JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 November 2011

ISU ICT : PERMAINAN VIDEO BAIK UNTUK KANAK-KANAK?

Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN


Bagi ibu bapa yang selama ini memandang serong terhadap permainan video, tentu kenyataan bahawa permainan video dapat memberi kesan positif kepada kanak-kanak sukar diterima oleh mereka. Masakan tidak, jika anak-anak mereka sebelum ini sering mengabaikan kerja rumah, malas membantu ibu di rumah, malas bersukan atau kerap ponteng sekolah - semuanya dek kerana terlalu asyik dengan permainan video, tentu kenyataan itu dibantah sekeras-kerasnya. Bagaimanapun, mereka harus bertenang kerana apa sahaja perbuatan yang dilakukan secara berlebihan, termasuk bermain video boleh mendatangkan keburukan tetapi jika ia dilakukan mengikut kawalan, tentu ia boleh memberi kebaikan. Kajian demi kajian yang dijalankan ke atas pemain video menunjukkan sememangnya ia boleh memberi kesan positif seperti seseorang itu akan lebih cepat bertindak, cepat membuat keputusan, tahap kesedaran tinggi, fikiran lebih tenang dan sebagainya. Kajian terkini oleh pelajar dari Michigan State University (MSU), Amerika Syarikat (AS) menambahkan lagi kesan positif ke atas pelajar yang bermain permainan video - iaitu lebih kreatif.

Menurut kajian ke atas para pelajar berusia 12 tahun itu, lebih banyak permainan video yang dimainkan oleh kumpulan kanak-kanak itu, kreativiti mereka juga didapati semakin meningkat. Walaupun tidak dapat dinafikan terdapat laporan yang menyatakan kanak-kanak yang bermain permainan ganas seperti Mortal Kombat boleh menjadi kurang sensitif dan agak agresif, tetapi laporan itu harus diimbangi juga dengan kesan positif. Kajian yang dijalankan oleh Yayasan Sains Kebangsaan AS itu dijalankan oleh penyelidik dari MSU ke atas 491 pelajar pertengahan bagi menguji daya kreativiti mereka menggunakan alat ujian Torrance Test of Creativity-Figural. Kanak-kanak yang bermain permainan video lebih cenderung untuk menjadi lebih kreatif, tidak kira sama ada permainan yang ganas atau tidak ganas. Jadi, permainan tidak ganas juga berkemungkinan akan menghasilkan kesan yang sama kepada kanak-kanak - asalkan mereka sentiasa melibatkan diri.

Menariknya, kajian mendapati penggunaan telefon bimbit, melayari laman web, dan penggunaan komputer yang bukan berkaitan permainan tidak menyumbang kepada peningkatan kreativiti. Ketua penyelidik, Linda Jackson, seorang profesor Psikologi di MSU berkata, penemuan menggalakkan untuk para pereka permainan video mengenalpasti aspek-aspek kreatif dalam permainan video. Apabila mereka berbuat demikian, permainan video boleh direka untuk mengoptimumkan pembangunan kreativiti di samping mengekalkan unsur hiburan supaya generasi baru permainan video akan mengaburkan perbezaan antara pendidikan dan hiburan. Jadi adakah permainan video memberi kesan buruk kepada anda? Itulah yang mereka katakan bergembira dan berseronok. Bermain permainan video mempunyai beberapa kesan buruk.. tetapi bukan semuanya keburukan dan teruk. Satu lagi kajian menunjukkan permainan video yang santai akan membuatkan pemain sentiasa gembira.

Kajian itu menunjukkan bahawa permainan video santai seperti Endless Ocean, akan menyebabkan pemain berasa gembira dan lebih suka bergaul berbanding jika bermain permainan video yang ganas. Walaupun anda mungkin mempunyai senyuman yang lebar di muka seperti meniup api ke atas lawan anda apabila bermain Halo, anda sebenarnya akan lebih gembira jika bermain Endless Ocean, kerana boleh berinteraksi dengan hidupan laut. Menurut Profesor Kominukasi dan Psikologi, Ohio State University, Brad Bushman yang telah menjalankan dua kajian, bermain video secara santai dan permainan video yang tidak ganas akan menyebabkan pemain sentias berada dalam 'mood' yang lebih baik dan pandai bergaul, berbanding mereka yang bermain permainan video yang ganas. Kajian melibatkan sekumpulan 150 pelajar di Ohio untuk bermain tiga jenis permainan Wii selama 20 minit - yang santai seperti Endless Ocean, yang natural seperti Super Mario Galaxy dan yang ganas seperti 4 Evil Residen. Dalam kajian kedua, sekumpulan 116 pelajar telah diminta sekali lagi untuk memainkan salah satu daripada tiga jenis permainan dalam masa 20 minit, dan kemudian lengkapkan soal selidik yang diberi mengenai mood mereka. 


Mereka yang memainkan permainan yang santai merasakan diri mereka mendapat lebih kebahagiaan, kasih sayang dan kesan emosi yang positif, berbanding dengan orang lain yang bermain permainan ganas. Permainan video yang santai akan membuatkan orang berada dalam mood yang baik dan apabila orang berada dalam mood yang baik, mereka lebih cenderung untuk membantu orang lain, dan itulah yang lebih baik untuk semua orang.




SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 NOVEMBER 2011


Tiada ulasan: