18 Oktober 2011

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN ADIL DAN SAKSAMA

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


PULAU-PULAU AEOLIAN 
DAN STROMBOLI DI ITALI

Apabila  kerajaan mengumumkan pelajar sekolah rendah dan menengah menikmati pendidikan percuma mulai sesi persekolahan tahun depan, sejarah pendidikan negara tercipta, sekali gus menjengah frasa baru. Pengumuman itu membuktikan keprihatinan kerajaan meringankan bebanan rakyat dan bagi jangka panjang melahirkan generasi berilmu serta berpengetahuan. Ia sekali gus memberi dimensi baru kepada sistem pendidikan negara yang pertama kali melaksanakan pendidikan percuma seperti dilaksanakan di negara maju. Justeru, apakah implikasi yang boleh dinikmati masyarakat rentetan pengenalan itu? Adakah pelaksanaannya tidak mengganggu gugat perjalanan sekolah secara total? Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim berkata, pengenalan itu akan menjadi perintis terhadap peningkatan taraf pendidikan dan sosial masyarakat menimba ilmu secara adil dan saksama. Beliau berkata, sistem itu melahirkan masyarakat berpendidikan tinggi terhadap pembudayaan ilmu. “Meskipun ada berpendapat pengenalan ini sebagai ‘alternatif’ kecil, sumbangannya besar jika ditafsirkan secara kolektif kerana membabitkan perjalanan institusi masyarakat dan pendidikan masa depan

“Kesannya bukan sekelip mata, namun implikasinya sangat besar dan bermanfaat. Masyarakat tidak lagi berdepan masalah keciciran atau diskriminasi dalam mendapat pendidikan. “Ia meningkatkan taraf hidup dan mewujudkan gaya berpengetahuan positif sebagai sumber penjanaan terpenting ekonomi dan sosial negara,” katanya. Bermula tahun depan, rakyat negara ini akan menikmati sesi persekolahan percuma apabila bayaran yuran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah dimansuhkan. Malaysia adalah negara tunggal di Asia Tenggara mencipta sejarah memperkenalkan sistem sekolah percuma yang mengikut langkah negara maju seperti Kanada dan Jepun . Penawaran itu membantu membangunkan sektor pendidikan negara dalam tempoh panjang dengan kaedah komprehensif dan kompetitif. Langkah itu juga, katanya, sebagai batu loncatan untuk menerapkan proses pembudayaan ilmu baru di kalangan masyarakat. Ia juga bukti negara mampu melonjakkan kecemerlangan dalam aspek penerapan ilmu pengetahuan tanpa sempadan dan kekangan bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat. “Pendidikan adalah ‘pemberian’ tanpa syarat kepada semua yang menjadi tonggak kesinambungan usaha negara dalam pembangunan masyarakat.

“Sistem ini ibarat isyarat kepada masyarakat supaya merebut peluang memperbaiki taraf hidup dan meninggikan penguasaan ilmu bagi memacu perkembangan ekonomi negara. “Justeru, implikasinya perlu dilihat dengan konteks lebih luas, bukan semata-mata gembira kerana kerajaan sudah memansuhkan pembayaran,” katanya. Beliau juga mengaitkannya sebagai satu aspirasi berani kerajaan yang prihatin terhadap perubahan dunia pendidikan global yang kini banyak menumpukan kepada pendidikan dan kehidupan seimbang. “Perubahan ini menjadi lonjakan paradigma baru bagi dunia pendidikan masa kini. Dibandingkan dulu, segalanya mengikut aturan tertentu yang tidak menjurus kepada kebajikan menyeluruh. “Pendekatan ini membuktikan kerajaan peka dan mempunyai aspirasi baru mencorakkan sistem pendidikan negara. Bukan mudah, namun masih sanggup melakukan,” katanya. Ditanya mengenai implikasi kepada sekolah sama ada boleh mengganggu perbelanjaan, beliau berkata, setiap sekolah disediakan peruntukan namun pada masa sama perlu aktif mencari sumber perbelanjaan lain. Menurutnya, dalam menjana keperluan institusi, kerajaan tidak boleh membantu sepenuhnya dan memerlukan sokongan pihak tertentu seperti ibu bapa.

“Apabila sistem ini diperkenalkan, bukan bermakna sekolah menanggung bebanan akibat kekangan kewangan keseluruhan kerana kerajaan sudah menyediakan peruntukan asas setiap tahun. “Sekolah boleh mengadakan aktiviti atau program tertentu asalkan tidak membebankan. Saya percaya ibu bapa tiada masalah asalkan untuk kebaikan. “Jangan jadikan sistem ini sebagai isu atau konflik yang boleh menggoyahkan institusi sekolah tapi lihat kepada keperluannya mewujudkan masyarakat berpengetahuan dinamik,” katanya. Katanya, sistem pengenalan ini wadah baru kerajaan membudayakan proses intelektual ilmu di kalangan masyarakat dan pengharapan terhadap kejayaannya sudah pasti tinggi. “Sebelum ini banyak pengenalan baru dilaksanakan, namun implementasi kurang sempurna menjadikan perjalanannya agak kucar-kacir. “Justeru, pihak bertanggungjawab perlu memastikan apa dicanangkan itu mampu direalisasikan dengan baik bagi mengelak konflik atau salah faham,” katanya. Masyarakat pula perlu melihat pengenalan sistem ini langkah optimis melonjakkan pencapaian negara memartabatkan sektor pendidikan. “Pendidikan adalah asas kelangsungan hidup sepanjang hayat dan pembaharuan diperkenalkan usaha jitu bagi melahirkan masyarakat dinamik yang mampu meneroka lebih jauh pada masa depan. “Sistem ini anjakan paradigma alaf baru bagi melonjakkan lagi integriti sektor pendidikan negara ke peringkat global,” katanya.

INFO PENTING UNTUK ANDA

Sistem persekolahan percuma sudah lama diperkenalkan di negara maju iaitu pada zaman Renaissance di Amerika Syarikat.

Pada akhir kurun ke-19, menjadi satu tanggungjawab kepada kerajaan menyediakan sistem persekolahan percuma di Amerika Syarikat dan kemudian diperluaskan ke seluruh dunia mulai 1920-an.

Antara negara lain di dunia yang turut mewujudkan sistem persekolahan percuma termasuk Finland, Jerman, Norway, Greece, Argentina dan Sri Lanka.

SUMBER
HARIAN METRO
17 OKTOBER 2011


ISU SERANTAU : CAMAR BULAN, MEREKA MENCAPLOK DIRI SENDIRI

Nurani


ISTANA NEUSCHWANSTEIN DI PERANCIS

"HAMKA lahir di sini tapi Malaysia yang punya," kata-kata daripada Hanif Rasyid, penjaga Muzium Kelahiran Hamka yang juga rumah ulama dan penulis agung di danau Maninjau, Bukti Tinggi, Sumatera itu mempunyai banyak maksud tersirat. Kalimat penutup yang meluncur laju daripada mulut Hanif semasa taklimat kepada rombongan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) ke tanah orang Minang ini bulan lalu seperti menggambarkan kekecewaan Hanif. Daripada nada suara Hanif memang tergambar beliau kecewa dengan layanan pemerintah Indonesia terhadap Hamka semasa itu. Hanif yang mempunyai pertalian darah dengan Hamka merujuk bahawa ilmu, pemikiran dan karya-karya Hamka lebih diterima di Malaysia. Selain diagungkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), karya-karya intelek Hamka juga diterbitkan di Malaysia antaranya, Di bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck. Dalam konteks sekarang, mungkin begitulah kekecewaan yang dirasai oleh penduduk Indonesia yang tinggal di sempadan khususnya di perbatasan Sarawak-Kalimantan. Sukar disangkal, mereka berasa lebih dekat dengan Malaysia. Apakan tidak, sumber kehidupan mereka banyak bergantung dari sempadan sebelah sini.

Mereka juga menikmati subsidi daripada bekalan makanan, minyak dan gas yang diseludup. Malah jika ditanya penduduk Indonesia di perbatasan ini, mereka berbangga dengan apa yang ada di balik sempadan. Ramai yang merantau - secara sah atau haram - untuk mencari rezeki di sebelah sini. Begitulah kehidupan mereka yang hidup aman damai sejak turun temurun. Dan semasa hiruk-pikuk isu batas sempadan di Jakarta, penduduk di kampung yang dikaitkan dengan isu tersebut tidak tahu menahu pun. Ketika kumpulan penunjuk perasaan menggegar pagar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, penduduk di Desa Temajuk tenang-tenang sahaja. Ramai yang hairan dan terpinga-pinga dengan amarah kumpulan Forum Betawi Rempug (FBR) dan Laskar Merah Putih (LMP). Ada apa dengan mereka? Bahasa yang digunakan begitu mengusik perasaan - Malaysia mencaplok tanah Indonesia. Kita tidak biasa menggunakan perkataan caplok walaupun mengikut Kamus Dewan ia bermaksud mengambil hak orang (harta, negeri), merampas atau merebut. Media termasuk arus perdana mereka pun mempromosikan provokasi ini di luar batas keperluan. Daripada laporan-laporan berita dan analisis mereka, tercium niat dan sentimen untuk memburuk-burukkan Malaysia.

Mujur Malaysia tidak ikut melatah. Mujur pak menteri dan pasukan tentera mereka segera membuat penegasan berulang kali bahawa isu pencaplokan tidak wujud. Mujur penghinaan tidak dibalas dengan penghinaan. Inilah mungkin hikmah yang boleh dipelajari bahawa negara demokrasi dan media bebas bukan jaminan kebenaran boleh ditegakkan. Memang aneh, mereka yang membuat dakwaan tetapi menteri mereka sendiri yang bersungguh-sungguh menafikan berita itu, malah sampai ke peringkat membela pula. Tenyata dakwaan Malaysia merampas tanah Indonesia yang digemakan oleh Timbalan Ketua Suruhanjaya 1, Dewan Perwakilan Rakyat, Tb Hasanuddin itu tidak benar. Tiada tanda batas yang dialih seperti didakwa oleh Ahli Parlimen daripada parti pembangkang Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) itu. Lawatan Ahli-Ahli Parlimen ke kawasan itu pada Sabtu dan Ahad lalu juga tidak menemukan kejanggalan terhadap batas wilayah Indonesia-Malaysia. Apa yang berlaku sebenarnya ialah batas sempadan itu telah dipersetujui melalui perundingan oleh kedua-dua buah negara di Semarang pada 1978. Tentu sekali perjanjian yang ditandatangani itu mempunyai asasnya sendiri. Kalau tidak, mana mungkin dipersetujui oleh pemerintah Indonesia.

Kesepakatan itulah yang dibangkitkan oleh parti pembangkang Indonesia. Kata mereka, batas sempadan berbeza dengan peta zaman penjajahan Belanda keluaran 1891 dan Traktat London pada 1824. Mereka mendakwa terdapat selisih 1,499 hektar tanah di Camar Batu. Jadi, isunya bukan Malaysia mencaplok tanah Indonesia tetapi batas sempadan itu dipersetujui secara rundingan antara kedua-dua buah negara. Apakah susahnya jika mereka mahu perjanjian itu dibincangkan semula? Mintalah pihak pemerintah Indonesia untuk mengkaji semula sempadan itu, bukan menggegar rumah Malaysia. Bukan dengan cara menghina dan menyakiti hati rakyat Malaysia. Setelah banyak pihak membuat tinjauan perbatasan yang dipertikaikan, semuanya telah jelas tiada caplok mencaplok. Cuma mungkin ada pihak yang berkhayal ingin mencaplok bangsa dan negaranya sendiri. Seperti juga perasaan yang dialami oleh Hanif yang kecewa kerana pemerintah meminggirkan Hamka, begitu jualah perasaan penduduk di Camar Batu mahupun di sempadan lainnya. Mereka sangat mengharapkan pemerintah untuk lebih prihatin terhadap keperluan penduduk. Alangkah baiknya jika Ahli-Ahli Parlimen itu lebih mengutamakan kesejahteraan penduduk di wilayah sempadan tersebut. Sepatutnya usaha ditumpukan untuk membangunkan kawasan sempadan. Contoh mudah mewujudkan homestay di sebelah Malaysia serta Indonesia. Buatlah promosi bersama bukan menyemai perasaan benci membenci.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
18 OKTOBER 2011


ISU ANTARABANGSA : DEMONSTRASI JALANAN ALA OCCUPY WALL STREET GUGAT NEGARA BARAT

Pentas Dunia


TASIK BAIKAL, RUSSIA

Demonstrasi  jalanan ala Occupy Wall Street yang asalnya bermula di Sepanyol dan dikenali sebagai Indignants kini merebak bukan sahaja di Eropah tetapi juga ke Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara maju lain termasuk ke Australia, Hong Kong dan Jepun. Sejak ia bermula di Sepanyol pada 15 Mei lalu di Puerta del Sol, Madrid ia terus merebak ke negara-negara maju yang lain. Sekali gus fenomena itu menggambarkan kepincangan ekonomi, sosial, pentadbiran dan ketidakadilan di negara-negara maju. Jika Asia Barat dan dunia Arab dilanda protes, rusuhan dan pemberontakan sejak ia bermula di Tunisia pada 17 Disember lalu, kini negara-negara maju turut dilanda kemelut serupa, rusuhan ala Indignants dan Occupy Wall Street. Paling menarik ia kini turut merebak di negara paling maju di dunia dan negara yang mendakwa 'raja segala-segalanya' - Amerika Syarikat. Mungkin ramai yang tidak mengetahui 'demonstrasi ekonomi' yang sedang melanda negara-negara maju dan AS sekarang, kerana cara media Barat melaporkannya secara amat sederhana, bersahaja dan tanpa mensensasikannya sehingga ramai yang tidak menyedari betapa seriusnya situasi demonstrasi itu.  Di AS sendiri, demonstrasi anti- Wall Street yang dirancang diadakan secara aman bertukar menjadi ganas dan lebih 700 orang telah ditahan, begitu juga di Itali kelmarin apabila demonstrasi bertukar menjadi ganas dan rusuhan.


Jika di dunia Arab dan rantau Asia Barat, protes, rusuhan dan pemberontakan yang berlaku bertujuan untuk membawa pembaharuan, kerana kebanyakan rakyat di negara-negara terbabit dahagakan pembaharuan dalam politik dan demokrasi, selain kesempitan hidup, ekoran kadar pengangguran yang tinggi dan kos kehidupan yang tinggi. Kini negara maju pula dilanda demonstrasi rakyatnya yang ingin meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan, keadaan ekonomi yang teruk termasuk di AS, pengangguran yang tinggi dan ketidakadilan sosial. Apa yang menarik AS dan Barat sering mengkritik tindakan kekerasan oleh pihak berkuasa di negara-negara Arab bagi mengekang pemberontakan, tetapi AS dan Barat juga tidak ada bezanya, turut menggunakan pendekatan serupa bagi menangani demonstrasi di negara mereka. Kini AS dan negara-negara maju terpaksa melalui pengalaman yang sama seperti yang sedang dilalui oleh beberapa negara Arab akibat demonstrasi, protes dan rusuhan di negara mereka dan cara mereka menanganinya juga tidak ada bezanya, cuma bezanya mungkin cara mereka melaporkan insiden itu sahaja yang agak berlainan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
18 OKTOBER 2011


ISU WANITA : USAHAWAN WANITA KE PERINGKAT GLOBAL

Oleh NURUL ANUAR KARI


PUNCAK BERBATU WULINGYUAN, CHINA

Wanita memang sudah lama dikenali sebagai tulang belakang gerakan keusahawanan di negara ini, sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Namun, usahawan wanita dilihat masih sukar mencapai tahap perkembangan yang diharapkan kerana belum melangkah melangkaui perniagaan kecil dan sederhana. Demi membawa usahawan wanita ke tahap lebih tinggi, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (Usahanita) akan mengorak langkah besar menonjolkan kemampuan wanita tempatan ke peringkat global. Usahanita dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Himpunan Pengusaha Pribumi Indonesia (HIPPI) akan menganjurkan Konvensyen Antarabangsa Wanita Dalam Perniagaan Pertama (1WBC) bermula 25 hingga 27 Oktober ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka. Dengan tema 'Transformasi Perniagaan Wanita melalui Inovasi', isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan menyampaikan ucaptama dan merasmikan program tersebut yang akan menyediakan sebuah platform dan peluang untuk semua usahawan wanita seluruh dunia bertemu. 


Program ini merupakan susulan daripada Memoradum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Bandung pada 28 Januari lalu antara Usahanita dan HIPPI dan dapat dilaksanakan dengan kerjasama HIPPI, Kerajaan Negeri Melaka dan juga Pusat Kecemerlangan untuk Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (CESMED). Di samping memperakui peranan usahawan wanita yang telah banyak menyumbang kepada ekonomi negara dan juga kemakmuran keluarga, 1WBC akan membolehkan mereka berkongsi dan seterusnya menjalinkan kerjasama perniagaan dan jaringan perniagaan global. Kira-kira 25,000 ahli Usahanita dan lebih 50,000 usahawan wanita seluruh dunia dijangka akan menerima manfaat secara langsung atau tidak langsung daripada aktiviti di pameran dagangan 1WBC, di samping berkongsi pengalaman, ilmu dan idea daripada ucapan panel persidangan dari seluruh dunia. Antara negara yang akan turut serta memberi ucapan sepanjang konvensyen 1WBC termasuk dari Amerika Syarikat, Jerman, Hong Kong, Australia, Nepal, Indonesia, Brunei, Singapura, Afrika Selatan dan Filipina. Para peserta 1WBC juga bertuah kerana berpeluang menghadiri sesi syarahan makan tengah hari bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari kedua persidangan. 


Persidangan ini bukan sahaja akan mengambil kira usahawan tempatan dan antarabangsa malahan koperasi, akademia, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), belia dan usahawan muda. Selain majlis menandatangai MoU antara pihak-pihak yang akan bekerjasama, peserta juga berpeluang menyertai klinik perniagaan bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan. Pameran dagangan pula akan membolehkan para usahawan bukan sekadar mendengar, tetapi juga berinteraksi dengan pengusaha global dalam mencari bahan mentah atau yang sudah siap diproses, seterusnya diinovasikan dari secara pembungkusan dan pemasaran. Presiden Usahanita Malaysia, Faridah A. Jabbar memaklumkan, sasaran penyertaan 1WBC semakin hampir dicapai dengan sekitar 500 peserta persidangan dan 200 pameran dagangan semakin dipenuhi usahawan wanita tempatan. "Antara sasaran 1WBC adalah menyediakan landasan untuk peniaga dan usahawan bertemu dan berinteraksi, menjalin jaringan strategik di peringkat tempatan dan global serta mempelajari amalan terbaik dari satu sama lain. "Mereka juga boleh mempamerkan barangan dan perkhidmatan berkenaan wanita di bawah satu bumbung bagi tujuan promosi serta mendorong kepada transaksi dengan usahawan atau pembeli dalam dan luar negara," jelasnya. 


Beliau menegaskan, antara saaran paling penting yang mahu dicapai melalui 1WBC adalah untuk memperkasakan usahawan wanita supaya berpandangan jauh dan mempunyai cita-cita untuk meneroka dan menemui pasaran baru di peringkat global. Tambahnya, inisiatif mengadakan konvensyen itu juga pasti dapat membantu merealisasikan hasrat Bajet 2012 yang ketara banyak akan membantu usahawan dan peningkatan kapasiti keusahawan terutamanya di kalangan wanita, usahawan mikro serta industri kecil dan sederhana (IKS). "Tema untuk 1WBC diharap dapat melahirkan usahawan yang dapat menambah nilai dengan menceburkan diri atau memperkembangkan perniagaan mereka berlandaskan inovasi. "Hasrat kerajaan untuk memperkasakan wanita melalui aktiviti keusahawanan juga sudah tentu dapat dicapai hasil 'limpahan' penganjuran program sebegini," ujarnya. Menurutnya lagi, melalui tabung Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), sudah tentu dapat mengurangkan beban akses kepada dana yang menjadi halangan tradisi bagi usahawan wanita memajukan perniagaan mereka. 


"Bagaimanapun, kita berharap lebih banyak syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi berkaitan turut serta dan menaja program ini. Mungkin ada antara mereka yang belum nampak keistimewaan konvensyen 1WBC ini," katanya. Penasihat 1WBC yang juga Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM), Dr. Hasan Mad pula berpendapat pihak penganjur persidangan tersebut telah mencapai kejayaan awal apabila dapat menarik penyertaan beberapa tokoh ternama termasuk bekas Tun Dr. Mahathir dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam. "Idea persidangan sebegini bukan berakhir di sini dan akan menjadi agenda dwitahunan negara-negara anggota dengan penganjuran berikutan pada 2013 akan berlangsung di Indonesia. "Sebelum ini, program seperti 1WBC dianjurkan agensi-agensi kerajaan tetapi kali ini dianjurkan sendiri NGO yang mewakili usahawan wanita. "Usahawan wanita perlu berbangga dengan kemampuan mereka dalam menjayakan 1WBC kerana ia merupakan satu tapak besar ke arah membawa mereka ke peringkat global. Oleh itu, beliau berharap warga korporat dan agensi kerajaan berkaitan dapat memberi sokongan penuh terhadap menjayakan dan mencapai sasaran 1WBC agar menjadi platform terbaik untuk membentuk jaringan kerjasama usahawan wanita seluruh dunia. Maklumat lanjut 1WBC boleh diperolehi dengan menghubungi sekretariat penganjur di talian 03-89416442, melalui e-mel 1wbc2011@gmail.com atau dengan melayari laman web www.usahanita.org.my.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
18 OKTOBER 2011


17 Oktober 2011

ISU SOSIAL : PROGRAM PERUMAHAN 1MALAYSIA BUKTI KERAJAAN PRIHATIN


KUIL KARNAK, DI EGYPT

Impian  yang menjadi kenyataan, begitulah reaksi 560 pemohon yang berjaya dalam undian Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di Presint 11, Putrajaya kelmarin. Mereka adalah antara lebih 7,000 pemohon pertama skim perumahan rakyat itu yang diilhamkan oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Bagi yang gagal, mereka masih ada peluang untuk memohon semula kerana lebih banyak projek PR1MA akan dilaksanakan kerajaan pada masa akan datang. Sejajar dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, program berkenaan menyasarkan golongan berpendapatan sederhana, di kawasan bandar dan pinggir bandar. Ketika ini, sebahagian besar golongan berkenaan di kawasan bandar didapati bukan saja terpaksa menanggung kos kehidupan yang tinggi, malah tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana harganya yang terlalu tinggi. Mereka juga tersepit di tengah-tengah kerana tidak layak memohon rumah kos rendah yang diperuntukkan untuk golongan berpendapatan rendah. Kita percaya program yang dilancarkan oleh Perdana Menteri itu sudah tentu sesuatu yang dinanti-nantikan oleh golongan berpendapatan sederhana ini, yang kebanyakannya terpaksa ‘mengikat perut’ kerana terpaksa membayar kadar sewa rumah dan kos pengangkutan yang tinggi di kawasan bandar.

Pada tahun ini sebanyak 1,880 unit rumah di bawah skim berkenaan akan dibina di Putrajaya dan Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, sementara 7,700 unit lagi akan dibina pada tahun depan di Cyberjaya, Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja di Klang. Harga rumah yang ditawarkan juga dalam lingkungan kemampuan golongan sederhana iaitu di antara RM120,000 dan RM150,000 seunit berbanding harga pasaran yang lebih tinggi. Pada masa ini, terdapat jurang besar dalam pembinaan rumah kos sederhana di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru memandangkan pemaju lebih suka membina projek sederhana-tinggi dan tinggi bagi meraih keuntungan besar. Hakikatnya, pelancaran PR1MA itu memberi peluang kepada golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri dengan cara lebih mudah termasuk tawaran pinjaman fleksibel oleh institusi kewangan. Tempoh bayaran balik yang dilanjutkan sehingga 30 tahun juga sudah tentu dapat membantu meringankan beban pembeli, menjadikannya sebagai program yang begitu dekat di hati rakyat. Ini membuktikan kerajaan bukan sekadar berjanji kosong atau melakukannya hanya atas kepentingan politik semata-mata.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
17 OKTOBER 2011


ISU UMUM : PEMBANGUNAN BAKAT PERLU MENYELURUH

Oleh NIZAM YATIM


SAGRADA  FAMILIA,  SEPANYOL

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan penubuhan Perbadanan Bakat (TC) yang berperanan meneraju inisiatif menarik 700,000 rakyat Malaysia berkemahiran tinggi yang kini bekerja di luar negara untuk pulang berkhidmat di tanah air. Susulan itu, pada Januari 2011, perbadanan berkenaan telah memulakan operasi secara rasmi dengan lepasan Universiti Cambridge, Johan Mahmood Merican telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya. Perbadanan terbabit turut bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan perwakilan Malaysia di luar negara bagi menarik ekspatriat dan diaspora Malaysia untuk menetap dan bekerja di negara ini. Bagaimanapun, segala perancangan yang dibuat oleh perbadanan itu masih lagi mempunyai kelemahan yang perlu diatasi bagi memastikan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi tercapai. Menyentuh perkara itu, Pengarah Pusat Pembelajaran Futuristik, Kreativiti dan Inovasi (FLCCI), Prof. Dr. Abd. Rahim Abd. Rashid berkata, kelemahan dasar sedia adalah ia tidak memberikan tumpuan untuk membangunkan bakat secara menyeluruh. Beliau berkata, sudah sampai masanya kerajaan memberi tumpuan untuk membangunkan bakat dalam segenap aspek termasuk di luar daripada sektor pekerjaan dan kerjaya seperti bidang pendidikan, institusi keluarga dan politik.

''Misalnya dalam bidang politik, pembangunan bakat adalah amat penting bagi memastikan ahli politik kita menjadi pemimpin yang lebih baik sesuai dengan status kita sebagai negara maju pada masa depan. Salah satu syarat untuk memastikan kita mempunyai ahli politik terbaik ialah memastikan mereka mereka mempunyai kelulusan akademik tertinggi sekurang-kurangnya di peringkat universiti. ''Sekarang bukan masanya mereka yang tidak berpelajaran atau lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi ahli politik kerana ia tidak sesuai dengan status kita sebagai sebuah negara maju," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau berkata, ahli politik berkelulusan tinggi dan berbakat mampu membawa lebih banyak perubahan kepada masyarakat kerana mereka lebih kreatif dan inovatif berbanding yang tidak berpendidikan tinggi yang kebiasaannya hanya mengikut segala dasar yang telah ditetap kerajaan walaupun ia telah lapuk. Dalam pada itu, katanya, pembangunan bakat di institusi pengajian tinggi juga perlu diberi tumpuan bagi memastikan tidak wujud 'diskriminasi' terhadap modal insan berkemahiran tinggi sehingga menyebabkan mereka berhijrah ke luar negara. ''Sebelum kerajaan meningkatkan had umur persaraan kepada 60 tahun, para pensyarah yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) dari luar negara perlu bersara pada usia 55 tahun dan bagi saya ini adalah pembaziran bakat kerana mereka sebenarnya masih kuat untuk bekerja," ujarnya.

Beliau juga mencadangkan peraturan lapuk yang menghalang golongan berbakat untuk menonjolkan daya kreativiti dan inovasi mereka dihapuskan. ''Orang berbakat tidak boleh bekerja dalam persekitaran yang bersifat rutin dan mereka juga tidak suka majikan memutuskan kenaikan pangkat dan tangga gaji seseorang itu berdasarkan berapa lama dia bertugas dan bukannya berasaskan prestasi kerja," katanya. Sementara itu, Abd. Rahim memberitahu, FLCCI akan menganjurkan Seminar Nasional Pembangunan Talent Abad Ke-21 di Malaysia pada 25 dan 26 Oktober ini bagi membincangkan pembangunan bakat secara menyeluruh di negara ini. Seminar yang akan diadakan di Rumah Universiti, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur melibatkan pembentangan 12 kertas kerja yang meliputi tajuk-tajuk berkaitan pembangunan bakat dalam bidang seni, muzik, sukan, sains serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Pembentang kertas kerja terdiri daripada kalangan pensyarah universiti dan wakil agensi kerajaan. Segala pandangan pembentang kertas kerja dan para peserta akan dipanjangkan kepada agensi kerajaan berkaitan untuk tindakan lanjut. Orang ramai yang berminat untuk menghadiri seminar berkenaan boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 03-61502252 atau 012-2457793. Yuran penyertaan yang dikenakan adalah sebanyak RM450 yang meliputi kertas kerja dan fail peserta, sijil penyertaan serta makan dan minum.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 OKTOBER 2011


ISU UMUM : TRANSFORMASI PENERBANGAN NEGARA

Oleh ZULKIFLI JALIL


IMAN MEIDAN-E DI ISPAHAN, IRAN

Laporan buletin suku pertama 2011 Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa merungkaikan bahawa Malaysia mencatatkan pertumbuhan dari segi penumpang suku pertama (perbandingan tahun ke tahun) sekitar 11.8 peratus. Peratus itu merupakan pertumbuhan yang sangat memberangsangkan jika dibandingkan dengan kadar pertumbuhan secara purata 4.3 peratus di dunia. Buletin itu mencoretkan lagi: "Pertumbuhan dalam industri penerbangan perlu disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, kestabilan politik dan bebas daripada malapetaka semula jadi dan buatan manusia. Faktor-faktor tersebut menentukan kesihatan perdagangan dan pergerakan manusia." Tambah buletin itu: "Kuala Lumpur mempunyai potensi tinggi untuk menjadi hab penerbangan serantau kerana bebas daripada bencana alam, mempunyai lapangan terbang moden yang disokong oleh penerbangan nasional iaitu Penerbangan Malaysia (MAS) dan penerbangan tambang murah AirAsia. "Dan yang paling penting memenuhi kestabilan politik dan ekonomi. Juga, Kuala Lumpur tidak pernah mengalami kudeta atau banjir besar seperti Bangkok dan Kuala Lumpur terletak di luar kawasan gempa bumi seperti di Jawa." Catatan buletin terkemuka itu menggambarkan betapa signifikannya majlis sambutan 100 tahun penerbangan Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Hangar 6, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.

Sejak penerbangan pertama di negara ini dilakukan oleh GP Fuller yang mendaratkan pesawat Antoinette Monoplane miliknya di lapangan lumba kuda di Ampang pada 1911, industri penerbangan negara terus mengalami transformasi membanggakan. Ia meletakkan industri penerbangan kita setaraf United Kingdom dan Amerika Syarikat. Diimbas sejarah penerbangan negara, era 1960-an menyaksikan perubahan dalam bidang pengangkutan udara. Penubuhan Malaysia pada 1963 membawa kepada penukaran nama Malayan Airways kepada Malaysian Airlines Limited (MAL). Dan sebagai penerbangan kebangsaan, MAL bertanggungjawab menghubungkan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak dengan Malaysia Barat iaitu Semenanjung dan Singapura. Melihatkan pentingnya integrasi di antara Borneo dan Semenanjung, maka Borneo Airways bergabung dengan MAL pada 1963 dan membeli lima pesawat F27. Berikutan kemerdekaan Singapura pada 1966, kerajaan Malaysia dan Singapura menjadi pemegang saham utama di dalam MAL, menyebabkan penukaran MAL kepada Malaysia-Singapore Airlines atau MSA. MSA memperkembangkan sayapnya dengan memulakan perkhidmatan ke Manila, Perth, Sydney dan Taipei. MSA turut menambah pesawatnya dengan pembelian tiga Boeing 707 dan dua F27 dan mendirikan ibu pejabatnya di Robinson Road, Singapura. Pada 1968, MSA memulakan penerbangan ke Tokyo dan Bali pada 1969.

