JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 Oktober 2011

ISU SOSIAL : PROGRAM PERUMAHAN 1MALAYSIA BUKTI KERAJAAN PRIHATIN


KUIL KARNAK, DI EGYPT

Impian  yang menjadi kenyataan, begitulah reaksi 560 pemohon yang berjaya dalam undian Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di Presint 11, Putrajaya kelmarin. Mereka adalah antara lebih 7,000 pemohon pertama skim perumahan rakyat itu yang diilhamkan oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Bagi yang gagal, mereka masih ada peluang untuk memohon semula kerana lebih banyak projek PR1MA akan dilaksanakan kerajaan pada masa akan datang. Sejajar dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, program berkenaan menyasarkan golongan berpendapatan sederhana, di kawasan bandar dan pinggir bandar. Ketika ini, sebahagian besar golongan berkenaan di kawasan bandar didapati bukan saja terpaksa menanggung kos kehidupan yang tinggi, malah tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana harganya yang terlalu tinggi. Mereka juga tersepit di tengah-tengah kerana tidak layak memohon rumah kos rendah yang diperuntukkan untuk golongan berpendapatan rendah. Kita percaya program yang dilancarkan oleh Perdana Menteri itu sudah tentu sesuatu yang dinanti-nantikan oleh golongan berpendapatan sederhana ini, yang kebanyakannya terpaksa ‘mengikat perut’ kerana terpaksa membayar kadar sewa rumah dan kos pengangkutan yang tinggi di kawasan bandar.

Pada tahun ini sebanyak 1,880 unit rumah di bawah skim berkenaan akan dibina di Putrajaya dan Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, sementara 7,700 unit lagi akan dibina pada tahun depan di Cyberjaya, Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja di Klang. Harga rumah yang ditawarkan juga dalam lingkungan kemampuan golongan sederhana iaitu di antara RM120,000 dan RM150,000 seunit berbanding harga pasaran yang lebih tinggi. Pada masa ini, terdapat jurang besar dalam pembinaan rumah kos sederhana di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru memandangkan pemaju lebih suka membina projek sederhana-tinggi dan tinggi bagi meraih keuntungan besar. Hakikatnya, pelancaran PR1MA itu memberi peluang kepada golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri dengan cara lebih mudah termasuk tawaran pinjaman fleksibel oleh institusi kewangan. Tempoh bayaran balik yang dilanjutkan sehingga 30 tahun juga sudah tentu dapat membantu meringankan beban pembeli, menjadikannya sebagai program yang begitu dekat di hati rakyat. Ini membuktikan kerajaan bukan sekadar berjanji kosong atau melakukannya hanya atas kepentingan politik semata-mata.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
17 OKTOBER 2011


Tiada ulasan: