02 Februari 2012

ISU UMUM : ORANG BUNIAN MAKHLUK HODOH

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


Kisah orang bunian sering diperkatakan khalayak di seluruh dunia. Banyak versi cerita yang melingkari kewujudan makhluk halus itu. Segelintir pihak mengatakan orang bunian ialah puteri kayangan yang disumpah turun ke bumi, sesetengah yang lain mendakwa ia orang alim yang menuntut ilmu salah. Ada pula yang percaya ia sejenis makhluk seakan-akan manusia. Seorang pengkaji paranormal, Mohammad Idrus Abu Hanifah memberitahu, kisah orang bunian wujud di seluruh dunia termasuk di benua Eropah. “Sepanjang yang saya ketahui, dahulu di Hulu Klang ramai orang mengatakan mereka pernah terserempak dengan orang bunian malah berinteraksi dengan mereka. Orang bunian akan meminjamkan pinggan mangkuk kepada orang kampung semasa majlis perkahwinan,” katanya kepada Jurnal. Namun, kerana sikap segelintir penduduk kampung yang tidak memulangkan pinggan mangkuk yang dipinjam selain merosakkannya menyebabkan orang bunian berkenaan menghilangkan diri dan enggan bekerjasama lagi dengan mereka.

Idrus mempunyai perspektif berbeza mengenai takrifan orang bunian. “Jika disebut orang bunian, ia seolah-olah manusia sebenar iaitu makhluk Tuhan yang paling sempurna sedangkan orang bunian ialah jin,” ujarnya. Katanya lagi, orang bunian mampu bertukar rupa seperti manusia kerana jin atau makhluk halus boleh bertukar rupa dan fizikal dengan mudah. Idrus memberitahu, orang bunian hidup secara berkumpulan dan memiliki perkampungan. Mereka juga mempunyai istana, pentadbiran dan gelaran. “Kadang-kadang perkampungan mereka ada di taman perumahan malah mungkin di sebelah rumah kita. Tetapi selagi kita tidak mengganggu mereka, tidak akan ada masalah,” ujarnya. Bagaimanapun menurut Idrus, orang bunian kebiasaannya menetap di hutan tebal dan tasik bagi mengelakkan berjumpa dengan manusia.

Bunian Eropah

Sifat orang bunian juga berbeza mengikut negara mereka tinggal. “Di Malaysia orang bunian menggunakan bahasa Melayu manakala di Indonesia mereka bercakap dalam bahasa ibunda negara itu. Di Britain pula mungkin bahasa Inggeris. Ia kedengaran agak lucu tetapi itulah hakikatnya. Pakaian mereka juga berbeza-beza mengikut musim dan keadaan,” ceritanya. Bagi masyarakat Barat, orang bunian tergolong dalam jenis hantu. Idrus mengaku dia pernah berjumpa dengan makhluk halus itu. Bahkan Idrus pernah mengajak penulis memasuki alam bunian itu tetapi penulis menolaknya kerana khuatir tidak akan kembali. “Tidak perlu untuk pergi ke alam bunian, sekadar berjumpa pun boleh. Tetapi kebanyakan orang yang bersungguh-sungguh untuk berjumpa tidak akan dapat melihatnya. Ini kerana mereka telah pengsan dahulu sebab rupa orang bunian tidak menawan seperti yang disangka. Mereka sebenarnya makhluk hodoh,” ujarnya. Idrus berkata, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sebelum berjumpa dengan orang bunian. Antaranya seseorang perlu menyediakan apa sahaja tujuh jenis makanan dan tujuh jenis bunga di samping teh O, kopi O dan air suam. Hari untuk bertemu mereka pula adalah pada malam Selasa disertai bacaan tertentu. Malam Selasa dianggap sebagai malam persahabatan antara manusia dan makhluk halus itu.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN KOSMO
2 FEBRUARI 2012

JADIKAN MOTIVASI DIRI : SAFEE SALI, JUTAWAN BOLA SEPAK MALAYSIA YANG PERTAMA


Kejayaan penyerang sensasi negara, Safee Sali menandatangani lanjutan kontrak baru dua tahun bernilai lebih RM2 juta bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya FC, perlu dicontohi pemain bola sepak lain di negara ini.  Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah kejayaan Safee itu satu lembaran baru dalam sejarah bola sepak negara. Baginda berharap kejayaan Safie dicontohi pemain lain. Kita harapkan setiap pemain mempunyai inspirasi, visi dan semangat untuk pergi jauh. Bukan sekadar mewakili negara tetapi pergi ke peringkat lebih tinggi dan ini akan memberi manfaat kepada negara. Kontrak baru bernilai lebih RM2 juta yang ditandatangani Safee, 28, dengan kelab itu sehingga 2014 menyenaraikan pemain itu sebagai jagoan bola sepak Malaysia bertaraf jutawan.  Selain menerima gaji baru berjumlah RM91,200 sebulan, Safee turut diberikan pelbagai kemudahan seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi serta faedah lain.  Tengku Abdullah mengucapkan tahniah kepada Safee dan berharap perjalanan kerjayanya dapat diteruskan ke peringkat tertinggi.  Baginda memberitahu bahawa baginda ada menasihatkan Safee teruskan kerjaya sebagai pemain yang boleh maju ke peringkat lebih tinggi dan dia harus mencuba nasib bermain di Eropah.  Baginda mengakui yang baginda tidak tahu tahap liga di Indonesia tetapi percaya Safee sudah memiliki semuanya yang sedikit sebanyak membina kemahirannya di sana.


KOMEN CIKGU ZUL

Tahniah diucapkan kepada Safee Sali di atas kejayaan tersebut. Seseungguhnya, kejayaan beliau akan membangkitkan semangat anak-anak muda khususnya pelajar-pelajar yang masih di bangku sekolah untuk melibatkan diri dalam sukan bola sepak secara serius. Seorang pemain bola yang profesional tidak memerlukan pencapaian akademik yang tinggi tetapi hanya memerlukan kemahiran mengelecek, menendang, menjaringkan gol dan sebagainya. Walau bagaimanapun, bukan maknanya kita mengabaikan akademik semata-mata hanya kerana semangat berkobar-kobar untuk mencipta nama sebagai pemain bola sepak terkenal seperti Safee Sali. 

Safee Sali merupakan seorang pemain bola sepak yang amat berdisiplin. Beliau merupakan satu-satunya pemain bola sepak Malaysia yang tidak ada gossip terlibat dalam pelbagai masalah sosial seperti pemain bola sepak yang lain. Kebanyakan pemain bola di Malaysia mudah hanyut dengan godaan syaitan selepas popular disebabkan mudah kalah dengan tuntutan hawa nafsu dan hasutan syaitan sehingga prestasi di padang merosot jika dibandingkan dengan prestasi kontroversi yang berapi-api. Safee Sali merupakan seorang pemain yang gigih mengejar impian walaupun kurang diberikan tumpuan oleh media. Beliau mempunyai pendirian dan tidak pernah riak dengan kemahiran dan kebolehan yang dimilikinya. Beliau memang sesuai dijadikan idola oleh anak-anak muda di Malaysia. Mudah-mudahan, semakin ramai anak Malaysia yang beraksi di padang bola bertaraf antarabangsa!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 FEBRUARI 2012

01 Februari 2012

ISU KEWANGAN : SEMUA ORNAGISASI TIDAK PERLU GENTAR DENGAN JURUAUDIT

ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan,
Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan,
Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia


Apabila disebut sahaja juruaudit, ada yang gusar seolah-olah juruaudit adalah penjenayah yang sedang mengacu pistol di kepala mereka. Kedatangan juruaudit ke sesebuah organisasi bagi melaksanakan kerja-kerja pengauditan seringkali menggerunkan kakitangan organisasi tersebut. Tidak kira, sama ada organisasi tersebut di sektor swasta mahupun awam, kedatangan juruaudit sememangnya tidak dialu-alukan. Persepsi negatif sebegini tidak langsung membantu untuk memajukan organisasi berkenaan. Malahan persepsi sebeginilah selalunya akan merencatkan segala aktiviti yang sedang dan akan dijalankan oleh organisasi berkenaan. Dalam konteks yang lebih besar lagi, juruaudit mempunyai peranan amat penting dalam memacu kemajuan ekonomi sesebuah negara. Umpamanya, terdapat banyak kajian empirikal yang menunjukkan betapa besarnya peranan juruaudit luar dalam memastikan kekukuhan bursa saham sesebuah negara dengan membina keyakinan tinggi di kalangan para pelabur.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Jawapannya, juruaudit yang berkualiti tinggi (bebas dan kompeten) akan memberi keyakinan kepada para pelabur terhadap penyata kewangan yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan. Maka, penyata kewangan yang diaudit oleh 'pihak ketiga' ini akan meyakinkan para pelabur dalam membuat sebarang keputusan pelaburan. Lebih-lebih lagi, jika laporan audit bersih (benar dan saksama) dikeluarkan oleh juruaudit luar dan kedudukan kewangan sesebuah syarikat amatlah kukuh, sudah tentulah para pelabur berminat untuk melabur di syarikat berkenaan. Bayangkan pula terdapat banyak syarikat sebegini di sesebuah negara, maka, kesan positif akan kelihatan di bursa saham negara tersebut. Ini apa yang berlaku di sektor swasta. Bagaimana pula peranan juruaudit di sektor awam di bawah tanggungjawab Jabatan Audit Negara yang diketuai oleh Ketua Audit Negara. Ketua Audit memperoleh mandat di bawah Perlembagaan Persekutuan (Perkara 106 dan 107) dan Akta Audit 1957.

Ketua Audit bebas daripada sebarang gangguan dan tidak bersikap memilih bulu. Ia berperanan mengawas, memantau dan memerhati dalam rangka akauntabiliti pentadbiran kerajaan. Terdapat empat jenis pengauditan yang dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara. Pertama, pengauditan penyata kewangan yang mana Ketua Audit Negara akan mengeluarkan pendapat atau laporan audit yang menggambarkan kedudukan penyata kewangan kerajaan persekutuan adalah benar dan saksama. Kedua, pengauditan pematuhan yang mana Ketua Audit Negara akan menilai sejauh mana Kementerian/Jabatan Persekutuan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan. Ketiga, pengauditan prestasi yang lebih ke arah menilai sesuatu aktiviti Kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan dalam mencapai objektif yang ditetapkan. Jenis pengauditan keempat ialah pengauditan pengurusan syarikat kerajaan yang lebih menjurus kepada pengurusan syarikat kerajaan agar dijalankan secara teratur.

Tujuan utama melaksanakan keempat-empat jenis pengauditan ini adalah untuk memastikan adanya check and balance agar wang rakyat yang dikutip melalui cukai digunakan sebaik mungkin. Dengan kata mudah, Ketua Audit Negara berperanan besar melindungi setiap sen wang rakyat. Maka, prinsip akauntabiliti sentiasa diketengahkan dan ditekankan di kalangan penjawat-penjawat awam. Namun demikian, ramai yang beranggapan Ketua Audit Negara dan Jabatan Audit Negara berperanan untuk mencari kesalahan dan penyelewengan. Tanggapan salah inilah yang menyebabkan ramai khuatir dengan kedatangan mereka dalam proses menjalankan kerja-kerja pengauditan. Kerja-kerja menyiasat penyelewengan di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdapat juga pihak-pihak berkepentingan melantik akauntan forensik dalam menyiasat sebarang penipuan. Akauntan forensik selalunya dilantik di kalangan juruaudit bebas (firma-firma pengauditan). Oleh kerana salah tanggapan mengenai peranan juruaudit, juruaudit sering dipersalahkan seolah-olah mereka berperanan besar mencari penipu, perasuah dan penyeleweng. Penulis mengambil contoh, dalam pengauditan prestasi, ia lebih ke arah menilai dan memeriksa sejauh manakah aktiviti-aktiviti kerajaan persekutuan dilaksanakan secara cekap, berkesan dan berhemah. Apa yang dinilai ialah impak dan outcome aktiviti-aktiviti berkenaan dalam mencapai objektif yang ditetapkan. Sesuatu aktiviti tidak dikira gagal selagi belum melebihi tempoh sasaran untuk mencapai objektif-objektif berkenaan. Namun demikian, dalam mana-mana aktiviti pastinya ada kelemahan kerana sudah menjadi lumrah alam tiada aktiviti yang bersifat sempurna.

Aktiviti-aktiviti ini kesemuanya dilaksanakan oleh manusia, maka, kesempurnaan itu mustahil dapat dicapai. Justeru, teguran yang dibuat oleh Ketua Audit Negara bertujuan memastikan kelemahan-kelemahan ini ditangani secara berhemah dan tersusun bagi mencapai objektif-objektif aktiviti berkenaan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Selain itu, peranan Ketua Audit Negara adalah bagi menambah baik sistem penyampaian kerajaan supaya rakyat mendapat manfaatnya. Sekali lagi, teguran-teguran membina akan dibuat oleh Ketua Audit Negara bagi sebarang kelemahan dalam sistem penyampaian kerajaan. Maka, usahlah menganggap bahawa teguran ini sesuatu yang negatif sedangkan kesan positifnya jentera kerajaan akan lebih cekap dan sistematik. Teguran-teguran ini termasuklah dalam meningkat tadbir urus kerajaan dan memberi kesedaran betapa pentingnya pengurusan kewangan kerajaan diurus secara berhemah.

Secara kesimpulan, setiap organisasi tidak perlu gentar dengan juruaudit, jauh sekali menganggap mereka musuh yang amat menggerunkan. Memahami peranan juruaudit dan mengambil kira segala teguran mereka secara positif bukan sahaja mempercepatkan kemajuan sesebuah organisasi tetapi juga menjadikan ekonomi sesebuah negara lebih mantap dan mapan.

Sila berikan komen anda.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 FEBRUARI 2012

ISU PENDIDIKAN : KAJI PUNCA KEMEROSOTAN PELAJAR SAINS SEBELUM DIBERI ELAUN KHAS


Kemerosotan bilangan pelajar jurusan sains di institusi pengajian tinggi (IPT) bukan perkara baru. Permasalahan itu berpunca sejak di sekolah lagi dan ada tiga sebab utama mengapa masalah itu berlaku iaitu kurang minat, tanggapan subjek sains susah dan prospek kerjaya yang terhad. Apa yang membimbangkan ialah ketiga-tiga faktor yang berakar umbi sejak di sekolah menengah itu menyebabkan bilangan pelajar sains peringkat universiti turut merosot dengan ketara. Sekiranya sekolah gagal membekalkan pelajar sains diperlukan, ia boleh menjejaskan matlamat kerajaan mencapai sasaran nisbah 60 peratus pelajar sains dan 40 sastera di universiti. Kekurangan graduan cemerlang dalam jurusan sains pula akan membantut matlamat kerajaan yang memerlukan modal insan berkepakaran dalam bidang berkenaan kerana merekalah penentu untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Bagi menangani masalah itu, cadangan dikemukakan Majlis Profesor Negara (MPN) kelmarin supaya kerajaan memberikan elaun bulanan sekurang-kurangnya RM200 setiap bulan kepada pelajar sains adalah antara opsyen yang boleh ditimbangkan tetapi kita berpendapat ia bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Cadangan itu memerlukan kajian mendalam kerana ia bukan saja membabitkan peruntukan tinggi, malah kita khuatir ia boleh mencetuskan masalah lain di kalangan pelajar.

Apakah dengan pemberian wang kita mampu menarik minat dan kecenderungan pelajar untuk mengikuti jurusan sains? Kita bimbang langkah itu akan mewujudkan amalan diskriminasi di kalangan pelajar aliran sains dan sastera, terutama yang cemerlang. Cadangan itu juga dibimbangi akan melahirkan generasi manja, lemah dan tidak mempunyai jati diri. Pemberian ganjaran kepada semua pelajar tanpa mengira cemerlang atau sebaliknya boleh dianggap merendahkan moral individu berkenaan walaupun niat asalnya baik iaitu sebagai dorongan supaya memilih bidang lebih mencabar. Cadangan MPN itu berbeza dengan pemberian biasiswa kerana penerima biasiswa dipilih berdasarkan merit dan diberi kepada pelajar cemerlang serta berkelayakan. Sekiranya cadangan itu mahu dilaksanakan, suatu mekanisme perlu diwujudkan bagi menentukan kriteria pelajar yang layak seperti menggunakan sistem meritokrasi atau mewajibkan pelajar menduduki peperiksaan khas. Apa pun, satu kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kemerosotan pelajar sains. Jika pasaran kerjaya terhad menjadi punca, kerajaan harus mengambil langkah memastikan pelajar sains mendapat jaminan pekerjaan apabila tamat pengajian.

Sila berikan komen anda.

SUMBER
BERITA HARIAN
1 FEBRUARI 2012

31 Januari 2012

ISU BAHASA : PENGABAIAN BAHASA MELAYU TERUS BERLELUASA DI KUALA LUMPUR

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my


The Peak, Tivoli Villa, Atmosfera, Vista Millennium, Casa Prima dan Park Avenue bukan di New York, London atau Toronto. Ia sebahagian daripada taman perumahan dan kondominium di Kuala Lumpur yang menyambut ulang tahun ke-38 sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari. Jangan hairan jika ayah dan ibu dari kampung susah nak sebut nama sesetengah kawasan perumahan kerana sebutannya terlalu aneh dan tidak mencerminkan identiti Melayu. Barangkali kerana takdir sejarah yang meletakkan Yap Ah Loy sebagai peneroka Kuala Lumpur, maka nama Melayu semakin bersaing dengan nama asing untuk taman perumahan dan bangunan awam.  Kalau ada pun nama Melayu mungkin di kawasan separa tradisional seperti di Kampung Baru, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Pandan, Kampung Kerinchi dan Kampung Datuk Keramat.

Kawasan urban dan elit lebih mesra menggunakan nama aneh, mungkin kerana keanehan cara berfikir penghuninya sendiri. Mimpi juga berbeza kerana Wilayah Persekutuan tonggak pembangunan negara menjelang 2020.  Jangan salahkan pemaju perumahan yang ghairah menggunakan nama asing untuk taman perumahan. Mereka tidak membuat kesalahan kerana tiada peruntukan daripada Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur atau mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melarang penggunaan nama asing untuk kawasan kediaman. Pemaju hanya menjalankan tugas membina kediaman, sekali gus mengaut keuntungan.  Mereka tidak terikat mendaulatkan bahasa Melayu kerana tiada peruntukan berbuat demikian. PBT pula lebih selesa meluluskan projek, hatta di kawasan berisiko di lereng bukit dan tadahan air semata-mata atas nama pembangunan Wilayah Persekutuan. Tidak kisah premis nama Melayu atau tidak, asalkan pembangunan diteruskan.

Sama ada Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan yang semuanya dikelompokkan sebagai Wilayah Persekutuan, tiada peruntukan undang-undang atau akta yang boleh mensabitkan kesalahan terhadap ‘pelanggar’ bahasa Melayu. Sesiapa saja boleh berucap, menulis papan tanda dan memperkenalkan nama jalan dengan nama yang aneh.  Pada 2000, ada segelintir pejuang bahasa Melayu yang melatah penggunaan perkataan ‘presint’ yang diubah daripada ‘precint’ di Putrajaya. Mereka mencadangkan penggunaan nama yang lebih sesuai dengan budaya setempat. Namun apalah yang ada pada budayawan dan ahli bahasa, termasuk juga pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ahli PENA dan GAPENA, kerana suara mereka tenggelam di sebalik keghairahan politik nasional yang lebih mencaturkan kerakusan kuasa dan agihan ekonomi. Pencinta bahasa Melayu sentiasa di belakang dan perkataan ‘presint’ dikekalkan walaupun mengikut mykamus.com bermaksud ‘kawasan terkepung terutama di sekeliling gereja, larangan bagi lalu lintas dalam sesebuah pekan’.

Kamus Dwibahasa terbitan DBP pula menjelaskan ‘precint’ bermaksud ‘ruang yang berpagar (di gereja), batasan sesuatu daerah’. Pedulikan maksud dalam kamus kerana kehidupan sekarang jarang merujuk kamus, apatah lagi bagi sebuah Wilayah Persekutuan yang menyambut perayaan pada 28 Januari lalu bertemakan ‘Rakyat Bersatu, Wilayah Persekutuan Maju.’  Barangkali demi memenuhi impian kemajuan, penggunaan ungkapan aneh semakin berleluasa. Terbaru laluan pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan Bukit Bintang sepanjang 1.173 kilometer dikaitkan dari aras concourse Pusat Konvensyen Kuala lumpur. Tiada ungkapan lain selain concourse?

Sebelum ini kita tidak kisah menyebut nama ‘Jalan Pekeliling’ yang sepatutnya Jalan Berkeliling mengambil ungkapan asalnya ‘Circular Road!’ Sekali lagi, kita tak kisah menggunakan ungkapan salah, seperti juga kita tidak rasa janggal menyebut Kuala Lumpur Sentral, Putra World Trade Centre (PWTC), The Mall, Lot 10 (baca Lot Ten), Ampang Point, Central Market dan bermacam lagi.  Tidak jauh dari Jalan Pekeliling tertera papan tanda di sebuah premis; Ah Fatt tukang jahit wanita. Kita tidak pasti berapa ramai wanita yang sudah dijahit oleh Ah Fatt!  Yang kita pasti nasib bahasa Melayu semakin celaru di buminya sendiri. Ketika kita ghairah mencapai negara maju dan Wilayah Persekutuan sebagai daerah selamat dihuni, kita kekal celaru dan hilang jati diri. Bahasa dan budaya dipersenda, nilai murni sekadar sandiwara dan kita pun kekal dengan prasangka pembangunan, keliru antara angka ekonomi dan nasib marhaen di lorong belakang Chow Kit. Barangkali inilah wajah kita yang terkini!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
31 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : MENGAPA PELAJAR ALIRAN SAINS KURANG?

