02 Disember 2011

ISU ALAM SEKITAR : KESEDARAN URUS SAMPAH MASIH RENDAH

Oleh Mohd. Hazli Hassan


Setiap  hari kita akan berhadapan dengan sampah sama ada yang dihasilkan oleh kita mahupun yang dihasilkan oleh orang lain. Negara juga semakin hari semakin tidak dapat menampung pembuangan sampah yang dihasilkan oleh rakyat negara ini. Ini termasuk mengadakan pelbagai kempen dan penguatkuasaan undang- undang bagi mengekang perkara itu daripada terus berleluasa. Terbaru pindaan akta yang mahukan semua penduduk di negara ini mengasingkan sampah yang boleh dikitar semula dengan pelbagai sampah domestik yang lain. Pindaan akta ini akan membolehkan penguatkuasaan dilakukan kepada mereka yang ingkar dalam mengasingkan sampah mereka. Pada saya, ini merupakan satu langkah terbaik yang berjaya diwujudkan kerajaan dalam mendidik rakyat negara ini daripada tabiat membuang sampah yang tidak teratur.

Namun dalam pelbagai kempen dan pindaan akta dijalankan, masih ada lagi yang tidak sedar akan kepentingan pembuangan sampah secara teratur. Pada mereka sampah merupakan satu perkara remeh yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada mereka. Ini berlaku di depan mata saya sendiri beberapa tahun lalu ketika ditugaskan di tengah laut. Satu kejadian berlaku di tengah-tengah laut di mana petugas kerajaan berkenaan dengan selamba mencampak sampah yang dikumpul dan dibuang di dalam tong sampah ke laut. Dia mendakwa hanya sisa makan yang dibuang namun saya dapat melihat segala jenis plastik pembungkus, kertas dan tin turut terapung. Kedua, ketika bot sudah menghampiri jeti, kakitangan yang berlainan pula mencampak sebungkus sampah yang juga sudah dikumpul ke dalam muara sungai.

Yang hairannya mereka merupakan kakitangan kerajaan yang saya sudah pasti mempunyai protokol atau peraturan khusus tentang pembuangan sampah di laut. Lebih-lebih lagi mereka merupakan petugas yang berkaitan dengan kelautan. Mereka mahu kawasan mereka bersih namun membiarkan laut dicemari sampah yang dihasilkan mereka, sukar juga untuk saya menerima hakikat itu. Sepatutnya merekalah yang menjadi pelindung kepada khazanah negara dan bukan menjadi contoh buruk kepada masyarakat. Mereka sepatutnya lebih tahu mengenai apa yang patut dan tidak dilakukan lebih-lebih lagi di tengah laut. Mungkin mereka tidak mahu memenatkan diri membawa sampah-sampah yang sudah dikumpul di dalam tong sampah naik ke darat. Mungkin mereka juga merasakan tangan-tangan mereka akan busuk untuk membawa sampah-sampah yang dihasilkan mereka sendiri naik ke darat dan laut adalah jalan penyelesaian terbaik.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 DISEMBER 2011

ISU SOSIAL : ANAK-ANAK TERUMBANG-AMBING


Bagaikan  tidak lengkap setiap keluarga itu jika tidak mempunyai anak. Anak bukan sahaja permata keluarga tetapi penyambung zuriat. Seorang anak yang dilahirkan melalui ikatan perkahwinan, bukan sahaja menjadi pengikat kasih sayang antara suami dan isteri, malah akan terus dianggap sebagai harta yang tidak ternilai harganya. Namun bagi pasangan suami isteri yang bercerai anak-anak sering diabaikan, keadaan itu memberi kesan yang tidak baik kepada anak-anak yang sedang membesar. Keadaan tersebut memberi kesan negatif kepada anak-anak malah kehidupan anak-anak yang lahir hasil dari penceraian akan terumbang-ambing tanpa kawalan dan pegangan kukuh daripada kedua ibu bapanya. Oleh kerana pengawalan terhadap mereka telah berkurangan atau mereka tidak diambil perhatian langsung oleh kedua ibu bapa mereka, maka ketika itu tidak mustahil anak-anak tersebut akan bertindak melulu tanpa memikirkan sebab dan akibat yang akan menimpa mereka di kemudian hari.

Dalam situasi sedemikian, mereka mudah terpengaruh dan mencari keseronokan dengan cara sendiri bagi memindahkan 'kelukaan hati' yang dilalui dalam keluarga mereka. Hasil kajian yang dibuat didapati punca jenayah adalah tinggi di kalangan anak-anak yang mengalami perpecahan rumahtangga. Ini kerana pasangan yang bercerai menghadapi kesukaran untuk mengawal anak-anak mereka dan ramai yang menunjukkan sikap memberontak terhadap tindakan ibu bapanya yang bercerai. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan kadar jenayah di kalangan Bangsa Melayu adalah tinggi berbanding bangsa lain iaitu 5,556 kes pada tahun 2006 meningkat kepada 5,876 pada tahun 2007 da merosot kepada 4,760 orang pada tahun 2008. Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata anak-anak yang menghadapi perpecahan ibu bapa biasanya akan memberontak.

Semua ini adalah natijah daripada kurang perhatian serta perpisahan orang tua mereka. Tegas beliau, keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan memudaratkan diri remaja tersebut dan berlarutan apabila dia besar nanti. Beliau juga memberitahu, pasangan bercerai seharusnya bijak berkomunikasi dan mengutamakan hak serta pendapat anak. Ibu bapa dinasihatkan untuk berkongsi pendapat dan perasaan yang dialami anak mereka sebelum mahu pun selepas perceraian supaya kanak-kanak dapat menerima dan sedia meluahkan pendapat mereka dalam meneruskan jadual harian. Interaksi antara ibu bapa juga perlu supaya anak tidak dibayangi dengan pemikiran mahupun emosi negatif kesan daripada perceraian.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 DISEMBER 2011

ISU UMUM : BERFIKIR LUAR KOTAK RAHSIA PEMIMPIN BERWIBAWA

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my


Angkasawan Negara Mejar Dr. Faiz pernah dinobatkan oleh Oxcell.

Individu yang mahu berjaya dalam bidang yang diceburinya perlu berfikir 'di luar kotak' dan mempunyai pengurusan masa yang strategik. Kedua-dua aspek itu penting supaya perancangan masa hadapan dapat dibuat sebaik mungkin, malah berupaya menonjolkan bakat dengan lebih cemerlang. Bagi penerima Anugerah Inovasi Pusat Kecemerlangan Oxford (Oxcell), Asisten Supritendan Nek Abd. Rahman Salleh, 55, meskipun tugas hakikinya menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sebagai pegawai polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur, ia bukan alasan bagi beliau untuk tidak mencuba sesuatu di luar skop tugasnya. Anak kelahiran Melor, Kelantan itu tetap aktif menjalankan aktiviti berkaitan ekuin di Taman Pameran Pertanian Serdang (MAEPS) dengan mengadakan modul ekuin kepada mereka yang minat. Modul tersebut yang diiktiraf oleh beberapa universiti dari Australia dan United Kingdom (UK) turut menggamit beberapa pengamal sukan berkuda untuk mendalami bidang tersebut secara teori.

Namun kegigihan beliau tidak berhenti setakat itu sahaja. Beliau turut terjun ke dalam bidang bioteknologi dengan menghasilkan kapsul anti barah yang diperbuat daripada susu kuda, Niemans Feramilch Capsule. Produk dalam bentuk kapsul itu mengandungi serbuk susu kuda liar tulen yang diperoleh daripada lebih 10,000 ekor kuda yang diternak di sebuah ladang di Irian Jaya, Indonesia. Ia yang dikelaskan sebagai makanan tambahan yang boleh menjadi alternatif perubatan moden telah diuji secara saintifik di makmal oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan hasilnya menunjukkan sel kanser yang dititiskan susu kuda liar berkurangan kira-kira 60 peratus. Jelas Nek Abd. Rahman, dalam mengimbangi masanya, perkara utama yang menjadi pegangannya adalah keghairahan dalam mengejar ilmu serta mewujudkan anjakan paradigma terhadap kehidupannya dan seterusnya kepada orang di sekelilingnya. Banyakkan membaca, menghadiri seminar yang membangunkan potensi anda. Jangan mengharapkan sesebuah anjakan paradigma akan wujud sekiranya kita cuma duduk menggoyang kaki.

"Anugerah daripada Oxcell dapat memberi pendedahan yang luas kepada saya dalam membina rangkaian perniagaan saya di peringkat global," ujarnya. Perkara sama turut ditekankan penerima Anugerah Ahli Perniagaan Tahunan Oxcell, Lawrence Tee Cheng How, 31, yang menegaskan bahawa pemikiran luar kotak akan menghasilkan pemimpin yang kebal menempuh dugaan dan kerumitan di dalam segala bidang yang diceburi. Beliau yang memiliki hampir lima premis makanan kelas antarabangsa menekankan kriteria utama untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang terkemuka adalah kepercayaan yang tinggi terhadap diri sendiri dan organisasi yang dipimpinnya. "Pertamanya, niat kena baik. Ini termasuk menetapkan diri bahawa segala yang dilakukan kita hanya untuk kesenangan ahli keluarga, dirahmati tuhan dan sentiasa pandang ke hadapan. "Menerima anugerah ini merupakan kebanggaan saya. Ia sebuah pengiktirafan antarabangsa terhadap segala usaha saya dalam membangunkan ekonomi negara.

"Berada di atas pentas menerima anugerah ini sudah memadai membuatkan keluarga dan rakan-rakan bangga terhadap saya. Saya turut berterima kasih kepada pimpinan Oxcell yang terus menghargai usaha usahawan negara ini," kata anak kelahiran Muar, Johor itu. Sama seperti Nek Abd. Rahman, penganugerahan tersebut turut membuka ruang seluas-luasnya bagi beliau untuk melebarkan perniagaan beliau ke peringkat global di samping mempertingkatkan persepsinya terhadap persaingan perniagaan antarabangsa. Sambil memberitahu, bidang pemakanan zaman kini amat mencabar dan penuh dengan persaingan, beliau mengingatkan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang itu supaya tidak berputus asa dan optimis dalam menempuh segala cabaran yang mendatang. "Ambil peluang ini untuk merealisasikan impian anda. Jangan biarkan ia berlalu kerana jika dibiarkan, semestinya kita akan menyesal pada masa hadapan. "Turut menjadi ciri utama seorang pemimpin adalah mempercayai nalurinya. Sekiranya naluri anda berkata 'ya', teruskan dan jangan pandang belakang lagi. "Seperti yang ditekankan Pengarah Oxcell UK, Dr. Mike Kearsley, kepimpinan kreatif dan bermatlamat itu lahir ketika berlakunya krisis. Justeru, jadilah seorang yang sentiasa bersedia dalam menempuh cabaran yang mendatang secara proaktif," tambah beliau.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 DISEMBER 2011


01 Disember 2011

ISU SOSIAL : GOLONGAN MUDA PALING RAMAI CERAI

Oleh ZUHAYATI YAZID


Setiap pasangan berkahwin sudah tentu inginkan rumah tangga yang dibina kekal hingga ke hujung nyawa kerana secara lojiknya tidak ada yang berkahwin atas niat untuk bercerai. Namun mengekalkan sebuah mahligai perkahwinan pada zaman serba canggih sekarang ini merupakan satu cabaran yang cukup besar. Memang ramai pasangan yang bahagia menikmati kemanisan berumah tangga namun tidak kurang juga yang kecundang di tengah jalan. Buktinya, perangkaan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mencatatkan kes perceraian sebanyak 80,564 dari tahun 2005 hingga 2008 berbanding 491,470 perkahwinan yang didaftarkan. Malah setiap tahun graf perceraian menunjukkan peningkatan iaitu daripada 17,749 pada 2005 kepada 19,475 (2006); 21,051 (2007); dan 22,289 (2008). Aliran yang sama juga diperlihatkan pada 2009 apabila mencatatkan 27,116 perceraian berbanding 135,136 perkahwinan yang didaftarkan. Perkembangan ini sememangnya cukup membimbangkan kerana ia mencerminkan keadaan institusi keluarga di negara ini yang semakin rapuh. Lebih membimbangkan apabila kumpulan usia terbesar pasangan yang bercerai dari ke sehari ke sehari terdiri daripada golongan muda.

Ini diakui sendiri oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha, yang mengakui berlaku peningkatan kes penceraian setiap tahun di kalangan pasangan muda. Ketika ini lingkungan umur yang paling tinggi bercerai adalah antara 31 hingga 35 tahun dan angka usia tersebut semakin rendah dari semasa ke semasa. Katanya, ramai pasangan muda yang baru setahun jagung berkahwin memfailkan cerai dengan pelbagai alasan. Usia muda dan mentah turut mempengaruhi dalam membuat keputusan. Lagipun dalam usia ini mereka tidak sanggup untuk berdepan dengan masalah sehinggakan sanggup meminta cerai dan diceraikan. Hakikatnya perkahwinan tersebut terlalu mentah menyebabkan mereka masih belum mengenali pasangan secara khusus, keadaan itu juga menyebabkan mereka mudah untuk membuat keputusan bercerai. Dalam kajian pada 2007, Jakim mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian. Bagi tempoh enam hingga 10 tahun pula sebanyak 27.7 peratus bercerai.

Keadaan ini membuktikan tempoh 10 tahun pertama adalah paling kritikal kerana 59.9 peratus pasangan berakhir dengan perceraian. Hasil kajian yang dijalankan juga mendapati perkahwinan dalam tempoh 10 tahun pertama amat terdedah kepada keruntuhan sekiranya pasangan tidak bersabar. Pada tempoh berkenaan, perkahwinan menghadapi cabaran hebat dan rumah tangga mudah goyang sehingga boleh berlaku penceraian. Kajian juga membuktikan 44.9 peratus penceraian yang berlaku sebenarnya berpunca daripada pasangan gagal menjalankan tanggungjawab. Malah penceraian juga berlaku kerana tiada persefahaman, masalah nafkah dan sebagainya. Keadaan ini berlaku kerana kedua-dua pasangan gagal menjalankan tanggungjawab selain masalah akhlak, kewangan, seksual dan juga berlaku percampuran orang ketiga. Malah pasangan tidak bertanggungjawab dan mengabaikan keluarga juga mendorong pasangan muda untuk bertindak meruntuhkan istana cinta mereka.

Tegas Othman, melangkah ke alam rumah tangga memerlukan kesabaran, sebab itu sebelum melangkah ke alam itu memerlukan persediaan yang betul agar mahligai yang dibina tidak karam di tengah jalan. Katanya, tidak dinafikan banyak cabaran dalam alam berumah tangga bak kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Justeru kesabaran dan kerjasama kedua pihak adalah penting dalam meneruskan perjalanan rumah tangga. Setiap pasangan yang ingin berkahwin terutama yang masih muda hendaklah disedarkan apakah dia sudah layak untuk berumah tangga atau tidak. Keadaan ini penting supaya mereka tahu apakah di sebalik tujuan perkahwinan itu, mereka juga perlu didedahkan dengan alam rumah tangga yang sebetulnya bukan seperti alam percintaan yang semuanya seronok dan indah.  Ditanya berkaitan langkah bagi mengatasi kadar penceraian di kalangan pasangan muda, beliau menjelaskan pihaknya sering mengemaskan program-program berkaitan ilmu rumah tangga dan keibubapaan. Malah, pelbagai risalah diedarkan bagi menambah pengetahuan awam mengenai kepentingan menjaga keharmonian berkeluarga. Kami juga sentiasa memperkemaskan pengisian-pengisian program yang dilaksanakan bagi memastikan ia sentiasa relevan dan sesuai dengan keadaan semasa,'' katanya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 DISEMBER 2011



30 November 2011

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : MIMOS DI LANDASAN TEPAT BANGUNKAN NANOTEKNOLOGI

Oleh LAUPA JUNUS


Sesuai dengan statusnya sebagai salah sebuah daripada lima agensi yang dianugerahkan status Pusat Kecemerlangan (CoE) di bawah Program Nano Malaysia oleh Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan (NND), Pusat Kecemerlangan Nanoteknologi MIMOS memainkan peranan utama dalam penyelidikan gunaan dalam teknologi terkehadapan. Pusat kecemerlangan nanoteknologi itu memfokuskan kepada bidang yang dijangka menyumbang kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA) khususnya pertanian, kesihatan dan pendidikan. Ia sejajar dengan aspirasi nasional menjadikan nanoteknologi sebagai enjin penggerak pertumbuhan ekonomi. Ketika ini, penyelidikan dan pembangunan berkaitan nanoteknologi di MIMOS yang ada termasuk pembangunan top down dan bottom down nano pembuatan, nanomaterial dan kemudahan ujian nano peralatan. MIMOS juga memfokuskan kepada program simulasi nanopencirian dan menghasilkan model matematik bagi nano pembuatan, nanomaterial dan nano peralatan.

Program tersebut dinyatakan oleh Pengarah Penyelidikan Sistem Mekanikal Nanoelektro (NEMS)/ Sistem Mekanikal Mikroelektro (MEMS) MIMOS, Saat Shukri Embong pada satu majlis taklimat khas di ibu pejabat MIMOS baru-baru ini. ''Kami juga bekerjasama dengan NND untuk menyediakan platform asas untuk universiti , pusat penyelidikan dan industri serta menyasarkan kerjasama dan usaha bersama membangunkan kemampuan nanoteknologi negara," katanya. Pada masa sama, MIMOS juga berperanan sebagai gerbang atau pintu masuk kepada hubungan kerjasama antarabangsa dalam penyelidikan nanoteknologi. Mengimbas kembali mengenai bidang nanoteknologi di MIMOS, Saat Shukri berkata, ia merupakan satu daripada 10 kluster teknologi yang dibangunkan oleh agensi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Bidang lain ialah keselamatan maklumat, perkomputeran termaju, kepintaran informatik, tenaga mikro, psikometrik, komunikasi wayarles, mikroelektronik, teknologi pengetahuan serta analisis dan pemodelan termaju.

Katanya, menerusi kluster nanoelektronik, pihaknya pada masa ini memberi fokus kepada nanomaterial berfungsi, nanofotonik dan integrasi bahan nano dengan pelbagai sensor serta sistem peralatan tenaga mikro. Sejak penubuhannya pada 2004 beliau berkata, setakat ini antara produk inovasi yang berjaya dihasilkan ialah pelbagai nanopartikel, nano tiub, nanowayar dan nanokomposit. Bagaimanapun, beliau menyasarkan dalam banyak produk tersebut, antara yang boleh dimanfaatkan ialah produk nano sebagai alat penderia atau sensor untuk pelbagai kegunaan. Ia temasuk sistem tuaian tenaga mikro untuk kegunaan dalam pertanian, akuakultur, pemantauan kualiti air dan alam sekitar, pemantauan kesihatan dan perubatan serta keselamatan awam. Antara kejayaan yang dicatatkan setakat ini ialah penggunaan rangkaian sensor wayarles (WSN) yang menggunakan teknologi sensor untuk aplikasi pertanian berteknologi tinggi. Teknologi tersebut yang diperkenalkan beberapa tahun lepas memanfaatkan pelbagai teknologi lain untuk membangunkan satu sistem pengurusan pertanian berteknologi tinggi atau pertanian tepat menggunakan struktur rumah pelindung .

Selain struktur atau rumah pelindung dan teknologi sensor, WSN juga memanfaatkan teknologi fertigasi. Teknologi berkenaan merujuk kepada sistem penanaman tanpa menggunakan tanah dengan baja dan air secara serentak disalurkan kepada tanaman menggunakan paip khas ke media berupa cocoa peat. Sensor dipasang pada media tanaman dan beberapa bacaan para meter termasuk suhu, kelembapan, konduktiviti oksigen terlarut, ammonia terlarut, kemasaman (pH), dan nutrien tanah diambil bacaannya. Teknologi tersebut dikatakan telah dimanfaatkan oleh Malaysian Agrifood Corporation (Mafc) di Cameron Highlands untuk penanaman tomato dan beberapa lokasi di Sabah dan Terengganu. ''Teknologi pendebungaan kelapa sawit oleh Felda juga memanfaatkan penggunaan teknologi sensor kami," kata Saat Shukri. Dengan teknologi pemantauan itu, MIMOS membantu industri mengurangkan penggunaan tenaga buruh memandangkan kebergantungan berterusan kepada mereka membawa masalah jika pekerja terbabit meninggalkan negara ini.

FOKUS BANGUNKAN SENSOR

MIMOS juga berkongsi kemudahan yang dimiliki dalam bidang nano pembuatan, dan penghasilan peralatan berasaskan nano berskala besar dan sebagai pusat rujukan dalam bidang nanoelektronik. Menurut Saat Shukri, peta kerangka atau road map pelantar teknologi penyelesaian MIMOS dari 2011 hingga 2015 dibangunkan sejajar dengan unjuran pertubuhan pasaran global yang memfokuskan kepada peningkatan peralatan sensor dan tenaga mikro. Ini memungkinkan integrasi elemen berasaskan nanoteknologi bagi memastikan sensitiviti tinggi, respons lebih baik, penggunaan kuasa yang rendah, saiz lebih kecil meningkatkan ketahanan dan lebih fleksibel. Selain itu, ia juga mempunyai kapasiti penyimpanan tenaga supaya lebih sesuai dalam penukaran tenaga serta kos yang lebih kompetitif untuk pelbagai industri, pertanian ,alam sekitar, kesihatan, keselamatan dan pertahanan. Pada tahun hadapan, usaha penyelidikan dan pembangunan nanoteknologi di MIMOS akan menumpukan kepada pembangunan sensor gas dan logam berat serta sistem pertanian pintar manakala pada 2013 melibatkan penambahbaikan sensor kepada aplikasi yang disasarkan seperti biosensor dan pemantauan alam sekitar.

Pada 2014, MIMOS akan fokus kepada penambahbaikan alat pengesan peluh dan nutrien badan dan sistem pemantauan penyakit tumbuhan serta ternakan menggunakan peralatan nano berasaskan bendalir. Pada 2015 pula, sensor berkenaan akan dibangunkan kepada pelantar reconfigurable dengan tumpuan kepada peralatan bioperubatan yang dapat diintergrasikan bersama alat pengesan. Menurut Saat Shukri, berdasarkan kepada firma perunding global Cientifica, pasaran produk yang berasaskan nanoteknologi dijangka mencecah RM821 billion pada tahun depan dan RM4.5 trilion pada 2015. Pertumbuhan dijangka tinggi bagi produk penjagaan kesihatan dan farmaseutikal meskipun banyak aplikasi lain mempunyai potensi tinggi MIMOS mempunyai amalan pembangunan dan pengkomersialan produk yang boleh membantu industri tempatan untuk menghasilkan produk teknologi bernilai tinggi. Akhirnya, Pusat Kecemerlangan Nanoteknologi MIMOS telah berkembang dan semakin kukuh dengan pertambahan kepakaran dan kemampuan sejak penubuhannya pada 2004.

Sehingga kini , pusat berkenaan mempunyai 37 pakar utama dalam bidang nanoteknologi MIMOS menyasarkan pertambahan kepakaran dua kali ganda dalam tempoh lima tahun akan datang sejajar matlamatnya untuk menjadi pusat pembangunan genrasi baru nanoteknologi berdaya saing. Bahagian Nanoteknologi juga disokong oleh MIMOS , mempunyai gabungan penyelidik terkemuka dalam pembangun produk. Ketika ini, jumlah paten yang dihasilkan oleh pusat-pusat kecemerlangan nanoteknologi meningkat daripada 24 paten pada 2006 kepada 190 pada tahun lepas dan daripada itu sebanyak 79 paten yang telah difailkan dan enam daripadanya yang telah diberi geran oleh Perbadanan Harta Intelek (MyIPO). Pusat-pusat yang telah diiktiraf ini mempunyai kemudahan bilik bersih, peralatan nanofabrikasi mampu memproses sehingga saiz lapan inci wafer dan memiliki makmal komprehensif untuk analisis dan nanocharacterisation. MIMOS sendiri mempunyai kemudahan sintesis nanopartikel, nanowayar, nanotiub dan nanokomposit.

MIMOS juga membangunkan silikon nanostruktur untuk kegunaan NEMS. Menurut Saat Shukri , pusat kecemerlangan MIMOS kini berada pada landasan tepat untuk berperanan sebagai pemangkin program pembangunan dan pengkomersialan dan pemacu utama untuk Malaysia mencapai matlamat menjadikan nanoteknologi menyumbang satu peratus kepada pendapatan negara kasar (GNI) sebanyak RM1.7 trilion menjelang 2020.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 NOVEMBER 2011


ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : MEMACU INOVASI DARIPADA NANOTEKNOLOGI

Oleh DR. SAIFOLLAH ABDULLAH


Peralatan photoluminescence spectrometer dan Raman Spectrometer bagi pengukuran fotoluminasi dan ketulenan bahan.

Penubuhan Unit Khas Inovasi (UNIK) yang telah di umumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai tahun lepas bertujuan memperkukuhkan strategi dan polisi untuk membantu mempromosikan inovasi secara menyeluruh kepada masyarakat. UNIK yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjadi pelengkap kepada penubuhan Pusat Inovasi Negara (MyNIC) yang ditubuhkan pada Oktober 2009. Ia bertujuan menyerapkan inovasi sebagai satu amalan di kalangan rakyat. Perdana Menteri juga telah menyatakan bahawa kerajaan bersetuju supaya pembangunan nanoteknologi menjadi sumber baru dalam Model Baru Ekonomi (MBE). Nanoteknologi merupakan satu bidang yang kehadapan dalam pembangunan teknologi pada masa ini. Justeru itu amat penting bagi Malaysia untuk tidak ketinggalan dalam bidang nanoteknologi. Nanoteknologi juga telah mendapat perhatian dalam agenda besar negara iaitu dalam agenda inovasi negara , MBE dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Sokongan kerajaan dalam bidang nanoteknologi amatlah bermakna melalui pelancaran Inisiatif Nanoteknologi Kebangsaan(NNI) pada tahun 2006, penubuhan Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan (NND) dan penganjuran Ekspo dan Sidang Kemuncak NanoMalaysia 2011. Nanoteknologi merupakan teknologi pada tahap atom atau pada skala perbilion meter. Konsep teknologi nano telah diperkenalkan pada tahun 1956 dan telah mula menarik perhatian secara lebih meluas pada tahun 90an. Teknologi berkenaan telah membawa harapan baru kepada pelbagai aplikasi bertahap tinggi misalnya dalam bidang telekomunikasi, penderia berketepatan tinggi, pelbagai peranti, punca tenaga berkeupayaan tinggi dan lain-lain. Permasalahan teknologi masa kini memerlukan penyelesaian berinovasi berdasarkan kepada ilmu pengetahuan baru. Oleh itu, teknologi berkenaan dilihat mempunyai keupayaan dalam menangani permasalahan teknologi masa kini. Banyak penyelidikan dan penghasilan produk berasaskan nanoteknologi merupakan inovasi daripada teknologi masa kini.

Berdasarkan keyakinan sains sekiranya bahagian berfungsi dalam sesuatu produk diinovasikan pada tahap nano maka kecekapan akan meningkat sehingga beribu kali ganda. Oleh itu secara amnya, nanoteknologi berupaya memacu inovasi bagi meningkatkan keupayaan produk-produk masakini di samping menghasilkan produk-produk baru yang belum wujud sebelum ini. Peranti sel solar telah lama dibangunkan dan telah diguna secara komersial sama ada dalam bidang penjanaan tenaga elektrik sehinggalah keperanti-peranti elektronik. Bagaimanapun dengan perkembangan dan permintaan teknologi yang mendesak termasuk kesedaran dalam teknologi hijau dan pembangunan pembuatan kereta bertenaga solar memerlukan keupayaan sel solar yang tinggi. Kini inovasi dalam bidang ini amatlah diperlukan. Teknologi fabrikasi, reka bentuk dan penggunaan bahan berfungsi masa kini dilihat tidak dapat memenuhi permintaan ini.

Oleh itu, nanoteknologi diyakini akan mengambil tempat bagi meningkatkan keupayaan sel solar dengan pembangunan proses fabrikasi-nano, reka cipta dan yang lebih penting adalah penemuan bahan-nano yang telah menunjukkan keupayaan yang amat menyakinkan. Sel solar yang dibangunkan berasaskan teknologi nano dijangkakan meningkatkan keupayaan sehingga sekitar 40 peratus. Produk kosmetik merupakan bidang yang paling banyak menggunakan inovasi dalam teknologi nano. Produk-produk pemutih kulit, antipenuaan, antikedut ,pencuci muka dan lain-lain produk telah banyak dipasarkan dan mendapat permintaan amat menggalakkan. Sesetengah produk masih menggunakan bahan aktif yang sama tetapi telah diinovasikan berasaskan nanoteknologi. Pengenalan konsep pengangkut dalam industri kosmetik berasaskan nanoteknologi merupakan asas inovasi produk-produk kosmetik. Pengenalan pengangkut bersaiz-nano merupakan inovasi paling berpotensi. Dengan nanoteknologi sistem pengewapan bagi membuka liang rongga kulit tidak diperlukan tetapi memadai hanya menyapu krim yang mengandungi pengangkut-nano dan ia akan masuk ke bawah lapisan kulit.

Selain industri kosmetik, penggunaan nanoteknologi amat berpotensi dalam bidang farmaseutikal. Ia juga berasaskan kepada idea masa kini yang telah dihasilkan semula berasaskan nanoteknologi dengan keyakinan akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penggunaannya. Sistem pengangkut ubatan dalam badan telah mula digunakan dengan pengenalan pengangkut-nano. Dengan penyalutan ubatan pada partikel bersaiz-nano atau pembungkusan ubatan pada saiz nano akan meningkatkan keberkesanan penggunaan ubatan di samping mengurangkan lebihan ubatan yang tidak digunakan melalui pelepasan terkawal. Sistem pengangkut-nano dalam perubatan dijangka akan lebih maju lagi dengan jangkaan akan memperkenalkan sistem pengangkut-nano yang boleh dikawal melalui komputer. Oleh itu ia akan ditujukan terus dengan lebih tepat kepada bahagian yang dikenal pasti. Bidang pertanian merupakan aktiviti warisan dan kekuatan kepada negara.

Usaha-usaha untuk menjadikan pertanian sebagai satu bidang yang lebih bermanafaat telah banyak dijalankan. Selain menerapkan konsep pertanian satu perniagaan, konsep inovasi juga mestilah diambil berat dalam industri pertanian. Inisiatif tersebut amat diperlukan untuk terus memartabatkan lagi bidang pertanian sebagaimana di negara-negara Eropah dan negara maju yang lain. Oleh itu, nanoteknologi dilihat sebagai salah satu alternatif bagi inovasi dalam bidang pertanian. Walaupun secara amnya persepsi bahawa aplikasi nanoteknologi kebanyakannya tertumpu kepada aplikasi elektronik dan komunikasi namun sebenarnya ia mempunyai keupayaan amat besar dalam inovasi pertanian. Pengenalan baja pelepasan perlahan berasaskan nanoteknologi dijangka akan meningkatkan hasil sebanyak dua puluh peratus. Kawalan racun perosak menggunakan nanoteknologi meningkatkan keberkesanan kawalan. Persekitaran dan perubahan iklim yang tidak menentu memerlukan pemantauan secara lebih tepat, dengan menggunakan penderia-nano yang berupaya memberi maklumat dengan lebuh tepat.

Industri penghasilan produk makanan telah lama berkembang dengan pelbagai teknologi. Namun ia akan mendapat lebih faedah dari inovasi berasaskan nanoteknologi iaitu meliputi penghasilan makanan, pembungkusan makanan dan keselamatan makanan. Rasa makanan akan lebih sedap apabila saiz butiran kandungan pada tahap nanometer misalnya coklat dan aiskrim akan rasa lebih sedap dan mesra lidah. Pembungkusan makanan menggunakan pembungkus bersalut lapisan nano akan memastikan kesegaran makanan akan lebih lama. Selain itu juga, sistem keselamatan terutamanya pencemaran bahan kimia dan lain-lain pencemaran berbahaya dapat dikesan pada ketepatan tinggi dengan menggunakan peranti penderia-nano. Selain itu, banyak lagi inovasi berasaskan nanoteknologi telah diperkenalkan bagi peralatan kegunaan seharian. Ini termasuk penghasilan kaca bersih-sendiri, penapis air nano yang dapat memberi kualiti air yang lebih bersih, permukaan bebas bakteria melalui salutan-nano, penapis udara-nano berkualiti tinggi dan banyak lagi produk masa kini Inisiatif bagi menggalakkan penyelidikan dan pengkomersialan produk berinovasi berasaskan nanoteknologi patutlah dilihat dan diberi perhatian sebagai salah satu alternatif yang berkesan. Ia bersesuaian dengan saranan Perdana Menteri bagi menterjemahkannya dalam agenda inovasi negara dan MBE.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 NOVEMBER 2011



ISU ICT : PERMAINAN VIDEO BAIK UNTUK KANAK-KANAK?

Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN


Bagi ibu bapa yang selama ini memandang serong terhadap permainan video, tentu kenyataan bahawa permainan video dapat memberi kesan positif kepada kanak-kanak sukar diterima oleh mereka. Masakan tidak, jika anak-anak mereka sebelum ini sering mengabaikan kerja rumah, malas membantu ibu di rumah, malas bersukan atau kerap ponteng sekolah - semuanya dek kerana terlalu asyik dengan permainan video, tentu kenyataan itu dibantah sekeras-kerasnya. Bagaimanapun, mereka harus bertenang kerana apa sahaja perbuatan yang dilakukan secara berlebihan, termasuk bermain video boleh mendatangkan keburukan tetapi jika ia dilakukan mengikut kawalan, tentu ia boleh memberi kebaikan. Kajian demi kajian yang dijalankan ke atas pemain video menunjukkan sememangnya ia boleh memberi kesan positif seperti seseorang itu akan lebih cepat bertindak, cepat membuat keputusan, tahap kesedaran tinggi, fikiran lebih tenang dan sebagainya. Kajian terkini oleh pelajar dari Michigan State University (MSU), Amerika Syarikat (AS) menambahkan lagi kesan positif ke atas pelajar yang bermain permainan video - iaitu lebih kreatif.

Menurut kajian ke atas para pelajar berusia 12 tahun itu, lebih banyak permainan video yang dimainkan oleh kumpulan kanak-kanak itu, kreativiti mereka juga didapati semakin meningkat. Walaupun tidak dapat dinafikan terdapat laporan yang menyatakan kanak-kanak yang bermain permainan ganas seperti Mortal Kombat boleh menjadi kurang sensitif dan agak agresif, tetapi laporan itu harus diimbangi juga dengan kesan positif. Kajian yang dijalankan oleh Yayasan Sains Kebangsaan AS itu dijalankan oleh penyelidik dari MSU ke atas 491 pelajar pertengahan bagi menguji daya kreativiti mereka menggunakan alat ujian Torrance Test of Creativity-Figural. Kanak-kanak yang bermain permainan video lebih cenderung untuk menjadi lebih kreatif, tidak kira sama ada permainan yang ganas atau tidak ganas. Jadi, permainan tidak ganas juga berkemungkinan akan menghasilkan kesan yang sama kepada kanak-kanak - asalkan mereka sentiasa melibatkan diri.

Menariknya, kajian mendapati penggunaan telefon bimbit, melayari laman web, dan penggunaan komputer yang bukan berkaitan permainan tidak menyumbang kepada peningkatan kreativiti. Ketua penyelidik, Linda Jackson, seorang profesor Psikologi di MSU berkata, penemuan menggalakkan untuk para pereka permainan video mengenalpasti aspek-aspek kreatif dalam permainan video. Apabila mereka berbuat demikian, permainan video boleh direka untuk mengoptimumkan pembangunan kreativiti di samping mengekalkan unsur hiburan supaya generasi baru permainan video akan mengaburkan perbezaan antara pendidikan dan hiburan. Jadi adakah permainan video memberi kesan buruk kepada anda? Itulah yang mereka katakan bergembira dan berseronok. Bermain permainan video mempunyai beberapa kesan buruk.. tetapi bukan semuanya keburukan dan teruk. Satu lagi kajian menunjukkan permainan video yang santai akan membuatkan pemain sentiasa gembira.

Kajian itu menunjukkan bahawa permainan video santai seperti Endless Ocean, akan menyebabkan pemain berasa gembira dan lebih suka bergaul berbanding jika bermain permainan video yang ganas. Walaupun anda mungkin mempunyai senyuman yang lebar di muka seperti meniup api ke atas lawan anda apabila bermain Halo, anda sebenarnya akan lebih gembira jika bermain Endless Ocean, kerana boleh berinteraksi dengan hidupan laut. Menurut Profesor Kominukasi dan Psikologi, Ohio State University, Brad Bushman yang telah menjalankan dua kajian, bermain video secara santai dan permainan video yang tidak ganas akan menyebabkan pemain sentias berada dalam 'mood' yang lebih baik dan pandai bergaul, berbanding mereka yang bermain permainan video yang ganas. Kajian melibatkan sekumpulan 150 pelajar di Ohio untuk bermain tiga jenis permainan Wii selama 20 minit - yang santai seperti Endless Ocean, yang natural seperti Super Mario Galaxy dan yang ganas seperti 4 Evil Residen. Dalam kajian kedua, sekumpulan 116 pelajar telah diminta sekali lagi untuk memainkan salah satu daripada tiga jenis permainan dalam masa 20 minit, dan kemudian lengkapkan soal selidik yang diberi mengenai mood mereka. 


Mereka yang memainkan permainan yang santai merasakan diri mereka mendapat lebih kebahagiaan, kasih sayang dan kesan emosi yang positif, berbanding dengan orang lain yang bermain permainan ganas. Permainan video yang santai akan membuatkan orang berada dalam mood yang baik dan apabila orang berada dalam mood yang baik, mereka lebih cenderung untuk membantu orang lain, dan itulah yang lebih baik untuk semua orang.




SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 NOVEMBER 2011


29 November 2011

ISU BAHASA : NILAI BAHASA MELAYU DI IBU KOTA KUALA LUMPUR


Usaha kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu nampaknya tidak begitu dipedulikan oleh sesetengah kelompok di ibu negara yang lebih mengagungkan bahasa asing, terutama bahasa Inggeris. Kuala Lumpur merupakan lokasi terpenting bagi negara ini, jadi sudah sewajarnya ia menjadi tempat untuk menggambarkan identiti sebenar Malaysia dan rakyatnya, tetapi itu tidak berlaku apabila kita melihat kepada nama-nama tempat atau bangunan komersial yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Keadaan ini dapat dilihat apabila semakin banyak projek komersial yang menggunakan bahasa asing bagi menamakan tempat serta projek mereka yang sekali gus menafikan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini. Tinjauan di sekitar ibu negara mendapati banyak projek komersial yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai nama bangunan dan kawasan komersial yang dimajukan oleh pihak swasta.

Hinggakan kadang-kadang terasa kita seperti berada di United Kingdom, Itali, Sepanyol mahupun Hong Kong. Selain itu, beberapa papan iklan atau sepanduk iklan bersaiz gergasi turut sama ‘bersekongkol’ dengan perbuatan mengagungkan bahasa Inggeris ini. Antara tempat yang dapat kita lihat nama-nama asing ini adalah sekitar Jalan Chan Sow Lin, Jalan Duta, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Sultan Ismail, Jalan Loke Yew dan Lembah Pantai. Nama-nama dalam tempat dalam bahasa Inggeris ini dapat dilihat pada beberapa bangunan baru seperti Southgate, Viva Home, The Reef dan projek pembangunan Bangsar South. Walau apa pun alasan yang diberikan oleh pihak-pihak terbabit, sedar atau tidak mereka sendiri telah meletakkan bahasa rasmi negara di tempat yang lebih rendah berbanding bahasa asing. Adakah mereka yang memajukan projek-projek ini malu untuk menggunakan bahasa kebangsaan atau mungkin juga mereka menganggap bahasa Melayu tidak mempunyai nilai komersial.

Atau mereka sebenarnya tidak kreatif untuk mencari perkataan-perkataan yang enak didengar dan bernilai komersial untuk menamakan projek dimajukan mereka. Sebenarnya, dengan sedikit kreativiti dan memerah akal maka dapatlah kita nama-nama indah seperti Suria KLCC, Menara Dayabumi, Mutiara Damansara, Aman Suria Damansara atau Awana Genting Highlands contohnya. Seorang jurutera ukur tanah, Nashrul Adiey Habib, 33, berkata, semakin pesat pembangunan di negara ini, semakin terhakis identiti rakyat dan budayanya. Katanya, banyak tempat yang menggunakan bahasa asing yang menyebabkan kita umpama berada di negara luar dan bukan di bumi sendiri. Kerajaan haruslah memainkan peranan dengan mewajibkan projek-projek komersial ini menggunakan bahasa Melayu supaya bahasa ibunda ini dapat diperkasakan. Benar kata Nashrul Adiey, kerajaan melalui agensi-agensinya yang sepatutnya memainkan peranan dan menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memastikan bahasa Melayu berada pada tempatnya.

Sementara itu, seorang pemandu teksi, K. Parameswaran, 40, pula berpendapat, nama-nama tempat tersebut haruslah dibuat dalam dwi bahasa. Ini adalah bagi memudahkan pelancong-pelancong dari luar untuk memahami nama tersebut supaya mereka tidak keliru atau sesat dan sekali gus dapat menarik pelancong ke dalam negara. “Pengalaman saya apabila melancong di satu tempat di India yang hanya mempunyai papan tanda dalam bahasa tempatan di situ memang menyusahkan saya sebagai pelancong. Jadi saya berharap agar di Malaysia kita dapat buat dalam dwibahasa untuk memudahkan pelancong luar,” ujarnya. Seorang guru, Siti Nor Hamizah Hashim, 26, berkata, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi haruslah diutamakan dalam pemilihan nama projek komersial untuk menunjukkan identiti negara. Menurutnya, kita tidak sepatutnya menggunakan terlalu banyak bahasa Inggeris kerana negara lain seperti Thailand, Korea Selatan dan Jepun juga tetap berjaya walaupun masih mengekalkan serta mengutamakan bahasa kebangsaan mereka. “Mungkin pemaju-pemaju projek ini mahukan nilai komersial yang tinggi sehingga menyebabkan mereka memilih bahasa Inggeris bagi menarik pelabur dari luar negara. “Namun, pihak luar apabila datang ke negara ini perlulah mengikut cara kita dan bukan kita mengikut mereka pula,” tegasnya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
18 NOVEMBER 2011