Dalam masa setahun saja, MSA mengembangkan sayapnya ke Madras dan Colombo. Tahun 1971 merupakan cukup penting bagi MSA di mana pada tahun itu kerjasama di antara Malaysia dan Singapura berakhir. Perpecahan ini berikutan perbezaan pendapat di antara dua kerajaan. Begitu pun Malaysia Airline System atau MAS ada acuannya yang tersendiri. Pada 1972, ia terbang ke 34 destinasi domestik dan enam destinasi antarabangsa. Pada November 1972, MAS menjadi ahli Orient Airlines Association (OAA). Tahun berikutnya, dengan perkembangan yang pesat menyaksikan MAS menerbangkan dua juta penumpang. Pada tahun 1975, MAS memperkenalkan majalah Wings of Gold dan tahun berikutnya ia memasuki era informasi di mana MAS menggunakan teknologi komputer untuk operasinya. Pada 1985, melalui Dasar Penswastaan, MAS memasuki sektor korporat dengan menawarkan 70 juta saham untuk didagangkan. Dalam proses permodenan, MAS membina kemudahan membaiki dan membaik pulih pesawat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Pada tahun 1986, MAS memulakan servis untuk sektor Los Angeles, Amerika Syarikat dan pada akhir 1986, MAS menukar indentitinya kepada Malaysia Airline atau Penerbangan Malaysia. 


Bermula dari sini, Penerbangan Malaysia berkembang dan kini terbang ke 100 destinasi di seluruh dunia dan menggunakan pesawat-pesawat termoden di dunia. Penerbangan Malaysia juga dipilih untuk sebagai 10 penerbangan terbaik dunia dan dianugerahkan sebagai penerbangan lima bintang oleh Skytrax. Kini, menerusi KLIA, seramai 16,387,426 penumpang udara dikendalikan oleh lapangan terbang tersebut, tidak termasuk penumpang transit pada suku kedua 2011 berbanding 15,183,411 pada suku pertama 2011. Selain KLIA, Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang dan Langkawi merupakan lapangan terbang paling sibuk di negara ini. Dari segi kargo pula, sebanyak 220,642,141 kilogram dikendalikan lapangan terbang Malaysia pada suku kedua 2011 berbanding 210,964,798 kilogram pada suku pertama 2011. KLIA muncul sebagai salah sebuah lapangan terbang terbaik dunia dengan menduduki tangga kesembilan. Laporan suku tahun pertama 2011 Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa menyenaraikan KLIA sebagai antara 20 lapangan terbang paling sibuk di dunia. 


Bagaimanapun Kuala Lumpur masih di belakang Bangkok dan Singapura yang terkenal sebagai hab penerbangan utama untuk Asia Tenggara Industri penerbangan di mana-mana negara pun merupakan industri sensitif yang akan menerima implikasi besar sekiranya berlaku kegawatan ekonomi dan wabak penyakit berjangkit. Banyak kejayaan dengan rekod cemerlang ditempa industri penerbangan negara. KLIA tersenarai di lima teratas lapangan terbang di dunia serta terpilih empat kali bagi kategori lapangan terbang terbaik dunia. Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pula dipilih Pusat Penerbangan Asia Pasifik sebagai Lapangan Terbang Tambang Murah bagi 2006. MAS pula meraih lebih 100 anugerah pelbagai rekod amalan dan perkhidmatan sejak sedekad lalu. AirAsia pula mengalami kemajuan drastik dan kini memperluaskan liputan destinasi ke seluruh dunia. Terbaru pada 12 April lalu di Copenhagen, Denmark, KLIA dianugerahkan Perkhidmatan Imigresen Lapangan Terbang Terbaik Dunia pada Anugerah Lapangan Terbang Dunia Skytrax. Sebab itu majlis malam ini di Hangar 6, KLIA cukup signifikan kepada negara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 OKTOBER 2011


16 Oktober 2011

JADIKAN MOTIVASI UNTUK BERJAYA : ANAK PUNAN PERTAMA JADI PEGAWAI


Felicia Alow kelihatan teruja bercerita tentang bahasa ibundanya, bahasa Punan. “Nu denge maksudnya apa khabar, nu ngaro no ertinya apa nama kamu manakala piru umun no berapa umur kamu. “Oh ya, jangan lupa sebutkan tupu koman si setiap kali tiba waktu sarapan, makan tengah hari atau makan malam. Ayat itu bermaksud awak sudah makankah?” kata Felicia, anak kelahiran Rumah Panjang Nyipa di Kampung Kuala Pandan, daerah kecil Sebauh dalam Bahagian Bintulu, Sarawak. Kampung di tepi Batang Kemena, anak Sungai Rajang itu terletak kira-kira 40 minit menaiki kereta dari bandar Bintulu. Felicia, 28, merupakan anak Punan pertama yang menjawat jawatan bertaraf penguasa di Jabatan Imigresen. Sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pas Penggajian jabatan itu, Felicia bakal ditempatkan di Putrajaya - Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang memiliki bangunan serba moden. “Suasananya tentu sahaja jauh berbeza dengan penempatan masyarakat Punan yang sinonim dengan hutan dan sungai,” beritahu Felicia. Gadis lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) ini kelihatan segak dalam persalinan seragam putih Jabatan Imigresen. Berwajah manis, kulit Felicia putih bak telur dikupas. “Orang selalu salah sangka bila mengatakan saya seorang gadis Cina. Sebenarnya kebanyakan orang Punan memiliki ciri fizikal seperti saya,” katanya ketawa.

Dia ditemui di Akademi Imigresen Malaysia (AIMM) di Port Dickson, Negeri Sembilan semasa mengikuti kursus induksi selama tiga minggu baru-baru ini. Menurut Felicia, etnik Punan Sarawak yang berjumlah 50,000 orang adalah berbeza daripada kaum Penan walaupun kedua-duanya merupakan penghuni tebing sungai-sungai di negeri itu. “Penduduk Sarawak sendiri seperti di Miri dan Kuching masih ramai yang keliru tentang kaum Punan sedangkan kami sudah hampir 300 tahun menghuni tebing sungai berkenaan,” kata Felicia. Felicia anak keenam daripada lapan beradik. Katanya, walaupun suatu masa dulu memiliki anak yang ramai merupakan satu kebiasaan masyarakat Punan, generasi baharu kaum itu selesa mempunyai dua atau tiga orang anak sahaja.  “Setakat ini tuai rumah panjang di kampung saya memiliki paling ramai anak iaitu 10 orang,” katanya. Dari segi geografi, majoriti penempatan etnik Punan bertumpu di kawasan berhampiran bukit dan sungai. Aktiviti penduduk ialah berburu, mencari tumbuhan dan sayur di hutan selain menangkap ikan di sungai. “Kegiatan menanam padi diusahakan oleh setiap keluarga rumah panjang. “Malah, masyarakat Iban dan Melanau yang tinggal berjiran dengan kampung saya turut menanam padi,” katanya sambil memberitahu, aktiviti berburu sudah berkurangan sekarang.

“Tidak seperti kira-kira 25 tahun lalu yang menyaksikan pemburuan dilakukan secara meluas,” ujarnya. Oleh kerana kedudukan kampungnya berjiran dengan kaum Melanau dan Iban, Felicia dapat mempelajari bahasa kaum itu melalui kawan-kawannya. “Apabila berjumpa kawan Melanau, saya suka meniru cara mereka bercakap. Saya juga cuba berbahasa Iban semasa bertemu kawan-kawan Iban,” ujar Felicia yang menambah, bahasa Iban diajar di sekolahnya. Felicia turut bercerita mengenai tarian su’ei dan makanan kegemarannya, teleguk. “Tarian itu sedikit pelik tetapi merupakan satu tradisi kaum Punan. Teleguk pula ialah sejenis pulut yang dibungkus menggunakan daun palas sebelum dikukus,” katanya. Dia juga masih dapat mengingati wajah penduduk kampung yang bertelinga panjang kerana memakai subang yang besar dan berat. “Saya masih berpeluang melihat suasana seperti itu. Di kampung saya masih terdapat tiga wanita yang mempunyai telinga begitu. “Bagaimanapun, tiada orang muda yang mahu mengikut tradisi itu lagi. Mungkin zaman sudah berubah,” ujarnya. Kata Felicia, etnik Punan terbahagi kepada Punan Pedan, Bah dan Biau. Tiada perbezaan antara ketiga-tiga puak tersebut. Boleh dikatakan semua penempatan mereka bertumpu di kawasan berbukit dan berhampiran sungai.

Dia menambah, kini perkampungan Punan agak moden. “Rumah panjang sudah diubah suai dengan berlantaikan simen tetapi masih mengekalkan binaan kayu bagi dinding rumah. “Jalan masuk ke kampung saya juga telah diturap dengan tar manakala kemudahan elektrik banyak mengubah suasana perkampungan itu. “Dahulu, kami hanya menggunakan generator yang dihidupkan dari pukul 6 petang hingga 12 malam,” ceritanya. Sebagai sebahagian daripada kaum Dayak, terdapat juga orang Punan yang mahir dalam perubatan tradisional khususnya yang bercampur unsur mistik. “Mereka menggunakan kuasa tertentu untuk menyembuhkan penyakit,” katanya. Menurut Felicia, dalam satu upacara yang unik, tubuh pesakit termasuk mata akan ditutup sepenuhnya menggunakan kain sarung. “Pesakit akan dibaringkan di atas sebuah tempat khas di kawasan lapang sebelum beberapa orang menari mengelilingi pesakit berkenaan sambil membaca mantera dan memukul gendang. “Kali terakhir ritual itu dibuat ialah pada lapan tahun lalu. Sekarang, dukun wanita itu sudah tua dan belum ada siapa yang mewarisi ilmunya,” katanya. Mendaftar masuk di UPM, Serdang, Selangor, bererti kali pertama juga dia menjejakkan kaki ke ibu kota Kuala Lumpur.

“Saya sememangnya tidak pernah datang ke Kuala Lumpur sebelum itu. “Ia sebuah kota yang sesak tetapi begitu mengujakan. Saya menganggapnya sebagai satu cabaran dan tempat untuk saya mempelajari banyak perkara baharu setiap hari,” katanya. Sebelum bertugas di Jabatan Imigresen, Felicia pernah bekerja sebagai guru sandaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh di Bintulu. selama enam bulan iaitu sejurus selepas dia menggenggam ijazah pada tahun 2006. Selepas itu, beliau bekerja di Pejabat Daerah Tatau, juga selama enam bulan. Dia sempat menjadi guru sandaran di SMK Simanggang, Sri Aman selama lebih setahun. “Kerjaya sebagai pegawai Imigresen merupakan kerjaya yang membanggakan walaupun cita-cita saya dahulu ialah untuk bergelar pensyarah. Saya akan menjalankan tugas saya dengan penuh yakin,” kata gadis ini bersemangat. Di luar pakaian seragamnya, Felicia merupakan seorang penggemar sejarah selain pandai melukis. “Ketika di sekolah, Sejarah adalah mata pelajaran kesukaan saya. Saya gemar membaca kisah penjajahan keluarga James Brooke di Sarawak. Sekarang, saluran dokumentari History di Astro pula menjadi pilihan saya,” ujarnya.

SUMBER
HARIAN KOSMO

ISU EKONOMI : BERSEDIA UNTUK MENGHADAPI KRISIS KEWANGAN DUNIA SEMULA


BANDAR PARAGUE, REPUBLIK CZECH

Pada Rabu lalu seramai 100 orang yang berpengaruh dari seluruh Eropah telah menulis surat terbuka kepada ketua-ketua 17 negara kesatuan Eropah. Dalam surat kepada ketua-ketua negara berkenaan, ada menyebut bahawa mereka tidak boleh lagi ambil mudah atau sekadar “menyepak tin kosong di tepi jalan”. Dengan lain perkataan ketua-ketua negara Eropah mesti melakukan sesuatu ke atas masalah hutang yang mereka hadapi termasuk masalah sistem perbankan atau malapetaka akan mendatangi mereka semua. Pasaran kewangan dan pasaran saham seluruh dunia terus menanti dengan penuh rasa kebimbangan ke atas tindakan seterusnya yang akan diambil oleh pemimpin-pemimpin negara Kesatuan Eropah ini. Langkah yang mereka ambil akan menentukan sama ada pasaran akan kembali stabil atau terus menjunam.

SEJARAH KRISIS KEWANGAN DUNIA

Kepada sebahagian besar daripada kita sudah tentu masih dapat mengingati bagaimana negara kita terjebak didalam krisis kewangan yang berlaku pada tahun 1997/98 yang dipanggil krisis kewangan Asia. Krisis ini bermula apabila mata wang baht Thailand telah dinilai semula dan ini telah mengakibatkan mata wang negara kita juga terjejas teruk. Pada kemuncak krisis yang berlaku nilai mata wang kita berbanding dolar Amerika hampir mencecah ke paras RM5 pada setiap dolar Amerika. Sistem kewangan kita menjadi tidak menentu dan banyak perniagaan yang gulung tikar terutama yang meminjam dalam dolar Amerika. Hutang mereka sekelip mata menjadi tinggi. Malahan ramai dari kita yang kehilangan pekerjaan ketika itu dan mengalami kerugian besar dipasaran saham. Sekali lagi krisis kewangan telah melanda dunia pada tahun 2008 yang kali ini bermula di Amerika. Ini adalah disebabkan sistem perbankan mereka telah memberikan pinjaman mudah kepada pembeli-pembeli rumah walaupun mereka sebenarnya tidak mampu untuk membayar balik pinjaman tersebut. Krisis ini juga dikenali sebagai krisis sub-prima.

KEDUDUKAN PASARAN SAHAM DUNIA

Pasaran saham diseluruh dunia telah terjejas sejak beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan oleh ketidaktentuan tentang kestabilan sistem kewangan di negara-negara Eropah. Secara purata bursa-bursa utama diseluruh dunia telah mengalami kemerosotan yang agak banyak. Tidak ada negara yang terlepas dari tempias krisis kewangan di Eropah ini termasuk di Malaysia. Saban hari pasaran akan sentiasa berada dalam keadaan yang tidak menentu. Berita tentang masalah kewangan di Eropah terus mendominasi sentimen pasaran. Berita-berita yang positif silih berganti dengan berita negatif sehinggakan ramai penganalisis saham sudah tidak berani membuat unjuran tentang prospek pasaran.

KESAN KRISIS TERKINI 
KE ATAS EKONOMI MALAYSIA

Dalam sidang akhbarnya baru-baru ini, Datuk Charon Wardini Mokhzani, Pengarah Eksekutif CIMB Investment Bank berkata, walaupun terdapat ketidaktentuan arah tuju dan sentimen yang negatif dipasaran saham, ekonomi dan suasana perniagaan di rantau Asia adalah baik dan memberangsangkan. Beliau berkata ketidaktentuan pasaran adalah disebabkan ketidakpastian bagaimana krisis kewangan di Eropah ini akan diatasi dengan sebaik-baiknya. Tambah beliau, Malaysia, Asia Tenggara dan seluruh Asia tidak mempunyai sebarang masalah kewangan yang boleh menggugat kestabilan ekonomi di rantau ini. Pandangan terhadap ekonomi Asia adalah ia akan terus mengalami kemajuan disebabkan oleh perdagangan yang rancak di antara negara-negara Asia itu sendiri. Kerjasama perdagangan ini dilihat sebagai jalan terbaik untuk terus memakmurkan ekonomi rantau ini dimana jumlah penduduk yang tinggi di Asia dengan pendapatan per kapita yang terus meningkat akan menjadikan pengguna mempunyai kuasa beli yang tinggi. Begitu juga apa yang sedang berlaku di Malaysia dimana usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi akan terus membolehkan rakyat hidup dalam suasana yang lebih baik dan harmoni.

Langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan dilihat berada pada landasan yang betul untuk membolehkan seluruh rakyat mengecapi faedah yang terbaik untuk meningkatkan mutu hidup semua golongan. Dengan kuasa membeli yang lebih tinggi diharap negara kita tidak perlu terlalu bergantung kepada eksport ke negara-negara lain termasuk Eropah dan Amerika yang menjadi rakan niaga terbesar kita buat masa ini. Rangsangan ekonomi dalaman dijangka akan dapat terus meningkatkan rantaian perniagaan yang berdaya saing terutama di dalam negara dan juga dengan negara-negara jiran serantau sebagai rakan niaga baru. Dengan ini kebergantungan kita terhadap pasaran Eropah dan Amerika akan dapat dikurangkan dan sebarang kemerosotan ekonomi yang mereka alami tidak akan terlalu menjejaskan ekonomi negara kita.

UNJURAN KDNK NEGARA

Malaysia menyasarkan unjuran KDNK negara pada kadar antara 5 hingga 5.5 peratus untuk tahun 2011 dan 5 hingga 6 peratus untuk tahun 2012. Namun kadar ini dilihat agak tinggi oleh penganalisis ekonomi. Ini adalah disebabkan Malaysia masih agak bergantung kepada eksport luaran. Kegagalan rantau Eropah mengatasi masalah kewangan mereka mungkin akan mengheret Malaysia kepada kegagalan mencapai angka tersebut. Begitu juga kekuatan ekonomi Amerika sangat-sangat diperlukan oleh Malaysia yang masih banyak bergantung kepada pasaran ini. Kemerosotan ekonomi China juga dilihat sebagai ancaman kepada unjuran yang kita lakukan. Kepada sebahagian dari penganalisa ekonomi mereka lebih melihat unjuran sebanyak 4 peratus untuk tahun 2011 dan 2011 adalah lebih realistik disebabkan oleh faktor-faktor yang disebut tadi. MIER sendiri mensasarkan unjuran KDNK negara pada kadar 4.6 peratus untuk tahun 2011.

DI LANDASAN YANG BETUL

Dasar-dasar yang sedang diambil oleh kerajaan untuk memakmurkan ekonomi negara dilihat sebagai langkah bijak didalam menangani isu kebergantungan negara kepada eksport luaran dan kemungkinan kemelesetan ekonomi di Eropah dan Amerika. Walaupun sebarang tindakan yang diambil memerlukan jangkamasa yang panjang untuk dilihat keberkesanannya, tetapi kita telah mengambil tindakan proaktif kearah itu. Pelan Transformasi Ekonomi dan Bajet 2012 yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri dilihat dapat meningkatkan permintaan dalam negara. Pendapatan boleh pakai rakyat yang meningkat diharap dapat membantu mereka berbelanja dan merancakkan ekonomi negara. Struktur sistem percukaian negara mungkin boleh diperbaiki lagi untuk membolehkan negara meningkatkan sumber pendapatan untuk menjalankan projek-projek yang boleh meningkatkan mutu kehidupan rakyat secara berterusan. Kerajaan dilihat sebagai perlu meningkatkan pendapatan negara dari sumber yang lebih menyeluruh dan lebih adil.

HARAPAN MASA DEPAN

Malaysia sebagai sebuah negara yang ingin mencapai taraf negara maju pada tahun 2020 perlu terus berusaha untuk memantapkan ekonomi dalaman dan terus mencari pasaran-pasaran baru untuk terus berdaya saing di dalam menghadapi cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu. Putaran krisis kewangan dunia mungkin akan terus berlaku di masa hadapan dan diharap Malaysia bersiap sedia dengan kekuatan ekonomi dalamannya.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
16 OKTOBER 2011