Oleh JOHAN YUSUF


Kita maklum bahawa Malaysia sedang menggapai matlamat bergelar negara maju pada tahun 2020, yang cuma berbaki lapan tahun lagi. Namun, realitinya pelajar-pelajar kita yang diharap memberi impak kepada matlamat ini semakin berkurangan, sekali gus menjejaskan wawasan tersebut. Untuk menjadi negara maju, sains mesti ditekankan di kalangan rakyat, seiring dengan pemikiran kritikal, rasional dan analitikal. Persoalannya mengapa pelajar tidak mahu mengambil jurusan sains? Dasar pendidikan oleh kerajaan selalunya berubah sebaik sahaja menteri pelajaran bertukar tangan dan hasilnya tiada kesinambungan. Jadi adalah lebih baik sekiranya cadangan yang asal itu ditambah baik dari tahun ke tahun, berbanding menukar keseluruhan idea tanpa kajian menyeluruh. Itu di peringkat sekolah, di peringkat tinggi, keadaan menjadi lebih teruk lagi. Pelajar-pelajar cemerlang ini, malah kami yang sedang belajar ini merasakan bahawa tiada guna mengambil jurusan yang lebih sukar ini, sedangkan tangga gaji dalam kerajaan dan swasta tidak banyak bezanya dengan pelajar aliran sastera yang lain.

Gaji permulaan dalam kerajaan, jika dibuat perbandingan antara golongan sains dan pentadbiran cuma lebih 100-200 bagi gaji permulaan dan gaji siling berbanding golongan sastera (Sila rujuk tangga gaji SPA dari T1 - T20 sebelum SBPA). Ini amatlah tidak setimpal dengan pengorbanan dan perit jerih bergelar pelajar sains. Untuk pengetahuan, tidak ramai pelajar sains yang mampu tamat diploma atau ijazah mengikut masa yang ditetapkan kerana terpaksa mengulang akibat gagal dalam subjek tertentu yang jauh lebih sukar daripada mereka yang mengambil subjek sastera. Berbalik kepada soal di atas, kita akhirnya dapat menyimpulkan mengapa pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Mara di luar negara terutamanya bidang perubatan, ramai yang tidak pulang berkhidmat di Malaysia setelah tamat belajar, sebaliknya memilih untuk berkhidmat di luar negara. Mengapa?

Ini kerana gaji di luar negara selama 3-4 tahun saja sudah mampu membayar semula tajaan kerajaan kepada mereka, berbanding jika mereka terpaksa berkhidmat dengan kerajaan selama beberapa tahun dengan gaji yang relatifnya sangat kecil. Sistem biasiswa dan pinjaman pelajaran juga seolah-olah tidak adil kepada pelajar sains. Jika kita perhatikan, kebanyakan daripadanya (ambil PTPTN sebagai contoh) hanya menukar pinjaman kepada biasiswa sekiranya pelajar berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama iaitu CGPA 3.50 dan ke atas bagi kebanyakan universiti. Dan hal ini sama kepada semua pelajar, tidak kira jurusan sains atau sastera. Jika beginilah keadaannya, sudah tentu pelajar sastera yang akan beroleh banyak manfaat berbanding pelajar sains kerana tidak ramai pelajar sains yang memperoleh keputusan tersebut berbanding pelajar sastera.

Hal ini lebih adil sekiranya pelajar sains diberikan kayu ukur yang lebih rendah berbanding pelajar sastera dalam penentuan Ijazah Kelas Pertama. Saya yakin, sebabnya lebih banyak. Mungkin ia berbunyi remeh, namun sekiranya hal ini tidak diberikan perhatian, maka kita bakal melihat lebih banyak brain drain dan kekurangan bijak pandai yang berlatarbelakangkan jurusan sains di Malaysia. Mereka ialah orang yang bijak, jangan sia-siakan kebolehan mereka untuk menyumbang kepada negara ini.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 Januari 2011

30 Januari 2012

ISU SOSIAL : SINDIKIT PENGEMIS BUTA

“Derma encik”

Itulah kata-kata pengemis cacat penglihatan sambil menghulurkan tisu ataupun kalendar untuk ditukarkan dengan wang. Menjadikan restoran sebagai tempat meminta sedekah, pastinya pelanggan yang sedang menikmati hidangan yang enak- enak tidak sampai hati melihat golongan ini meminta-minta, lalu mereka menghulurkan derma. Bagaimanapun, niat ikhlas pemberi sumbangan ini membuatkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan. Itulah yang terjadi kepada golongan cacat penglihatan yang ditindas oleh golongan yang sempurna dan hanya mementingkan keuntungan. Namun, sindiket yang menggunakan golongan cacat penglihatan ini masih belum disahihkan kerana kebanyakan yang ditemui mengakui mereka melakukannya dengan kerelaan hati, membantu golongan cacat penglihatan ini meneruskan kelangsungan hidup. Tinjauan di beberapa kawasan di Shah Alam, Subang Jaya dan Bangsar menyelami nasib si pengemis buta yang dipercayai didalangi sindiket untuk mendapatkan keuntungan ataupun mereka ini mahukan wang dengan cara yang mudah.

Mengemis, menjual tambah pendapatan

Tinjauan mendapati orang cacat penglihatan dibawa oleh seorang lelaki ataupun perempuan sambil menjual barangan mereka seperti kalendar dan tisu di kawasan tumpuan orang ramai seperti kedai mamak, pasar malam dan sebagainya. Salah seorang yang hanya mahu dikenali sebagai Ali berkata, dia dan isterinya terpaksa menjual kalendar untuk menyara dua anaknya yang masih kecil. Ali yang cacat penglihatan dibantu seorang wanita yang diperkenalkan sebagai isterinya berasal dari Indonesia. Mereka tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan menggunakan teksi sebagai pengangkutan untuk keluar menjual barangan mereka. “Kami tidak bekerja dan menjual kalendar ini untuk menyara kehidupan seharian dan setiap hari kami hanya memperoleh tidak lebih daripada RM100. “Kalendar ini kami tempah khas untuk dijadikan barang jualan kepada orang ramai dan mendapat simpati daripada orang ramai untuk membeli dan menderma,” katanya. Ali yang berusia 40-an dan isterinya berusia 30-an itu pergi selepas ditanya pelbagai soalan dan meneruskan aktiviti mereka meminta derma di salah sebuah restoran.

Boleh dikenakan tindakan

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Roslan Baba berkata, aktiviti mengemis yang menggunakan orang buta ada dilaporkan tetapi ianya merangkumi keseluruhan pengemis yang dikenalpasti. Menurutnya, ini juga dipercayai didorong oleh sindiket yang menggunakan orang buta bagi mendapatkan wang dengan cara yang lebih mudah. “Kaedah mendapatkan simpati orang ramai dan dibantu oleh pengiring yang sempurna sifat membantu mereka ini mendapatkan wang yang lebih. “Antara kaedah yang digunakan bukan sahaja mengemis dengan tangan kosong tetapi ditukarkan dengan menjual tisu, kerepek, kalender ataupun ayat-ayat suci al-Quran,” katanya. Roslan berkata, sekiranya ditangkap, mereka bersama pengiring juga menerima nasib yang sama kerana pengiring seolah-olah bersubahat dengan mendapatkan wang. Menurutnya, mereka ini dikategorikan di bawah Akta Orang Papa 1977 bagi menyelamatkan orang yang terlibat supaya tidak meneruskan aktiviti mengemis mereka.

