Oleh Dr Adanan Mat Junoh
Pensyarah Kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia
Ketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau menubuhkan Institut Islam Hadhari selaras dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan ketika itu. Institut yang ditempatkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu antara lain berperanan sebagai pusat penyelidikan yang memperkasa peradaban Islam di samping mewujudkan jaringan ilmiah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam kalangan cendekiawan peradaban. Kini institut itu berkembang pesat dan berperanan aktif memperkasakan peradaban Islam melalui pelbagai aktiviti ilmiah seperti seminar, forum, penyelidikan dan penerbitan. Kita yakin Institut Islam Hadhari akan terus berfungsi dengan berkesan dalam membangunkan masyarakat dan negara secara menyeluruh berdasarkan perspektif tamadun Islam seperti yang dihasratkan oleh mantan Perdana Menteri itu. Beliau tentu mengharapkan lebih banyak institut akan ditubuhkan untuk menangani isu semasa khususnya berkaitan umat Islam kerana Institut Islam Hadhari saja tidak memadai untuk berdepan pelbagai permasalahan yang semakin kompleks.
Penubuhan institut ini akan membuka mata masyarakat dunia khususnya Barat bahawa Malaysia adalah antara negara Islam yang terawal mempromosi kesederhanaan global. Lebih penting daripada itu, inisiatif ini memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai contoh kepada dunia. Justeru, ketika merasmikan Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Institut Wasatiyyah. Saya sangat yakin bahawa, idea menubuhkan institut itu sudah lama bersarang dalam fikiran Perdana Menteri, cuma menunggu masa dan ketika sesuai untuk diumumkan. Sehubungan itu, pengumuman penting dibuat di hadapan hampir 300 delegasi dari dalam dan luar negara termasuk pemimpin utama dunia dilihat amat tepat pada masanya. Lebih-lebih lagi pengumuman itu dibuat ketika dunia berdepan pelbagai krisis seperti krisis kemanusiaan, budaya, ekonomi dan politik serta kegiatan ekstrem yang semakin berleluasa.
Komitmen kerajaan meletakkan Islam sebagai agama dihormati pada peringkat global semakin terpancar apabila Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan Kerusi Wasatiyyah di Universiti Malaya serta Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global pada majlis sama. Iltizam kuat kerajaan untuk melihat institut itu menjadi pemangkin kepada gerakan kesederhanaan di Malaysia dan antarabangsa terserlah apabila pemimpin nombor satu negara itu membuat keputusan yang sangat tepat dengan meletakkan Institut Wasatiyyah di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri.Istilah wasatiyyah mungkin agak baru bagi sebahagian daripada rakyat Malaysia dan umat Islam walaupun konsep wasatiyyah adalah pendekatan sangat dituntut Islam. Menurut Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan Prof Datuk Dr Khairil Annas Jusoh, dua nama besar di Jabatan Perdana Menteri dalam penulisannya yang berjudul Pendekatan Wasatiyyah Dalam Mengahayati 1 Malaysia, wasatiyyah berasal dari perkataan ‘wasat’ bermaksud pertengahan dan seimbang.
Perkataan lain yang sama dengan perkataan ini adalah i’tidal yang membawa maksud tidak melampau dalam setiap perkara dan menunaikan hak kepada yang berhak. Penulis ini seterusnya menjelaskan dalam bahasa Inggeris perkataan wasatiyyah bermaksud ‘middle’ atau ‘balance’. Oleh demikian, secara umumnya pendekatan wasatiyyah bermaksud amalan kesederhanaan dan berimbang yang berpaksi kepada ajaran Islam secara menyeluruh demi kesejahteraan ummah dan dunia sejagat. Sama seperti Institut Islam Hadhari, penubuhan Institut Wasatiyyah adalah agenda besar kerajaan menyelesaikan permasalahan umat Islam. Di institusi pengajian tinggi, kita menyaksikan penubuhan pusat kecemerlangan khusus untuk menyelesaikan isu berdasarkan bidang tujuhan universiti melalui kegiatan penyelidikan, penerbitan dan konsultasi. Demikian juga dengan Institut Wasatiyyah. Seluruh lapisan masyarakat sama ada di dalam atau luar negara sedang menunggu dengan penuh minat impak penubuhan institusi ini terhadap umat Islam. Penubuhan institusi ini adalah landasan terbaik memastikan segala intipati wasatiyyah diaplikasikan dalam kehidupan manusia khususnya dalam kalangan umat Islam.
Pada masa sama Institut Wasatiyyah dijangka berperanan secara aktif menjawab segala kekeliruan berkenaan Islam melalui pelbagai penerbitan ilmiah serta dialog dan forum bertaraf antarabangsa. Penubuhan institut ini akan membuka mata masyarakat dunia khususnya Barat bahawa Malaysia adalah antara negara Islam yang terawal mempromosi kesederhanaan global. Lebih penting daripada itu, inisiatif ini memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai contoh kepada dunia yang mengamalkan kesederhanaan dalam pelbagai aspek termasuk pentadbiran, ekonomi, politik dan pembangunan fizikal. Perdana Menteri tentu mempunyai perancangan tersendiri dalam menentukan hala tuju Institut Wasatiyyah demi kepentingan Islam dan rakyat khususnya penganut agama Islam. Segala perancangan dan gerak kerja institut ini tentu sekali selari perencanaan sedia ada kerajaan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).
Masyarakat Islam Malaysia perlu yakin bahawa Institut Wasatiyyah bakal memacu umat Islam ke hadapan seperti dilakukan oleh Institut Islam Hadhari. Umat Islam juga perlu yakin bahawa penubuhan kedua-dua institut ini adalah bukti bahawa kerajaan komited terhadap pembangunan Islam di negara ini. Persoalannya, apakah kita bersedia untuk sama-sama memberi sumbangan bermakna dan berganding bahu bagi memajukan institut ini? Sesungguhnya komitmen dari setiap lapisan masyarakat amat diperlukan untuk memajukan sebuah institusi yang bakal menjadi kebanggaan bersama.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
BERITA HARIAN
27 Januari 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan