Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my
The Peak, Tivoli Villa, Atmosfera, Vista Millennium, Casa Prima dan Park Avenue bukan di New York, London atau Toronto. Ia sebahagian daripada taman perumahan dan kondominium di Kuala Lumpur yang menyambut ulang tahun ke-38 sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari. Jangan hairan jika ayah dan ibu dari kampung susah nak sebut nama sesetengah kawasan perumahan kerana sebutannya terlalu aneh dan tidak mencerminkan identiti Melayu. Barangkali kerana takdir sejarah yang meletakkan Yap Ah Loy sebagai peneroka Kuala Lumpur, maka nama Melayu semakin bersaing dengan nama asing untuk taman perumahan dan bangunan awam. Kalau ada pun nama Melayu mungkin di kawasan separa tradisional seperti di Kampung Baru, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Pandan, Kampung Kerinchi dan Kampung Datuk Keramat.
Kawasan urban dan elit lebih mesra menggunakan nama aneh, mungkin kerana keanehan cara berfikir penghuninya sendiri. Mimpi juga berbeza kerana Wilayah Persekutuan tonggak pembangunan negara menjelang 2020. Jangan salahkan pemaju perumahan yang ghairah menggunakan nama asing untuk taman perumahan. Mereka tidak membuat kesalahan kerana tiada peruntukan daripada Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur atau mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melarang penggunaan nama asing untuk kawasan kediaman. Pemaju hanya menjalankan tugas membina kediaman, sekali gus mengaut keuntungan. Mereka tidak terikat mendaulatkan bahasa Melayu kerana tiada peruntukan berbuat demikian. PBT pula lebih selesa meluluskan projek, hatta di kawasan berisiko di lereng bukit dan tadahan air semata-mata atas nama pembangunan Wilayah Persekutuan. Tidak kisah premis nama Melayu atau tidak, asalkan pembangunan diteruskan.
Sama ada Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan yang semuanya dikelompokkan sebagai Wilayah Persekutuan, tiada peruntukan undang-undang atau akta yang boleh mensabitkan kesalahan terhadap ‘pelanggar’ bahasa Melayu. Sesiapa saja boleh berucap, menulis papan tanda dan memperkenalkan nama jalan dengan nama yang aneh. Pada 2000, ada segelintir pejuang bahasa Melayu yang melatah penggunaan perkataan ‘presint’ yang diubah daripada ‘precint’ di Putrajaya. Mereka mencadangkan penggunaan nama yang lebih sesuai dengan budaya setempat. Namun apalah yang ada pada budayawan dan ahli bahasa, termasuk juga pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ahli PENA dan GAPENA, kerana suara mereka tenggelam di sebalik keghairahan politik nasional yang lebih mencaturkan kerakusan kuasa dan agihan ekonomi. Pencinta bahasa Melayu sentiasa di belakang dan perkataan ‘presint’ dikekalkan walaupun mengikut mykamus.com bermaksud ‘kawasan terkepung terutama di sekeliling gereja, larangan bagi lalu lintas dalam sesebuah pekan’.
Kamus Dwibahasa terbitan DBP pula menjelaskan ‘precint’ bermaksud ‘ruang yang berpagar (di gereja), batasan sesuatu daerah’. Pedulikan maksud dalam kamus kerana kehidupan sekarang jarang merujuk kamus, apatah lagi bagi sebuah Wilayah Persekutuan yang menyambut perayaan pada 28 Januari lalu bertemakan ‘Rakyat Bersatu, Wilayah Persekutuan Maju.’ Barangkali demi memenuhi impian kemajuan, penggunaan ungkapan aneh semakin berleluasa. Terbaru laluan pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan Bukit Bintang sepanjang 1.173 kilometer dikaitkan dari aras concourse Pusat Konvensyen Kuala lumpur. Tiada ungkapan lain selain concourse?
Sebelum ini kita tidak kisah menyebut nama ‘Jalan Pekeliling’ yang sepatutnya Jalan Berkeliling mengambil ungkapan asalnya ‘Circular Road!’ Sekali lagi, kita tak kisah menggunakan ungkapan salah, seperti juga kita tidak rasa janggal menyebut Kuala Lumpur Sentral, Putra World Trade Centre (PWTC), The Mall, Lot 10 (baca Lot Ten), Ampang Point, Central Market dan bermacam lagi. Tidak jauh dari Jalan Pekeliling tertera papan tanda di sebuah premis; Ah Fatt tukang jahit wanita. Kita tidak pasti berapa ramai wanita yang sudah dijahit oleh Ah Fatt! Yang kita pasti nasib bahasa Melayu semakin celaru di buminya sendiri. Ketika kita ghairah mencapai negara maju dan Wilayah Persekutuan sebagai daerah selamat dihuni, kita kekal celaru dan hilang jati diri. Bahasa dan budaya dipersenda, nilai murni sekadar sandiwara dan kita pun kekal dengan prasangka pembangunan, keliru antara angka ekonomi dan nasib marhaen di lorong belakang Chow Kit. Barangkali inilah wajah kita yang terkini!
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
BERITA HARIAN
31 Januari 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan