ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan,
Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan,
Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia
Apabila disebut sahaja juruaudit, ada yang gusar seolah-olah juruaudit adalah penjenayah yang sedang mengacu pistol di kepala mereka. Kedatangan juruaudit ke sesebuah organisasi bagi melaksanakan kerja-kerja pengauditan seringkali menggerunkan kakitangan organisasi tersebut. Tidak kira, sama ada organisasi tersebut di sektor swasta mahupun awam, kedatangan juruaudit sememangnya tidak dialu-alukan. Persepsi negatif sebegini tidak langsung membantu untuk memajukan organisasi berkenaan. Malahan persepsi sebeginilah selalunya akan merencatkan segala aktiviti yang sedang dan akan dijalankan oleh organisasi berkenaan. Dalam konteks yang lebih besar lagi, juruaudit mempunyai peranan amat penting dalam memacu kemajuan ekonomi sesebuah negara. Umpamanya, terdapat banyak kajian empirikal yang menunjukkan betapa besarnya peranan juruaudit luar dalam memastikan kekukuhan bursa saham sesebuah negara dengan membina keyakinan tinggi di kalangan para pelabur.
Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Jawapannya, juruaudit yang berkualiti tinggi (bebas dan kompeten) akan memberi keyakinan kepada para pelabur terhadap penyata kewangan yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan. Maka, penyata kewangan yang diaudit oleh 'pihak ketiga' ini akan meyakinkan para pelabur dalam membuat sebarang keputusan pelaburan. Lebih-lebih lagi, jika laporan audit bersih (benar dan saksama) dikeluarkan oleh juruaudit luar dan kedudukan kewangan sesebuah syarikat amatlah kukuh, sudah tentulah para pelabur berminat untuk melabur di syarikat berkenaan. Bayangkan pula terdapat banyak syarikat sebegini di sesebuah negara, maka, kesan positif akan kelihatan di bursa saham negara tersebut. Ini apa yang berlaku di sektor swasta. Bagaimana pula peranan juruaudit di sektor awam di bawah tanggungjawab Jabatan Audit Negara yang diketuai oleh Ketua Audit Negara. Ketua Audit memperoleh mandat di bawah Perlembagaan Persekutuan (Perkara 106 dan 107) dan Akta Audit 1957.
Ketua Audit bebas daripada sebarang gangguan dan tidak bersikap memilih bulu. Ia berperanan mengawas, memantau dan memerhati dalam rangka akauntabiliti pentadbiran kerajaan. Terdapat empat jenis pengauditan yang dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara. Pertama, pengauditan penyata kewangan yang mana Ketua Audit Negara akan mengeluarkan pendapat atau laporan audit yang menggambarkan kedudukan penyata kewangan kerajaan persekutuan adalah benar dan saksama. Kedua, pengauditan pematuhan yang mana Ketua Audit Negara akan menilai sejauh mana Kementerian/Jabatan Persekutuan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan. Ketiga, pengauditan prestasi yang lebih ke arah menilai sesuatu aktiviti Kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan dalam mencapai objektif yang ditetapkan. Jenis pengauditan keempat ialah pengauditan pengurusan syarikat kerajaan yang lebih menjurus kepada pengurusan syarikat kerajaan agar dijalankan secara teratur.
Tujuan utama melaksanakan keempat-empat jenis pengauditan ini adalah untuk memastikan adanya check and balance agar wang rakyat yang dikutip melalui cukai digunakan sebaik mungkin. Dengan kata mudah, Ketua Audit Negara berperanan besar melindungi setiap sen wang rakyat. Maka, prinsip akauntabiliti sentiasa diketengahkan dan ditekankan di kalangan penjawat-penjawat awam. Namun demikian, ramai yang beranggapan Ketua Audit Negara dan Jabatan Audit Negara berperanan untuk mencari kesalahan dan penyelewengan. Tanggapan salah inilah yang menyebabkan ramai khuatir dengan kedatangan mereka dalam proses menjalankan kerja-kerja pengauditan. Kerja-kerja menyiasat penyelewengan di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdapat juga pihak-pihak berkepentingan melantik akauntan forensik dalam menyiasat sebarang penipuan. Akauntan forensik selalunya dilantik di kalangan juruaudit bebas (firma-firma pengauditan). Oleh kerana salah tanggapan mengenai peranan juruaudit, juruaudit sering dipersalahkan seolah-olah mereka berperanan besar mencari penipu, perasuah dan penyeleweng. Penulis mengambil contoh, dalam pengauditan prestasi, ia lebih ke arah menilai dan memeriksa sejauh manakah aktiviti-aktiviti kerajaan persekutuan dilaksanakan secara cekap, berkesan dan berhemah. Apa yang dinilai ialah impak dan outcome aktiviti-aktiviti berkenaan dalam mencapai objektif yang ditetapkan. Sesuatu aktiviti tidak dikira gagal selagi belum melebihi tempoh sasaran untuk mencapai objektif-objektif berkenaan. Namun demikian, dalam mana-mana aktiviti pastinya ada kelemahan kerana sudah menjadi lumrah alam tiada aktiviti yang bersifat sempurna.
Aktiviti-aktiviti ini kesemuanya dilaksanakan oleh manusia, maka, kesempurnaan itu mustahil dapat dicapai. Justeru, teguran yang dibuat oleh Ketua Audit Negara bertujuan memastikan kelemahan-kelemahan ini ditangani secara berhemah dan tersusun bagi mencapai objektif-objektif aktiviti berkenaan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Selain itu, peranan Ketua Audit Negara adalah bagi menambah baik sistem penyampaian kerajaan supaya rakyat mendapat manfaatnya. Sekali lagi, teguran-teguran membina akan dibuat oleh Ketua Audit Negara bagi sebarang kelemahan dalam sistem penyampaian kerajaan. Maka, usahlah menganggap bahawa teguran ini sesuatu yang negatif sedangkan kesan positifnya jentera kerajaan akan lebih cekap dan sistematik. Teguran-teguran ini termasuklah dalam meningkat tadbir urus kerajaan dan memberi kesedaran betapa pentingnya pengurusan kewangan kerajaan diurus secara berhemah.
Secara kesimpulan, setiap organisasi tidak perlu gentar dengan juruaudit, jauh sekali menganggap mereka musuh yang amat menggerunkan. Memahami peranan juruaudit dan mengambil kira segala teguran mereka secara positif bukan sahaja mempercepatkan kemajuan sesebuah organisasi tetapi juga menjadikan ekonomi sesebuah negara lebih mantap dan mapan.
Sila berikan komen anda.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 FEBRUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan