25 September 2011

ISU UMUM : MENGAPA NAMANYA BUKAN NEGERI-NEGERI BERSATU AMERIKA SYARIKAT?

Untung Sabut Timbul


Mengapakah kita panggil United States of America (USA) sebagai Amerika Syarikat (AS) dan bukannya Negeri-negeri Bersatu Amerika (NBA)? Ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dalam catatan di Facebooknya mempersendakan penggunaan nama Amerika Syarikat dalam Bahasa Malaysia yang dianggapnya salah dari segi bahasa, yang biginya patut disebut sebagai Syarikat Amerika. Syarikat Amerika bermaksud lain daripada Amerika Syarikat. Syarikat Amerika bermakna syarikat-syarikat perniagaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat sedangkan Amerika Syarikat ialah nama negara berkenaan. Nama Amerika Syarikat dalam Bahasa Malaysia adalah betul bukan saja kerana ia adalah nama yang sudah sebati digunakan oleh penutur bahasa Melayu tetapi ia mempunyai latar belakang yang tepat dan tidak ada silapnya. Walaupun ia kelihatan ganjil berbanding dengan nama-nama negara yang lain apabila digunakan dalam Bahasa Malaysia. Hakikatnya, nama-nama negara di dunia dalam Bahasa Malaysia mempunyai latar belakangnya tersendiri dan masing-masing kemudian kekal menjadi perkataan yang baku untuk digunakan. Amerika Syarikat sememangnya bermaksud ‘Amerika yang bersatu’, atau ‘Amerika yang bersekutu’. Atau lebih tepat lagi ‘negeri-negeri Amerika yang bersatu atau bersekutu’.

Sememangnya ‘united’ dalam United States of America bermaksud bersatu seperti mana ‘bersatu’ dalam United Nations Organisation (UNO), dalam Bahasa Malaysianya ialah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Kini orang lebih biasa menyebut United Nations (UN) secara pendek. Tetapi ‘united’ itu juga boleh bermaksud ‘bersekutu’. Ini kerana Amerika Syarikat sememangnya sebuah negara persekutuan, seperti juga Malaysia. Bagaimanapun, dalam bahasa Inggeris, persekutuan disebut sebagai federation. Federation of Malaya, umpamanya diterjemahkan menjadi Persekutuan Tanah Melayu. Maka ‘united’ dalam United States of America itu boleh juga disebut sebagai Persekutuan Negeri-negeri Amerika atau Persekutuan Amerika saja. Tetapi mengapakah dalam Bahasa Malaysia disebut Amerika Syarikat? Dari manakah datangnya perkataan syarikat yang kini merujuk kepada syarikat perniagaan, dan merupakan terjemahan kepada perkataan company dalam Bahasa Malaysia? Tambahan pula, Amerika Syarikat adalah satu-satunya negara di dunia yang ada perkataan syarikat sedangkan banyak lagi negara lain di dunia yang ada perkataan ‘united’.

Umpamanya United Arab Emirates menjadi Emiriah Arab Bersatu, tidak pula Emiriah Arab Syarikat. Dalam hal ini, perlu diingat bahawa bahasa berkembang menurut zaman. Maka begitu juga istilah dan perkataan yang digunakan untuk menamakan negara. Nama Amerika Syarikat mula muncul ketika bahasa Melayu yang digunakan di negara ini belum berkembang dan dibakukan. Bahasa Melayu di Tanah Melayu belum menjadi bahasa moden. Tulisan bahasa Melayu adalah dalam bentuk jawi. Maka nama-nama negara dalam bahasa Inggeris akan dicetak rumi menurut perkataan asalnya. Maka pada awalnya, United States of America akan dicetak seperti asalnya juga kerana tidak ada terjemahan ke dalam bahasa Melayu. Tentu pada detik-detik awal kemodenan ini, yang sekitar awal abad ke-20, istilah-istilah bahasa Melayu baru mengikut perkembangan bahasa di Indonesia. Tetapi ketika itu Indonesia sendiri tidak wujud lagi, yang ada hanyalah Hindia Timur Belanda. Indonesia belum merdeka. Cumanya pada 28 Oktober 1928, Sumpah Pemuda dilaungkan dengan komitmen bahawa bangsa-bangsa Hindia Timur Belanda mengisytiharkan diri mereka memiliki satu negara iaitu Indonesia, satu bangsa iaitu bangsa Indonesia dan satu bahasa iaitu bahasa Indonesia.

Maka Bahasa Indonesia itu berteraskan bahasa Melayu, dan sejak itu mereka berusaha mengembangkan bahasa itu dan mencipta istilah-istilah baru termasuklah nama-nama negara. Sebelum itu di Indonesia, pada tahun 1912, telah ditubuhkan Sarekat Dagang Islam yang kemudian dikenali sebagai Sarekat Islam (SI) saja. Ia dikenali sebagai pertubuhan politik pertama di Indonesia dan kemudian memperjuangkan kemerdekaan untuknya. Perkataan ‘sarekat’ itu berasal daripada bahasa Arab, bermakna pakatan atau persekutuan. Iaitu daripada banyak, menjadi satu. Perkataan-perkataan Arab seperti syirik, musyarakah dan masyarakat berkaitan dengan syarikat. Di Indonesia, perkataan ini dieja dengan sarekat atau serikat. Tetapi dalam tulisan jawi termasuk yang digunakan di Tanah Melayu, ia menjadi syarikat. Maka asalnya ia bermaksud persatuan, pertubuhan atau apa saja pakatan dan kerjasama. Tidak semestinya syarikat perniagaan. Maka untuk syarikat perniagaan disebut sarekat dagang seperti mana nama asal Sarekat Dagang Islam itu. Maka apabila berdepan dengan nama United States of America, maka adalah tidak menghairankan, mereka menterjemahkannya sebagai Amerika Serikat, di mana istilah ini terus digunakan di Indonesia.

Bagi PBB pula, mereka menggunakan istilah Perserikatan Bangsa-bangsa. Maka pada awal lagi, di Tanah Melayu, istilah Amerika Serikat itu juga diguna pakai, tetapi ditulis dalam tulisan jawi. Apabila Tanah Melayu mula menggunakan tulisan rumi, maka ia menjadi Amerika Syarikat. Justeru istilah ini telah dibakukan dan terus digunakan sekarang. Tetapi terhadap PBB, bahasa Melayu tidak mengikut jejak Indonesia. Maka UMNO tidaklah menjadi Persyarikatan Kebangsaan Melayu, sebaliknya disebut sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Maka selepas daripada itu, apabila ada ‘united’ disebutlah sebagai bersatu. Umpamanya United Arab Republic (UAR) menjadi Republik Arab Bersatu. Tetapi ada negara yang tidak diterjemahkan. Umpamanya United Kingdom. Begitu juga dengan Great Britain. Nama penuh negara itu ialah United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland. Tetapi dalam Bahasa Malaysia, ia disebut United Kingdom saja. Kalau diterjemahkan secara tepat, maka ia menjadi Negara Beraja Britain Raya dan Ireland Utara. Tetapi dalam Bahasa Malaysia. Ia kekal dengan istilah asal. Cuma perkataan ‘north’ pada Ireland diterjemahkan menjadi utara.

Perlu disebut perbezaan antara United Kingdom dan Great Britain. UK merujuk gabungan Great Britain dan Ireland Utara. Sementara Great Britain terdiri daripada England, Scotland dan Wales. Tetapi dalam Bahasa Indonesia, nama United Kingdom penuh itu diterjemahkan menjadi Perserikatan Kerajaan Britania Raya dan Irlandia Utara. Tetapi mereka menyebut Kerajaan Serikat ataupun Britania Raya. Sekali lagi perkataan serikat timbul. Istilah kerajaan dalam Bahasa Malaysia dengan Bahasa Indonesia berbeza. Kerajaan adalah terjemahan daripada government. Tetapi dalam bahasa Indonesia, kerajaan bermaksud kingdom. Government diterjemahkan sebagai pemerintah. Semua bahasa mempunyai perkataan masing-masing dan termasuklah nama-nama negara. Dalam Bahasa Malaysia secara turun temurun, United States of America telah pun disebut sebagai Amerika Syarikat. Hormatilah bahasa kebangsaan kita.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
25 SEPTEMBER 2011

24 September 2011

HASIL KARYAKU : IZINKAN KUPERGI



Assalamualaikum Tuan
Kumohon perpindahan itu
Jangan sesekali disalah mengerti
Bukan kerana hati berasa benci
Bukan kerana kasih sudah bertepi
Bukan kerana jiwa sering dilukai
Jauh sekali tidak mengenang budi
Kerana aku tahu
Disini aku mula bertapak
Diasah dan diasuh
Dididik dan diperkasa
Sehingga menjadi permata
Bersinar bercahaya

Kumohon tuan luluskan permohonanku
Usah ditangguh kerana aku perlu
Walaupun tiada yang meluka
Walaupun tiada yang mendusta
Tiada sesiapa juga mengecewa
Pengalaman disini amat berharga
Disinilah aku cipta sejarah
Merangkul pelbagai anugerah
Sehingga dikenali
Sampai diketahui
Seperti hari ini

Kumohon tuan jangan hamparkan alasan
Kononnya yang patah tak akan tumbuh
Yang hilang tak akan berganti
Lebih sedekat mencurah khidmat
Banyak amanah dan tanggungjawab
Terpikul dibeban yang tidak pernah terbeban
Sehingga tak sedar usia menanjak zaman
16 tahun lantaimu kupiijak
Bagiku begitu bermakna
Amat berharga
Emas permata bukan nilainya

Tuan, terimalah hakikat
Pertemuan perpisahan
Permulaan pengakhiran
Awal akan berakhir
Mula akan berpenghujung
Cukuplah sampai disini
Kita seganding seiring
Sebelum hati menjadi tawar
Sebelum suka beralih benci
Baik kutamatkan perkenalan ini
Untuk menuju ke destinasi baru

NUKILAN
Zulkarnain Farihin
10.01 pm, Sabtu
24 September 2011

ISU KENEGARAAN : UNDANG-UNDANG MAMPU IMBANGI HAK INDIVIDU DAN KETENTERAMAN AWAM

Oleh Shamrahayu A Aziz
bhnews@bharian.com.my

Undang-undang tidak boleh 
terlalu longgar atau terlalu ketat


Masih  belum terlambat agaknya untuk saya mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia kepada semua pembaca. Perutusan Perdana Menteri mengenai aspirasi kerajaan berkaitan sistem demokrasi menjadikan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini amat berbeza sekali daripada sambutan lalu. Saya lihat perutusan Perdana Menteri ini bukan semata-mata transformasi politik, tetapi ia adalah transformasi undang-undang dan sistem perundangan negara. Oleh itu, perutusan itu tidak harus dilihat menerusi perspektif politik semata-mata. Suka saya sebutkan bahawa walaupun Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) tidak secara automatik termansuh dengan ucapan itu, pengumuman itu menggembirakan banyak pihak kerana ia menunjukkan kesediaan kerajaan menguruskan perkara sensitif seperti ISA secara terbuka. Apapun, saya tidak mahu mengulas mengenai strategi atau keuntungan politik yang mungkin diperoleh kerajaan. Saya melihat perutusan itu daripada kaca mata rakyat yang sentiasa mahukan kesejahteraan dan kemakmuran negara serta pandangan ahli akademik undang-undang. Perutusan berkenaan memberi kesan mendasar kepada undang-undang yang sedia ada atau undang-undang yang akan digubal. Ia juga boleh dianggap sebagai membina falsafah dan perspektif mengenai kuasa atau bidang kuasa badan kehakiman serta sistem dan amalan kepolisan di negara ini.

Undang-undang, seperti yang kita maklum, berperanan mengawal tingkah laku manusia bagi membina kehidupan sejahtera. Oleh itu, dalam menggubal undang-undang, kita harus mengambil kira keberkesanannya dalam memberi perlindungan bukan saja kepada individu tertentu, tetapi juga masyarakat dan negara keseluruhannya. Saya tertarik dengan perutusan Perdana Menteri yang menyebut: “Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luar biasa yang mengancam keselamatan tanah air dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah khas yang kadang kala bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan.” Amat benar, undang-undang harus membina keseimbangan antara hak atau kebebasan individu dan ketenteraman awam. Sekiranya undang-undang membenarkan kebebasan individu tanpa kawalan yang mengorbankan nilai, budaya dan ketenteraman, sudah tentunya kita tidak akan dapat hidup aman dan sejahtera. Namun, sekiranya sekatan terlalu lebar, ia juga akan menafikan hak rakyat dan akan melahirkan rasa tidak puas hati yang mendorong kepada kerosakan. Dalam keadaan ini, titik pertemuan antara kedua-dua ini, ketenteraman awam dan kebebasan perlu dicari.

Di samping memerlukan undang-undang yang baik, kita memerlukan kematangan rakyat. Rakyat harus memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab untuk memastikan ketenteraman negara sentiasa terjaga. Dalam hal berkaitan, undang-undang untuk mengekang kegiatan subversif dan perbuatan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam sentiasa diperlukan oleh setiap negara. Banyak negara di dunia yang mahukan undang-undang berkaitan diperkenalkan atau diperketatkan. Kita belum pasti mengenai bentuk dan perincian undang-undang yang bakal digubal, tetapi apa yang disuarakan Perdana Menteri ialah undang-undang itu kelak akan berada di bawah prinsip yang termaktub dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mengekang aktiviti subversif dan tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam. Mungkin elok untuk setiap kita meneroka dan memahami Perkara 149 secara menyeluruh. Sekiranya berkesempatan, saya akan cuba berkongsi dengan pembaca pada minggu akan datang. Berbalik kepada hal ini, selain daripada undang-undang yang baik, kita juga memerlukan mahkamah yang mempunyai kuasa perundangan luas dan bebas. Perdana Menteri melahirkan komitmen untuk menyerahkan kuasa menentukan tempoh tahanan bagi tahanan tanpa bicara yang ketika ini berada dalam badan eksekutif, kepada badan kehakiman.

Selain daripada apa yang disebut Perdana Menteri itu, badan kehakiman juga perlu diiktiraf kuasa yang luas untuk membuat semakan semula ke atas semua kuasa budi bicara pihak eksekutif. Selain itu, dalam aspek undang-undang berkaitan subversif, kuasa lembaga penasihat di bawah Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan juga perlu dikaji semula. Ia akan menjadikan proses semak dan imbang dijalankan lembaga penasihat menjadi lebih berkesan. Berkenaan sistem dan amalan kepolisan, perutusan Perdana Menteri memberi kesan yang agak mendasar kepada kuasa polis. Janji kerajaan untuk menilai semula seksyen 27 Akta Polis dan juga kesan kepada penarikan balik keadaan darurat adalah dua perkara yang memberi implikasi besar ke atas kuasa polis. Sebagai sebuah badan penguat kuasa undang-undang utama negara, saya percaya polis mengutamakan keamanan negara dan menjalankan kuasa berdasarkan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Namun dengan keadaan undang-undang yang semakin longgar, mungkin agak sukar untuk pihak polis menjalankan keutamaan dalam tugasan mereka. Sehubungan itu, kerajaan harus memandang serius perkara berkaitan keanggotaan, pentadbiran, kebajikan dan profesionalisme pasukan berkenaan supaya polis juga akan melalui proses transformasi seiring dengan transformasi undang-undang yang akan kita alami.

Penulis ialah Profesor Madya Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

SUMBER
BERITA HARIAN
24 SEPTEMBER 2011

ISU ANTARABANGSA : DERITA AKANKAH BERAKHIR? DUNIA TENTUKAN NASIB PALESTIN

Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my


Tanggal 23 September ini bakal menjadi tarikh keramat bagi 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menentukan kedudukan Palestin yang bergolak sejak lebih 60 tahun lalu selepas Britain yang memerintahnya sejak 1920, menyerahkan mandat di wilayah itu kepada PBB pada 1947. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, dijangka membentangkan permohonan rasmi Palestin untuk menjadi anggota penuh di PBB selepas rundingan damai yang ditaja sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat (AS) bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin gagal mencapai kata putus. Palestin tidak lagi yakin dengan rundingan damai untuk menubuhkan ‘dua negara’ ketika penempatan haram terus dibina rejim Tel Aviv di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur selain Gaza kekal sebagai ‘penjara kemanusiaan terbesar di dunia’ dek kepungan darat dan laut rejim zionis Israel. Tindakan memohon keanggotaan penuh di PBB itu adalah cubaan nekad Palestin selepas Abbas yang mengetuai Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Ramallah bersedia berdamai dengan Hamas yang menguasai Gaza sejak 2007 bagi penubuhan Kerajaan Perpaduan untuk membolehkan Palestin diiktiraf sebagai negara berdaulat dan merdeka berdasarkan kepada sempadan 1967.  

PA bercadang meminta Perhimpunan Agung PBB (UNGA) mengiktiraf negara Palestin berdasarkan sempadan sebelum perang pada 1967 apabila Israel menawan Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur. AS sejak awal lagi memberi amaran menggunakan kuasa vetonya untuk menolak permohonan Palestin pada Majlis Keselamatan PBB selain Washington turut mengancam akan menarik balik dana tahunan AS$600 juta (RM1.8 bilion) kepada PA jika Abbas meneruskan hasratnya itu.  Tel Aviv pula menyifatkan tindakan Palestin sebagai langkah ‘memencilkan’ negara Yahudi itu dan mengeluarkan amaran untuk membatalkan semua perjanjian termasuk Perjanjian Damai Oslo 1993 yang menyaksikan kelahiran PA selaku pentadbir wilayah di Palestin dengan kuasa terhad. Penganalisis politik antarabangsa menyifatkan tindakan Palestin untuk mengemukakan permohonan menjadi negara anggota PBB, perlu dilihat sebagai pelengkap kepada usaha menamatkan konflik Israel-Palestin dan bukan alternatif kepada rundingan damai tajaan AS yang sehingga hari gagal membuahkan impak positif.  Melalui permohonan itu, dua kemungkinan bakal berlaku iaitu PBB menerima Palestin sebagai negara anggota penuh atau sekurang-kurangnya mengangkat status Palestin daripada ‘entiti bukan negara’ yang menjadi pemerhati di badan dunia itu kepada ‘negara bukan anggota’.  “

Kedua-dua keputusan ini akan memberi impak besar kepada Palestin,” kata Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak merujuk status baru Palestin di PBB pasca UNGA ke-66 yang bermula 13 September lalu. Sejak 22 November 1974, Palestin menerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mempunyai kedudukan pemerhati dengan status entiti bukan negara di PBB serta mempunyai wakil tetap di badan dunia itu yang membolehkannya bersuara tetapi tidak boleh mengundi di PBB. Untuk menjadi anggota penuh dengan kuasa mengundi di PBB, negara memerlukan kelulusan Majlis Keselamatan PBB dianggotai lima kuasa besar selaku anggota tetap majlis keselamatan iaitu AS, Britain, China, Perancis dan Russia.  Sebaliknya, Palestin memerlukan sokongan dua pertiga daripada 193 negara anggota PBB dalam UNGA bagi membolehkannya mendapat status negara bukan anggota, antara lain membolehkannya mengakses kepada badan dunia seperti Mahkamah Jenayah Antara Antarabangsa (ICJ) bagi menyaman Israel kerana menjajah wilayahnya berdasarkan garis sempadan sebelum perang enam hari antara Israel dan negara Arab pada Jun 1967.

PBB sebelum ini meluluskan Resolusi 242 pada November 1967 yang memutuskan Israel berundur semula ke sempadan sebelum 1967 dan mengembalikan sebahagian daripada wilayah ditawannya, namun Tel Aviv dilihat menggunakan wilayah didudukinya sebagai bahan tawar menawar untuk mencipta rundingan damai palsu menerusi apa disebut sebagai pertukaran wilayah.  Mustafa meramalkan Palestin tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan sokongan 128 negara anggota PBB, terutama dari sebahagian besar negara Asia, negara anggota Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, Afrika dan Amerika Selatan termasuk Brazil dan Argentina menyatakan sokongan kepada Palestin bagi menyelesaikan konflik di Asia Barat.  “UNGA akan mendedahkan sentimen dunia kepada Palestin. Jika Palestin berjaya mendapatkan sokongan di UNGA, AS akan berdepan dilema. Memang benar AS boleh menggunakan vetonya di Majlis Keselamatan tetapi ini bermakna AS akan mengundi menentang suara dunia. Ini mendedahkan tembelang negara kuasa besar itu.  “Amerika dilihat tidak jujur dalam menyelesaikan konflik di Palestin dan Asia Barat.

Amerika akan dilihat tidak lebih dari sekadar boneka dan proksi Israel,” kata profesor sains politik itu meramalkan China dan Russia berkemungkinan mengambil pendirian berkecuali atau menyokong hasrat Palestin di PBB. Ketika ini, sentimen masyarakat dunia dilihat memihak kepada Palestin selepas tinjauan mendapati ramai penduduk Eropah iaitu Britain, Perancis dan Jerman mahu kerajaan mereka menyokong pembentukan negara Palestin dalam undian di PBB, demikian menurut akhbar Britain, The Guardian, minggu lalu. Berdasarkan tinjauan pertubuhan bukan kerajaan itu, 59 peratus responden di Britain menyokong pembentukan negara Palestin, 69 peratus di Perancis dan 71 peratus di Jerman, berbeza dengan pendirian AS, Israel dan Kesatuan Eropah (EU) yang melihat hasrat Palestin itu menjejaskan rundingan damai. Palestin dijangka tidak berdepan masalah mendapatkan sokongan negara Arab selepas Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengeluarkan kenyataan tegas di ibu pejabat Liga Arab di Mesir minggu lalu bahawa pengiktirafan negara merdeka Palestin adalah kewajipan negara Arab dan bukan pilihan.

Erdogan berkata, sudah tiba masanya bendera Palestin berkibar di PBB selain menyifatkan perjuangan Palestin adalah perjuangan menjaga maruah negara Arab – sentimen bertitik tolak daripada serangan ke atas kapal flotila ke Gaza, Mavi Marmara, Mei tahun lalu yang menyaksikan sembilan aktivis Turki ditembak mati komando Israel. Namun, pensyarah sains politik dan hubungan antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah, berkata Palestin berdepan laluan sukar jika gagal mendapat pengiktirafan AS kerana dalam sistem antarabangsa, sesebuah negara memerlukan pengiktirafan negara kuasa besar.  “Persoalan utama sekarang adakah Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara oleh kuasa besar. Palestin memenuhi semua kriteria sebagai negara iaitu mempunyai wilayah, kedaulatan, rakyat dan kerajaan, tetapi ia tiada elemen yang terpenting iaitu pengiktirafan. Dalam konteks sistem antarabangsa, perkara itu (pengiktirafan) adalah daripada Majlis Keselamatan.  “Palestin akan mengalami nasib seperti Taiwan yang tidak menerima pengiktirafan China. Taiwan ada hubungan diplomatik dengan negara lain tetapi ia terus menghadapi masalah kerana tidak diiktiraf kuasa besar, namun dari satu sudut hasrat Palestin di PBB, adalah langkah positif,” kata Kamarulnizam. Apa yang pasti, rundingan Israel-Palestin perlu diteruskan jika dunia mahu keamanan mutlak bertapak di wilayah yang terletak di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan itu dengan 23 September ini menjadi titik mula baru untuk menyelesaikan isu yang dianggap ‘duri dalam daging’ konflik di Asia Barat.

SUMBER
BERITA HARIAN
20 SEPTEMBER 2011


ISU ALAM SEKITAR : PEMULIHARAAN BERASASKAN RINGGIT MALAYSIA? BETULKE?

Oleh Mohd. Hazli Hassan


Kali ini ingin saya bercerita mengenai dua orang sahabat saya yang menjalankan program pemuliharaan marin tanpa mendapat bantuan dan promosi besar-besaran. Program yang dijalankan atas daya usaha sendiri itu sebenarnya bukan bermula semalam atau tahun lepas, ia dilakukan sejak tahun 2000 lagi. Lebih mengagumkan, usaha yang dijalankan mereka, biarpun kecil, berjaya menunjukkan keputusan yang agak baik dan sehingga kini usaha-usaha itu diteruskan. Saya mengutarakan perkara ini kerana sejak akhir-akhir ini banyak persatuan ditubuhkan untuk menjalankan usaha pemuliharaan alam sekitar dan alam marin. Seperti dua sahabat saya itu, saya juga menyanjung usaha murni yang dijalankan persatuan-persatuan ini. Bukan apa, jika tidak kerana mereka, tidak ramai yang tahu mengenai program pemuliharaan yang dilakukan. Namun dalam ‘kemeriahan’ program pemuliharaan di samping mendapat publisiti besar-besaran, saya terfikir apa akan terjadi jika mereka tidak diberi dana oleh mereka yang mempunyai kepentingan. Sebagai contoh jika ia dijalankan di satu-satu negeri, pastinya kerajaan negeri akan membiayai kos program pemuliharaan itu. Saya cuba membayangkan jika kerajaan negeri tidak membiayai program berkenaan, adakah persatuan-persatuan berkenaan akan meneruskan ‘niat’ mereka sama seperti dua sahabat saya?

Bukan menidakkan kos yang bakal dihadapi, namun saya melihat ada sesetengah persatuan pemuliharaan tidak lagi berpegang kepada prinsip non profit organisation. Malah, ada yang mengenakan yuran yang agak tinggi kepada peserta yang ingin menyertai program pemuliharaan yang dianjurkan mereka. Sudahlah mendapat pembiayaan daripada kerajaan negeri mahupun agensi kerajaan berkaitan, tapi turut mengenakan caj yang yang tidak setimpal kepada peserta. Dan saya turut mendengar ada kerajaan negeri dan juga agensi kerajaan memberikan pembiayaan yang ‘agak besar’ kepada persatuan ini untuk menjalankan aktiviti pemuliharaan yang dilihat tidak berapa menjadi. Dalam publisiti di dada akhbar, mereka dilihat bersungguh-sungguh mengatakan itu dan ini untuk mempertahankan alam sekitar daripada dicemari atau diganggu. Namun, adakah kata-kata itu sama akan diungkapkan jika tidak mendapat pembiayaan atau tiada publisiti yang diberi macam dua orang sahabat saya? Bukan menidakkan usaha yang dijalankan oleh mereka, namun mungkin segelintir daripada persatuan ini mempunyai agenda tersendiri atau cuba mencari keuntungan daripada ‘kelalaian’ kerajaan negeri atau agensi kerajaan. Jika ini berterusan, nampak gaya, pembiayaan yang sepatutnya boleh diagih-agihkan kepada mereka yang menjalankan aktiviti sama bakal didominasi oleh segelintir persatuan sahaja.

(Jom sertai FB Impak Alam di www.facebook.com/impakalam)

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 SEPTEMBER 2011

23 September 2011

ISU EKONOMI : USAHAWAN DESA PATUT SAHUT CABARAN TRANSFORMASI


Steve  Jobs, usahawan dan pencipta yang menerajui Apple Inc – syarikat pengeluar iPod, iPhone dan iPad selain komputer Macintosh – sebelum bersara Ogos lalu, mempunyai falsafah keusahawan yang unik. Menggunakan analogi hoki ais, Jobs berkata, beliau akan hanya meluncur ke mana bola akan menuju dan tidak ke mana bola sudah berada. Tidak ramai yang boleh menyangkal falsafah ini, lebih-lebih lagi melihat kejayaan Jobs, seorang yang tidak tamat pengajian di universiti, tetapi membangunkan perniagaan yang bermula di garaj kereta pada awal 1980-an untuk muncul sebagai antara 35 syarikat terbesar dunia. Falsafah sama kini dituntut Perdana Menteri untuk diamalkan oleh usahawan desa. Datuk Seri Najib Razak ketika menggariskan empat pendekatan untuk menggilap bidang keusahawanan desa, menegur sesetengah usahawan yang gemar membabitkan diri dalam perniagaan yang sudah diceburi ramai peniaga lain, sehingga memperlihatkan berpuluh-puluh kedai menjual barang hampir sama. Keadaan ini, kata Perdana Menteri ketika Karnival Usahawan Desa 2011 kelmarin, menyebabkan perniagaan tidak membawa kepada keuntungan sehingga membantutkan perkembangan perniagaan terbabit. Lebih memburukkan sikap suka meniru ini juga merugikan dari segi pembaziran modal.

Berikutan itu, Perdana Menteri ingin melihat usahawan desa melakukan transformasi sehingga dapat diwujudkan kelompok usahawan mapan yang berdaya maju pada peringkat serantau dan global. Sejajar dengan ini, Najib menggariskan empat pendekatan yang perlu diguna pakai usahawan ini, iaitu memperkenalkan idea baru yang lebih kreatif, menyuntik inovasi dalam perniagaan, penjenamaan yang lebih kuat serta terkenal dan penggunaan laman maya dalam mengembangkan pasaran produk, khususnya internet dan laman sosial. Bukan hanya sekadar membuat syor, Najib juga mengumumkan peruntukan permulaan RM50 juta menerusi MARA untuk digunakan bagi melaksanakan Program Usahawan Kecil Dinamik (UKDinamik) yang memanfaatkan kira-kira 10,000 usahawan desa. Sebenarnya sudah banyak bantuan disediakan kerajaan bagi membangunkan golongan usahawan ini baik di desa mahupun di bandar. Bantuan tambahan diumumkan ini dialu-alukan, lebih-lebih lagi jika ia dilaksanakan dengan kaedah yang dapat menjejak dengan rapi prestasi penerima bantuan. Kita yakin bermula dengan bantuan kerajaan ini, falsafah yang mantap serta daya inovatif, setiap usahawan penerima boleh muncul sebagai usahawan disegani pada peringkat antarabangsa.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
23 SEPTEMBER 2011


ISU PENDIDIKAN : MURID LEMAH PERLUKAN PERHATIAN BUKANNYA DISISIH

Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my


Kecuali rakyat di Bumi Kenyalang, rata-rata rakyat di negara ini rasanya tidak pernah mendengar nama Pekan Bintangor yang terletak dalam Bahagian Sarikei di kawasan tengah Sarawak. Malah ramai tidak tahu pekan yang dibuka penempatannya pada 1896 itu sebelum ini dikenali sebagai Pekan Binatang, namun pada 1984, Kerajaan Sarawak mengarahkan namanya ditukar kepada Pekan Bintangor, bagi menangani sensitiviti nama tempat di Sarawak. Di sebalik nama Binatang itu pun ada sejarahnya, kerana satu ketika dulu berlaku peristiwa aneh di situ setiap kali tiba musim buah ‘engkabang’ dengan pelbagai jenis binatang aneh dan tidak pernah dijumpai tiba-tiba muncul untuk memakan buah berkenaan. Begitu juga nama Bintangor yang menggantikannya, berasal daripada nama pokok Bintangor yang dipercayai boleh menjadi penawar dan menjadi ubat kepada penyakit AIDS, yang ditemui di pekan yang terletak enam jam perjalanan menggunakan jalan darat dari Bandaraya Kuching itu.  Di kalangan penduduk tempatan, Bintangor juga amat terkenal dengan buah limaunya yang manis selain nanas dan pelbagai buah-buahan lain, malah limau turut dijadikan maskot bagi Pekan Bintangor.  

Namun, agak malang kerana nama Pekan Bintangor tiba-tiba menjadi popular susulan kes tiga murid di kurung guru, bagi menghalang mereka menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, baru-baru ini. Apa yang pasti guru terbabit mahu menjaga prestasi sekolah itu secara keseluruhan hingga sanggup mengorbankan masa depan tiga anak muridnya yang mereka kategorikan sebagai lemah dalam pelajaran dengan mengurung mereka dalam bilik pemulihan dua hari berturut-turut.  Seperti ditekankan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, ada sekolah yang terlalu taksub untuk mencatat prestasi dengan keputusan semua A dalam peperiksaan awam, sehingga sanggup bertindak di luar batasan.  Ia tidak sepatutnya berlaku, kerana masyarakat juga akan mula mempersoalkan keikhlasan guru dalam mendidik anak bangsa. Kita tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga, sedang di luar sana lebih ramai guru ikhlas dan sanggup berkorban masa dan tenaga untuk melahirkan insan cemerlang. Mungkin guru di sekolah itu perlu mengambil iktibar daripada pendekatan guru di SK Ulu Lubai di Limbang, utara Sarawak, yang diumumkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) kedua 2010, iaitu sekolah pedalaman paling cemerlang di negara ini.

Biarpun SK Ulu Lubai antara yang paling jauh dan terletak terpencil serta di luar bandar Sarawak, namun ia bukan halangan untuk guru-guru di sekolah itu memberi komitmen padu untuk memastikan semua anak muridnya cemerlang.  Guru besar sekolah itu, Jaul anak Bunyau, 48, bersama 11 guru sekolah itu menjadikan kelemahan murid sekolah itu sebagai cabaran untuk meningkatkan prestasi murid sehingga tahap kelulusan setakat 36.4 peratus yang dicatatkan pada 1999, berjaya ditingkatkan kepada 55.6 peratus pada 2001, 77.8 peratus pada 2002, 100 peratus pada 2003, 80 peratus pada 2004 dan 2005; 100 peratus pada 2006, 2007, 2008, 2009 dan 2010.  Bagi memastikan semua murid sekolah itu, termasuk yang lemah dalam pelajaran, dapat meningkatkan prestasi akademik, sistem tuisyen diadakan bukan saja di bilik darjah, malah di rumah panjang, dengan pengawasan di lakukan secara bersama oleh guru dan ibu bapa, di samping guru turut memberi tumpuan membantu murid yang lemah.  Mungkin pendekatan sama boleh digunakan untuk murid lemah di SK Bintangor termasuk tiga murid malang yang dikurung itu, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi.

Mereka seharusnya dibantu, bukannya dikurung.  Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membenarkan tiga murid terbabit menduduki semula peperiksaan UPSR, kurang 24 jam selepas peristiwa itu didedahkan, dengan menggunakan kuasanya sebagai Menteri Pelajaran dan mengikut Akta Pendidikan, membawa kembali sinar kepada tiga murid malang itu.  Ketiga-tiga mereka akan menduduki semula UPSR pada 4 hingga 6 Oktober ini di sekolah sama dengan pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sendiri akan bertindak sebagai guru pengawas.

SUMBER
BERITA HARIAN
23 SEPTEMBER 2011



SALAH SATU FILEM 
YANG BOLEH DITONTON 
OLEH SEMUA GURU

ISU KENEGARAAN : PASCA ISA, ANCAMAN BARU

Oleh
DATUK REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia


Sememangnya maklum balas yang saya perolehi daripada kalangan orang muda, amat menyanjungi tindakan dan usaha Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam masa yang terdekat ini. Kalangan rakan saya yang masih muda, profesional dan berpendidikan tinggi menganggap ini sebagai langkah dan keputusan tepat bagi membawa Malaysia ke suatu tahap demokrasi yang lebih positif dan dihormati. Pandangan positif di kalangan orang muda ini tidak terlalu dikongsi oleh mereka yang lebih berusia. Perbualan dengan beberapa orang pesara polis di kawasan saya di Kepala Batas, memberikan maklumat dan informasi yang lain. Mereka risau dengan suasana baru ini. Apakah kerajaan mampu menangani segala macam isu panas yang berlaku di sekeliling kita? Apakah langkah dan undang-undang yang bersifat pencegahan akan dimansuhkan sama sekali? Ini semua persoalan yang bermain di minda rakyat. Sebagai kalangan anggota yang bertugas sewaktu kemuncak pelaksanaan ISA, mereka masih dapat melihat sisi baik kepada undang-undang ini. Apa pun pandangan dan perspektif kita mengenai ISA - ia mestilah diasaskan kepada pandangan yang objektif dan adil.

Soalnya, atas nama kebebasan dan demokrasi total, ISA mungkin sudah mengalami proses 'demonisasi' yang berlebihan oleh kumpulan tertentu. Yang ternampak jelas, hanyalah dosa dan petaka 'politik' yang kononnya dibawa oleh ISA. Yang sering diketepikan adalah bagaimana ISA sudah menyelamat banyak nyawa dan mengisi matlamat 'pencegahannya' yang paling asas. Hakikat ini, kadang kala gagal dihayati dengan minda yang terbuka dan objektif. Sesuai dengan matlamat politik kumpulan tertentu, ISA sudah digambarkan secara halus sebagai 'Akta Politik', digunakan sebagai kaedah menangani kritikan yang melampau kepada kerajaan dan sebagainya. Ini hanya satu perspektif yang terlalu 'politikal'. Bagaimana dengan peranan ISA yang digunakan terhadap mereka yang cuba mencetuskan keganasan dan kekacauan? Apakah ini masih lagi sebuah akta yang draconian; saat nyawa manusia menjadi taruhan? Tidak ramai orang yang memberikan pujian yang objektif kepada ISA yang berperanan langsung dalam menjaga keselamatan negara. Ini termasuklah penahanan mereka yang terlibat dengan Jemaah Islamiah, Darul Islam Sabah/Daulah Islamiyyah dan Gerakan Militan Selatan Thailand.

Apakah semua langkah penahanan yang bersifat pencegahan seperti ini tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada rakyat? Sudah pasti, di atas semangat dan matlamat penubuhan ISA - ia mencapai maksud apa yang dihasratkan. Jika tidak, kita akan berdepan dengan dugaan dan ancaman yang bukannya kecil. Ada nyawa yang boleh terkorban, sekiranya unsur-unsur subversif dibenarkan berlegar bebas di kalangan rakyat tanpa sebarang langkah pencegahan awal. Saya kira, rakyat patut berasa lega dengan komitmen Perdana Menteri bahawa dua undang-undang khusus bagi menangani masalah dan ancaman baru akan diwujudkan bagi menggantikan ISA. Kalangan pembangkang mengambil pengumuman ini sebagai modal politik. Mansuh satu, namun tambahkan dengan dua akta baru. Kritikan ini dibuat tanpa menilai dahulu apakah yang bakal dikemukakan ke dalam Dewan Rakyat nanti. Mereka seharusnya belajar untuk bersabar dan mendengar dahulu cadangan yang bakal dinyatakan. Paling asas, Malaysia tidak boleh menolak sama sekali keperluan akta khusus dalam menangani isu-isu keselamatan dan anti-militan. Majoriti rakyat masih mahukan undang-undang yang keras dalam memastikan benih ancaman keganasan ini sama sekali tidak mampu berputik di bumi Malaysia.

Semua ini tidak boleh dikompromi. Kita jangan mengambil mudah, walaupun pada hakikatnya kita berada dalam suasana yang sangat aman dan tenteram. Setakat ini, kebanyakan negara di dunia juga mengambil tindakan sama dalam memastikan isu keselamatan dan ancaman keganasan tidak dikompromi dalam apa keadaan sekalipun. Kita tidak boleh mengambil mudah bahawa semuanya akan kekal aman di Malaysia, tanpa sebarang gangguan rangkaian kumpulan pengganas antarabangsa. Sikap sedemikian akan hanya menyebabkan kita leka dan sekali gus meletakkan rakyat dalam keadaan yang kurang selamat. Dalam masa yang sama, kita seharusnya juga mengambil perhatian kepada kumpulan-kumpulan tertentu yang cuba membawa citra songsang dalam menegakkan idealisme yang mengganggu-gugat keselamatan. Ini berlaku di mana-mana. Malahan, dalam banyak laporan keselamatan di peringkat antarabangsa, kewujudan homegrown radicalism (kumpulan radikal setempat) ini adalah ancaman yang nyata. Semua ini hanya mampu ditangani oleh undang-undang pencegahan yang tegas. Negara kita tidak boleh sama sekali mengambil mudah dengan benih 'radikalisme setempat' ini. Ia mesti ditangani dengan bertanggungjawab.

Ia mesti ditangani dan diperhalusi secara menyeluruh dalam dua undang-undang baru yang bakal dicadangkan nanti. Kita tidak mahu, pemansuhan ISA dijadikan alasan untuk benih-benih kegiatan subversif menjadi mekar - sedang mereka selama ini kuncup dan gentar dengan ketegasan undang-undang pencegahan yang ada. Lembaran dan penterjemahan baru kepada undang-undang pencegahan ini adalah sesuatu yang wajar dan perlu. Tidak ada mana-mana pihak yang perlu mempolitikkan perkara ini. Keselamatan dan maruah persempadanan negara tidak boleh menjadi isu dan permainan politik. Ini suatu isu yang mesti ditangani secara tuntas oleh wakil rakyat, tanpa mengira kiblat politik dan naungan kepartian. Dewan Rakyat akan menjadi saksi kepada suatu pertanggungjawaban besar yang akan diletakkan di atas bahu semua mereka yang bergelar wakil rakyat. Majoriti rakyat yang waras pastinya mengharapkan penggubalan dua undang-undang baru yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat nanti akan memberi 'ketenangan minda' bahawa keselamatan negara akan terus diangkat sebagai prioriti dan keutamaan kerajaan. ISA sebagai 'alat politik' inilah yang menjadi momokan pihak tertentu bagi menggambarkan kerajaan sebagai pengamal dasar dan undang-undang draconian selama ini.

Kali ini, mereka akan kehilangan modal yang sama. Draconian atau tidaknya ISA; kejam atau tidaknya ISA - ia telah memberikan jaminan keselamatan kepada rakyat seluruhnya. Ianya memberi jaminan keselamatan kepada keluarga di kampung, mahukan kepada seorang hartawan yang tinggal di perumahan mewah. Dalam soal ini, ISA sudah pun mencapai maksud dan matlamat asalnya. Jika ditakdirkan ISA menemui ajalnya nanti, ia akan kekal dalam lipatan sejarah sebagai undang-undang preventif yang berkesan dan mampu menjaga kepentingan rakyat. Ancaman dan gugatan keselamatan boleh datang dalam pelbagai bentuk, radikalisme agama, ideologi ekstrem, ketaksuban kepada individu - dan semuanya sudah dan pernah ditangani oleh ISA. Namun masanya sudah tiba, untuk ISA dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang yang lebih selari dengan citra demokrasi zaman ini. Mereka yang bersorak gembira, sekali gus menekan bahawa kerajaan meninggalkan sama sekali perundangan yang bersifat 'pencegahan' perlu mencari semula kewarasan pemikiran mereka. Mereka yang bersuara atas landasan 'demokrasi total' dan hak asasi manusia - perlu menilai semula tekanan dan pandangan yang sedemikian sifatnya. Perubahan yang dianjurkan oleh Perdana Menteri dan kerajaan ini memerlukan sokongan dan dokongan semua rakyat biasa. Jangan kita bersandarkan semua pandangan kepada 'akar politik'; tetapi gagal melihat kepada dedaun keamanan dan buah kesejahteraan yang lebih mampu mengisi kehendak majoriti rakyat.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 SEPTEMBER 2011