27 Januari 2012

ISU POLITIK : POLITIK BERADAB DEMI KEMASLAHATAN RAKYAT

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)


Iman al-Ghazali (450 - 505H/1058-1111M) yang terkenal dalam bidang tasawuf dan psikologi pendidikan Islam turut memberikan sumbangan besar kepada falsafah politik dengan melahirkan beberapa karya penting sama ada dalam bentuk surat-surat kumpulan nasihat kepada pemerintah atau tanggungjawab menguruskan negara. Dalam usaha menguruskan negara, al-Ghazali menjelaskan falsafah politik hendaklah berteraskan kepada membentuk perpaduan dan memacu kemajuan bagi membolehkan rakyat hidup selesa dan tenteram. Berkonsepkan kepada itulah al-Ghazali mendefinisikan politik atau siasah ialah menambah baik urusan manusia dengan memacu jalan yang lurus bagi meneruskan kehidupan selaras dengan prinsip menegakkan kebenaran dan menghapus kemungkaran. Dengan menggunakan rangka falsafah politik itu, sekurang-kurangnya dapatlah kita menilai apakah realiti politik yang berlaku di Malaysia setelah beberapa kaedah dilaksanakan oleh parti politik semakin menipis dengan peraturan adab dan nilai-nilai moral. Bentuk politik beradab ialah kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki hendaklah digunakan untuk melakukan kebajikan kepada rakyat dan bukannya mengheret rakyat dalam kancah sengketa ataupun huru-hara.

Sebuah parti politik yang mendakwa perjuangannya adalah untuk membentuk masyarakat dan negara berdasarkan Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafur, atau negara yang sejahtera dan (mendapat keampunan) Tuhan Yang Maha Pengampun tidak dapat ditemui apakah sesungguhnya perjuangan mereka. Yang jelas ialah setiap tindak-tanduknya telah menghasilkan perilaku politik yang amat tidak beretika. Apabila memperlihatkan bingkai ubudiyah, yakni pengabdian manusia seruannya lebih menumpukan kepada rasa ketaatan yang lebih besar kepada pemimpin sehingga membentuk situasi bahawa pemimpin itu adalah penentu segala-galanya, rakyat tidak perlu mempersoalkan apakah yang dilakukan itu benar-benar bercirikan kehendak Islam atau di sebaliknya. Resah rakyat tidak dipedulikan. Keinginan rakyat tidak diberikan perhatian yang serius bahkan bagi 'menyuntik sedikit kelegaan' elit politik menggunakan pautan sejarah dan petikan ayat-ayat al-Quran bagi menggambarkan bahawa retorik politiknya menurut jalan yang lurus dan tepat. Realitinya tidak sedemikian, kerana rentetan sejarah dan petikan ayat-ayat al-Quran dan hadis tidak dikembangkan dalam kerangka tindakan yang komprehensif.

Sejak kemunculannya lagi belum terangkum dengan jelas apakah kaedah yang dilakukan demi meningkatkan kehidupan rakyat manakala setiap masa menyatakan bahawa pendekatan yang dibawa telah menghasilkan persekitaran kehidupan yang baik dan penuh keimanan. Apakah muslihatnya bila membuat dakwaan sedemikian, sedangkan secara drastiknya tidak ada kemajuan dan petunjuk positif boleh dibanggakan. Mungkin sebahagian daripada kita boleh meneliti apakah benar kesejahteraan hidup rakyat telah berjaya ditingkatkan sedangkan kadar pengangguran semakin meningkat, jumlah penghidap HIV/AIDS kian bertambah manakala lain-lain jenayah (curi, pecah rumah, menipu, merogol, mengugut dan pergaduhan) tidak juga berkurangan. Tetapi, pemimpin yang mendakwa dirinya telah mampu menyuburkan semangat keislaman dan keimanan semakin sehari semakin membusung dengan nilai-nilai kehidupan yang terkeluar daripada peraturan adab. Untuk membuktikan dirinya berintegriti, pemimpin tersebut masih berdolak-dalik. Untuk membuktikan dirinya bersih daripada sebarang prasangka mementingkan kekayaan, pemimpin itu masih berdiam diri daripada mengisytiharkan aset yang dimilikinya sama ada atas nama dirinya atau pun ahli keluarganya.

Sebagai ulama fiqh, Iman al-Ghazali memberikan ketegasan bahawa kekuasaan dan kekuatan yang ada dalam diri seseorang pemimpin hendaklah digunakan bagi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan rakyat. Tetapi apa yang berlaku ialah pemimpin yang mendabik sebagai orang yang beriman dan sentiasa bertakwa kepada Allah SWT itu tidak pernah memikirkan dengan tepat dan jelas bagaimana rakyat yang memberikan harapan dan kuasa kepadanya, maka dia perlu memainkan peranan dan tanggungjawabnya secara lebih berkesan. Sebaliknya, rakyat diajak dan didorong untuk bertindak keterlaluan sehingga masalah peribadi dihubungkaitkan sebagai persoalan memastikan peluang dan memusnahkan masa depan dalam politik. Maka, dalam menimbuskan jurang kredibiliti dan melonjakkan imej, pemimpin tersebut sanggup melancarkan kempen mengajak rakyat mencetuskan kekecohan sehingga menampakkan bahawa yang bersalah ialah pihak yang berusaha menguatkuasakan peraturan dan mengawal situasi. Mereka yang gigih berusaha mengekang tindakan liar dilihat sebagai zalim dan keterlaluan, sedangkan secara lojik, penganjurnya harus dipersalahkan akibat membelakangkan peraturan dan tidak menerima ketetapan. Atas kegelisahan takut dijatuhkan hukuman bersalah, rakyat diberitahu secara sinisnya bahawa memang peraturan itu sengaja digunakan untuk menafikan kebebasan dan hak setiap orang.

Bukankah kebebasan seluas-luasnya telah diberikan? Bukankah peluang tersebut telah digunakan secara maksimum sehingga menggelorakan pemikiran rakyat seolah-olah setiap hari adalah hari penentuan? Setiap hari perlu diperkuatkan azam bahawa pihak yang memerintah perlu disingkirkan kerana pemerintah dianggap gagal dan melakukan kezaliman? Apakah kaitannya persoalan peribadi dengan tindakan kerajaan apabila mempertahankan kewajaran undang-undang bagi membuktikan terlaksananya proses mencari keadilan kepada pihak yang mendakwa dan didakwa? Hal itulah yang menjadi bahan pemikiran politik al-Ghazali apabila beliau menggariskan asas berpolitik mestilah dilaksanakan secara terbuka dengan menolak keinginan mempertahankan peribadi seseorang. Mengekalkan keamanan negara menjadi prinsip perjuangan dan meletakkan tindakan memenuhi kebajikan rakyat sebagai praktis yang besar, bukannya hanya sekadar menabur janji dan menyalahkan orang lain, apabila gagal. Sebarang usaha yang konkrit perlu didedahkan. Bukan sekadar mendakwa berjaya mengurangkan hutang hampir RM600 juta sedangkan usaha itu sebenarnya dilakukan oleh pihak lain. Yang menyumbangkan dana ialah orang lain, tetapi yang mendakwa kejayaan adalah elit politik yang gagal melaksanakan program membela nasib rakyat secara berkesan, hanya menempel atas kejayaan dan inisiatif pihak lain.

Pemimpin yang mengamalkan budaya "lembu punya susu tetapi sapi dapat nama" itulah dinilai sebagai politik tidak beradab oleh al-Ghazali. Seseorang pemimpin mestilah mencapai tahap kualiti yang tinggi baik dari segi ilmu mahupun perilakunya kerana ia terdedah kepada pelbagai cabaran. Seseorang pemimpin mestilah bijaksana dalam melaksanakan tanggungjawabnya menyelesaikan masalah rakyat dan bukan hanya sekadar bermain dengan retorik, menyebarkan maklumat palsu dan menimbulkan suasana bermusuhan. Perkembangan politik semasa, kerana tarikh pilihan raya umum semakin dekat, lebih banyak pendekatan propaganda digunakan sehingga menampakkan hanya pihak tertentu sahaja yang bersalah sedangkan orang yang melancarkan serangan itu tidak sedikit pun memperlihatkan kesungguhan melaksanakan prinsip membentuk kesejahteraan dan menganjurkan perpaduan. Setiap apa yang ditawarkan membawa kepada penyelesaian berdarah, kerana falsafah politik yang dipeganginya itulah sahaja yang benar dan berjiwa Islam sedangkan seluruh tindakannya tidak pernah membuktikan budaya beradab dan berintegriti.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 Januari 2011

ISU UMUM : GOLONGAN PROFESIONAL DEKATI RELA

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my


Persepsi masyarakat terhadap sukarelawan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kini semakin berubah apabila dalam tempoh tiga tahun bilangan keanggotaannya meningkat daripada 530,000 orang pada 2008 kepada 2.874 juta orang tahun lalu walaupun sasaran awal hanya dua juta orang menjelang akhir tahun ini. Bayaran saguhati perlindungan insurans kemalangan diri anggota Rela secara percuma menambah daya tarikan kepada pasukan sukarela ini. Insurans percuma itu meliputi RM40,000 jika meninggal ketika bertugas dan RM20,000 jika meninggal di luar tugas, perbelanjaan perubatan RM2,000 (maksimum tahunan) dan kematian ilat RM20,000. Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, semua anggota Rela yang ditimpa bencana ketika menjalankan tugas dimasukkan ke wad kelas dua tanpa dikenakan sebarang caj rawatan. Mereka diberi uniform Rela secara percuma, kad keahlian Rela, elaun bertugas RM4 sejam, menghadiri latihan dan kursus di Pusat Latihan Rela dengan dibayar elaun serta berpeluang menyertai pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan Rela.

Semua tawaran itu sudah cukup untuk menarik minat golongan profesional seperti doktor, jurutera, guru, pesara kerajaan, petani, nelayan, peniaga kecil-kecilan, anak-anak muda dan pelajar menjadi duta kecil kerajaan dalam membantu menghidu permasalahan rakyat, mendapatkan maklumat mengenai reaksi rakyat ke atas apa-apa dasar semasa serta mendapat maklumat berkaitan keselamatan setempat. Anggota Rela turut melakukan khidmat komuniti seperti melaksanakan Program Khidmat Bakti Rela, memberi bantuan awal kes kecemasan, membudayakan nilai-nilai murni serta terlibat dalam khidmat kesejahteraan dan keharmonian penduduk setempat, tugas tersebut mampu mendekatkan diri mereka dalam masyarakat. Di bawah kepimpinan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam peranan Rela yang dulu lebih terarah kepada mengawal kesesakan lalu lintas semasa kenduri kahwin kini bakal diantarabangsakan apabila khidmat mereka diperlukan semasa bencana alam melanda negara luar.

Mereka juga mahu dengan kelahiran semula Rela konsep barunya berlandaskan kepada teras 4K iaitu Keselamatan, Keamanan, Kesejahteraan dan Keharmonian yang pendekatannya membawa kepada empat kepelbagaian iaitu aktiviti ekonomi, golongan masyarakat, kaum dan etnik serta adat dan kebudayaan. Seramai 4,701 anggota Rela kini boleh dilihat melakukan rondaan bersama anggota polis untuk mengurangkan kadar jenayah jalanan di empat buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor Baharu dan Pulau Pinang manakala di Sabah dan Sarawak membabitkan 920 anggota. Tugas teras Rela dalam mengawal keselamatan dan keamanan kawasan ialah membantu mewujudkan konsep kawasan dan bandar selamat, menjaga kawasan larangan seperti punca elektrik dan punca air serta pintu masuk negara (yang tidak sah) bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin. Sejajar dengan kematangan usia Rela yang bakal menginjak ke usia 40 tahun, Program Perhimpunan Perdana Rela Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berlangsung pada 28 Januari (Sabtu ini) di Dewan A, MAEPS Serdang bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang untuk meraikan dan menghargai jasa anggota-anggota Rela yang setia berbakti dan sentiasa bersedia memberikan bantuan tanpa mengira masa.

Hampir 20,000 anggota Rela dari seluruh negara akan menyertai perhimpunan yang julung-julung kali diadakan ini. Pelbagai aktiviti telah dirancang seperti pertunjukan, penerangan mengenai fungsi dan peluang menyertai Rela, kempen derma darah, demonstrasi serta gerai pameran membabitkan semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri. Orang ramai yang berminat boleh menyertai pasukan sukarela ini apabila mengunjungi MAEPS asalkan mereka bebas daripada sebarang rekod jenayah, berusia 16 tahun ke atas dan sihat tubuh badan. Pegawai-pegawai Rela akan memberikan penjelasan lanjut untuk mereka yang mahu menyertai pasukan ini. Bagi pelajar sekolah mereka akan berpeluang menyertai Kadet Rela di sekolah-sekolah manakala bagi penuntut universiti bakal menyertai Relasis (Ikatan Relawan Siswazah) apabila cadangan penubuhannya diperluaskan ke semua sekolah dan universiti (setakat ini ia hanya Relasis hanya ditubuhkan di Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat). Sejajar dengan konsep 1Rela, semua kaum kini semakin berminat untuk menyertai pasukan Rela apabila bilangan masyarakat Cina, India, Orang Asli, Bidayuh, Iban dan Dayak yang mendaftarkan diri untuk menyertai pasukan ini bertambah dari setahun ke setahun. Ikatan perpaduan yang terjalin hasil daripada sesi latihan yang diadakan di pusat-pusat latihan Rela di seluruh negara mampu mewujudkan satu suasana muhibbah di kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini dan itulah hasrat yang tersirat di sebalik aktiviti sukarelawan pasukan yang telah wujud secara tidak rasmi sejak 1948 dan ditubuhkan secara rasmi pada 1972.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 Januari 2011

ISU SOSIAL : KESAN EKONOMI PEMBANTU RUMAH

Rencana ini diubahsuai dari Ruangan Kunta Kinte


Kita pernah bincang mengenai majikan Malaysia yang aniaya pembantu rumah asing, terutama dari Indonesia, sampai ada yang cedera parah dan mati. Perbuatan kebinatangan mereka itu jadi macam beberapa ekor kerbau bawa selut, kita semua terpalit. Kini kita nak bincang sikit mengenai macam mana keadaan sudah terbalik. Sekarang ini majikan Malaysia pula yang kena dera dan aniaya oleh pembantu rumah asing, khasnya dari Indonesia. Ini bukan lagi cerita pembantu rumah cuai, ganas atau lari malam. Tapi cerita peras ugut sebab mereka dapat peluang baru daripada rancangan 6P (pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran). Gaji RM800 sebulan yang mereka minta atau RM500 hingga RM600 yang kita bayar sekarang sebetulnya bukanlah sikit kalau diambil kira yang mereka makan percuma, tinggal percuma dan pakai percuma bila bekerja dengan kita. Walaupun diri sendiri pernah jadi mangsa, saya masih boleh gelak apabila baca apa bendanya 6P itu. Dengan orang asing ni, buatlah 6P ka atau 10P sama saja. Mereka dan dalang-dalang mereka akan cari peluang dan lubang.

Ada orang cerita yang ramai buruh asing yang halal, tapi permit kerja mereka tinggal dua atau tiga tahun lagi, pergi daftar 6P dan isytihar haram. Apabila isytihar haram dan dapat pengampunan, mereka boleh kerja 10 tahun lagi di Malaysia. Jadi, yang halal jadi haram pasal nak sambung kerja 10 tahun lagi dan yang haram jadi makruh dan akhirnya halal kerana kita ampunkan mereka. Agaknya pasal itulah kita dapati bilangan pendatang 6P lebih ramai daripada yang kita jangka. Satu lagi, tak tahulah apa menteri yang jaga hal ehwal buruh dan pegawai-pegawai yang runding hal pembantu rumah Indonesia fikir dan pertimbangkan bila mereka setuju dengan syarat dan tuntutan Indonesia.  Kalau mereka fikir kebajikan dan kebaikan kita, mereka tentulah ambil kira kemampuan kita. Yang dimaksudkan adalah rakyat kebanyakan, bukan menteri, pegawai tinggi, orang kaya, orang kenamaan dan tauke besar. Yang di maksudkan adalah rakyat biasa. Pasangan suami isteri yang kedua-duanya kena kerja cari makan. Bagi mereka, RM500 sebulan bayar gaji pembantu rumah sudah cukup berat. Tapi kalau tak ada pembantu rumah, salah seorang kena duduk di rumah jaga anak-anak, masak, bersih rumah dan basuh pakaian.

Janganlah kita fikir eksekutif, peniaga dan tauke saja. Ramai lagi pasangan suami isteri di Kuala Lumpur yang pendapatan bersama tak sampai RM3,000 sebulan yang dikira bawah paras kemiskinan. Mereka inilah yang susah apabila kerajaan setuju gaji pembantu rumah naik. Belum apa-apa lagi sindiket haram dan halal dah mula cekik darah. Dah ada bakal pembantu rumah P6 yang minta sampai RM800 sebulan, cuti sehari seminggu dan bagi macam-macam syarat kerja. Inilah penyakit bila kita buat kerja tak fikir panjang dan bagi muka pula kepada orang yang tidak kenang budi dan tak tahu bersyukur. Di negara mereka sendiri mereka hidup susah. Yang kaya tindas yang miskin. Ramai masuk negara kita secara haram. Bila sudah diampuni dan diputihkan, mereka naik tocang. Gaji RM800 sebulan yang mereka minta atau RM500 hingga RM600 yang kita bayar sekarang sebetulnya bukanlah sikit kalau diambil kira yang mereka makan percuma, tinggal percuma dan pakai percuma bila bekerja dengan kita. Malahan ramai lagi rakyat kita sendiri yang dapat gaji atau pendapatan lebih kurang macam itu. Tapi tak macam pembantu rumah atau pekerja restoran asing, mereka kena belanja makan, pakai, sekolah anak-anak dan sewa rumah.

Mengikut Buku Fakta Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), pendapatan perkapita Indonesia bagi 2010 adalah RM1,155 sebulan ikut pariti kuasa membeli (PPP). Nampak tinggi, tapi kita kena ingat ramai rakyat Indonesia yang menganggur dan melarat. Pendapatan perkapita yang dimaksudkan itu termasuklah pendapatan 40 orang terkaya di Indonesia yang pada tahun lalu, nilai harta mereka adalah AS$55.85 bilion (kira-kira RM184.3 bilion). Sebanyak 13.3 peratus rakyat Indonesia atau kira-kira 30.5 juta hidup bawah paras kemiskinan pada 2010. Kita tidak salahkan Kerajaan Indonesia yang kenakan syarat lebih ketat sebab banyak juga orang kita yang jahat, tak berhati perut yang tipu, seksa malah bunuh pembantu rumah Indonesia.  Tapi ada satu perkara yang lebih besar yang dirasa pengaruhi dasar Kerajaan Indonesia iaitu semakin kurangnya semangat bangsa serumpun yang dulu jadi ikatan kuat di antara Indonesia, Malaysia dan Brunei. Maaf cakaplah kalau kata, sekarang slogan itu tinggal klise saja. Rasa-rasanya pemimpin serta rakyat Indonesia tak hormat kita macam dulu-dulu lagi.

Kita tak hairan sebab jalinan mesra macam di antara Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden Suharto dah tak ada lagi. Lagipun, dulu kita ada orang macam Tun Adam Malik dan Jeneral Benny Moerdani di pihak Indonesia dan Tun Mohd Ghazali Shafie di pihak kita yang sangat akrab. Dalam jangka panjang, kita tak boleh bergantung lagi kepada Indonesia sebagai sumber pembantu rumah. Mereka pun dah kata, mereka akan cegah rakyat mereka daripada ke luar negara jadi pembantu rumah menjelang 2017. Masalahnya, kalau tak ada pembantu rumah, susahlah suami isteri hendak keluar kerja. Kalau suami isteri tak keluar kerja, pendapatan purata isi rumah akan merosot. Silap-silap ramai yang akan jatuh bawah paras kemiskinan dan kadar pertumbuhan penduduk pula akan merosot sebab tak ada orang nak tolong jaga anak. Tapi kita tak tahulah sama ada menteri dan pegawai-pegawai yang berunding dengan Indonesia ambil kira atau sedar hal ini semua. Wallahualam.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA  HARIAN
27 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : INSTITUT WASATIYYAH BUKTI KOMITMEN PEMIMPIN PERKASA PERADABAN ISLAM

Oleh Dr Adanan Mat Junoh
Pensyarah Kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia


Ketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau menubuhkan Institut Islam Hadhari selaras dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan ketika itu. Institut yang ditempatkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu antara lain berperanan sebagai pusat penyelidikan yang memperkasa peradaban Islam di samping mewujudkan jaringan ilmiah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam kalangan cendekiawan peradaban. Kini institut itu berkembang pesat dan berperanan aktif memperkasakan peradaban Islam melalui pelbagai aktiviti ilmiah seperti seminar, forum, penyelidikan dan penerbitan. Kita yakin Institut Islam Hadhari akan terus berfungsi dengan berkesan dalam membangunkan masyarakat dan negara secara menyeluruh berdasarkan perspektif tamadun Islam seperti yang dihasratkan oleh mantan Perdana Menteri itu. Beliau tentu mengharapkan lebih banyak institut akan ditubuhkan untuk menangani isu semasa khususnya berkaitan umat Islam kerana Institut Islam Hadhari saja tidak memadai untuk berdepan pelbagai permasalahan yang semakin kompleks.

Penubuhan institut ini akan membuka mata masyarakat dunia khususnya Barat bahawa Malaysia adalah antara negara Islam yang terawal mempromosi kesederhanaan global. Lebih penting daripada itu, inisiatif ini memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai contoh kepada dunia. Justeru, ketika merasmikan Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Institut Wasatiyyah. Saya sangat yakin bahawa, idea menubuhkan institut itu sudah lama bersarang dalam fikiran Perdana Menteri, cuma menunggu masa dan ketika sesuai untuk diumumkan. Sehubungan itu, pengumuman penting dibuat di hadapan hampir 300 delegasi dari dalam dan luar negara termasuk pemimpin utama dunia dilihat amat tepat pada masanya. Lebih-lebih lagi pengumuman itu dibuat ketika dunia berdepan pelbagai krisis seperti krisis kemanusiaan, budaya, ekonomi dan politik serta kegiatan ekstrem yang semakin berleluasa.

Komitmen kerajaan meletakkan Islam sebagai agama dihormati pada peringkat global semakin terpancar apabila Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan Kerusi Wasatiyyah di Universiti Malaya serta Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global pada majlis sama. Iltizam kuat kerajaan untuk melihat institut itu menjadi pemangkin kepada gerakan kesederhanaan di Malaysia dan antarabangsa terserlah apabila pemimpin nombor satu negara itu membuat keputusan yang sangat tepat dengan meletakkan Institut Wasatiyyah di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri.Istilah wasatiyyah mungkin agak baru bagi sebahagian daripada rakyat Malaysia dan umat Islam walaupun konsep wasatiyyah adalah pendekatan sangat dituntut Islam. Menurut Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan Prof Datuk Dr Khairil Annas Jusoh, dua nama besar di Jabatan Perdana Menteri dalam penulisannya yang berjudul Pendekatan Wasatiyyah Dalam Mengahayati 1 Malaysia, wasatiyyah berasal dari perkataan ‘wasat’ bermaksud pertengahan dan seimbang.

Perkataan lain yang sama dengan perkataan ini adalah i’tidal yang membawa maksud tidak melampau dalam setiap perkara dan menunaikan hak kepada yang berhak. Penulis ini seterusnya menjelaskan dalam bahasa Inggeris perkataan wasatiyyah bermaksud ‘middle’ atau ‘balance’. Oleh demikian, secara umumnya pendekatan wasatiyyah bermaksud amalan kesederhanaan dan berimbang yang berpaksi kepada ajaran Islam secara menyeluruh demi kesejahteraan ummah dan dunia sejagat. Sama seperti Institut Islam Hadhari, penubuhan Institut Wasatiyyah adalah agenda besar kerajaan menyelesaikan permasalahan umat Islam. Di institusi pengajian tinggi, kita menyaksikan penubuhan pusat kecemerlangan khusus untuk menyelesaikan isu berdasarkan bidang tujuhan universiti melalui kegiatan penyelidikan, penerbitan dan konsultasi.  Demikian juga dengan Institut Wasatiyyah. Seluruh lapisan masyarakat sama ada di dalam atau luar negara sedang menunggu dengan penuh minat impak penubuhan institusi ini terhadap umat Islam. Penubuhan institusi ini adalah landasan terbaik memastikan segala intipati wasatiyyah diaplikasikan dalam kehidupan manusia khususnya dalam kalangan umat Islam.

Pada masa sama Institut Wasatiyyah dijangka berperanan secara aktif menjawab segala kekeliruan berkenaan Islam melalui pelbagai penerbitan ilmiah serta dialog dan forum bertaraf antarabangsa. Penubuhan institut ini akan membuka mata masyarakat dunia khususnya Barat bahawa Malaysia adalah antara negara Islam yang terawal mempromosi kesederhanaan global. Lebih penting daripada itu, inisiatif ini memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai contoh kepada dunia yang mengamalkan kesederhanaan dalam pelbagai aspek termasuk pentadbiran, ekonomi, politik dan pembangunan fizikal. Perdana Menteri tentu mempunyai perancangan tersendiri dalam menentukan hala tuju Institut Wasatiyyah demi kepentingan Islam dan rakyat khususnya penganut agama Islam. Segala perancangan dan gerak kerja institut ini tentu sekali selari perencanaan sedia ada kerajaan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Masyarakat Islam Malaysia perlu yakin bahawa Institut Wasatiyyah bakal memacu umat Islam ke hadapan seperti dilakukan oleh Institut Islam Hadhari. Umat Islam juga perlu yakin bahawa penubuhan kedua-dua institut ini adalah bukti bahawa kerajaan komited terhadap pembangunan Islam di negara ini. Persoalannya, apakah kita bersedia untuk sama-sama memberi sumbangan bermakna dan berganding bahu bagi memajukan institut ini? Sesungguhnya komitmen dari setiap lapisan masyarakat amat diperlukan untuk memajukan sebuah institusi yang bakal menjadi kebanggaan bersama.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA  HARIAN
27 Januari 2011

ISU IPT : LIMA BUAH UNIVERSITI DIBERIKAN KUASA AUTONOMI


Selepas Universiti Teknologi Malaysia (UTM), empat lagi universiti, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) diberi autonomi pada 26 Januari 2012, bagi membolehkan pusat pengajian terbabit membuat perancangan sendiri dalam usaha menjadi institusi bertaraf antarabangsa. Pemberian autonomi itu hanya diberikan dalam empat bidang iaitu tadbir urus institusi, kewangan dan penjanaan kekayaan; pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik serta kema-sukan pelajar. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata autonomi adalah prasyarat penting untuk mewujudkan persekitaran kampus yang dinamik melalui pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lebih berdaya saing, kreatif dan anjal. 

Universiti selalu menyatakan mereka tidak mendapat kecemerlangan kerana wujud halangan dan kekangan akibat terikat dengan kaedah dan polisi kerajaan, jadi pemberian autonomi dengan penurunan kuasa bermakna tiada lagi alasan untuk mereka mencapai kecemerlangan. Pemberian autonomi kepada lima universiti itu dibuat selepas melaksanakan proses audit menggunakan instrumen ‘Tadbir Urus Baik Universiti’ dan ‘Petunjuk Tadbir Urus Baik Universiti’.  Beliau berkata, walaupun lima universiti diberikan autonomi dalam kemasukan pelajar, pelajar tetap perlu memohon kemasukan universiti menerusi Unit Pusat Universiti (UPU). Bagaimanapun, lima universiti akan dapat memilih dulu mana-mana pelajar yang memohon menerusi UPU dan mereka sendiri yang akan menentukan kesesuaian kursus kepada pelajar berkenaan serta pemberitahuan mengenai kemasukan ke lima universiti itu dibuat oleh pihak universiti sendiri.  

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA  HARIAN
27 Januari 2011

26 Januari 2012

ISU KESIHATAN : BEDAH UNTUK KURUS

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my


Obesiti adalah masalah kesihatan yang sekian lama dicelaru dan dikelirukan dengan masalah dan kepentingan kosmetik. Kegemukan, berat badan berlebihan, obesiti mahupun gemuk melampau menjurus pada masalah yang sama pada dasarnya, namun hakikatnya setiap satu istilah itu membawa maksud dan implikasi berbeza. Perbezaan istilah ini diperjelaskan menerusi kiraan unit kadar khusus untuk mengklasifikasikan berat tubuh seseorang itu jatuh dalam kategori tertentu. Di seluruh dunia, berat tubuh seseorang dikira menggunakan ukuran Indeks Jisim Tubuh atau Body Mass Index (BMI). BMI adalah cara kiraan paling mudah di mana berat badan dalam kilogram dibahagi kepada tinggi individu dalam unit meter kuasa dua. Ini dilakukan bertujuan mendapatkan berat badan mengikut kesesuaian ketinggiannya.  Misalnya jika seseorang dengan berat badan 150 kilogram tetapi fizikalnya tinggi, jisim itu bersesuaian dengan tubuh, sebaliknya jika individu itu 80 kilogram dan rendah, berat itu akan menimbulkan masalah kesihatan buatnya.  Bagi orang Asia, kategori unit berbeza dengan kategori yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana memiliki rangka tubuh lebih kecil berbanding orang barat.

Perunding Pembedahan Am, Bariatrik dan Pembedahan Kurang Invasif, Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr Jasmi Ali Yaakub, menjelaskan setiap kali berhadapan dengan pesakit yang bimbang mengenai kegemukan, perkara pertama yang akan dilakukan ialah mengukur kadar BMI pesakit berkenaan.  “Sebagai orang Asia, kata sepakat yang dicapai hasil rundingan anggota persatuan obesiti sekitar Asia pada 2004 membuahkan natijah terbaik apabila berjaya menetapkan kadar BMI khusus untuk orang Asia,” katanya. Kadar itu menetapkan individu yang kiraan BMI antara 18 hingga 25 adalah normal, 25 hingga 27.5 (berat badan berlebihan), 27.5 hingga 32.5 (gemuk), 32.5 hingga 37.5 (obesiti kelas 1), 37.5 ke atas (morbid obesiti atau gemuk melampau) dan 50 ke atas dikategorikan sebagai ‘super obes’. Sekiranya BMI lebih 32.5, maka individu itu berada pada kategori obes, sebaliknya jika kurang, mereka hanya dianggap terlebih berat badan. Jadi bila ada unit sedemikian, lebih mudah untuk mengklasifikasi dan menjuruskan kaedah rawatan mengikut BMI pesakit. Bila seseorang itu jatuh dalam kategori obesiti dan dibiarkan tanpa rawatan, ia akan mengundang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi, masalah jantung, masalah tulang khususnya tulang belakang dan tulang lutut serta masalah sistem pernafasan yang menyebabkan sesak nafas dan susah tidur.

Individu yang terlalu berat atau ‘morbid obes’ juga berhadapan dengan kadar mati cepat atau kematian pramatang yang tinggi. Ini menunjukkan mereka yang gemuk melampau akan mudah mendapat penyakit kronik pada usia muda dan perlu pertolongan kerana ini bukan lagi masalah kosmetik, sebaliknya menjejaskan kesihatan dan mengancam nyawa. Menurut Dr Jasmi, obesiti perlu dirawat kerana banyak penyelidikan mendapati obesiti yang dirawat mampu menurunkan berat badan yang tinggi pada kadar 85 hingga 90 peratus. Penyakit kronik dihidapi mungkin sembuh 100 peratus atau dapat dikawal khususnya kencing manis ‘mellitus’ (jenis 2) dan darah tinggi disebabkan obesiti. Bagi pakar perubatan, rawatan obesiti perlu kerana ia akan membawa faedah yang baik kepada pesakit dalam jangka panjang. Faedah sampingan yang dinikmati apabila pesakit semakin kurus ialah berasa semakin sihat dan secara kosmetiknya kelihatan menarik. “Di seluruh dunia, apabila seseorang individu diklasifikasi sebagai ‘morbid obes’ (BMI 32.5), kami syorkan mereka menjalani pembedahan ‘bariatrik’ (pembedahan penurunan berat badan) menerusi kaedah laparoskopi. Tujuan pertamanya untuk menurunkan berat badan dan kedua, mengekalkan penurunan berat badan untuk jangka lama,” katanya.

Bagaimanapun kaedah pembedahan yang dipilih bergantung pada pesakit. Banyak faktor yang perlu dibincangkan dan diambil kira oleh panel doktor dan juga pesakit seperti kedudukan kewangan, logistik, sokongan keluarga, keadaan kesihatan, kecergasan dan pelbagai lagi. Pesakit perlu faham menjalani pembedahan ‘bariatrik’ bermaksud sanggup untuk komited terhadap kesannya seumur hidup. Ia mengambil masa enam hingga setahun dan tahap paling penting ialah tiga hingga enam bulan pertama di mana penurunan berat badan akan berlaku secara mendadak. Pemantauan berat badan mengikut kadar yang dikehendaki amat penting oleh pakar yang akan mengira dan memantau sasaran penurunan berat badan dengan ketinggian dalam sebulan. Pesakit yang konsisten dengan rawatan susulan serta mengikut rejim diet yang disarankan pakar diet dan bersenam, punya potensi untuk sembuh dengan kadar segera. Apapun, masyarakat menerusi media massa perlu disedarkan mengenai pentingnya mengawal berat badan demi kelangsungan hidup selain kewujudan kaedah rawatan yang khusus bagi masalah obesiti.

Selain persepsi dan kekaburan sedia wujud dalam kalangan masyarakat sekian lama, polisi insurans yang tidak melindungi pembedahan ‘bariatrik’ juga perlu dipinda kerana ia bukan kaedah digunakan untuk tujuan kosmetik, sebaliknya rawatan kesihatan yang mampu menyembuh dan mengawal pelbagai penyakit kronik sebutkan awal tadi.  “Segalanya bermula dengan pencegahan. Masyarakat perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai obesiti termasuk bagaimana melakukan kiraan BMI sendiri, selain mengamalkan gaya hidup sihat. Jangan membazir wang ke pusat penjagaan kecantikan kerana obesiti bukan masalah kosmetik sebaliknya mengancam kesihatan.  “Berjumpalah pakar kesihatan bertauliah untuk berbincang mengenai keadaan kesihatan semasa anda.”

Info untuk anda.

Teknik pembedahan laparoskopi dan kaedah pembedahan ‘bariatrik’

1. Menggunakan teknik tebukan yang kurang invasif.
2. Memberikan kadar penyembuhan yang cepat dan selamat.
3. Secara keseluruhan, ada tiga kaedah pembedahan ‘bariatrik’.
4. Kaedah bariatrik pertama - ‘Laparoskopi Gastric Bending’.
5. Kaedah bariatrik kedua - ‘Sleeve Gastractomy’.
6. Kaedah bariatrik ketiga - Laparoskopi Pintasan Usus atau pintasan perut.

Kesan selepas pembedahan ‘bariatrik’

1. Tidak boleh makan banyak kerana perut sudah dikecilkan.
2. Kalau makan banyak, akan muntah.
3. Murung atau sedih sebab tidak boleh makan banyak.
4. Letih
5. Mula seronok bila berat badan semakin menyusut.
6. Pesakit kronik akan mula sembuh, pertamanya bagi pernafasan atau masalah berdengkur.
7. Dalam tempoh 4-5 minggu, penyakit kencing manis dan darah tinggi lebih mudah dikawal.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA  HARIAN
26 Januari 2011

ISU IPT : KEMEROSOTAN MINAT PELAJAR TERHADAP JURUSAN SAINS MEMBIMBANGKAN


Minat pelajar untuk mengikuti jurusan sains di sekolah semakin merosot ke tahap yang sangat kritikal, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Ini boleh membantutkan usaha kerajaan meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi, katanya pada majlis amanat tahun baru 2012 kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Khamis. Mohamed Khaled berkata kajian Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi Tahun 2020 memerlukan 60 peratus aliran sains dan 40 peratus aliran sastera, namun ia belum dicapai lagi. Lebih membimbangkan sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains terus menurun sehingga 29 peratus. Keadaan ini berterusan ke tahap universiti," katanya. Beliau berkat pelajar yang memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melihat usaha untuk belajar dalam bidang sains tidak menguntungkan selain pembelajarannya sukar dan membosankan. 

Pelajar seharusnya membayangkan kerjaya yang menarik dan menguntungkan selepas tamat pengajian dan bergelar ahli sains," katanya.  Mohamed Khaled meminta pengurusan tertinggi IPT melihat perkara tersebut secara serius dan merancang strategi untuk mengubah persepsi negatif pelajar. Pelajar cemerlang perlu diterapkan rasa keghairahan untuk mempelajari sains dan dapat merasakan kursus sains adalah suatu yang menyeronokkan serta penuh cabaran minda dan penerokaan baru. Lebih penting ialah kerjaya sains menjanjikan pengiktirafan dan pulangan yang lumayan," katanya. Bagi merealisasikan hasrat itu, Mohamed Khaled berkata mulai tahun ini, Kementerian Pengajian Tinggi menawarkan biasiswa baru melalui program MyBrainSc yang bertujuan menyediakan tenaga akademik berkualiti dalam bidang sains tulen di IPTA. Beliau juga mahukan IPTA membangunkan institusi penyelidikan sama ada dalam bentuk institut, pusat atau makmal dengan memperkenalkan jawatan baru bergelar Akademik Penyelidik sebagai keperluan asas untuk mengekalkan bakat. 

Universiti juga perlu memberi perhatian kepada perancangan dan kemajuan yang berlaku di persekitaran khususnya pembangunan wilayah agar hasrat universiti menjadi pemacu pembangunan tempatan akan tercapai selain sebagai satu cara menambah sumber pendapatan, kata Mohamed Khaled. Beliau mencadangkan semua IPTA mewujudkan jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) bagi memastikan usaha pembudayaan dan kecemerlangan penyelidikan serta kesinambungan semua program yang direncanakan, dilaksanakan dengan sempurna. Mohamed Khaled juga berkata pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang akan dikuatkuasakan nanti, bukan sebagai tiket kebebasan mutlak bagi pelajar IPT sehingga mengganggu keselamatan awam. "Saya tidak pernah menghalang mahasiswa bersikap kritikal tetapi biarlah sikap itu disalurkan melalui pendekatan yang berhemah lagi beradab. Mahasiswa juga merupakan rakyat dan warganegara yang mempunyai tanggungjawab kepada negara sama seperti pihak lain dalam masyarakat," katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA  HARIAN
26 Januari 2011

ISU UMUM : JPA HARUS PRIHATIN RUNGGUTAN PEJAWAT AWAM

Oleh Rejal Arbee
Penulis adalah Felo Kanan di UKM


Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang cuba hendak dipaksa ke atas keseluruhan 1.3 juta warga perkhidmatan awam akhir tahun lalu, kini sedang menjalani kajian menyeluruh hasil arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan banyaknya bantahan terhadap cara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) cuba hendak memaksa penerimaannya. Mereka juga dikatakan tidak diberikan masa cukup untuk menelitinya bahkan butiran lengkap cadangan itu juga tidak diberikan. Ini telah menimbulkan banyak persoalan kenapa JPA begitu terdesak mahu melaksanakannya. Dikatakan warga awam hanya diberikan masa tidak sampai dua minggu untuk membuat pilihan kalau tidak, mereka akan menghadapi risiko yang boleh menjejaskan kedudukan mereka dalam perkhidmatan. Persoalan yang timbul kenapa segala implikasi dan akibatnya tidak diterangkan kepada semua kakitangan awam? Kenapa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sendiri tidak pula dibawa berunding dari awal lagi supaya segalanya kelihatan telus?  Bukankah orang ramai sentiasa diberi nasihat meneliti sebarang apa yang mereka mahu tandatangani dan mengetahui ‘the small print’ sebelum bersetuju? 

Tetapi bagi SBPA ini nampaknya JPA sendiri tidak mahu warga perkhidmatan awam bersikap demikian. Apakah akibatnya daripada perlakuan demikian? Bukankah ia telah menimbulkan amarah di kalangan majoriti kakitangan awam hingga ada yang mengugut mahu berpaling tadah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diadakan dalam masa terdekat.  Apakah ini muslihat beberapa kerat pegawai kanan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap SBPA ini? Hanya mereka yang boleh menjawab. Keluhan beberapa warga awam dalam beberapa blog membuka mata terhadap apa sebenarnya berlaku. Kata seorang: “Beberapa bulan lalu kakitangan awam berasa sangat gembira apabila skim gaji baru diumumkan Perdana Menteri membabitkan kenaikan antara tujuh hingga 13 peratus, berkuat kuasa 1 Januari lalu.  “Andaian kami sudah pasti kakitangan kerajaan pada gred paling rendah akan menikmati kenaikan 13 peratus sementara gred paling tinggi iaitu Kumpulan Pengurusan dan Profesional akan mendapat kenaikan tujuh peratus. “Namun sangkaan ini meleset apabila melihat kepada tawaran opsyen dikemukakan JPA. 

Kami diarahkan untuk membuat opsyen dalam keadaan sangat tergesa-gesa tanpa mendapat penjelasan mengenai skim gaji baru itu daripada ketua jabatan. Apabila mendapat surat opsyen berkenaan, kami diarahkan untuk menurunkan tandatangan pada borang opsyen pada masa itu juga”. Kata seorang lagi: “Ketua pengarah JPA sudah buat kesilapan, akibatnya kerajaan dimarah oleh kakitangan sendiri. Perkara ini menjadi modal pembangkang untuk hentam kerajaan.  “Sebagai contoh ketika taklimat, soalan diajukan tidak dapat dijawab dengan tepat, sebaliknya jawapannya ialah akan berlaku kenaikan gaji daripada SSM kepada SBPA. Tentunya ada tetapi berapakah kenaikan? RM1 pun kenaikan juga”. Kata seorang lagi: “Yang aku pelik, kenapa masih nak berahsia sangat pasal lampiran ‘C’ tu? Bila tanya pada ketua pejabat, jawapannya ‘rahsia’. Macam mana hendak sign kalau rahsia?  Seorang lagi berkata demikian: “Sebagai contoh tawaran yang diberi kepada pegawai bawahan saya yang berada pada gred paling rendah dalam kerajaan iaitu untuk jawatan Pekerja Awam Gred R1 yang dulunya dipanggil ‘buruh’ yang berkhidmat selama 15 tahun, bergaji pokok RM1,242.09 hanya mendapat kenaikan RM88. 

“Jika dihitung naik 13 peratus, beliau sepatutnya mendapat RM161.47. Sebaliknya jumlah kenaikan diperoleh itu hanya lebih kurang tujuh peratus. “Begitu juga dengan kerani yang berjawatan Pembantu Tadbir Gred N17 yang sudah berkhidmat selama lebih kurang sembilan tahun bergaji pokok RM1,369.39. Beliau hanya mendapat kenaikan RM61 iaitu tidak sampai pun lima peratus”. Semua ini adalah rungutan sebenar yang sepatutnya sudah diteliti supaya tidak wujud rasa tidak puas hati sedemikian. Dalam pada itu dikatakan pula kenaikan yang diberikan kepada pegawai atasan termasuk yang ditakrif sebagai ‘Premier’ dan ‘JUSA’ langsung tidak setimpal. Apakah ini tidak menunjukkan bagaimana songsangnya pertimbangan yang diberikan kepada warga bawahan berbanding pegawai atasan? Anehnya skim itu kononnya adalah dalam rangka perjalanan kerajaan mahu mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Bagaimana mahu mencapai matlamat itu kiranya kakitangan bawahan hanya diberikan kenaikan serendah RM10 sebulan berbanding kenaikan mencecah RM8,000 bagi pegawai JUSA? 

Ini bermakna jurang pendapatan bukan lagi dapat dirapatkan tetapi akan bertambah renggang dengan yang sudah pun menerima ganjaran besar menerima kenaikan yang sungguh tinggi, walhal mereka yang sepatutnya diberikan imbuhan lebih tinggi tidak mendapat pertimbangan demikian, malah diberikan serdaknya saja. Inikah caranya pimpinan perkhidmatan awam mahu merapatkan jurang perbezaan pendapatan antara yang tertinggi dengan yang terendah?  Maka tidak menghairankan kenapa hampir keseluruhan 1.3 juta warga membantah melalui CUEPACS yang juga lambat memberikan reaksi hanya kerana tidak mengetahui apa sebenarnya yang disarankan.  Jadi persoalannya apa agaknya ada dalam pemikiran mereka yang membuat cadangan itu dan cuba memaksa warga awam menelan apa yang cuba disogok?  Baik jugalah kini Perdana Menteri menyedari betapa buruknya akibat usaha itu dengan kesedaran bagaimana kiranya ia dibiarkan saja kemungkinan besar ramai daripada 1.3 juta warga awam tidak akan lagi memihak kerajaan kiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.  Hanya beberapa kerat pegawai yang mencipta dan memikirkan skim itu saja boleh jawab apa sebenarnya muslihat mereka mengadakan skim yang begitu songsang.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA  HARIAN
26 Januari 2011

ISU UMUM : MEMBINA GOLONGAN MODERAT HADAPI ARUS EKSTREM

Oleh Muhamad Razak Idris
Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM


Persidangan Gerakan Kesederhanaan Global atau Global Movement of Moderates yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini memberi perspektif jelas mengenai siapakah golongan moderat? ‘Moderat’ ialah kata nama yang diambil dari bahasa Inggeris merujuk kepada perkumpulan masyarakat yang menghayati falsafah ‘moderation’ atau kesederhanaan dan menghayatinya di dalam bertindak balas dengan persekitaran hidup yang rencam di sekeliling. Golongan moderat memiliki daya pertimbangan tinggi. Daya ini ialah satu pemilikan sifat dan nilai paling benar dan adil. Di dalam al-Quran, kelompok ini dikenal sebagai ‘ummatan wasata’ seperti dalam surah al-Baqarah ayat 143. Oleh itu, istilah ‘wasat’ merujuk terus kepada satu darjah keseimbangan dalam kehidupan.  Golongan moderat dalam konteks istilah ini ialah kelompok yang berada pada darjah pertengahan dan mereka berkeupayaan berada pada darjah itu kerana mereka dipandu oleh falsafah hidup yang benar dan adil serta dibimbing oleh nilai keseimbangan serta sifat kesederhanaan.  Dalam banyak perbahasan pada persidangan itu, antara ciri yang disepakati mengenai golongan moderat ialah wataknya yang realistik. Golongan moderat tidak terlampau dihimbau oleh keagungan nostalgia sejarah sehingga menutup ruang harapan pada masa depan. Mereka juga tidak terlalu asyik menuju masa depan sehingga menafi dan mengabaikan sejarah dan warisan silam. Sebagai golongan yang realitik, moderat melihat realiti sebagai dinamik dan bersifat organik.

Sebuah realiti yang tumbuh dalam kehidupan ini tidak berlaku di dalam kekosongan melainkan ia dibentuk dan dipengaruhi oleh pelbagai unsur dan elemen dari aspek sejarah, budaya dan nilai yang saling berinteraksi secara dinamik dan organik secara rencam dan berterusan dalam perjalanan sejarah yang panjang.  Proses interaksi ini membawa kepada kelahiran kepelbagaian dan kerencaman dalam kehidupan alam dan kemanusiaan.  Kerangka kefahaman ini adalah asas yang menjadikan golongan moderat realistik dalam erti sentiasa menilai setiap peristiwa dan kejadian yang wujud dalam konteksnya yang tersendiri. Dalam kata lain, suatu realiti dibentuk oleh persekitarannya yang dinamik dan tumbuh secara organik menyebabkan ia tumbuh dan muncul secara unik dan tersendiri. Seseorang yang berkemampuan memahami realiti sejajar dengan konteks dan persekitarannya yang unik dan tersendiri ini bererti dia sedang mencapai satu daya dan tahap pertimbangan paling adil dan benar dalam pemahaman serta tindakannya. Pencapaian ini membawa seseorang itu tergolong dalam kelompok moderat.  Oleh kerana itu, golongan moderat juga sering dicirikan sebagai kelompok yang bersifat ilmiah dan objektif. Dalam dunia keilmuan, pemikiran dua ciri ini adalah antara asas utama yang akan membawa seseorang kepada pencapaian kebenaran atau hakikat.  

Sebuah kebenaran hanya mampu tergambar dalam alam fikiran kita dan terhayat di dalam benak sanubari kalbu setelah ia dibangunkan secara ilmiah dan objektif berasaskan hujah yang benar dan pasti. Golongan moderat dalam konteks ini tidak akan mudah tertawan dengan dakwaan yang tidak berasas apatah lagi jika sesuatu hujah mengandungi dakwaan palsu.  Memandangkan golongan moderat ialah kelompok yang berwatak ilmiah dan objektif dalam membuat sebarang pertimbangan di dalam kehidupan, mereka juga memiliki satu daya pemikiran yang bersifat menyuruh atau syumul. Dalam kata lain, golongan moderat bukan kelompok yang berfikiran sempit di dalam memahami sesuatu persoalan. Seseorang yang memiliki daya pemikiran menyeluruh tidak akan menilai sesuatu dari hanya satu sumber saja. Golongan moderat sentiasa terbuka menerima pelbagai pendapat dan pandangan dari apa juga sumber yang boleh membawanya memahami sesuatu persoalan secara menyeluruh. Pemikiran menyeluruh ialah asas yang akan menghindarkan seseorang bersifat prejudis atau buruk sangka terhadap sesuatu persoalan dan kejadian. Membina dan menghimpunkan golongan moderat ialah satu tuntutan utama pada masa kini kerana masyarakat dunia sedang dihimpit oleh pelbagai arus yang bercorak ekstrem atau melampau.  

Fenomena melampau tergambar di dalam pelbagai fenomena kehidupan hari ini sama ada dalam dimensi sosial, politik dan ekonomi.  Fenomena melampau sering dan mudah kita fahami dalam konteks perhubungan politik dan agama kerana gejalanya sering terjadi. Gejala Islamphobia yang sering kita huraian ialah satu contoh bagaimana fenomena melampau tergambar di dalam dimensi perhubungan antara dua kelompok agama dan tamadun di dunia hari ini. Namun, ia bukan satu-satunya gejala yang harus kita sedari.  Dalam perbahasan yang rancak dan segar pada persidangan itu, pembentang menyepakati iaitu golongan moderat juga harus menyumbang kepada proses penyeimbangan dalam aspek ekonomi, ketenteraan dan hubungan antarabangsa. Krisis ekonomi dunia yang berlaku sejak beberapa dekad lalu ialah antara fenomena gejala melampau yang disumbangkan oleh golongan yang tamak dari kalangan kapitalis. Kesan dan akibat yang disumbangkan mereka adalah seumpama gejala peperangan yang digerakkan imperialis moden hari ini sebagai terjadi di Afghanistan, Iraq dan Palestin.  Bahaya golongan pelampau ekonomi dan ketenteraan adalah sama dengan pelampau yang mengibarkan bendera permusuhan dan kebencian sesama manusia atas nama agama.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA  HARIAN
26 Januari 2011

ISU ICT : SKMM PANTAU AKTIVITI REMAJA SALAH GUNA LAMAN WEB SOSIAL

Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my


Laman sosial seperti Facebook sememangnya memudahkan untuk kita berinteraksi apatah lagi untuk mencari kenalan lama mahupun rakan sekolah yang telah terputus hubungan sekian lama. Pada asalnya ia dicipta untuk tujuan komunikasi, tetapi selalunya manusia gemar ‘menyalahgunakan’ sesuatu kemudahan apatah lagi laman sosial seperti Facebook. Kewujudan laman sosial itu berjaya menarik perhatian semua golongan mahupun lapisan masyarakat dan tidak terkecuali golongan remaja terutama pelajar sekolah dan universiti. Laman sosial juga tidak seharusnya dijadikan medan peperangan untuk melampiaskan rasa tidak puas hati terhadap sesiapa saja apatah lagi menuduh, memalukan, melabel ataupun memfitnah kerana pesalah yang berjaya ditangkap pasti akan dikenakan tindakan undang-undang. Remaja kini menjadikan laman sosial sebagai medan untuk meluahkan perasaan, sama ada perasaan yang positif mahupun negatif.  Ada dalam kalangan remaja yang secara terang-terangan menggunakan perkataan kurang sopan, malah keterlaluan untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap rakan, keluarga mahupun guru di sekolah. Adakah mereka berasakan kebebasan yang diberikan untuk melayari dan menggunakan kemudahan internet bermaksud ia juga kebebasan untuk mereka meluahkan apa saja di alam maya.

Mereka seharusnya berhati-hati kerana apakah mereka mengira setiap pergerakan mahupun apa juga yang diluahkan di dalam internet tidak ‘diperhatikan’ Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).  Lihat saja apa yang berlaku kepada seorang pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang baru-baru ini ditahan selepas mengeluarkan kenyataan di laman sosial Facebook yang ‘berbaur’ ancaman. Kenyataan berbaur ancaman kepada mana-mana individu tidak sepatutnya dibuat sewenang-wenangnya menerusi apa juga media, apatah lagi ia merujuk kepada pemimpin negara. Mungkin pada awalnya ia dianggap satu gurauan antara rakan-rakan, tetapi tidak kepada pasukan keselamatan.  Kenyataan sebegitu boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan kepada pemimpin tertinggi negara. Oleh itu, golongan remaja mahupun pelajar seharusnya lebih berhati-hati terutama di dalam mengeluarkan apa juga bentuk kenyataan agar tidak memudaratkan diri sendiri. Jangan jadikan alasan kebebasan bersuara untuk mereka mengatakan apa saja kerana berasakan ia berlaku di alam maya. SKMM ketika ditanya berhubung perkara ini mengakui sebarang kenyataan berbaur ancaman atau ugutan untuk memudaratkan seseorang adalah salah di sisi undang-undang, tidak kira apa cara sekalipun sama ada melalui percakapan, perbincangan, perbualan telefon ataupun melalui aplikasi laman sosial seperti Facebook.

Oleh itu, tidak ada apa-apa yang memisahkan Facebook daripada ‘medium’ yang lain sekiranya niat seseorang itu bertujuan mengancam ataupun mengugut pihak lain dan isu menyekat laman sosial seperti Facebook tidak sepatutnya ditimbulkan di dalam konteks ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan SKMM ketika diminta mengulas berhubung isu terbabit. Pihak SKMM turut mengingatkan apa saja perlakuan menyalahi undang-undang di alam nyata, maka pada masa sama ia turut menyalahi undang-udang di alam maya. Cuma apa membezakan ia dilakukan di dalam internet. Oleh demikian, adalah menjadi tanggungjawab semua pengguna terutama pelajar mahupun remaja menggunakan laman sosial bagi tujuan positif dan penggunaannya hendaklah dengan cara beretika. Penekanan turut ditekankan SKMM agar pelajar mahupun remaja tidak mendedahkan maklumat peribadi ketika berinteraksi di laman sosial kerana ditakuti ‘penghendap’ siber mencuri maklumat itu untuk tujuan tidak baik. Laman sosial juga tidak seharusnya dijadikan medan peperangan untuk melampiaskan rasa tidak puas hati terhadap sesiapa saja apatah lagi menuduh, memalukan, melabel ataupun memfitnah kerana pesalah yang berjaya ditangkap pasti akan dikenakan tindakan undang-undang. Sebagai agensi yang bertanggungjawab memantau aktiviti alam siber, SKMM menyeru agar pengguna menggunakan laman sosial facebook secara berhemah dan bertanggungjawab bagi mengelakkan insiden yang tidak disengajakan atau diingini berlaku.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA  HARIAN
26 Januari 2011

ISU KESIHATAN : ADA ALAT MAINAN BOLEH SEBABKAN KANSER


Kebanyakan alat mainan memang nampak menarik, tetapi awas! ada yang mungkin boleh mengundang bahaya kepada anak anda. Ia mungkin bahaya mudah tertelan dan juga boleh menjadi penyebab kanser. Kesedaran masyarakat negara ini terhadap keselamatan alat mainan kanak-kanak, masih di tahap rendah. Ini dapat dilihat apabila masih ramai pengguna membeli alat mainan berdasarkan rupanya yang cantik dan bentuk yang canggih, warna dan juga mengikut trend semasa. Bagi mereka, alat mainan kanak-kanak adalah medium hiburan serta penjanaan kepada daya imaginasi anak kecil dan tidak mungkin ia boleh mendatangkan bahaya. Walhal sudah pelbagai kemalangan dan bahaya kesihatan yang berpunca daripada alat mainan kanak-kanak dilaporkan dalam media, khususnya antarabangsa, namun masih ramai yang memandang ringan. Mereka masih tidak peduli walaupun berita berhubung rampasan dan penarikan balik alat mainan kanak-kanak yang tidak selamat turut tersebar luas di media seperti apa yang berlaku di Victoria, Australia, sebelum sambutan Hari Natal yang lalu. Dilaporkan, lebih 10,000 alat mainan kanak-kanak yang tidak selamat dirampas dan dimusnahkan di Victoria.
   
Dimensi baru
   
Senario kurangnya kesedaran masyarakat mengenai kepentingan isu keselamatan alat mainan kanak-kanak, berkemungkinan disebabkan negara baru sahaja menguatkuasakan Peraturan Standard Keselamatan Bagi Mainan Kanak-Kanak, berbanding negara maju. Dengan adanya peraturan ini, yang dikuatkuasakan bermula 1 Ogos 2010, sedikit sebanyak akan menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan keselamatan alat mainan. Melalui penguatkuasaan ini, semua alat mainan yang dikeluarkan syarikat tempatan atau luar negara diwajibkan menjalani proses penilaian dan pengujian sebelum diletakkan tanda Malaysian Conformity (MC). Menerusi peraturan berkaitan, pengilang, pengimport dan pembungkus semula alat mainan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan ia selamat dibekalkan dan dijual di Malaysia. Dalam erti kata lain, semua syarikat yang terlibat dalam aktiviti pembekalan dan penjualan alat mainan kanak-kanak di Malaysia mempunyai tanggungjawab masing-masing bagi mematuhi peraturan ini. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menggerakkan usaha bersepadu dengan melancarkan pelbagai kempen kesedaran menerusi pelbagai media. Boleh dikatakan keberkesanan kempen yang ditujukan khusus kepada pengguna itu berjaya berdasarkan tinjauan Bernama baru-baru ini. Pekerja Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Nur Izza Osman berkata tidak terlintas pada pemikirannya alat mainan yang rendah kualiti boleh mengundang bahaya kepada kanak-kanak. "Saya mengetahui tanda MC selepas menonton iklan berkenaan di TV (televisyen) baru-baru ini. Sebelum ini, saya membeli alat mainan berdasarkan kepada tarikan fizikal berbanding melihatnya (alat mainan) mempunyai tanda MC," katanya.
   
Memudaratkan kesihatan
   
Pelbagai bahan yang digunakan untuk membuat alat mainan kanak-kanak termasuk bahan kimia, yang didapati berupaya memudaratkan kesihatan kanak-kanak. Ini ditambah pula dengan sifat semula jadi kanak-kanak yang suka menghisap. Menjadi masalah, apabila mereka menghisap sesuatu alat mainan yang mengandungi bahan kimia lebih daripada sepatutnya. Ini secara tidak langsung, mendedahkan kanak-kanak kepada risiko pertumbuhan sel kanser, kata Ketua Farmasi, Jabatan Farmasi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Amrahi Buang. Sebagai contoh plumbum (fungsi plumbum dalam cat untuk menjadikan warna terang dan tidak pudar) boleh meresap masuk ke dalam badan, apabila kanak-kanak bermain dengan alat mainan atau menghisapnya, dan ia menjadi terkumpul. Dicampur pula dengan apa yang dimakan semasa proses pembesaran anak-anak itu, ada risiko bagi mereka terdedah kepada kanser." Kimia seumpama itu juga boleh mendedahkan kanak-kanak kepada penyakit paru-paru, gangguan sistem saraf, alergik dan pelbagai lagi.
   
Bahaya lain
   
Keselamatan alat mainan juga meliputi pemilihan bahan, rupa bentuk, saiz dan bunyi alat itu. Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif/Setiausaha Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standard Users) Ratna Devi Nadarajan berkata adalah penting bagi ibu bapa mengetahui label peringkat umur pada sesuatu alat mainan sebelum membelinya. Ini kerana, membeli alat mainan yang tidak sesuai dengan peringkat umur secara tidak langsung boleh mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan termasuk bahaya tercekik. Berdasarkan laporan kajian tahunan 'The 2011 Trouble in Toyland' oleh U.S. Federation of State Public Interest Research Groups (PIRGs), tercekik akibat tertelan bahagian mainan kecil, contohnya guli, terus menjadi punca utama kematian dan kecederaan dalam kalangan kanak-kanak. Kajian itu melaporkan seramai 200 kanak-kanak mati akibat tercekik antara tahun 1990 sehingga 2010. Alat mainan yang kurang mutu (tidak mempunyai tanda MC) seperti teddy bear akan terdedah kepada bulu, butang senang tertanggal dan ini berbahaya apabila kanak-kanak ini memasukkannya ke dalam mulut. Lebih berbahaya apabila membeli alat mainan elektrik yang berkemungkinan boleh meletup.

Elakkan diri ditipu
   
Biarpun Peraturan Standard Keselamatan Bagi Mainan Kanak-Kanak  dikuatkuasakan sejak 1 Ogos 2010, ia dibuat secara berperingkat berikutan masih terdapat penggiat industri berkenaan kurang maklum akan keperluan peraturan yang dilaksanakan. Bagaimanapun, semua alat mainan yang tidak mempunyai tanda MC akan diambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 bermula tahun ini, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dasar dan Standard Kepenggunaan, KPDNKK, Rashinah Abdul Hamid memberitahu Bernama. Kementerian sudah lama berunding dengan industri, sejak tahun 2008 mengenai keperluan mempunyai tanda MC. Ini kerana, bukan semua (penggiat) membaca akhbar dan menonton berita, jadi apabila ditanya sama ada mereka tahu atau tidak mengenai MC, segolongan mereka mengatakan 'tidak'. Disebabkan itulah kami buat secara berfasa, tempoh masa peralihan diberikan dan ketika ini KPDNKK melakukan penguatkuasaan berhemah, di mana sebanyak 59,964 premis seluruh negara diperiksa.

Mengulas mengenai kemungkinan terdapatnya label 'MC' tiruan, Rashinah memberi dua tips berguna. Pertama, pastikan warna abjad MC itu adalah sama ada hitam atau putih. Berikutnya, pastikan terdapat nombor pendaftaran di bawah logo MC dan alamat pengilang, pengimport ataupun pembungkus semula ada tertera di bungkusan alat mainan kanak-kanak berkenaan. Sebagai pengguna, mereka tidak sewajarnya mengandaikan semua barang yang terdapat di rak adalah selamat. Mentaliti sedemikian seharusnya diubah apatah lagi apabila membabitkan perkara yang berkaitan dengan kanak-kanak. Kanak-kanak belum dapat mengenal dan membezakan mana yang selamat dan sebaliknya. Di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranan bagi memastikan anak-anak mereka dilindungi daripada ancaman yang tidak dijangka!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
SINAR HARIAN
24 Januari 2011