“Berdasarkan laporan yang diterima mereka ini akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi menjalankan aktiviti mereka. “Mereka akan ditemani seorang wanita atau lelaki celik yang membantu mereka bagi memastikan tidak ditipu orang ramai,” katanya. Beliau berkata, walaupun alasan mereka hanya menampung keperluan kehidupan seharian, golongan cacat penglihatan ini dipercayai berselindung di sebalik sindiket pengemis yang mengaut keuntungan berpuluh-puluh ribu sebulan bagi setiap seorang orang kurang upaya (OKU) di bawah jagaan mereka. Menurutnya, kegiatan ini disifatkan sebagai satu manipulasi sindiket terancang yang berniat memeras kudrat OKU yang sama sebahagian besarnya adalah orang tempatan. “Dipercayai perolehan pendapatan daripada mengemis dibahagikan diantara OKU dan orang yang menemaninya. “Ada yang mendakwa, mereka ini memperolehi pendapatan mencecah RM20,000 sebulan dan ada kemungkinan juga, sindiket pengemis buta ini mendapat persetujuan daripada pengemis sendiri yang juga mahukan wang dengan cara dengan lebih mudah dengan menggunakan kekurangan yang ada pada mereka,” katanya. Roslan berkata, tindakan OKU yang meminta belas orang ramai merupakan tindakan pengemis dan ianya menyalahi Akta Orang-Orang Papa 1977.

Menurutnya, turut tidak menafikan keadah mengemis menggunakan orang buta ini dipercayai diselubungi sindiket tetapi pihaknya masih belum dapat membuktikan dakwaan tesebut. Bagi mengatasi masalah dan kegiatan mengemis ini, JKM akan mengadakan kempen ‘Berhenti Memberi, Kami Prihatin’ pada 31 Januari ini peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Menurutnya, jika sebelum ini operasi membersihkan pengemis sentiasa dilaksanakan tetapi kali ini memberi tumpuan kepada pemberi. Roslan berkata, pihaknya sering mengadakan operasi melalui tiga kaedah iaitu operasi bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan, polis dan agensi yang terlibat, operasi berjadual dan operasi berdasarkan aduan. Beliau berkata, jumlah pengemis yang diselamatkan sehingga bulan Oktober 2011, lelaki 915 orang dan perempuan 359, jumlahnya, 1274. Bilangan operasi pengemis dan kutu rayau, operasi bersepadu, 57 orang , operasi berjadual, 417orang, aduan orang ramai, 275 orang, rujukan agensi dan persatuan, 60 orang dan lain-lain 102 orang.

MAD sedia membantu

Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) tidak menolak dakwaan terdapat pengemis buta yang mengemis menggunakan pengiring untuk menambah pendapatan mereka ataupun untuk menyara keluarga. Mereka ini ada diantaranya digunakan individu tertentu untuk mendapat simpati supaya orang ramai terus memberi sumbangan. Pelbagai kaedah yang digunakan seperti menjual tisu, kalendar dan menjual kerepek sebagai kaedah mereka untuk mengemis. Ini seolah-olah mereka menjalankan perniagaan bergerak bagi mengelakkan daripada mereka dikategorikan sebagai pengemis. Pemangku Pengarah Eksekutif MAB, Datuk S Ganesan berkata, pihaknya sebelum ini tidak menerima laporan mengenai orang buta yang dijadikan pengemis untuk satu sindiket tetapi tidak menolak dakwaan ada pengemis yang terdiri daripada orang buta. Menurutnya, beberapa tahun lalu, pihaknya ada menerima laporan mengenai orang cacat penglihatan ini dijadikan pengemis di Perak dan ditempatkan di beberapa kawasan. “Kita ada terima laporan tetapi tidak dapat membongkar mengenai isu ini dan pemantauan berterusan kita laksanakan kerana tidak mahu golongan ini ditindas oleh mereka yang hanya memikirkan keuntungan dengan mudah. “Sehingga kini, MAB sering terlibat dalam operasi dengan kerjasama daripada pihak berkuasa bagi mencegah kegiatan mengemis menggunakan orang cacat penglihatan kerana tidak mahu mereka ini dipandang rendah,” katanya ketika ditemui di pejabat MAB.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Oleh : Nooraizura Ahmad

SUMBER
SINAR HARIAN
30 Januari 2011

ISU ALAM SEKITAR : ANCAMAN RIBUT MATAHARI

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
nisa.sulaiman@utusan.com.my


Awal minggu lalu, dunia digemparkan dengan fenomena ledakan di matahari atau disebut ribut matahari. Adakah ini ada rentetan ramalan ahli nujum terkenal Nostradamus mengenai kemusnahan Bumi? Sebelum ini penyelidik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pada Mac 2006 pernah meramalkan ribut matahari paling dahsyat atau dikenali dengan solar maksimum akan berlaku dalam setiap 50 tahun. Kajian yang diketuai oleh Mausumi Dikpati daripada Pusat Nasional bagi Penyelidikan Atmosfera (NCAR) menyatakan, kitaran matahari akan menjadi lebih kuat 30 hingga 50 peratus berbanding terdahulu. Jika ramalannya benar, tahun 2012 dan 2013 bakal menyaksikan aktiviti matahari lebih besar daripada tragedi Solar Max 1958. Ledakan atau aktiviti matahari terkini dicatatkan sebagai yang paling kuat sejak 2005, demikian menurut pakar astrofizik Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), Doug Biesecker. Koordinator Observatori Negara Langkawi (ONL), Agensi Angkasa Malaysia, Mhd Fairos Asillam berkata, matahari merupakan bintang.

“Kitaran suria atau kitaran aktiviti magnetik matahari adalah perubahan berkala dalam jumlah pancaran atau sinaran dari Matahari yang menyirami Bumi “Kitaran suria mengambil masa secara purata 11 tahun dari satu solar maksimum ke solar maksimum berikutnya dan telah diperhatikan bahawa perubahan antara sembilan hingga 14 tahun bagi sebarang kitaran suria yang diberikan,” katanya semasa dihubungi Mingguan Malaysia. Bagaimana kita menentukan bila fasa aktif matahari? Mhd Fairos berkata, ahli astronomi yang memantau keadaan matahari setiap hari akan melihat banyak tompokan hitam di permukaan matahari. “Solar maksimum adalah tempoh yang mana aktiviti solar adalah tertinggi di dalam kitaran suria bagi matahari. Semasa solar maksimum, terdapat bilangan tompok matahari yang banyak di atas permukaannya iaitu melebihi angka 200,” katanya. Ini menyebabkan medan magnet matahari berpintal atau menyimpul. Akibatnya akan berlaku suar suria atau julangan bebola api yang bersaiz gergasi dari permukaan matahari dan juga ejeksi jisim korona (corona mass ejection atau CME).

Di Malaysia, Agensi Angkasa Malaysia (Angkasa) dan Jabatan Metereologi Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Aktiviti Matahari bagi memantau aktiviti matahari di ONL dengan kerjasama International Space Weather Initiative (ISWI) bagi memantau aktiviti matahari. Bagi letupan yang berlaku di matahari 23 Januari lalu, jawatankuasa berkenaan akan memantau selama enam hari sehingga Isnin. “Ini kerana hanya letupan yang paling hampir dengan permukaan Bumi akan dikira kerana ia mengambil masa dua hingga enam hari untuk sampai ke Bumi,” katanya. Apabila berlakunya ribut solar, hanya bahagian matahari yang paling hampir dengan Bumi dan menyemburkan tenaga dipantau. “Apabila semburan banyak dan kuat melanggar lapisan atas dan dinding magnet Bumi ia mengakibatkan ribut geomagnetik. “Ribut berkenaan boleh memberikan gangguan pada lapisan ionosfera Bumi di mana terdapatnya komunikasi radio dan satelit,” katanya.

Bagaimanapun jelas Mhd. Fairos, ribut geomagnetik biasanya tidak memberikan kesan langsung kepada negara-negara di kawasan Khatulistiwa. Biasanya kawasan berhampiran Kutub Utara dan Kutub Selatan mendapat kesan langsung daripada ribut berkenaan. “Malaysia tidak terlibat secara langsung kerana negara tidak mempunyai banyak satelit tetapi kebanyakkan satelit mempunyai panel solar. “Ketika itu operator satelit akan memastikan satelit berada pada mod pasif supaya fungsinya tidak terganggu,” katanya. Mengambil contoh Kitaran Suria ke 22 yang berlaku pada 1989 menyebabkan transformer di Quebec, Kanada terbakar dan keadaan bergelap selama sembilan jam.

TRAGEDI

Bagaimanapun selepas apa yang berlaku di Quebec, Kanada, menurut Fairos, saintis semakin memahami aktiviti matahari dan kerugian daripada tragedi berkenaan dapat dikurangkan. Bagaimanapun jika ribut berkenaan amat kuat, negara yang berdekatan dengan kutub seperti Eropah, Jepun, Rusia akan mendapat kesannya. “Sebab itulah aurora juga hanya kelihatan di negara berhampiran kutub,” katanya. Negara yang berhampiran dengan Khatulistiwa lebih selamat dengan medan magnet yang melindunginya. Ini kerana zarah-zarah matahari datang ke Bumi dan masuk melalui Kutub Utara dan Kutub Selatan. “Walaupun negara kita tidak terlibat secara langsung dengan ribut solar tetapi aktiviti yang melibatkan satelit mungkin terganggu. “Bayangkan jika telefon bimbit, kereta, trak, kapal terbang, komputer, televisyen, radio atau permainan elektronik semua tidak berfungsi. “Tentu ini akan melumpuhkan ekonomi negara,” katanya.

Malah beberapa syarikat penerbangan di Eropah terpaksa mengubah laluan penerbangan daripada melalui kawasan kutub yang terdedah kepada radiasi. Bagaimanapun ribut solar yang diukur adalah pada skala G1 yang paling rendah atau minor kerana biarpun terdapat letupan kuat di matahari tetapi jarak yang jauh memperlahankan impak yang tiba ke Bumi. Mhd Fairos menegaskan ribut solar tidak memberikan sebarang kesan kepada manusia serta tidak berkaitan dengan perubahan cuaca. Sementara itu, ahli astronomi amatur tempatan, Shahrin Anuar berkata, selain Bumi, planet-planet yang berada di sekitar matahari turut merasai kesan fenomena daripada ledakan tersebut. “Jika Bumi menerimanya pada awal minggu lalu, planet Marikh pula merasai kesan tersebut sehari selepas itu,” katanya. Partikel bertenaga tinggi akan tiba ke Bumi dalam jangka masa satu hingga dua hari sementara radiasi elektromagnetik akan mencecah Bumi dalam masa lapan minit. CME yang tercetus bergerak dengan halaju 6.4 juta kilometer sejam menuju Bumi.

Jumlah bahan yang terbebas dalam proses tersebut dianggarkan mencapai berjuta-juta kilogram. Partikel-partikel yang terhasil daripada letusan matahari itu tidak membahayakan nyawa manusia kerana dihalang oleh medan magnet. Kesan aktiviti matahari yang mencetuskan ledakan yang paling buruk pernah direkodkan berlaku pada abad ke-19. Ketika itu kesan ketara yang berlaku adalah gangguan sistem telegraf. Pada 1859, Bumi menghadapi fenomena ribut solar yang terbesar dan mengejutkan. Tindakbalas di atas permukaan matahari teramat marak sehingga menyebabkan sistem wayar telegraf di United Kingdom (UK) dan AS terganggu dan dalam kes tertentu, terbakar secara tiba-tiba. Sehingga rencana ini ditulis pada 27 Januari, laman web Angkasa melaporkan :Rantau aktif 1402 yang menyebabkan letusan suar matahari dan ribut geomagnetik pada awal minggu ini kembali aktif dengan penyemburan jisim korona di kutub utara Matahari. Bagaimanapun letusan CME ini tidak memberikan ancaman kerana tidak menghala ke Bumi. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai ribut Matahari setiap hari boleh layari http://www.angkasa.gov.my

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 Januari 2011

ISU ANTARABANGSA : TRAUMA BERTERUSAN KAUM CINA INDONESIA


Trauma yang dilalui oleh kaum Cina di Indonesia masih belum pulih sepenuhnya. Biar sudah lama mendiami Indonesia, masyarakat ini berpendapat mereka masih belum mendapatkan keadilan seperti mana warga negara Indonesia lainnya. Hakikat kepada kesan pemerintahan Orde Baru oleh Presiden Suharto itu sebetulnya masih terus berlanjutan sehingga kini. Presiden kedua negara itu ketika memimpin Indonesia dilihat telah melakukan diskriminasi kepada masyarakat Tionghua. Kaum Cina terpaksa melalui liku yang bukan sedikit sehingga nama mereka juga harus diwajibkan memiliki identiti Indonesia. Tiada nama Cina yang dibenarkan diguna pakai. Kaum ini juga harus memiliki Surat Bukti Kewarganegaraan Republik Indonesia atau SBKRI yang merupakan tanda pengenalan diri bahawa mereka warganegara Indonesia. Keperluan memiliki SBKRI merupakan salah satu syarat yang harus dipenuhi seseorang untuk mengurus berbagai keperluan, seperti Kad Tanda Penduduk (KTP) bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan, membuat permohonan pasport antarabangsa atau pendaftaran pilihan raya.

Bahkan untuk mendirikan rumah tangga sehingga menutup nyawa juga, SKBRI merupakan dokumen yang paling penting. Bagaimanapun, selang perubahan masa ketika Orde Reformasi tercetus, hal yang disifatkan sebagai perlakuan diskriminasi dihapuskan. Sekalipun perubahan dilaksanakan, namun kebimbangan terhadap masalah perkauman (khususnya di kalangan kaum Cina) masih menjadi isu yang belum menemui titik penyelesaian. Masalah perkauman di kalangan kaum Cina tegas seorang anggota Komuniti Gelodok, Hermawi F. Taslim masih ada disebabkan golongan ini masih lagi dibelenggu oleh pemikiran silam. Trauma yang dilalui oleh nenek, moyang atau ibu dan ayah mereka terhadap diskriminasi perlakuan kepimpinan terdahulu menyebabkan kaum Cina di Indonesia masih belum keluar dari kepompong mereka. Taslim yang juga Timbalan Pengerusi parti politik yang berasaskan perjuangan Islam, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) menegaskan, ekoran daripada trauma itu juga, masyarakat Cina Indonesia hari ini memilih untuk mengasingkan diri dalam kelompok mereka sendiri.

"Orang Cina yang kaya menetap di Gelodok, Jakarta Barat iaitu berbeza dengan kelompok yang hidup di Tangerang, Banten iaitu penempatan orang-orang miskin," tegas Taslim yang dipetik sebagai berkata dalam laporan muka depan akhbar Sunday Post (edisi mingguan The Jakarta Post) keluaran 22 Januari lalu. Laporan berkenaan turut menarik perhatian kenyataan yang sama disuarakan tokoh sejarah Indonesia, J.J Rizal. Menurut Rizal, amalan perkauman semasa pemerintahan Orde Baru telah memaksa masyarakat Tionghua menarik diri daripada menikmati kehidupan bersama anggota masyarakat lain dengan memilih cara hidup yang lebih eksklusif. Dalam satu aspek lain, Rizal berkata, biarpun kaum Cina Indonesia diberi peluang menguasai ekonomi negara ini, namun kelebihan itu mencetus rasa kurang senang daripada kelompok majoriti penduduk negara ini.

RUSUHAN

Perasaan kurang senang ini dirujuk Rizal pada insiden rusuhan kaum yang tercetus pada 1998 yang menyaksikan pertumpahan darah berlaku apabila kaum Cina dibunuh dan dirogol di Jakarta dan beberapa wilayah lain di negara ini. Insiden itu meninggalkan kesan psikologi yang amat besar kepada kaum ini sehingga menyebabkan mereka enggan untuk kembali berdamping dengan masyarakat umum, tegas Rizal. Mujur kata Rizal, keterbukaan pemerintah Indonesia hari ini memperkenalkan pelbagai polisi yang menawarkan manfaat buat kaum Cina Indonesia. Bagi aktivis hak asasi manusia yang berketurunan Cina, Esther Indahyani, sistem pemerintahan kerajaan Indonesia hari ini telah membuka ruang buat kaum Cina menjalin hubungan integrasi yang baik dengan seluruh rakyat serta membenarkan penyertaan mereka di dalam perkhidmatan awam. "Sudah tidak ada banyak halangan lagi kecuali ketakutan sendiri yang mungkin dirasakan oleh mereka (kaum Cina) apabila menyertai perkhidmatan awam," sambung Esther pula.

Berikutan isu diskriminasi sudah terhakis, Esther pada masa sama menggalakkan mereka yang sekaum dengannya mengambil inisiatif untuk melahirkan sebuah komuniti yang lebih baik. "Jangan hanya bergantung dan menunggu pemerintah bekerja untuk mereka bagi melahirkan sebuah persekitaran yang baik," tegasnya. Pada masa ini, rakyat Indonesia berketurunan Cina menjangkau angka 3.7 peratus daripada jumlah populasi 237 juta penduduk berdasarkan bancian negara yang dibuat 2010. Dalam kestabilan yang sedang dinikmati di Indonesia hari ini, kemungkinan untuk tragedi Mei 1998 untuk kembali berlaku amat tipis. Keyakinan ini disuarakan oleh bekas duta Indonesia ke China, Mejar Jeneral (B) Sudradjat yang memberitahu, jaminan keselamatan terhadap kaum Cina yang diberikan oleh pemerintah akan membantu ke arah memakmurkan rakyatnya. "Tragedi Mei 1998 sesuatu yang tidak akan berlaku lagi tetapi kaum Cina harus keluar dari kepompong mereka," ujar beliau. Hal ini tegas Sudradjat amat penting untuk membantu menyedarkan kaum berkenaan apa yang dimaksudkan dengan masyarakat terbuka. "Jangan sesekali mendiskriminasikan diri anda jika anda sendiri tidak mahu didiskriminasikan oleh orang lain," tegas Sudradjat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN DISEBALIK TIRAI BESI

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM
(PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad)


Tidak ramai yang tahu di sebalik bangunan yang dikawal rapi dengan dinding batu yang tinggi dan tebal serta disalut dengan kawat berduri terdapat sebuah sekolah di dalamnya. Sekolah ini dihuni oleh pelajar khas yang terdiri daripada banduan muda iaitu mereka yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana melakukan berbagai kesalahan jenayah. Hanya ada beberapa negara di dunia ini seperti negara kita yang menyediakan kemudahan pendidikan di dalam penjara. Laporan Khas dalam Utusan Malaysia pada 23 Januari lalu merupakan maklumat menarik yang lengkap dan dapat dikongsi bersama mengenai perkembangan salah satu cabang sekolah di negara kita. Kemudahan pendidikan ini menunjukkan betapa kerajaan sangat prihatin terhadap hak untuk mendapat pendidikan termasuk kepada kanak-kanak yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah. Walaupun berada di sebalik balik tirai besi keperluan mendapatkan pendidikan secara formal dalam kalangan kanak-kanak itu tidak diabaikan. Sekolah dalam penjara ini dikenali sebagai Sekolah Integriti yang mula beroperasi sejak 2008. Seperti kanak-kanak lain mereka juga disediakan perkhidmatan guru terlatih dan berpengalaman serta dibekalkan peralatan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi.

Hingga kini terdapat 1,650 pelajar yang terdiri daripada pesalah juvenil yang sedang mengikuti pelajaran di enam buah penjara. Sekolah Integriti ini beroperasi mengikut zon iaitu di Penjara Kajang, Penjara Kluang, Penjara Marang, Penjara Sungai Petani, Penjara Kuching dan Penjara Kota Kinabalu. Ini termasuk dua buah Sekolah Henry Gurney di Melaka dan Keningau, Sabah yang beroperasi sejak 1950. Pertambahan bilangan pelajar di sekolah ini agak tinggi di mana jumlahnya hanya 531 tahun 2008, 531 tahun 2009 dan meningkat kepada 1,104 pada 2010. Kerjasama Kementerian Pelajaran dan Jabatan Penjara bagi menyediakan kemudahan pendidikan kepada banduan muda ini seharusnya diberi pujian. Matlamat pendidikan di sekolah ini bukan setakat menyediakan keperluan asas literasi dan numerasi kepada kanak-kanak tersebut tetapi turut menyediakan keperluan masa depan mereka. Dengan kata lain pelajar-pelajar ini diberikan kemudahan mengikuti pelajaran akademik, kokurikulum dan vokasional yang bertujuan untuk melahirkan modal insan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di bidang akademik pelajar diberi peluang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bagi melengkapkan diri aspek motivasi, pembinaan sahsiah dan kemahiran 'soft skill' turut diberikan.

Diharapkan apabila meninggalkan institusi penjara nanti setidak-tidaknya mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan mudah dalam persekitaran masyarakat. Di samping itu dapat berdikari dengan mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan pengalaman yang telah diterima sepanjang berada di penjara. Agak menarik adalah pencapaian akademik yang menggalakkan di kalangan pelajar-pelajar sekolah berkenaan. Misalnya terdapat pelajar yang memperolehi 6A dalam peperiksaan PMR dan pelajar terbaik dalam SPM memperolehi 7A dan 1B. Peratus kelulusan adalah tinggi iaitu PMR 90.1 peratus dan SPM 95.24 peratus. Kejayaan dalam bidang akademik ini sudah tentu atas usaha keras pelajar dan sokongan kuat guru-guru di sekolah berkenaan. Ini membuktikan bahawa suasana pembelajaran di penjara bukanlah menjadi faktor penghalang kepada kejayaan. Beberapa tahun lepas penulis berpeluang melawat Sekolah Integriti di Penjara Kajang dan Penjara Kluang. Sebaik sampai ke sekolah tersebut jelas perasaan kagum dengan kelengkapan bilik darjah, makmal dan pusat sumber yang kelihatan sangat kemas dan lengkap. Kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang disediakan adalah dikira setanding dengan sekolah harian yang lain.

Demikian juga guru-guru yang bertugas adalah merupakan guru terlatih dan berpengalaman. Mereka dipilih khusus untuk mengajar di sekolah berkenaan selepas melalui beberapa peringkat temuduga. Dalam perbualan, guru-guru tersebut menyatakan rasa bangga kerana berpeluang berkhidmat di sekolah berkenaan. Menurut mereka saat yang paling menyedihkan ialah ketika hampir cuti panjang persekolahan di mana pelajar-pelajar seolah-olah tidak mahu berpisah dengan guru. Pelajar sangat mesra dengan guru dan menganggap guru-guru sebagai pengganti ibu dan bapa. Pelajar sangat patuh dan sentiasa menghormati guru-guru malah sangat suka jika guru sering berleter atau memberi nasihat panjang kerana dikatakan sama seperti sikap ibu mereka semasa berada di rumah dahulu. Langkah Kementerian Pelajaran menempatkan 102 orang guru dan menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap adalah suatu yang harus diberi pujian. Walaupun pelajar-pelajar pernah melakukan kesalahan jenayah tetapi hak mereka untuk mendapat pendidikan yang terbaik secara format tidak harus diabaikan. Moga-moga segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi di sekolah tersebut akan dapat dimanfaatkan selepas meninggalkan bangunan penjara di suatu hari nanti.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
30 Januari 2011

ISU SOSIAL : 4 JUTA POLIS KAWAL 28 JUTA PENDUDUK? BELUM KIRA WARGA ASING

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Seorang pemandu teksi, Mohd. Norpiah Harun Arashid yang mencari rezeki di ibu negara ialah rakyat biasa yang peka dalam menilai keselamatan negara di sudut orang awam. Bukan dia sahaja, malah hampir semua rakyat Malaysia mempunyai penilaian tersendiri mengenai tahap keselamatan negara ketika ini. Rakyat Malaysia pasti akan membandingkan soal keselamatan itu sepanjang mereka mula mengenali peranan dan tugas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan yang sinonim dan paling awal disebut oleh sesiapapun, jika kita berbicara tentang keselamatan negara. Bagi Mohd. Norpiah yang berusia lingkungan 50-an, beliau menganggap penglibatan anggota polis di tempat-tempat awam kini kian berkurangan. "Kelibat anggota polis kini semakin berkurangan jika dibandingkan dengan tahun 80-an, Jadi, saya rasa cadangan untuk menambah bilangan mereka amat baik," katanya ketika diminta pendapat mengenai cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menambah bilangan anggota penguat kuasa dan sukarelawan di seluruh negara baru-baru ini.

Cadangan itu diusul bagi menurunkan kadar jenayah dan membentuk rasa selamat di kalangan rakyat. Penambahan seramai 35,029 anggota berbanding 27,162 anggota sedia ada tahun lalu itu diumumkan oleh menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, baru-baru ini. Pendekatan komprehensif itu sejajar dengan dua inisiatif utama KDN selain melibatkan lebih ramai rakyat dalam aktiviti mencegah jenayah sebagai usaha membanteras kegiatan itu di seluruh negara tahun ini. Apabila kita mengambil kira pendapat Mohd. Norpiah itu tadi, atau rakyat Malaysia yang lain, satu harapan wujud dalam masyarakat iaitu supaya lebih ramai anggota penguat kuasa diletakkan supaya ia mampu menghadirkan rasa selamat kepada mereka. Penulis yakin, kerajaan sebenarnya mempunyai sebab kenapa bilangan penguat kuasa ini harus ditambah. Peningkatan angka penduduk Malaysia yang kini semakin menghampiri 30 juta orang (28.7 juta seperti yang dipetik daripada laman web Jabatan Perangkaan Malaysia) mungkin turut menjadi faktor kenapa kerajaan mencadangkan penambahan anggota penguat kuasa.

Ini kerana adakah mencukupi jika negara ketika ini hanya memiliki kira-kira 4 juta anggota penguat kuasa (pelbagai agensi) untuk mengawal keselamatan jumlah penduduk Malaysia yang semakin meningkat. Perlu diingat, angka 28 juta penduduk Malaysia itu belum termasuk jumlah pendatang asing di negara ini. Sekiranya dicampur dengan pendatang asing, pastinya sukar untuk penguat kuasa, baik PDRM mahupun lain-lain agensi untuk mengawal ketenteraman negara. Malaysia ketika ini mempunyai kira-kira 4 juta anggota penguat kuasa yang ditadbir di bawah KDN. Bilangan 4 juta ini termasuk 3 juta kakitangan tetap dan sukarelawan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), 120,000 anggota dan pegawai tetap dalam PDRM, 400,000 anggota dan sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta 260,000 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Jumlah itu belum termasuk mereka yang sukarela menyertai agensi-agensi lain di bawah KDN antaranya Wataniah dan sebagainya. KDN baru-baru ini menyasarkan untuk mendapat penyertaan 100,000 anggota penguat kuasa daripada agensi-agensi di bawahnya untuk terlibat dalam rondaan bersama di seluruh negara bagi mengurangkan kadar peratusan jenayah menjelang Mac depan.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Tan Sri Mahmood Adam berkata, sehingga kini seramai 20,000 sukarelawan terdiri daripada anggota JPAM dan Rela terlibat dalam rondaan bersama itu. "KDN yakin dapat mencapai sasaran 100,000 anggota dalam tempoh tiga bulan untuk bertugas di dalam rondaan bersama," kata beliau. Malah, kata Mahmood, KDN juga telah mewujudkan sistem rondaan bersama agensi keselamatan di bawah kementerian itu sejak awal tahun lalu membabitkan beberapa lokasi tumpuan di seluruh negara. Ini termasuk Sungai Pelek di Selangor; Alor Gajah, Melaka; Kampar, Perak; Johor Bahru, Johor, Taman Tun Dr. Ismail di Kuala Lumpur, selain Kluang dan Pagoh di Johor serta Pekan, Pahang. Menerusi sistem ini, kata beliau, anggota penguat kuasa daripada sekurang-kurangnya enam agensi seperti Imigresen, AADK, Jabatan Pendaftaran Negara, Bahagian Keselamatan Negara (BKN) akan menghantar wakil untuk bersama-sama melakukan rondaan. "Buat masa ini, kerajaan belum ada perancangan untuk menambah bilangan anggota dan pegawai polis, namun apa yang akan ditambah adalah bilangan penguat kuasa dan sukarelawan lain-lain agensi dalam KDN. "Kita yakin, penambahan bilangan anggota yang melakukan rondaan bersama cegah jenayah ini akan mewujudkan rasa selamat kepada masyarakat," katanya.

Kepada rakyat Malaysia seperti Mohd. Norpiah, langkah kerajaan ini sedikit sebanyak dapat mengembalikan kepercayaan mereka terhadap pasukan keselamatan yang menjadi nadi kemakmuran sesebuah negara. Tidak perlulah semua yang menjalankan rondaan itu memakai pakaian seragam polis, kerana bagi kita, asalkan ada pasukan penguat kuasa, sekurang-kurangnya rakyat akan merasa selamat dari pelbagai bentuk jenayah yang kian mencabar pada zaman serba moden kini. Cuma bagi penulis, rakyat janganlah hanya mengharapkan polis atau pasukan penguat kuasa sahaja yang muncul untuk mengawal keamanan kerana sebagai individu prihatin, tanggungjawab mencegah jenayah adalah kerja bersama.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
30 Januari 2011