ISU IPT : PELAJAR YANG GIAT BERPOLITIK, HARUSLAH BERILMU DAN MATANG

Oleh Shamrahayu A Aziz
bhnews@bharian.com.my


MUZIUM BABA NYONYA DI MELAKA

Ramai graduan terbabit politik cetek pengetahuan, gagal berhujah secara ilmiah

Adakah  pelajar universiti berhak untuk bebas berpolitik; berhak untuk menyertai, memegang jawatan politik atau bergiat aktif dalam politik di dalam atau di luar kampus? Sebagai seorang yang agak lama dalam profesion pendidikan di universiti saya berasakan satu keperluan untuk saya berkongsi dengan pembaca mengenai pembabitan pelajar dalam politik. Saya melihat perkara ini daripada kaca mata seorang pendidik, tanpa sebarang kecenderungan atau prejudis kepada mana-mana parti politik. Apa yang ingin saya kongsi ialah pengamatan dan pendapat saya. Kebebasan berpolitik di universiti tidak boleh menjanjikan pencapaian yang baik dalam apa juga bidang, termasuk politik Disebabkan kursus yang saya mengajar membabitkan persoalan umum yang berkisar mengenai pentadbiran negara dan penguatkuasaan undang-undang, perbincangan dalam kelas memerlukan pemikiran kritis. Sudah tentu perbincangan sebegini menjadi hangat dengan pandangan, sokongan atau hentaman kepada pandangan ahli politik atau falsafah perjuangan parti politik.

Dalam proses ini, pelajar bukan saja perlu mengetahui undang-undang yang tertulis semata-mata, tetapi mereka juga hendaklah sentiasa sedar dan memahami salasilah dan falsafah undang-undang itu, seperti memahami persoalan kenapa sesuatu undang-undang itu diwujudkan. Kedua-dua perkara ini memerlukan perhatian pelajar kepada apa yang tertulis dalam undang-undang dan juga apa yang tidak tertulis. Melalui pengalaman saya, pelajar tidak begitu sukar untuk memahami atau mengingati apa yang tertera. Ia senang untuk dibaca dan dihafal.  Namun, pelajar sukar memahami falsafah di sebalik kewujudan sesuatu undang-undang. Bagi memahami falsafah itu, pelajar bukan saja mesti merujuk kepada penulisan dalam bidang kursus yang dipelajarinya, tetapi ia juga memerlukan pelajar mendalami apa yang tidak terdapat dalam buku rujukan utama. Pelajar harus membaca material di luar bidang.

Ramai pelajar sebenarnya gagal membaca buku atau terbitan di luar bidang kursus yang diambil, bahkan ada pelajar yang tidak membaca buku dan kes wajib dibaca dalam kursus yang diambil. Hakikatnya ramai pelajar yang hanya membaca nota yang dibuat oleh senior atau rakan sekelas. Ada juga yang hanya merujuk kepada nota power point yang disediakan pensyarah. Ramai antara mereka hanya menghafal dan mengeluarkannya kembali ke atas kertas jawapan dalam dewan peperiksaan. Selain itu, ada segelintir pelajar yang tidak menghadiri kuliah kerana aktiviti di luar. Dalam banyak keadaan pelajar ini gagal membahagikan masa dengan baik. Walaupun keadaan ini bukan saja berlaku kepada pelajar yang aktif berpolitik, mereka adalah sebahagian daripadanya. Saya tidak nafikan bahawa ada pelajar yang begitu berwibawa dan matang dalam melihat dan membuat penilaian berkaitan politik serta bijak membahagi masa, tetapi bilangan pelajar seperti ini amat sedikit.

Bagi pelajar yang terbabit dengan politik, bilangan yang lebih ramai ialah mereka yang taksub berpolitik, tetapi tidak begitu suka membaca dan tidak begitu bijak membahagi masa. Sekiranya pelajar mahu bergiat aktif menyertai parti politik di luar kampus, ia memerlukan kematangan dan kefasihan serta kebijaksanaan. Pelajar juga bukan saja perlu mengetahui sesuatu atas apa yang tertera dalam bentuk tulisan, tetapi juga harus dapat menilai dan memahami hasrat dengan ilmu pengetahuan. Mereka harus berbeza daripada orang lain yang tidak berpeluang menuntut di menara gading. Kualiti ilmu mereka harus lebih tinggi. Sudah tentu setiap individu, termasuk pensyarah di universiti yang sayangkan generasi muda dan masa depan mereka, tidak mahu melihat generasi akan datang berterusan berpolitik separa matang. Ini adalah untuk negara, bukan untuk diri sendiri. Kita memerlukan ahli politik yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, banyak membaca, bijak dan memahami serta mempunyai falsafah yang tepat mengenai sesuatu perkara.

Selepas berkhidmat kira-kira 20 tahun di universiti, saya fikir, penuntut universiti masih lagi belum bersedia menghadapi sepak terajang arena politik sebenar. Dalam jangka itu juga saya melihat pelajar yang aktif dalam politik ketika di universiti menceburi politik selepas tamat pengajian. Ada di antara mereka menjadi wakil rakyat. Secara peribadi, saya masih belum berpuas hati dengan pencapaian mereka di bidang politik walaupun sudah lama berkecimpung dalam alam politik. Mereka masih gagal berhujah secara ilmiah atau menghulur pandangan bijaksana. Bukan tujuan saya merendahkan kebolehan pelajar universiti. Ini realiti. Oleh kerana putihnya kanvas kehidupan pelajar dan hijaunya pengalaman mereka, mereka begitu rapuh. Hakikatnya di sini, walaupun bermula cepat di dalam politik, ia tidak menjamin pelajar menjadi ahli politik yang hebat atau bijaksana apabila benar-benar terbabit dalam politik selepas tamat pengajian nanti. Kebebasan berpolitik di universiti tidak boleh menjanjikan pencapaian yang baik dalam apa juga bidang, termasuk politik. Apa yang terlebih utama ialah ilmu pengetahuan – pelajar akan lebih bijaksana.

SUMBER
BERITA HARIAN
29 NOVEMBER 2011