Oleh DR. SAIFOLLAH ABDULLAH
Peralatan photoluminescence spectrometer dan Raman Spectrometer bagi pengukuran fotoluminasi dan ketulenan bahan.
Penubuhan Unit Khas Inovasi (UNIK) yang telah di umumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai tahun lepas bertujuan memperkukuhkan strategi dan polisi untuk membantu mempromosikan inovasi secara menyeluruh kepada masyarakat. UNIK yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjadi pelengkap kepada penubuhan Pusat Inovasi Negara (MyNIC) yang ditubuhkan pada Oktober 2009. Ia bertujuan menyerapkan inovasi sebagai satu amalan di kalangan rakyat. Perdana Menteri juga telah menyatakan bahawa kerajaan bersetuju supaya pembangunan nanoteknologi menjadi sumber baru dalam Model Baru Ekonomi (MBE). Nanoteknologi merupakan satu bidang yang kehadapan dalam pembangunan teknologi pada masa ini. Justeru itu amat penting bagi Malaysia untuk tidak ketinggalan dalam bidang nanoteknologi. Nanoteknologi juga telah mendapat perhatian dalam agenda besar negara iaitu dalam agenda inovasi negara , MBE dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Sokongan kerajaan dalam bidang nanoteknologi amatlah bermakna melalui pelancaran Inisiatif Nanoteknologi Kebangsaan(NNI) pada tahun 2006, penubuhan Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan (NND) dan penganjuran Ekspo dan Sidang Kemuncak NanoMalaysia 2011. Nanoteknologi merupakan teknologi pada tahap atom atau pada skala perbilion meter. Konsep teknologi nano telah diperkenalkan pada tahun 1956 dan telah mula menarik perhatian secara lebih meluas pada tahun 90an. Teknologi berkenaan telah membawa harapan baru kepada pelbagai aplikasi bertahap tinggi misalnya dalam bidang telekomunikasi, penderia berketepatan tinggi, pelbagai peranti, punca tenaga berkeupayaan tinggi dan lain-lain. Permasalahan teknologi masa kini memerlukan penyelesaian berinovasi berdasarkan kepada ilmu pengetahuan baru. Oleh itu, teknologi berkenaan dilihat mempunyai keupayaan dalam menangani permasalahan teknologi masa kini. Banyak penyelidikan dan penghasilan produk berasaskan nanoteknologi merupakan inovasi daripada teknologi masa kini.
Berdasarkan keyakinan sains sekiranya bahagian berfungsi dalam sesuatu produk diinovasikan pada tahap nano maka kecekapan akan meningkat sehingga beribu kali ganda. Oleh itu secara amnya, nanoteknologi berupaya memacu inovasi bagi meningkatkan keupayaan produk-produk masakini di samping menghasilkan produk-produk baru yang belum wujud sebelum ini. Peranti sel solar telah lama dibangunkan dan telah diguna secara komersial sama ada dalam bidang penjanaan tenaga elektrik sehinggalah keperanti-peranti elektronik. Bagaimanapun dengan perkembangan dan permintaan teknologi yang mendesak termasuk kesedaran dalam teknologi hijau dan pembangunan pembuatan kereta bertenaga solar memerlukan keupayaan sel solar yang tinggi. Kini inovasi dalam bidang ini amatlah diperlukan. Teknologi fabrikasi, reka bentuk dan penggunaan bahan berfungsi masa kini dilihat tidak dapat memenuhi permintaan ini.
Oleh itu, nanoteknologi diyakini akan mengambil tempat bagi meningkatkan keupayaan sel solar dengan pembangunan proses fabrikasi-nano, reka cipta dan yang lebih penting adalah penemuan bahan-nano yang telah menunjukkan keupayaan yang amat menyakinkan. Sel solar yang dibangunkan berasaskan teknologi nano dijangkakan meningkatkan keupayaan sehingga sekitar 40 peratus. Produk kosmetik merupakan bidang yang paling banyak menggunakan inovasi dalam teknologi nano. Produk-produk pemutih kulit, antipenuaan, antikedut ,pencuci muka dan lain-lain produk telah banyak dipasarkan dan mendapat permintaan amat menggalakkan. Sesetengah produk masih menggunakan bahan aktif yang sama tetapi telah diinovasikan berasaskan nanoteknologi. Pengenalan konsep pengangkut dalam industri kosmetik berasaskan nanoteknologi merupakan asas inovasi produk-produk kosmetik. Pengenalan pengangkut bersaiz-nano merupakan inovasi paling berpotensi. Dengan nanoteknologi sistem pengewapan bagi membuka liang rongga kulit tidak diperlukan tetapi memadai hanya menyapu krim yang mengandungi pengangkut-nano dan ia akan masuk ke bawah lapisan kulit.
