JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 Oktober 2011

ISU SERANTAU : CAMAR BULAN, MEREKA MENCAPLOK DIRI SENDIRI

Nurani


ISTANA NEUSCHWANSTEIN DI PERANCIS

"HAMKA lahir di sini tapi Malaysia yang punya," kata-kata daripada Hanif Rasyid, penjaga Muzium Kelahiran Hamka yang juga rumah ulama dan penulis agung di danau Maninjau, Bukti Tinggi, Sumatera itu mempunyai banyak maksud tersirat. Kalimat penutup yang meluncur laju daripada mulut Hanif semasa taklimat kepada rombongan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) ke tanah orang Minang ini bulan lalu seperti menggambarkan kekecewaan Hanif. Daripada nada suara Hanif memang tergambar beliau kecewa dengan layanan pemerintah Indonesia terhadap Hamka semasa itu. Hanif yang mempunyai pertalian darah dengan Hamka merujuk bahawa ilmu, pemikiran dan karya-karya Hamka lebih diterima di Malaysia. Selain diagungkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), karya-karya intelek Hamka juga diterbitkan di Malaysia antaranya, Di bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck. Dalam konteks sekarang, mungkin begitulah kekecewaan yang dirasai oleh penduduk Indonesia yang tinggal di sempadan khususnya di perbatasan Sarawak-Kalimantan. Sukar disangkal, mereka berasa lebih dekat dengan Malaysia. Apakan tidak, sumber kehidupan mereka banyak bergantung dari sempadan sebelah sini.

Mereka juga menikmati subsidi daripada bekalan makanan, minyak dan gas yang diseludup. Malah jika ditanya penduduk Indonesia di perbatasan ini, mereka berbangga dengan apa yang ada di balik sempadan. Ramai yang merantau - secara sah atau haram - untuk mencari rezeki di sebelah sini. Begitulah kehidupan mereka yang hidup aman damai sejak turun temurun. Dan semasa hiruk-pikuk isu batas sempadan di Jakarta, penduduk di kampung yang dikaitkan dengan isu tersebut tidak tahu menahu pun. Ketika kumpulan penunjuk perasaan menggegar pagar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, penduduk di Desa Temajuk tenang-tenang sahaja. Ramai yang hairan dan terpinga-pinga dengan amarah kumpulan Forum Betawi Rempug (FBR) dan Laskar Merah Putih (LMP). Ada apa dengan mereka? Bahasa yang digunakan begitu mengusik perasaan - Malaysia mencaplok tanah Indonesia. Kita tidak biasa menggunakan perkataan caplok walaupun mengikut Kamus Dewan ia bermaksud mengambil hak orang (harta, negeri), merampas atau merebut. Media termasuk arus perdana mereka pun mempromosikan provokasi ini di luar batas keperluan. Daripada laporan-laporan berita dan analisis mereka, tercium niat dan sentimen untuk memburuk-burukkan Malaysia.

Mujur Malaysia tidak ikut melatah. Mujur pak menteri dan pasukan tentera mereka segera membuat penegasan berulang kali bahawa isu pencaplokan tidak wujud. Mujur penghinaan tidak dibalas dengan penghinaan. Inilah mungkin hikmah yang boleh dipelajari bahawa negara demokrasi dan media bebas bukan jaminan kebenaran boleh ditegakkan. Memang aneh, mereka yang membuat dakwaan tetapi menteri mereka sendiri yang bersungguh-sungguh menafikan berita itu, malah sampai ke peringkat membela pula. Tenyata dakwaan Malaysia merampas tanah Indonesia yang digemakan oleh Timbalan Ketua Suruhanjaya 1, Dewan Perwakilan Rakyat, Tb Hasanuddin itu tidak benar. Tiada tanda batas yang dialih seperti didakwa oleh Ahli Parlimen daripada parti pembangkang Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) itu. Lawatan Ahli-Ahli Parlimen ke kawasan itu pada Sabtu dan Ahad lalu juga tidak menemukan kejanggalan terhadap batas wilayah Indonesia-Malaysia. Apa yang berlaku sebenarnya ialah batas sempadan itu telah dipersetujui melalui perundingan oleh kedua-dua buah negara di Semarang pada 1978. Tentu sekali perjanjian yang ditandatangani itu mempunyai asasnya sendiri. Kalau tidak, mana mungkin dipersetujui oleh pemerintah Indonesia.

Kesepakatan itulah yang dibangkitkan oleh parti pembangkang Indonesia. Kata mereka, batas sempadan berbeza dengan peta zaman penjajahan Belanda keluaran 1891 dan Traktat London pada 1824. Mereka mendakwa terdapat selisih 1,499 hektar tanah di Camar Batu. Jadi, isunya bukan Malaysia mencaplok tanah Indonesia tetapi batas sempadan itu dipersetujui secara rundingan antara kedua-dua buah negara. Apakah susahnya jika mereka mahu perjanjian itu dibincangkan semula? Mintalah pihak pemerintah Indonesia untuk mengkaji semula sempadan itu, bukan menggegar rumah Malaysia. Bukan dengan cara menghina dan menyakiti hati rakyat Malaysia. Setelah banyak pihak membuat tinjauan perbatasan yang dipertikaikan, semuanya telah jelas tiada caplok mencaplok. Cuma mungkin ada pihak yang berkhayal ingin mencaplok bangsa dan negaranya sendiri. Seperti juga perasaan yang dialami oleh Hanif yang kecewa kerana pemerintah meminggirkan Hamka, begitu jualah perasaan penduduk di Camar Batu mahupun di sempadan lainnya. Mereka sangat mengharapkan pemerintah untuk lebih prihatin terhadap keperluan penduduk. Alangkah baiknya jika Ahli-Ahli Parlimen itu lebih mengutamakan kesejahteraan penduduk di wilayah sempadan tersebut. Sepatutnya usaha ditumpukan untuk membangunkan kawasan sempadan. Contoh mudah mewujudkan homestay di sebelah Malaysia serta Indonesia. Buatlah promosi bersama bukan menyemai perasaan benci membenci.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
18 OKTOBER 2011


Tiada ulasan: