bukan sekadar dinilai melalui pencapaian akademik kerana lebih penting apabila pelajar gembira dengan apa dilakukan. Akademik bukan syarat utama untuk cemerlang dan berjaya dalam hidup,” katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Harian Metro
5 Mac 2012


ISU BAHASA : PABM BUKAN SEKADAR CARI JUARA

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN dan HASHNAN ABDULLAH


Banyak usaha dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu baik di peringkat dalam negeri mahu pun di pentas antarabangsa. Tentunya usaha itu sesuai dengan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri yang pernah melalui zaman kegemilangannya. Imbauan saudagar-saudagar fasih berbahasa Melayu lantaran kerap berurusniaga dengan pusat perdagangan seperti Melaka, Riau, Damak, Pattani waima pesisir pantai yang menghubungkan China, Parsi dan Asia Tenggara menggambarkan kehebatan bahasa Melayu. Segala-galanya diriwayatkan di dalam kitab-kitab Melayu. Bukan sahaja Melayu terkenal dengan kehebatan dunia komersialnya malah bahasa Melayu turut dipertuturkan secara meluas sehingga menjadi lingua franca di rantau ini. Tentunya dalam kepesatan dunia sains dan teknologi termasuk kegilaan manusia terhadap teknologi maklumat menimbulkan kebimbangan akan susutnya nilai bahasa Melayu terutama di mata dunia. Apatah lagi dalam keadaan generasi muda yang lebih mudah hanyut dalam bahasa ciptaan mereka sendiri sehingga timbul persoalan di mana hala tuju bahasa Melayu di kalangan orang muda.

Penganjuran Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri sejak 2007 antara jawapan kepada usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu baik di peringkat nusantara mahupun antarabangsa. Tentunya menarik perhatian apabila melihat wajah-wajah bukan Melayu fasih berbahasa Melayu walaupun ada lenggok Indonesia. Selepas lima kali diadakan, PABM edisi keenam kini sedang rancak menjalani proses saringan dengan jumlah penyertaan meningkat setiap tahun. Seramai 72 peserta dari 67 negara berentap mempamerkan bakat berpidato masing-masing dalam bahasa Melayu untuk 2012. Namun timbul persoalan sejauh mana kesan PABM terhadap kedudukan bahasa Melayu itu sendiri, atau PABM sekadar mencari juara tanpa ada usaha selanjutnya untuk menjadikan bahasa Melayu dihormati. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika ditemui Utusan Malaysia menarik perhatian tentang matlamat sebenar PABM anjuran kementeriannya selain melibatkan beberapa kementerian lain.

Secara jelas beliau menegaskan betapa PABM bukan sekadar mencari juara berpidato dalam bahasa Melayu. Justeru jika ada mana-mana pihak bertanggapan bahawa penganjuran PABM berkisar kepada soal mencari juara, maka sisihkah persepsi tersebut. PABM, kata beliau, adalah untuk mempopularkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu di mata dunia, oleh itu tidak timbul soal siapa juara. Langkah itu menurut Mohamed Khaled terbukti apabila pihak penganjur memudahkan format pertandingan supaya peserta melihat PABM sebagai satu peluang untuk mereka (khususnya peserta antarabangsa) menonjolkan kemahiran berpidato dalam bahasa Melayu. "Secara tidak langsung, langkah itu akan menarik lebih ramai pelajar di negara luar untuk menggemari dan memilih subjek Bahasa Melayu yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing disebabkan adanya pertandingan seperti ini." katanya. Umpama serampang dua mata, penganjuran PABM dilihat oleh Mohamed Khaled secara tidak langsung dapat mempromosikan bahasa Melayu apabila para peserta pulang ke negara asal dan menyebarluaskan keindahan bahasa Melayu kepada rakan-rakan terdekat.

Malah, katanya, apabila orang bukan Melayu mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik tentunya dapat merangsang keinginan mereka untuk belajar bahasa Melayu lantaran ia tidak sukar seperti yang disangka. Perkembangan terbaru menunjukkan kesan meluas PABM apabila lima negara baru iaitu, Arab Saudi, Greece, Mongolia, Montenegro dan Republik Madagascar turut menghantar wakil. ''Penyertaan negara-negara itu menunjukkan betapa luasnya pengajaran subjek Bahasa Melayu di universiti di seluruh dunia. Ini membuktikan kejayaan kita dalam mengangkat martabat bahasa Melayu khususnya melalui acara tahunan PABM itu mencapai sasaran dan objektifnya," katanya. Sehingga kini terdapat lebih 140 buah IPT yang menawarkan pengajian Bahasa Melayu di lebih 50 negara seluruh dunia antaranya Amerika Syarikat (AS), Jepun, China, Rusia, India, United Kingdom (UK), Belanda, Jerman, Mesir, Iran dan Pakistan. Mengupas perkembangan PABM terutamanya untuk lima edisi sebelum ini, beliau mendapati keupayaan para peserta bagi kategori antarabangsa dalam menguasai Bahasa Melayu cukup hebat. ''Dalam hanya dua ke tiga tahun sahaja mereka telah fasih berbahasa Melayu. Apa yang paling penting mereka bukan sahaja bercakap dalam bahasa Melayu tetapi juga berfikir dalam bahasa Melayu," ujarnya.

Mohamed Khaled memberitahu, penilaian yang dilakukan mendapati pola pemilihan pengajian Bahasa Melayu terarah kepada negara-negara yang sedang membangun dan sedang meningkat maju khususnya di negara-negara Balkan, Eropah Timur dan bekas jajahan Soviet Union. Bukan itu sahaja, pihak kementerian turut menerima permintaan untuk mempelajari bahasa Melayu yang amat membanggakan daripada pelajar-pelajar China. "Saban tahun penyertaan meningkat dan kebolehan mereka juga bukan calang-calang. Mereka cukup bersedia dengan tajuk yang dipilih," katanya. Begitu juga dengan konsep juri PABM yang dilihat mendorong minat untuk mengetengahkan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi. Katanya, juri dipilih oleh Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (Madum) di mana jawatankuasa bersetuju menetapkan setiap sesi pertandingan, tiga daripada tujuh juri mestilah warga asing. Mereka terdiri daripada profesor, pensyarah dan pakar bahasa Melayu di IPT di luar negara.

Juri dalam negara pula terdiri daripada profesor, pakar-pakar bahasa, personaliti dan bekas pemidato ternama dalam negara yang menjadi ahli Madum. Tentunya penganjuran PABM bukan sekadar mengasah kemahiran berpidato dan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu. Mohamed Khaled menyifatkan penganjuran PABM itu secara tidak langsung dapat memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan dan juga hab pengajian tinggi di mata dunia. "Negara kita bukan sahaja akan dikenali sebagai sebuah destinasi pelancongan tetapi juga destinasi pendidikan atau pengajian tinggi yang disegani," katanya. Perkembangan itu dapat dilihat apabila sebahagian peserta memohon melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di negara ini. "Bukan sahaja dalam pengajian bahasa Melayu tetapi juga dalam pelbagai bidang dan lapangan lain," katanya. Selain itu, katanya, sebahagian daripada mereka juga akan kembali ke negara ini untuk melancong bersama keluarga dan rakan-rakan disebabkan kagum dengan panorama dan juga kemesraan rakyat Malaysia berdasarkan pengalaman yang dilalui bersama keluarga angkat di sini.

"Lebih-lebih lagi dengan penglibatan pihak Tourism Malaysia yang menjalin perkongsian pintar dengan pihak kementerian sejak PABM diperkenalkan dengan menyediakan program pelancongan yang berstruktur sepanjang peserta berada di negara ini. Para peserta secara tidak langsung akan menjadi duta kecil negara kita apabila mereka kembali ke negara masing-masing untuk mempromosi keindahan Malaysia di samping keharmonian masyarakatnya yang berbilang kaum, latar belakang dan agama," ujarnya. Jika peserta Turki, Halil Ibrahim dinobatkan johan bagi Kategori Antarabangsa dan Kategori Nusantara pula diungguli peserta negara, Amiruddin Abd. Rahman, peserta mana pula yang berjaya mencuri tumpuan juri bagi dinobatkan sebagai juara pada edisi kali ini? Sama-sama kita saksikan kemuncak PABM malam ini.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
7 Mac 2012


ISU KESIHATAN : GUNA MINDA KAWAL SELERA MAKAN

Oleh Liow Tiong Lai
bhnews@bharian.com.my
Datuk Seri Liow Tiong Lai ialah Menteri Kesihatan Malaysia. Ikuti beliau melalui blog (www.liowtionglai.com/blog) atau Twitter (@liowtionglai)


Baru-baru ini saya menghadiri majlis sosial yang mana hidangan bufet pelbagai jenis juadah disediakan untuk tetamu. Saya gembira melihat makanan yang dihidangkan seperti sayur-sayuran kukus, ikan bakar dan buah-buahan segar, nampak berkhasiat. Bagaimanapun, saya agak kecewa melihat sebilangan tetamu melonggokkan makanan yang bertimbun dalam pinggan mereka dan berulang-alik untuk menambah buat kali kedua dan ketiga! Oleh kerana majlis itu berlangsung pada waktu malam, terlintas dalam fikiran saya bahawa kebanyakan hadirin mungkin akan pulang terus ke rumah selepas itu dan terus masuk tidur, justeru, membiarkan semua kalori yang diambil bertukar menjadi lemak.  Saya teringat pada kempen Pemakanan Sihat 88888 yang saya lancarkan ketika perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini yang membawa mesej mengenai lima peraturan untuk gaya hidup sihat.  Pada musim perayaan ada kecenderungan untuk makan berlebihan, terutama juadah istimewa yang tidak ada pada hari-hari biasa. Walaupun kita mungkin nampak ‘sejahtera’, malangnya bukan dengan cara yang betul kerana badan kita semakin ‘melebar.’  

Berdasarkan pemerhatian saya pada majlis itu, nampaknya peraturan kempen itu tidak meninggalkan kesan dalam minda tetamu. Mungkin sebilangan daripada kita sudah lupa memandangkan perayaan Tahun Baru Cina sudah berlalu lebih sebulan. Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kembali mengenai kempen itu.  Peraturan pertama kempen itu yang terlintas dalam fikiran saya apabila memerhatikan tetamu pada majlis itu ialah, ‘Berhenti makan bila terasa kira-kira 80 peratus kenyang’, seperti pepatah Melayu, ‘Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang.’  Pada kebiasaannya, kita akan makan sehingga kenyang. Mengapakah kita ‘mendera’ diri sendiri? Jika kita mengambil makanan dengan jumlah yang cukup untuk memenuhi keperluan nutrien harian, kita akan dapat mengawal pengambilan kalori.  Saya sedar perkara ini bukan mudah dilakukan memandangkan pelbagai jenis makanan ada di mana-mana. Tetapi kita boleh mengubah cara pemikiran dan menerima hakikat bahawa kita tidak perlu makan semua yang tersaji di hadapan kita. Kita harus menggunakan minda, bukan mengikut nafsu perut untuk mengawal selera makan.  

PERATURAN PERTAMA

Bersenam atau beriadah ialah satu perkara yang memerlukan kesungguhan dan disiplin yang kuat. Saya telah mendidik diri sendiri supaya melakukannya sejak beberapa tahun lamanya dan sekarang sudah menjadi tabiat saya untuk bermain badminton setiap pagi selama 30 hingga 45 minit bersama anak lelaki atau jiran saya. Bagaimanapun jika idea untuk bersenam atau beriadah selama 30 minit setiap hari rasanya tidak dapat dilakukan, mungkin ia dapat membantu jika dilakukan sesuatu yang lebih mudah diterima minda.

PERATURAN KEDUA

Sebab itulah saya cadangkan peraturan kedua iaitu berjalan sekurang-kurangnya 8,000 langkah sehari (sungguhpun 10,000 langkah lebih baik). Berjalan adalah amalan harian yang dilakukan sama ada di rumah, tempat kerja atau pada waktu lapang.  Jika boleh, pilih untuk berjalan kaki bukan memandu. Pergi berjalan di sekeliling pejabat atau kawasan, bukan berehat untuk menghisap rokok. Jika anda mahu berbincang dengan rakan atau ketua pejabat, berjalan ke mejanya, jangan telefon atau menghantar e-mel. Di bangunan kementerian Kesihatan, ada satu papan tanda di lif yang mengingatkan kakitangan supaya menggunakan tangga. Perkara kecil seperti ini akan mendatangkan manfaat.  

PERATURAN KETIGA

Peraturan ketiga ialah minum air sebanyak lapan gelas setiap hari, kerana air amat penting untuk mengnyahkan toksin dalam badan, membekalkan nutrien pada sel-sel dan menjamin fungsi badan yang sihat. Kebanyakan daripada kita gagal mengamalkan peraturan minum lapan gelas air (atau lebih kurang dua liter) ini. Saya dapati minum air segelas dua sebaik saja bangun daripada tidur sangat membantu. Untuk sepanjang hari, cuba amalkan minum air biasa dan bukan minuman manis seperti teh atau kopi.

PERATURAN KEEMPAT

Peraturan keempat ialah makan malam sebelum jam 8 malam. Ini mungkin sukar dilakukan kerana jadual kerja kita yang sentiasa sibuk, tetapi anda akan dapati bahawa amalan ini membantu penghadaman makanan dengan lebih sempurna sebelum tidur.  Ada seseorang memberitahu saya bahawa jika dia makan sebelum jam 8 malam, dia akan berasa lapar menjelang tengah malam, sebelum dia masuk tidur! Jawapan saya ialah dia harus tidur lebih awal – dia bukan saja dapat mengelakkan berasa lapar, malah akan dapat tidur sekurang-kurangnya lapan jam untuk menyegarkan kembali minda dan tubuhnya.

PERATURAN KELIMA

Peraturan terakhir ialah sesuatu yang saya sendiri dapati sukar dipatuhi. Ini kerana tugas dan tanggungjawab saya sebagai Menteri Kesihatan, Timbalan Presiden MCA dan wakil rakyat Bentong membuatkan saya sentiasa sibuk sehingga larut malam dan saya tidak cukup rehat seperti yang diperlukan.

Saya beritahu diri sendiri bahawa mematuhi empat daripada lima peraturan itu lebih baik daripada tidak langsung, tetapi saya berharap pembaca dapat melakukan yang lebih baik daripada saya untuk patuh kepada semua lima peraturan ini!  Ingat, kita semua hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat, sepanjang tahun.

Selamat sejahtera dan hidup sihat semua!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Berita Harian
7 Mac 2012

ISU ICT : APABILA LEBIH RAMAI YANG MERAPU ...

Oleh Fauziah Arof


Benarkah, lagi kita ada banyak laman web sosial seperti Twitter dan Facebook, lagi parah ‘penyakit’ kita dapat? Buka sahaja rangkaian web sosial ini, berapa sangat maklumat yang benar-benar berbentuk ilmiah, maklumat mengenai bidang-bidang tertentu atau pengetahuan am yang kita peroleh? Itu pun kalau niat kita memang mencari maklumat sebegitu. Lain-lain lebih kepada hal-hal bercakap mengenai diri sendiri dan ada yang gemar melawak merapu untuk sekadar memberi hiburan ringan, ini perkara biasa. Tiada apa masalahnya. Yang ingin saya sentuh di sini adalah perihal yang sengaja memalukan diri sendiri serta hilangnya pertimbangan, kawalan diri dan budi bahasa dalam menggunakan kemudahan ini. Sedar atau tidak, Twitter dan Facebook (FB) kini adalah saluran paling popular untuk melancarkan ‘perang’ terhadap pihak tertentu secara terang-terangan. Tidak kira ahli politik, kawan, bekas kawan, kekasih, suami atau isteri.

Tanpa rasa segan silu atau berselindung semuanya diungkit di alam maya, semua orang dapat membacanya secara langsung. Dan apabila si pelakunya ialah seorang yang dikenali ramai, artis atau pemimpin masyarakat contohnya, ia akan mengundang perhatian berjuta-juta orang yang menggunakan laman tersebut. Yang hairannya, bila pihak wartawan menanyakan dan menulis mengenainya, tahu pula pihak terbabit memberi komen tidak mahu memanjangkannya, walhal semuanya sudah panjang lebar dihamburkan di laman web sosial berkenaan. Kita tolak tepi mengenai hak untuk berbuat demikian. Setiap orang yang membuka laman tersebut berhak untuk menyatakan rasa, pendirian atau pendapat. Kemudahan ini pun diwujudkan untuk berkomunikasi di alam maya dengan rakan-rakan setempat atau yang berada di seluruh dunia. Memanglah, masing-masing punya Twitter atau FB, masing-masing punya hak menulis apa-apa, tetapi sedarkah kita bukan berseorangan di alam maya sana. Ramai yang jadi tukang baca dan melihatnya. Ada yang pada awalnya tak ada niat atau tak berminat membacanya tetapi apabila terpandang akhirnya terdorong untuk membacanya juga.

Itu belum masuk lagi bab-bab remaja atau budak-budak sekolah yang turut mempunyai Twitter dan FB yang terbaca maki hamun sebegitu. Tentunya ia memberi contoh yang tidak baik kepada mereka. Lebih-lebih lagi yang memaki hamun itu ialah artis pujaan atau idola mereka. Jika budak-budak sekolah bergaduh sesama kawan-kawan mereka di laman sosial begitu, kita boleh faham, mereka itu belum matang dalam berfikir dan ayat-ayat yang digunakan kadang-kala pun kita boleh tertawa sendiri, memang nampak ‘comel’. Tetapi kalau orang tua yang bergaduh, dengan menggunakan perkataan kesat, menunjukkan rasa tidak puas hati dengan emosi yang melampau, anda sendiri tahulah macam mana kelihatannya. Menggunakan laman web sosial sebagai saluran melepaskan geram, mendedahkan hal-hal peribadi dan melancarkan peperangan dengan pasangan dan kawan-kawan dengan penggunaan bahasa lucah, kesat dan kasar, adakah itu tindakan orang yang cerdik? Tidakkah mereka sedar bahawa melalui tindakan yang emosional sebegitu, akan membuatkan orang ramai dengan mudah dapat menilai tahap IQ mereka?

Kita pun hairan dengan sikap segelintir kita, yang merasa diri cukup hebat bila dapat memaki-hamun individu tertentu. Mereka merasakan sungguh ‘cool’ dan satu kepuasan apabila berbuat demikian, walhal ia hanya menunjukkan siapa dirinya yang sebenar. Ini juga satu ‘penyakit’ dalam masyarakat, apabila cuba mengangkat amalan memaki hamun dan memfitnah itu satu budaya. Dan boleh jadi tunggang-langganglah dunia, sekiranya orang yang mengeluarkan kata-kata kesat itu diangkat sebagai ‘hero’ atau hanya mungkin dia sendiri menganggap dirinya hero. Berbalik kepada laman web sosial, mengapa ingin menjadikan diri mangsa kepada teknologi komunikasi ini? Sedangkan perkara-perkara peribadi seperti ini boleh dibincang dan diselesaikan dengan individu terbabit secara bersemuka, atau kalau lebih serius membawanya ke mahkamah. Umpama segelintir rakyat negara ini yang hilang pertimbangan dengan mengetepikan kesopanan dan budi bahasa apabila memandu kenderaan, tetapi apabila di luar kenderaan dia okey, begitulah sikap sesetengah daripada kita apabila berhadapan dengan komputer masing-masing.

Kita ada kemudahan berkomunikasi yang canggih-canggih, di kebanyakan tempat kita sudah boleh mengakses kemudahan ini. Tetapi yang menyalahgunakan kemudahan tersebut segelintir kita juga. Menggunakan ia untuk tempat melepas geram. Bayangkan, kalau kita ada banyak lagi rangkaian laman web sosial seperti ini. Dan laman seperti ini akan terus wujud dan diberi penambahbaikan setiap masa. Sampai bilakah kita akan terus membaca perkara-perkara yang ‘merapu dan meraban’ seperti ini?    

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
7 Mac 2012

ISU EKONOMI : TAHAP PENGETAHUAN PERBANKAN ISLAM PERLU DITINGKATKAN

OLEH
DR. AMIR SHAHARUDDIN
Timbalan Dekan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM
Ahli Jawatankuasa Syariah, RHB Islamik


Institusi perbankan Islam di negara kita sekali lagi menerima kritikan. Kali ini berpunca daripada seorang pelanggan sebuah institusi perbankan Islam cawangan Kuching, Sarawak yang gagal menjelaskan pembiayaan perumahan. Setelah hampir tiga tahun pelanggan tersebut lewat membayar ansuran, maka pihak bank mengambil tindakan undang-undang. Mahkamah memutuskan supaya pelanggan terbabit perlu membayar balik 'hutang' beliau kepada bank sekiranya tidak mahu diisytihar bankrap. Rumah yang dibeli terpaksa dilelong. Disebabkan harga lelongan rumah (RM172,000) tersebut lebih murah dari harga beli (RM260,000), maka wang diperolehi tidak dapat menampung jumlah 'hutang' yang tertunggak. Tambahan pula, tuntutan yang dilakukan oleh bank adalah berdasarkan harga jual rumah iaitu RM633,000 dengan mengambil kira keuntungan dan kos pembiayaan dalam tempoh 30 tahun. Tidak puas hati dengan keputusan mahkamah, pelanggan tersebut mengadu dengan salah seorang Ahli Parlimen DAP. Selepas itu, kes ini diketengahkan dan mula mendapat perhatian lebih luas daripada pihak media.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) campur tangan dengan mendakwa institusi-institusi perbankan Islam mempergunakan perkataan 'Islam' untuk menindas para pelanggan. PPIM turut mendakwa mereka sedang mengurus beribu-ribu kes yang serupa. Penasihat-penasihat Syariah juga dituduh tidak bebas dalam memberi pandangan kerana elaun mereka dibayar oleh pihak bank. Sejak itu, isu ini bertukar menjadi isu industri perbankan Islam di Malaysia. Ia bukan lagi isu yang perlu ditangani oleh institusi perbankan Islam berkenaan secara sendirian. Maka, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) tampil memberikan penjelasan. AIBIM menafikan dakwaan kononnya mereka mempergunakan perkataan 'Islam' untuk mengaut keuntungan. Tegas AIBIM, semua produk perbankan Islam adalah menepati garis panduan yang ditetapkan oleh syarak. Pada hemat saya, isu sebegini menunjukkan bahawa tahap pengetahuan masyarakat tentang konsep dan produk perbankan Islam masih rendah. Dalam kes ini, pembiayaan perumahan dibuat dengan melaksanakan kontrak jual beli.

Pihak bank Islam menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan dengan membeli rumah dengan harga RM260,000 secara tunai dan menjualkan semula rumah tersebut kepada pelanggan dengan harga RM633,000 secara ansuran selama 30 tahun. Apabila pelanggan gagal menjelaskan ansuran maka pihak bank berhak membawa kes ini ke mahkamah. Semasa perbicaraan, bank juga pada dasarnya berhak membuat tuntutan ke atas harga jual rumah. Ini kerana pelanggan bersetuju membeli rumah tersebut dengan harga RM633,000 yang akan dilangsaikan dalam tempoh 30 tahun. Namun begitu, apabila berlaku kegagalan pembayaran ansuran, bank-bank Islam akan memberi ibra' (rebate) seperti mana diwajibkan oleh Bank Negara Malaysia. Kerugian pelanggan RHB Islamik di Sarawak ini agak besar kerana nilai hartanah yang dibeli telah merosot. Hasil jualan rumah tidak dapat menampung tunggakan ansuran sekalipun setelah pihak bank memberi ibra'.

Keadaan mungkin berbeza sekiranya hartanah yang dibeli melonjak nilai. Sekiranya pelanggan berjaya memperolehi keuntungan tinggi daripada hasil jualan rumah, kemungkinan besar isu ini tidak akan timbul. Apabila pelanggan tidak rugi apa-apa (walaupun tidak membayar tunggakan ansuran), soal penyelewengan perkataan 'Islam' oleh institusi perbankan Islam tidak akan dibangkitkan. Jadi, wajarkah institusi perbankan Islam dipersalahkan oleh pelanggan hanya apabila mereka mengalami kerugian? Tahap pengetahuan tentang perbankan Islam yang amat rendah di kalangan masyarakat berpunca daripada beberapa faktor. Punca utamanya adalah kakitangan bank-bank Islam sendiri masih kabur dengan produk-produk perbankan Islam yang mereka tawarkan. Apabila ditanya tentang perbezaaan produk perbankan Islam dan konvensional, seringkali jawapan yang diberikan ialah perbezaaan hanya pada warna borang! Justeru, dalam usaha kita meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang hal ini, perhatian perlu diberikan oleh institusi-institusi perbankan Islam untuk memastikan semua staf mereka dapat memahami dan menguasai ciri-ciri produk perbankan yang ditawarkan.

Para pelanggan mahukan penjelasan yang jelas tentang kelebihan produk perbankan Islam berbanding dengan produk perbankan konvensional. Selain itu, isu ini juga menggambarkan bahawa penetapan kadar keuntungan yang dilakukan oleh institusi-institusi perbankan Islam sering menjadi persoalan di kalangan para pelanggannya. Bagaimanakah institusi-institusi perbankan Islam menetapkan kadar keuntungan dari pembiayaan perumahan, kereta dan pembiayaan peribadi? Dalam kes ini misalnya, apakah asas timbangan bagi sebuah institusi perbankan Islam yang meletakkan harga jual RM633,000 bagi rumah yang kosnya ialah RM260,000? Saya berpandangan harga yang tinggi ini berpunca kerana institusi-institusi perbankan Islam masih lagi menyandarkan kadar keuntungan mereka kepada interest rate yang diamalkan oleh institusi perbankan konvensional. Oleh itu, setelah lebih 25 tahun beroperasi, sudah sampai masanya institusi-institusi perbankan Islam membangunkan penanda aras harga (pricing benchmark) mereka sendiri.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 MAC 2012

05 Mac 2012

ISU UMUM : MISTERI IBU KOTA BARU MYANMAR KIAN TERUNGKAI

Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my


NAYPYIDAW, ibu kota Myanmar yang baru, jika diterjemahkan ke bahasa Melayu membawa maksud tempat bersemayam atau singgahsana diraja. Berdasarkan kemewahan fizikal bandar raya yang terletak kira-kira 350 kilometer ke utara Yangon itu, Naypyidaw memang layak digelar sedemikian. Bezanya, Myanmar sudah lama tidak menggunakan sistem beraja dan sejak hampir setengah abad sehingga tahun lalu, ‘negara seribu pagoda’ itu diperintah oleh rejim tentera.  Walaupun menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Pusat sejak 2005, tidak ramai termasuk rakyat Myanmar sendiri yang mempunyai maklumat sebenar mengenai Naypyidaw, apa lagi mengunjungi bandar itu. Malah, beberapa pegawai kanan kerajaan yang kami temui di sana minggu lalu, saling mengelak mengenai kos sebenar pembinaan ibu kota itu. Namun, mereka menegaskan, kerajaan tidak membuat sebarang pinjaman dalam membina ibu kota yang tersenarai antara sepuluh bandar raya dunia paling pesat membangun itu.

Pemimpin kerajaan tentera Myanmar, Jeneral Than Shwe tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi kenapa beliau secara tiba-tiba memindahkan pentadbirannya dari Yangon pada November 2005, sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi terutama daripada media Barat, yang sejak sekian lama melihat negara itu dan kerajaannya dari sudut negatif. Teori paling popular di sebalik pemindahan pusat pentadbiran yang mula dibina pada 2003 itu ialah nasihat tukang tilik kepada Presiden Shwe kononnya untuk mengelak daripada serangan asing dan kebangkitan rakyat. Ada juga yang menuduh ketua junta itu mahu mengikut jejak raja-raja Burma (nama lama Myanmar) sebelum era penjajahan dulu yang sering memindahkan ibu kota mereka. Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai teori itu, angka yang dipilih sebagai tarikh pemindahan dilihat mempunyai kaitan ramalan astrologi. Pemindahan pertama kakitangan kerajaan ke Naypyidaw dilakukan tepat pada jam 6.37 pagi 6 November. Lima hari selepas itu, pada jam 11 pagi 11 November 2005, konvoi kedua merangkumi 1,100 trak tentera yang membawa 11 batalion askar dan 11 kementerian, meninggalkan Yangon.

Pada akhir Februari 2006, semua kakitangan kerajaan berpindah ke sana walaupun belum membawa keluarga mereka disebabkan banyak kemudahan termasuk sekolah dan rumah kediaman belum siap. Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Kementerian Luar Myanmar menjelaskan, langkah memindahkan pusat pentadbiran itu disebabkan Yangon kini terlalu sesak dan padat sehingga sukar membina kompleks pejabat kerajaan bagi menampung keperluan akan datang. Tarikh pemindahan juga, katanya, memang dirancang dan diberitahu kepada kakitangan yang terbabit.  “Lagipun, berbanding Yangon yang jauh di selatan, Naypyidaw terletak di tengah-tengah Myanmar dan dianggap lebih sesuai sebagai ibu kota. Pembinaan dan pemindahan ini memang dirancang teliti, bukannya terburu-buru seperti dilaporkan media Barat,” katanya.  Rakyat Malaysia yang kali pertama ke Naypyidaw tidak dapat mengelak daripada membandingkannya dengan Putrajaya. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan banyak persamaan dari segi landskap, keseragaman bangunan kementerian, perancangan bandar, malah jambatan yang melintasi tasik buatan manusia. Sama seperti Putrajaya yang diletakkan dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan, Naypyidaw ditadbir di bawah Wilayah Kesatuan.

Bezanya, kawasan Naypyidaw jauh lebih luas (7,054.37km persegi) yang dibahagikan kepada lapan zon – perumahan, ketenteraan, kementerian, perhotelan, kawasan beli-belah, rekreasi, antarabangsa dan Pagoda Uppatasanti. Selain itu, Naypyidaw mempunyai lapangan terbangnya sendiri, lima padang golf dan sekurang-kurangnya 10 hotel bertaraf empat bintang ke atas, sudah beroperasi.  Kecuali zon ketenteraan yang menjadi kawasan larangan, pihak berkuasa sudah mula membenarkan kunjungan orang awam. Malah, kumpulan wartawan penyiaran dari ASEAN yang mengunjungi Naypyidaw minggu lalu, bebas merakam video termasuk kompleks Parlimen dan bangunan kementerian, sesuatu yang mustahil dilakukan sebelum ini. Berbanding Putrajaya yang semakin sibuk dan sesak sekarang, Naypyidaw, yang menurut statistik 2009, mempunyai 925,000 penghuni, jauh lebih lengang dan sunyi. Walaupun jalannya amat lebar sehingga 10 lorong di sesetengah kawasan, belum banyak kenderaan menggunakannya. Malah, jumlah kenderaan yang memotong atau berselisih dengan bas mini kami boleh dibilang jari sepanjang enam jam perjalanan di lebuh raya empat lorong dari Yangon ke Naypyidaw.

Ketika ini kerja membina kompleks sukan yang merangkumi beberapa stadium sebagai persediaan menganjurkan Sukan Asia Tenggara tahun depan, giat dilaksanakan. Sidang Kemuncak ASEAN juga akan diadakan di sana apabila Myanmar mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN mulai 2014. Barangkali, selepas menerima lebih banyak kunjungan masyarakat antarabangsa nanti, misteri ibu kota moden di negara termundur ini, semakin terungkai.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
5 MAC 2012

ISU EKONOMI : BLUES TRANSFORMASI

Oleh Idris Jala
Penulis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU. Maklum balas dan komen amat dialu-alukan. idrisjala@pemandu.gov.my


Perjalanan menuju kemakmuran bukannya mudah tetapi dengan usaha dan sikap yang betul, ia boleh dicapai. Saya adalah seorang pemuzik amatur yang dianugerahkan bakat bermain gitar dan menyanyi. Saya suka semua jenis muzik tetapi hanya blues yang bermain di hati. Kita semua tahu apa itu blues – ringkas, telus, muzik yang penuh perasaan dengan rentak dan irama yang tetap, memberikan ruang untuk nyanyian dan solo muzik. Dalam erti kata lain, ia adalah rentak yang sangat menyenangkan. Tetapi bagi saya, menyanyikan irama blues bermakna kita harus lambat laun berganjak daripadanya walaupun anda terpaksa meluahkan segala masalah dan bersedih sementara. Inilah inti pati kolum ini. Saya berasa sangat bertuah kerana terbabit dan mengetuai satu daripada projek paling mengujakan. Apa lagi yang lebih bermakna daripada meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, kepercayaan dan agama?

Sebesar mana pun harapan saya bahawa kita dapat melakukannya, saya tidaklah terlalu naif untuk menyangka bahawa impian ini boleh dicapai tanpa menempuh sebarang masalah dan cabaran.  Jadi, benarkanlah saya dendangkan blues transformasi – Di sini, saya akan kemukakan masalah besar yang menghantui program untuk mentransformasikan kita menjadi negara berpendapatan tinggi. Selepas itu kita ikuti dengan apa yang sedang dilakukan sebagai jalan penyelesaian. Satu perkara yang menjadi sebahagian daripadanya ialah untuk kami memberikan penerangan untuk maklumat yang tidak tepat. Pada kami, adalah amat penting bagi anda sebagai rakyat Malaysia untuk memahami apa yang sedang diusahakan di sini dan memaklumkan kami jika ada seba-rang kesilapan serta jalan penyelesaian sebenarnya. Alamat e-mel akan dipaparkan di penghujung kolum. Kami berjanji akan membaca setiap maklum balas dan jika bertepatan, akan menjawab sebahagiannya di sini. Kami cuma memohon tiga perkara daripada anda – apa-apa pun haruslah adil, bertimbang rasa dan realistik.

Perkara pertama yang ingin saya terangkan di sini ialah konsep pendapatan yang adalah ciri utama kepada keseluruhan konsep transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi. Pada tahap manakah pendapatan kita perlu capai baru layak digelar negara yang berpendapatan tinggi dan mencapai kemajuan? Bagaimanakah kita dapat mencapainya? Apakah ukurannya dan dapatkah kita mencapainya? Banyak yang telah diperkatakan mengenai cara kami mengukur pendapatan, termasuk tahap pendapatan pada 2020 dan ada kemungkinan yang kami tidak mengambil kira pendekatan yang sepatutnya dalam hal ini. Ada juga yang telah menyatakan bahawa langkah digunakan tidak betul – ini tidak sama sekali. Penggunaan definisi dan metodologi global adalah disengajakan, contohnya pendekatan dan tanda aras Bank Dunia. Sebagai penjelasan yang tidaklah terlalu teknikal, kami menggunakan anggaran nominal pendapatan negara berpendapatan tinggi dan kemudian menggunakan unjuran kadar inflasi, bagi mendapatkan hasil dalam dolar AS pada 2020.

Maka, jumlah lebih kurang AS$15,000 untuk setiap orang telah ditetapkan pada RM48,000, berdasarkan unjuran tukaran wang asing iaitu 3.2 ringgit berbanding dolar AS. Kadar semasa yang hampir mencecah 3.0 bermakna jika kadar ini berterusan, sasaran akan menjadi lebih rendah daripada RM45,000. Pada 2009, pendapatan kita berdasarkan kadar tukaran wang asing perkapita ialah AS$6,700. Sememangnya kita mempunyai perjalanan yang masih jauh tetapi kita sudah pun berada pada landasan betul. Dengan ini, kami unjurkan jumlah penduduk pada 2020 dan gandakannya dengan pendapatan perkapita untuk mengetahui anggaran jumlah pendapatan negara. Ini membolehkan kami membuat unjuran ke belakang bagi mengetahui anggaran kadar pertumbuhan yang diperlukan untuk mencapainya. Unjuran kadar inflasi kemudian ditolak untuk memperoleh kenaikan kadar pendapatan sebenar atau boleh guna yang diperlukan sebuah negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi – ia dianggar lebih kurang 6 peratus setahun, dengan mengambil kira faktor ini tidak berubah.

‘Pendapatan Boleh Guna’ di sini bermaksud pendapatan yang diselaraskan dengan inflasi dan memaparkan peningkatan sebenar pendapatan walaupun selepas mengambil kira peningkatan harga. Pendapatan kasar negara atau PNK adalah Keluaran Dalam Negeri Kasar sebenar dicampur dengan pendapatan dari luar negara. Kaedah pendekatan kami amat teliti memandangkan pencapaian kami telahpun ditinjau dan disahkan oleh firma akauntan dan panel pakar antarabangsa. Tambahan pula, panel pakar antarabangsa juga berkongsi pandangan dari perspektif luaran untuk memastikan segalanya berpandukan amalan pengurusan terbaik bertaraf global. Tidak langsung menjadi niat kami untuk memperdayakan sesiapa mengenai prestasi kami. Perkara seterusnya ialah mencapai sasaran. Pada asasnya, kita mengenal pasti projek utama yang ada dalam tangan dan menganggarkan sumbangannya terhadap ekonomi, terutama yang mendatangkan peningkatan pendapatan.

Kami tidak sama sekali mengatakan semuanya di sini tepat dan yang paling jitu, tetapi ini adalah unjuran kami yang terbaik dan yang telah tepat tetapi beginilah anggaran terbaik kami buat masa itu. Agak mustahil bagi mana-mana sebuah negara untuk mengukur dan meramalkan pertumbuhan ekonominya dengan tepat. Di samping itu, anggaran ini juga adalah satu sasaran. Pendek kata, jika sasaran ini dapat dicapai setiap tahun, matlamat kita pasti dapat dijayakan. Sasaran ini bersifat dinamik dan sudah tentu akan sentiasa berubah mengikut masa. Jika terdapat kekurangan, ini bermaksud kita perlu lebihkan usaha. Jika hasilnya cemerlang maka kita menadah tangan sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan.  Memang benar, ada pelbagai risiko dan cabaran bagi sasaran yang kami tentukan. Tetapi bak kata pepatah, kita hendaklah pecahkan ruyung barulah dapatkan sagunya. Situasi ekonomi dunia yang tidak menentu mungkin akan berlarutan lebih lama daripada jangkaan dan kita tidak terlindung daripada perubahan dunia. Kemungkinan pelaburan daripada sektor swasta tidaklah sebanyak yang dijangka.

Namun, di Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, kami sedang memudahkan kerajaan menguruskan segala usaha meningkatkan pendapatan, tanpa mengira daripada siapa. Kami juga akan memantau dan apabila diperlukan, mengesyorkan perubahan yang berpatutan untuk meletakkan kita kembali ke landasan sasaran. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: “Pada penghujung tahun lalu, pendapatan perkapita Malaysia meningkat lebih daripada RM29,000 (AS$9,400).” Berasaskan harga semasa, ini adalah peningkatan 12 peratus berbanding RM26,174 (AS$7,985) pada 2010 dan RM23,850 (AS$6,677) pada 2009. Ini adalah lonjakan besar jika dibandingkan kepada RM1,070 (AS$347) pada 1970. Laporan penuh mengenai prestasi ETP 2011 akan diterbitkan oleh kerajaan April ini. Peningkatan pendapatan kita dua tahun lalu menunjukkan kita berjaya mencapai sasaran yang kita tetapkan untuk Malaysia. Jika projek di bawah ETP dan beberapa projek lain diterima, kami akan laksanakan. Kami juga mungkin akan melihat penubuhan projek persendirian yang mengambil kesempatan terhadap peluang yang muncul di sini. Ini kami anggap sebagai sesuatu yang positif.

Ini menunjukkan kita telah mencapai kemajuan yang baik sebagai sebuah negara. Di bawah pimpinan Perdana Menteri, kita sedang menuju ke arah mentransformasikan ekonomi Malaysia kepada sebuah ekonomi berpendapatan tinggi. Kerja keras, dedikasi masa dan pendekatan yang fokus sedang dilaksanakan untuk memastikan Malaysia berjaya di arena tempatan dan global.  Setiap rakyat Malaysia boleh menyertai perjalanan ini. Hanya dengan berkerja keras dan dengan lebih kebijaksanaan, anda boleh membantu menambahkan keuntungan majikan dan juga dengan harapan mengembangkan diri sendiri. Dengan cara ini, kita semua sebagai rakyat Malaysia boleh terus maju ke hadapan untuk bersama mencapai impian menjadi negara berpendapatan tinggi dan mencipta masa depan lebih baik untuk kita. Itulah inti pati sebenar transformasi.

Bersama kita boleh lakukannya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
5 MAC 2012

04 Mac 2012

ISU ANTARABANGSA : GREECE MASIH CARI JALAN PENYELESAIAN ATASI KRISIS EKONOMI

Oleh Jean Pisani-Ferry
Penulis ialah Pengarah Bruegel, sebuah kumpulan pemikir ekonomi antarabangsa; Profesor Ekonomi di Universiti Paris-Dauphine dan anggota Penganalisis Majlis Ekonomi Perdana Menteri Perancis


Tindakan untuk mencari ‘kambing hitam’ atau siapa patut dipersalahkan dalam kes muflis Kerajaan Greece belum lagi bermula dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah (EU).  Negara yang dilanda krisis ekonomi terburuk ini masih ‘selamat’ kerana satu perjanjian dimeterai dengan kreditor swasta dan bantuan sektor awam dijangka membolehkan Greece membayar semula pinjaman mengikut jadual pada 20 Mac ini. EU patut dipuji kerana mengakui ia adalah krisis dan mengambil langkah tegas untuk menanganinya. Kreditor swasta sudah menerima hakikat dan bersetuju menuntut 50 peratus daripada jumlah pinjaman dan menurunkan kadar faedah – sekali gus melegakan beban hutang Greece kepada lebih dua pertiga. Ketika langkah penyelesaian ditemui dalam suasana begitu mencengkam, ramai percaya ia sekadar menunda isu sebenar iaitu Greece tidak mungkin mampu menunaikan semua janji dan krisis ini mungkin berakhir sama ada – negara ini membuat keputusan untuk keluar atau disingkir daripada EU.

Sebelum perjanjian terkini dibuat, pemimpin politik di Belanda, Finland serta Jerman, lantang menyuarakan persoalan mengapa Greece patut terus kekal dalam EU.  Di Athens, desakan ini sudah mencapai tahap baru, pertelingkahan merebak dengan kadar semakin berbahaya dan mengingatkan sejarah mengenai ganti rugi perang dari Jerman pada 1920-an.  “Siapa kehilangan China?” soal seorang pakar strategi Amerika pada 1950-an, berikutan kemenangan parti komunis Mao Zedong pada 1949. Negara Eropah mungkin mula bertanya soalan sama tidak lama lagi, tetapi kali ini membabitkan Greece. Pengkhianat utama sudah tentu rakyat Greek sendiri. Kelemahan terutama pemimpin politik yang gagal menentukan hala tuju negara menjerumuskan mereka ke jurang kejatuhan begitu serius - sistem perlindunganlah meracun kerajaan.  Indeks rasuah Transparency International meletakkan Greece di tangga ke-80 dan pada September, 2011, perbendaharaan negara itu menyelesaikan 31 daripada 75 audit cukai individu berpendapatan tinggi.

Amat mudah melihat dari satu sudut, dan meletak kelemahan lain sebagai tanggungjawab Eropah.  Kesilapan pertama EU ialah mereka tidak mengendahkan masalah Greece berbulan-bulan, dengan hanya memberi program bantuan tidak realistik iaitu bagi mengembalikan Greece ke pasaran saham pada 2013. Kini amat jelas langkah untuk memulihkan ekonomi dan membetulkan ketidakseimbangan negara itu akan memakan masa bertahun-tahun, mungkin satu dekad.  Kesilapan kedua Eropah ialah ketidaksungguhan pada peringkat awal untuk menyelesaikan krisis. Dua strategi boleh dilakukan iaitu sama ada mengurangkan hutang kerajaan lebih awal atau menyusun semula hutang Greece atas alasan untuk mempertahankan reputasi kolektif semua negara Eropah.  Satu daripada strategi ini logik, tetapi Jerman dan Perancis menganggap ia tidak boleh digunakan. Jerman dan Perancis sengaja menganggap Greece sudah mencari (solven) dan memberi pinjaman pada kadar faedah begitu tinggi, sekali gus membuatkan keadaan menjadi semakin parah. Greece memerlukan tempoh 18 bulan untuk menghapuskan polisi ini.

Kesilapan ketiga ialah mereka gagal menyenaraikan keperluan dan kepentingan mengikut keutamaan. Dari luar krisis ini, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) mengesan dua masalah berkembar – sistem kewangan awam lemah dan kerugian persaingan yang serius.  Malangnya, pembuat dasar hanya memberi fokus pada kelemahan pertama, dan menaruh harapan perubahan struktur akan menyelesaikan isu kedua. Pihak berkuasa Greece melabur kebanyakan modal yang tidak seberapa ke atas penyesuaian belanjawan, bukannya membina ekonomi yang kompetitif.  Program dirancang kini berada di fasa akhir untuk membetulkan landasan semua keperluan dan kepentingan terbabit – meletakkan persaingan dan pertumbuhan mendahului pengukuhan belanjawan. Bagaimanapun, persoalan yang terus bermain di fikiran ialah mengapa keputusan ini perlu menunggu hampir dua tahun untuk dileraikan.  Keempat, tiada tindakan tegas untuk mengukuhkan pertumbuhan. Program penyesuaian penting untuk mengurangkan kemelesetan, tetapi ia memerlukan mekanisme lebih kukuh untuk pemulihan ekonomi.

Secara prinsip, Greece sebenarnya boleh menerima bantuan pembangunan serantau lebih besar daripada EU. Dana ini tidak banyak digunakan kerana kelemahan pembiayaan bersama peringkat tempatan.  Kelemahan ini hanya disedari musim panas lalu – itu pun pada darjah kesedaran sederhana – apabila ada pihak akhirnya menyedari bantuan ini boleh digunakan untuk menyokong usaha pemulihan ekonomi.  Kesilapan terakhir Eropah ialah tidak mengambil berat untuk berkongsi beban antara negara anggota. IMF sebagai institusi teknokrat tidak akan terbabit secara melampau dalam ekonomi makro tetapi EU ialah entiti politik yang menjadikan keadilan sosial sebagai satu daripada matlamat asasnya. Di sebalik kritikan ini, Eropah tidak boleh dipersalahkan kerana tindakan keras ke atas Greece. Peraturan tegas perlu terutama membabitkan bantuan kewangan kepada negara yang mencatat ketidakseimbangan ekonomi yang serius.  Cuma EU boleh ditegur kerana lewat bertindak, mencadangkan program bantuan tidak wajar, tidak seimbang dan tidak membantu. Jika persoalan siapa yang menyebabkan ‘kehilangan’ Greece muncul satu hari nanti, cukup ramai untuk dipersalahkan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA MINGGU
4 MAC 2012

ISU ANTARABANGSA : KAJIAN SEMULA DASAR TERBUKA VISA DAN PAS LAWATAN PELAJAR

Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my


Laporan  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), November lalu, mendedahkan kumpulan mafia dadah antarabangsa dari Afrika dan Iran semakin aktif dalam pengedaran methamphetamine di Asia Tenggara hingga ke Asia Timur. Pil rangsangan (ATS) termasuk amphetamine dan methamphetamine atau syabu menjadi dadah pilihan di kebanyakan bahagian di Asia Tenggara dan Asia Timur, khasnya sejak 1990-an, menggantikan dadah berasaskan tumbuhan seperti heroin, candu dan ganja. Ia mudah dihasilkan di mana saja dan memberi keuntungan lumayan menerusi pelaburan kecil. Peningkatan penggunaan dadah itu dilaporkan oleh kebanyakan negara di rantau ini terutama pada 2010 dan tahun lalu.  Penjenayah Afrika yang terbabit dalam jual beli kokain dan heroin beralih kepada penyeludupan ATS, manakala kumpulan Iran dikenal pasti sebagai ancaman besar penyeludupan dadah di rantau ini.

Tidak hairanlah Malaysia berjaya menahan seramai 228 penyeludup dadah dari Iran pada 2009 hingga 2010 kerana menyeludup methamphetamine.  Sepanjang tahun lalu saja, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas pelbagai jenis dadah seberat 187.45 kilogram (kg) bernilai lebih RM34 juta selepas mematahkan 39 cubaan menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang.  Rampasan paling banyak membabitkan dadah jenis methaphetamine atau syabu iaitu 125.2kg (RM31.78 juta), diikuti ketamin 47.55kg (RM666,585); eramin sebanyak 9.5kg (RM958,000); heroin 3.21 kg (RM640,000) dan ganja 1.8 kg (RM4,320).  Sepanjang tahun lalu, KDRM KLIA menahan 30 suspek, sembilan warga Nigeria, enam rakyat Malaysia, lima India, tiga Iran, dua Cyprus dan masing-masing seorang warga Vietnam, Sweden, Pakistan, Sierra Leone serta Azerbaijan kerana disyaki menjadi keldai dadah sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, ada tiga kes warga asing khasnya dari Iran ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan KDRM kerana kesalahan menyeludup dadah di KLIA atau memproses dadah di banglo mewah di ibu negara.  Ada beberapa faktor yang mendorong kepada perkara ini berlaku antaranya, tahap keselamatan di pintu masuk negara yang lemah di samping sikap ‘tidak apa’ di kalangan pegawai yang menjaga keselamatan pintu masuk negara.  Mungkin tidak adil menuduh pegawai jabatan kerajaan bersikap sambil lewa, tetapi penyeludupan dadah boleh dihalang jika semua pihak mempunyai inisiatif untuk mengetatkan pemeriksaan dan pemantauan di setiap pintu masuk negara ini.  Justeru, cadangan KDRM sebelum ini yang mahu menempatkan mesin pengimbas canggih dan berteknologi tinggi amat dialu-alukan bagi mengatasi jenayah penyeludupan dadah berleluasa di lapangan terbang atau pelabuhan di negara ini.

Pada masa sama, pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata agensi penguatkuasaan mempunyai pelbagai alternatif untuk mengekang jenayah ini seperti menambah pegawai risikan yang cekap dan berpengalaman serta berintegriti tinggi.  Katanya, pegawai risikan ini perlu bertanggungjawab, tidak mudah digoda dengan rasuah sehingga bersikap ‘tutup mata’ dengan tidak memeriksa barang atau bagasi suspek yang disyaki penyeludup dadah.  “Agensi keselamatan perlu memiliki alat pengesan atau pengimbas dadah untuk mengawal kemasukan dadah atau barang larangan lain. Walaupun begitu, kita tahu penjenayah juga bijak. Mereka akan mencari jalan untuk mengatasi masalah ini.  Kita hanya perlu memiliki alat lebih canggih,” katanya.  Beliau mengambil contoh, pihak keselamatan lapangan terbang di luar negara seperti di Melbourne, menempatkan pegawai berserta seekor anjing pengesan untuk menghidu dan memeriksa bagasi yang disyaki mengandungi bahan larangan seperti dadah.

Satu lagi kelemahan yang perlu diambil perhatian sistem saringan dan keselamatan kemasukan warga asing ke Malaysia, kata Akhbar, ialah dasar terlalu terbuka dalam pemberian visa atau pas lawatan pelajar kepada warga asing khasnya dari Iran dan Afrika.  “Ada yang menyalahgunakan pas pelajar untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah. Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu membantu pihak penguatkuasa bagi mengatasi masalah ini," katanya.  Beliau juga tidak menolak kebanjiran warga asing ke negara ini seperti Iran di Nilai 3, Negeri Sembilan, mendorong warga negara itu menyeludup dadah ke negara ini bagi memenuhi keperluan rakyat negara itu yang diketahui bebas mengambil dadah di tempat mereka.

Mengulas mengenai kecenderungan warga asing ini menjadikan banglo mewah atau kondominium untuk dijadikan makmal memproses dadah, Akhbar berkata, ia menunjukkan penjenayah asing sudah mengkaji kelemahan sistem keselamatan negara ini.  Justeru, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa di pintu masuk negara supaya membuat laporan profil terhadap warga asing yang disyaki menjadi kumpulan pengedaran dadah ke negara atau rantau ini.  Beliau berpendapat, permintaan dadah methamphetamine yang tinggi di Malaysia dan rantau ini mendorong mafia dadah berlumba-lumba menyeludup dadah menerusi negara ini, yang akhirnya mencemar dan memburukkan nama negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA MINGGU
4 MAC 2012

ISU UMUM : 10 CARIAN YOUTUBE TERHANGAT

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN


YOUTUBE telah menjadi era video atas talian yang banyak mempopularkan penyanyi baru seperti Justin Bieber dan Yuna serta Najwa Latif. Maklumat terkini mendapati Bieber masih menerajui senarai apabila klip video Baby berjaya menarik lebih setengah juta penonton. Muzik video oleh Jennifer Lopez bertajuk On The Floor pula menduduki tangga kedua dengan 500 juta penonton dalam masa 10 bulan. Video pelawak Judson Laipply dengan tajuk Evolution of Dance yang pernah menduduki tempat pertama dengan hampir 56 juta penonton sekarang terkeluar daripada senarai 10 teratas. Pada September 2008, Avril Lavigne dengan video muzik pop Girlfriend pernah berada di tangga teratas dengan 103 juta penonton. Video Charlie bit my finger - again! yang tidak ada kena-mengena dengan artis popular juga pernah berada di tangga teratas dengan 148 juta penonton pada 2010. Namun mulai Januari 2011, Bieber mula menunjukkan penguasaannya di alam maya apabila menguasai tempat teratas dengan lebih 400 juta penonton bagi klip video Baby.

Sehingga artikel ini ditulis, kedudukannya masih tidak berubah dan telah ditonton sebanyak 684,597,595 kali. Youtube telah mempopularkan ramai artis yang sebelum itu tidak mempunyai nama besar pun. Antara yang mencipta fenomena hasil muat naik klip video di Youtube ialah Dhanush. Tidak sah menjadi peminat Youtube jika tidak pernah menonton video Kolaveri Di - soundtrack lagu daripada filem Tamil yang digubah oleh pengarah muzik Anirudh dan ditulis dan dinyanyikan oleh Dhanush. Ia ditonton oleh 18.5 juta penonton dalam masa lapan hari. Kolaveri Di secara rasmi dilancarkan pada 16 November 2011 dan seakan-akan virus yang menyerang laman rangkaian sosial kerana lirik Tanglish (gabungan Tamil dan Inggeris). Senikata lagunya yang lucu dan mencuit hati menjadi kegilaan bukan saja di India bahkan seluruh Asia dan beberapa negara Eropah. Dalam masa seminggu, YouTube menganugerahkan Pingat Emas Paling Popular dan Pingat Perak kerana menerima bilangan hit yang tinggi dalam masa yang singkat.

Fenomena

Bukan saja di peringkat global malah di negara ini, YouTube juga menjadi satu fenomena baru bagi memperkenalkan bakat baru. Imratul Najwa Abdul Latif atau nama glamornya Najwa Latif yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku mengembangkan bakat dan minatnya melalui YouTube. Ana Rafali yang tidak asing lagi bagi peminat hiburan tanah air juga bermula dengan video klipnya di YouTube Tampil berbaju kurung memetik gitar dan menyanyi, dia pantas meraih populariti. Bermula dengan memperkenalkan lagu-lagu ciptaan sendiri di laman Youtube, dia akhirnya melebarkan sayap dalam bidang seni sehingga menarik perhatian komposer Aidit Alfian dan mendapat peluang bergandingan dengan nama besar seperti Sohaimi Mior Hasan.

Seorang lagi anak kelahiran Malaysia, Zee Avi atau Izyan Alirahman, juga mula dikenali di YouTube melalui lagu Kantoi dan kini mengukir nama di luar negara. Begitu juga Yuna yang mula dikenali dengan lagu Yang Sebenarnya di YouTube kemudian menjadi artis yang dikagumi di Malaysia dan kini mengembangkan sayapnya ke Amerika Syarikat (AS). Seorang lagi yang mengecapi populariti melalui YouTube ialah Cikgu Shida tetapi bukan mempertaruhkan vokal, sebaliknya menarik perhatian dengan aksi lucunya mengikut gerak bibir (miming) lagu popular. Antaranya lagunya adalah Kalau Berpacaran, Wakakaka Africa Cari Jodoh, Jahat, Yunk dan banyak lagi. Pokoknya, tidak susah hendak popular. Apa yang diperlukan adalah sedikit kreativiti. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
4 MAC 2012