Selain industri kosmetik, penggunaan nanoteknologi amat berpotensi dalam bidang farmaseutikal. Ia juga berasaskan kepada idea masa kini yang telah dihasilkan semula berasaskan nanoteknologi dengan keyakinan akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penggunaannya. Sistem pengangkut ubatan dalam badan telah mula digunakan dengan pengenalan pengangkut-nano. Dengan penyalutan ubatan pada partikel bersaiz-nano atau pembungkusan ubatan pada saiz nano akan meningkatkan keberkesanan penggunaan ubatan di samping mengurangkan lebihan ubatan yang tidak digunakan melalui pelepasan terkawal. Sistem pengangkut-nano dalam perubatan dijangka akan lebih maju lagi dengan jangkaan akan memperkenalkan sistem pengangkut-nano yang boleh dikawal melalui komputer. Oleh itu ia akan ditujukan terus dengan lebih tepat kepada bahagian yang dikenal pasti. Bidang pertanian merupakan aktiviti warisan dan kekuatan kepada negara.
Usaha-usaha untuk menjadikan pertanian sebagai satu bidang yang lebih bermanafaat telah banyak dijalankan. Selain menerapkan konsep pertanian satu perniagaan, konsep inovasi juga mestilah diambil berat dalam industri pertanian. Inisiatif tersebut amat diperlukan untuk terus memartabatkan lagi bidang pertanian sebagaimana di negara-negara Eropah dan negara maju yang lain. Oleh itu, nanoteknologi dilihat sebagai salah satu alternatif bagi inovasi dalam bidang pertanian. Walaupun secara amnya persepsi bahawa aplikasi nanoteknologi kebanyakannya tertumpu kepada aplikasi elektronik dan komunikasi namun sebenarnya ia mempunyai keupayaan amat besar dalam inovasi pertanian. Pengenalan baja pelepasan perlahan berasaskan nanoteknologi dijangka akan meningkatkan hasil sebanyak dua puluh peratus. Kawalan racun perosak menggunakan nanoteknologi meningkatkan keberkesanan kawalan. Persekitaran dan perubahan iklim yang tidak menentu memerlukan pemantauan secara lebih tepat, dengan menggunakan penderia-nano yang berupaya memberi maklumat dengan lebuh tepat.
Industri penghasilan produk makanan telah lama berkembang dengan pelbagai teknologi. Namun ia akan mendapat lebih faedah dari inovasi berasaskan nanoteknologi iaitu meliputi penghasilan makanan, pembungkusan makanan dan keselamatan makanan. Rasa makanan akan lebih sedap apabila saiz butiran kandungan pada tahap nanometer misalnya coklat dan aiskrim akan rasa lebih sedap dan mesra lidah. Pembungkusan makanan menggunakan pembungkus bersalut lapisan nano akan memastikan kesegaran makanan akan lebih lama. Selain itu juga, sistem keselamatan terutamanya pencemaran bahan kimia dan lain-lain pencemaran berbahaya dapat dikesan pada ketepatan tinggi dengan menggunakan peranti penderia-nano. Selain itu, banyak lagi inovasi berasaskan nanoteknologi telah diperkenalkan bagi peralatan kegunaan seharian. Ini termasuk penghasilan kaca bersih-sendiri, penapis air nano yang dapat memberi kualiti air yang lebih bersih, permukaan bebas bakteria melalui salutan-nano, penapis udara-nano berkualiti tinggi dan banyak lagi produk masa kini Inisiatif bagi menggalakkan penyelidikan dan pengkomersialan produk berinovasi berasaskan nanoteknologi patutlah dilihat dan diberi perhatian sebagai salah satu alternatif yang berkesan. Ia bersesuaian dengan saranan Perdana Menteri bagi menterjemahkannya dalam agenda inovasi negara dan MBE.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan