JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 Oktober 2011

ISU UMUM : PEMBANGUNAN BAKAT PERLU MENYELURUH

Oleh NIZAM YATIM


SAGRADA  FAMILIA,  SEPANYOL

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan penubuhan Perbadanan Bakat (TC) yang berperanan meneraju inisiatif menarik 700,000 rakyat Malaysia berkemahiran tinggi yang kini bekerja di luar negara untuk pulang berkhidmat di tanah air. Susulan itu, pada Januari 2011, perbadanan berkenaan telah memulakan operasi secara rasmi dengan lepasan Universiti Cambridge, Johan Mahmood Merican telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya. Perbadanan terbabit turut bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan perwakilan Malaysia di luar negara bagi menarik ekspatriat dan diaspora Malaysia untuk menetap dan bekerja di negara ini. Bagaimanapun, segala perancangan yang dibuat oleh perbadanan itu masih lagi mempunyai kelemahan yang perlu diatasi bagi memastikan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi tercapai. Menyentuh perkara itu, Pengarah Pusat Pembelajaran Futuristik, Kreativiti dan Inovasi (FLCCI), Prof. Dr. Abd. Rahim Abd. Rashid berkata, kelemahan dasar sedia adalah ia tidak memberikan tumpuan untuk membangunkan bakat secara menyeluruh. Beliau berkata, sudah sampai masanya kerajaan memberi tumpuan untuk membangunkan bakat dalam segenap aspek termasuk di luar daripada sektor pekerjaan dan kerjaya seperti bidang pendidikan, institusi keluarga dan politik.

''Misalnya dalam bidang politik, pembangunan bakat adalah amat penting bagi memastikan ahli politik kita menjadi pemimpin yang lebih baik sesuai dengan status kita sebagai negara maju pada masa depan. Salah satu syarat untuk memastikan kita mempunyai ahli politik terbaik ialah memastikan mereka mereka mempunyai kelulusan akademik tertinggi sekurang-kurangnya di peringkat universiti. ''Sekarang bukan masanya mereka yang tidak berpelajaran atau lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi ahli politik kerana ia tidak sesuai dengan status kita sebagai sebuah negara maju," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau berkata, ahli politik berkelulusan tinggi dan berbakat mampu membawa lebih banyak perubahan kepada masyarakat kerana mereka lebih kreatif dan inovatif berbanding yang tidak berpendidikan tinggi yang kebiasaannya hanya mengikut segala dasar yang telah ditetap kerajaan walaupun ia telah lapuk. Dalam pada itu, katanya, pembangunan bakat di institusi pengajian tinggi juga perlu diberi tumpuan bagi memastikan tidak wujud 'diskriminasi' terhadap modal insan berkemahiran tinggi sehingga menyebabkan mereka berhijrah ke luar negara. ''Sebelum kerajaan meningkatkan had umur persaraan kepada 60 tahun, para pensyarah yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) dari luar negara perlu bersara pada usia 55 tahun dan bagi saya ini adalah pembaziran bakat kerana mereka sebenarnya masih kuat untuk bekerja," ujarnya.

Beliau juga mencadangkan peraturan lapuk yang menghalang golongan berbakat untuk menonjolkan daya kreativiti dan inovasi mereka dihapuskan. ''Orang berbakat tidak boleh bekerja dalam persekitaran yang bersifat rutin dan mereka juga tidak suka majikan memutuskan kenaikan pangkat dan tangga gaji seseorang itu berdasarkan berapa lama dia bertugas dan bukannya berasaskan prestasi kerja," katanya. Sementara itu, Abd. Rahim memberitahu, FLCCI akan menganjurkan Seminar Nasional Pembangunan Talent Abad Ke-21 di Malaysia pada 25 dan 26 Oktober ini bagi membincangkan pembangunan bakat secara menyeluruh di negara ini. Seminar yang akan diadakan di Rumah Universiti, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur melibatkan pembentangan 12 kertas kerja yang meliputi tajuk-tajuk berkaitan pembangunan bakat dalam bidang seni, muzik, sukan, sains serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Pembentang kertas kerja terdiri daripada kalangan pensyarah universiti dan wakil agensi kerajaan. Segala pandangan pembentang kertas kerja dan para peserta akan dipanjangkan kepada agensi kerajaan berkaitan untuk tindakan lanjut. Orang ramai yang berminat untuk menghadiri seminar berkenaan boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 03-61502252 atau 012-2457793. Yuran penyertaan yang dikenakan adalah sebanyak RM450 yang meliputi kertas kerja dan fail peserta, sijil penyertaan serta makan dan minum.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 OKTOBER 2011


Tiada ulasan: